Selasa, 17 Disember 2019

Catatan Baitul Muslim 23: Membunuh Kreativiti Anak-Anak


Apabila tahu lukisannya dibuat kulit buku antologi puisi yang saya terbitkan bersama rakan-rakan, anak saya melipat lukisan-lukisannya yang lain dan dimasukkan ke dalam beg yang saya selalu bawa ke tempat kerja.

"Abi, kakak dah masukkan painting dalam beg abi, nanti buat buku" katanya kepada saya.

Saya meng-OK-kannya sahaja. Hari ini balik kerja dalam bas baru sempat saya lihat karya 'artis' ini. Tugas kita ibubapa adalah tidak membunuh kreativiti anak-anak. Rumah bersepah itu lumrah, dan boleh dikemas, kreativiti yang mati adalah hilangnya emas.

Kita semua bersalah, termasuk saya sendiri, dalam proses membunuh kreativiti anak-anak. Apabila menjerit kita suruh dia diam, apabila menconteng dinding kita akan rampas pensil warna mereka, apabila mereka berlari kita seluruh mereka duduk.

Anak-anak tidak tahu apa-apa peraturan. Mereka masih sangat baru di dunia ini, jika mereka berusia empat tahun, bermakna mereka hanya ada pengalaman selama empat tahun sebagai manusia. Bila kita jerit "Jangan sentuh, panas!" maka minda kreatif mereka cuba menafsirkan apa itu panas? Adakah makanan? Atau apa? Mereka belum menguasai ilmu fizik dan belum menguasai konsep 'suhu'. Jadi mereka akan mencuba untuk mencari makna apa itu 'panas' agar dapat dikumpul menjadi pengalaman hidup.

Saya masih membaca buku Jamie Glowacki dengan perlahan. Sekarang sudah sampai kepada bab kreativiti. Apa itu kreativiti?

Kreativiti punya banyak maksud, tak semestinya ia sama, malah mungkin boleh bercanggah. Ada yang  mendefinisikan kreativiti sebagai proses mencipta suatu dari tiada kepada ada. Atau kreativiti sebagai method untuk menyampaikan emosi dan perasaan dalam bentuk non-verbal. Juga mungkin bermaksud perkara yang berbeza dari apa yang dianggap sebagai status quo.

Eksplorasi anak-anak untuk mengenal dunia seringkali menyebabkan kita ibu bapa stress, kita nampak bedak penuh dilantai sebagai satu tindakan nakal dan di luar kebiasaan. Tetapi anak-anak tak pernah tahu pun apa itu 'kebiasaan'? Kerana mereka belum biasa hidup di dunia. Minda kreatif mereka hendak membuat eksperimen, bolehkah manusia berenang di lautan bedak di dalam bilik? Maka mereka uji hipothesis ini. Kreativiti mereka sedang berfungsi, mereka mencipta, dari tiada lautan bedak, kepada ada.

Masharakat kita telah terbiasa dengan 'produk akhir'. Kerana kita bekerja di kilang, jika tiada produk maka bagi kita tiada kerja, tiada hasil. Kita pun bawa minda 'pekerja' ini balik ke rumah apabila bersama anak-anak. Jika kita buat aktiviti dengan anak-anak perlu ada hasil akhir, perlu ada buku yang siap diwarna, setiap aktiviti perlu mengikut arahan yang telah disediakan, sangat sedikit ruang ekplorasi. Walhal kreativiti juga wujud pada proses, bukan hanya pada produk akhir. Contohnya cara memegang pensel, proses memilih warna, imaginasi lain - pokok diwarna biru atau manusia berwarna pink. Jadi proses itulah yang penting sebagai tempat mengembangkan kreativiti. Walaupun di mata manusia dewasa hasil atau 'produk akhir' adalah kertas dengan contengan yang tiada makna.

Ini bukanlah satu seruan untuk membiarkan anak-anak membaling pinggan dan cawan sehingga pecah bagi membiarkan mereka bereksperimen dan ber-kreativiti. Tetapi sebagai teguran dan renungan kepada kita ibu bapa agar melihat anak-anak dengan empati, memahami proses yang mereka sedang alami. Saya sendiri percaya anak-anak perlu dimarahi apabila mereka melanggar peraturan, tetapi mereka tidak wajar dimarahi jika mereka tidak diberi tahu apa itu peraturan. Ibarat kita menyuruh anak bermain ping-pong tapi tidak diterangkan peraturan permainan, bila mereka bermain mengikut peraturan sendiri, mereka dimarah, mereka pun bingung.

Jadi tugas kita sebagai ibubapa adalah menerangkan garis peraturan pada anak-anak, agar mereka dapat mengembangkan daya kreativiti mereka dalam sempadan yang selamat. Tentu sahaja mereka akan melakukan kesilapan, siapa tidak pernah tersilap? Kita harus berhati-hati untuk tidak membunuh kreativiti mereka hanya kerana mereka melakukan kesilapan.

Tiada ulasan: