Memaparkan catatan dengan label Pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengalaman. Papar semua catatan

Selasa, 21 Jun 2016

Catatan Baitul Muslim 10: Buat semua ayah didunia - Selamat Hari Bapa

Syarifah Amni Zaheerah - 7 bulan.

Tidak pernah terbayang masa depan, ia sentiasa misteri. Menyorok di sebalik tabir takdir, hanya terungkap apabila masanya tiba. Tidak awal tidak lambat. Sehebat mana perancangan manusia, tidak pernah dapat meneka apa yang ada dibelakang tabir itu, ada kala rancangan berjaya dan di banyak kala yang lain, kita bertukar rancangan.

Aku sering termenung saat memandu ke tempat kerja, melihat bendang bertukar musim sepanjang jalan di Tikam Batu hingga Kepala Batas. Ada kala cantik menghijau, ada ketika menguning sehingga ke ufuk, ada ketika gersang dan kontang selepas dituai. Tidak pernah terfikir aku menjadi aku sekarang. Sudah bekerja, sudah berkahwin, sudah menjadi bapa, sudah sedikit 'berisi'. Seperti baru semalam aku berkerja menangkap ikan puyu dan haruan di tepian parit di Bagan Datoh bersama adik-adik ku. Bermain bola dipetang hari berkaki ayam sehingga maghrib. Kini aku bukan lagi budak itu. Dulu sering terfikir 'aku ingin lekas dewasa', kini zaman kanak-kanak yang sering datang membuai rindu.

Walaupun mungkin kini aku sudah dewasa, aku ingin terus belajar. Belajar mengenai hidup, belajar mengenai kehidupan.

Menjadi bapa merupakan pelajaran yang sangat terkesan kepada diriku. Cabaran utama bagi ibu bapa dengan anak yang masih kecil adalah menidurkan mereka. Ia umpama peperangan yang harus ditempuhi setiap hari. Dalam banyak ketika kemahiran meneka sangat diperlukan, kerana anak kecil hanya mampu menggunakan satu bahasa - bahasa tangisan. Dari bahasa ini mungkin dia ingin tidur, mungkin dia sakit perut, mungkin dia hendak bertukar lampin atau ingin minum susu. Sering kali juga tekaan yang dibuat gagal, hingga tekaan ketiga barulah mengena. Mungkin naluri bapa ku belum benar-benar matang.

Membesarkan anak sememangnya bukan satu kerja yang mudah. Segala-galanya perlu disiapkan. Kalau dahulu travel bersama isteri bawa dua beg sahaja, kini tidak lagi. Kereta akan dipenuhi dengan car seat baby, bakul susu, pampers, kain, bedak, pump susu, bantal menyusu, lapik tidur dan seribu satu keperluan yang lain. Separuh muatan kereta adalah barang keperluan anak. Tetapi itu lah manisnya pengalaman, aku sedar satu hari nanti anak ini akan membesar, ke asrama dan tinggal bersama pasangan sendiri. Tidak pernah satu saat aku merasakan ia adalah perkara yang menyusahkan, ia adalah pengalaman sekali seumur hidup, yang aku akan rindui satu hari nanti.

Jika dahulu hendak pergi kemana-mana tidak perlu risau. Boleh ber-camping, mendaki gunung selama 5 hari, boleh tidur dalam hutan. Menjadi bapa, perkara pertama yang bermain dalam fikiran sebelum berjanji untuk apa-apa aktiviti adalah siapa yang akan jagakan anak. Jika dahulu masa mula berkahwin, boleh balik bertemu isteri dua minggu sekali, bila sudah ada si kecil bekerja 3 hari tidak balik rumah sahaja sudah rindu. Takut untuk tinggalkan anak lama-lama, takut dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, takut dia lebih rapat dengan pengasuh dari ayahnya sendiri.

Ada ketika isteri tidak sihat, suami perlu menjadi doctor cum nurse untuk menjaga isteri, dalam masa yang sama perlu menjaga anak. Ada aktiviti luar yang akan terbatas, terpaksa ditolak. Namun ia perlu dilakukan kerana ia adalah tanggungjawab, ia adalah amanah, ia juga adalah ibadah.

Melihat demografi Malaysia, menurut kajian kaum cina mempunyai keluarga yang kecil 1 hingga 2 anak. Keluarga melayu masih mengekalkan keluarga yang besar antara 4 hingga 6 anak. Faktor yang mempengaruhi nombor ini adalah ekonomi. Membesarkan anak bererti sedia berbelanja besar. Namun, orang melayu yang kebanyakan nya beragama Islam masih mengekalkan keluarga yang besar kerana dalam Islam mereka meyakini rezeki adalah dari ALLAH SWT. Setiap anak telah tertulis rezekinya.

Aku sendiri bukan lah dari keluarga bangsawan. tidak mampu balik kampung menaiki jet mewah, cuma mampu menaiki kereta yang telah berumur 10 tahun. Ya, membesarkan anak memerlukan belanja. Dan keadaan ekonomi sekarang tidak membantu kita. Namun aku sering teringat kata-kata seorang pemimpin apabila dipersoalkan mengapa organisasi terus membuka institusi pengajian walaupun tiada keewangan. Katanya "kita tak akan pernah cukup duit". Begitu jugalah dalam memulakan keluarga, terutamanya kepada golongan muda yang baru bekerja. Gaji masuk mungkin sama dengan perbelanjaan bulanan, keinginan-keinginan mungkin terpaksa ditangguhkan atau dikorbankan. Tetapi ia berharga. Segala penat dan pengorbanan ini terbayar apabila melihat anak tersenyum, melihat anak tidur dengan aman. Ia membahagiakan.

Percayalah, sesukar manapun untuk memulakan keluarga, mulakan lah. Berusaha mendepani cabaran, jangan takut. Adakalanya kita perlu tutup mata dan redah sahaja, serah natijah kepada Sang Pencipta. Satu hari anak yang menangis ini akan pandai berjalan, keluar dari jagaan kita. Kita akan merindui tangisan manja mereka, kita akan rindui melihat mereka belajar berdiri dengan memanjat badan kita, kita akan rindui wajah bayi mereka, kita akan rindu saat mereka masih boleh didukung. Akan tiba satu masa ia hanya akan tinggal kenangan dan disimpan dalam album gambar. Hargai lah hari ini, rasai lah hari ini. Hiduplah, ciptalah bahagia dan kebahagiaan.

Selamat Hari Bapa!

Ahad, 31 Januari 2016

Cikgu, saya nak drop Addmath



Akhirnya tiba waktu yang aku sangat harap ia tidak berlaku, aku perlu pergi meneruskan kehidupan ke alam baru. Selepas ini tiada lagi suasana kemeriahan, riuh rendah pelajar yang mewarnai hidup. Ramai juga pelajar yang datang berjumpa pada hari terakhir. Ada yang mahu bergambar, ada yang datang meminta maaf dan mengucapkan selamat jalan, juga yang memberi hadiah dan surat perpisahan. Namun, yang paling membekas di hati adalah apabila datang seorang pelajar menyapa.

"Cikgu" seorang pelajar memanggil. Dia menyorok disebalik pintu, seingatku aku mengajarnya ketika dia di tingkatan satu, subjek matematik.

"Saya dengar cikgu nak pindah, saya ada 50 sen sahaja. Cikgu ambil lah, hadiah dari saya" sambil menyerahkan kepingan duit syiling 50 sen kepada ku. "Terima kasih" jawabku sambil tersenyum padanya. Dalam hati saya menangis.

Sebenarnya aku telah jatuh hati dengan kerjaya pendidik. Kerjaya yang aku kira sangat mulia, mengajar di sekolah agama tidak semewah mengajar di sekolah kebangsaan, pengorbanan yang diperlukan adalah lebih besar. Masih aku ingat tahun lalu.

Aku bersiap-siap untuk pulang, sudah lewat petang, setelah semuanya dimasukkan didalam beg, dan dikumpulkan buku untuk dibawa pulang, aku ke pejabat untuk menghantar claim bulan itu. Waktu itu aku masih lagi guru sementara, gaji dibayar mengikut hari.
Semasa di pejabat untuk menghantar dan mengisi claim, datang seorang pelajar.
"Cikgu saya ada soalan add math nak tanya". Aku melihat jam, sudah hampir jam 6 petang.

"Mana soalan?" jawab ku berseloroh. Terus dia hilang kemudian membawa kertas masuk pejabat. Hati ku sayu, tak sampai hati untuk berkata " Nanti kita bincang dalam kelas". Aku pun berkata padanya " Kamu duduk di kelas mana? Lepas habis urusan pejabat cikgu datang". Dia lantas memberitahu dan kembali ke kelasnya.

Petang itu aku pulang lewat. Hati ku sayu semula.
Mereka disini beberapa kali bertukar guru. Ada ketika beberapa bulan berlalu tanpa guru. SPM pula tinggal beberapa minggu. Maklumlah sekolah agama rakyat tidak mendapat bantuan kerajaan. Gaji kecil sahaja untuk guru. Jadi, guru selalu sahaja berhenti.
Tapi petang itu hati ku sayu, pelajar seperti ini gagal bukan kerana mereka malas. Mereka dinafikan hak untuk mendapatkan guru. Guru yang mampu setia mengajar dengan gaji yang rendah. Guru yang mampu berkorban. Air mata ku menitis dalam kereta petang itu. Aku juga keluaran sekolah agama rakyat. Guru ku dahulu juga gajinya rendah, tetapi anak muridnya dapat masuk universiti di luar negara dengan biasiswa. Sekarang tiba giliran ku pula, menangis. Aku mahu melihat anak-anak dalam rahim tarbiyyah ini terjaga akademiknya. Tidak merasa lekeh dan rendah diri bila keluar sekolah nanti.

Bagi ku mengajar merupakan satu kepuasan bukan sekadar pekerjaan. Mereka bukan aku lihat sebagai pelajar, tetapi sebagai anak-anak sendiri. Pernah juga ketika dalam satu kelas lewat petang seorang pelajar bertanya kepada ku.

"Cikgu dah lewat petang ni, cikgu tak nak balik ke? Cikgu tak sayang kat baby cikgu?"

Sebenarnya dia mahu balik awal dan tidak mahu menyiapkan latihan. Aku ketika itu baru beberapa hari mendapat anak sulung. Aku menjawab. "Kamu pun anak cikgu". Dia tersipu malu dan kembali membuat latihan.

Di ketika lain seorang pelajar datang berkata "Cikgu, saya dari dulu lagi fail Fizik, cikgu tak berputus asa ke dengan saya?" Aku menganggap kalian ibarat anak sendiri. Bagaimana seorang ayah mampu berputus asa dari berusaha untuk melihat anaknya berjaya?

Sesiapa yang menjadi guru matematik tambahan, ayat yang anda akan sentiasa dengar dari para pelajar adalah "Cikgu, saya nak drop addmath" Tugas guru bukan hanya perlu mengajar, guru juga perlu memberi motivasi kepada anak-anak didik agar berjiwa kental dan berani menyahut cabaran. Tidak kalah sebelum berjuang. Andai ada peluang, aku ingin menjadi pendidik lagi.

Jumaat, 25 September 2009

Refreshing Moscow


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi , silih bergantinya malam dan siang , bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia , dan apa yang ALLAH turunkan dari langit berupa air , lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan , dan pengisar angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi ; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran ALLAH ) bagi kaum yang memikirkan" (Al-baqarah:164)

Alhamdulillah , dengan izin dan kasih sayang ALLAH S.W.T kami dapat tiba di Moscow. Setelah 8 jam menaiki 'train' dari St. Petersburg bagi mengikuti Program Orentasi di Kedutaan Besar Malaysia.

Kedatangan kami disambut oleh sahabat-sahabat di MAI walaupun tidak semua kerana ada yang terlibat dengan sesi pembelajaran.

Perjalanan ini umpama terapi bagi kami untuk rest seketika sambil mengumpul semula tenaga bagi mengharungi perjuangan di universiti. Panorama Moskow sememangnya menawan hati.

Kami amat bersyukur kerana ALLAH memudahkan segala urusan kami. Alhamdulillah dengan bantuan Abg. Zulfadhli dan Kak Nawar dari MAI kami dapat menetap dengan selesa. Jasa mereka amat kami hargai dan semoga ALLAH memberi balasan baik kepada mereka.

Hari kedua kami berkesempatan melawat Krasnaya Ploshad , Arbat dan Masjid di Prospekt Mira. Memang sehari tidak cukup untuk meneroka bumi Moskow. Tapi kami tetap bersyukur kerana masih ada ruang bagi meluaskan permandangan.

Terima kasih kepada semua warga MAI yang memberikan layanan sempurna. Tidak di lupakan para senior yang sanggup berkorban meminjamkan kami 'blazzer'

Akhir sekali penghargaan kepada semua rakan-rakan yang bersusah payah . Thank You Ghalib , Akmal , Faris , Ifwat , Rahim , Arifuddin , Haziq , Khairul , Nadzri , Termidzi , Syazwan ,Farhan ,Safwan , Faiz , Fahmi , Atiqah. Semoga ALLAH merahmati kita semua.


Ahad, 5 Julai 2009

Telah tiba


"Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di bumi ' lalu memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka?
Orang-orang itu lebih hebat kekuatannya daripada mereka dan (lebih banyak) peninggalan-peniggalan
(perdaban)nya di bumi , tetapi ALLAH mengazab mereka kerana dosa-dosanya. Dan tidak akan ada sesuatu pun yang akan melindungi mereka
dari azab ALLAH" (Ghafir:21)

Alhamdulillah perjalanan dari Kuala Lumpur ke St. Petersburg berjalan dengan lancar. Transit di Frankfurt memberi nafas baru
dan kesegaran kepada kami untuk berehat setelah 12 jam berada di dalam kapal terbang.

Susasana disini sedikit sejuk . Tetapi baju selapis atau dua lapis sudah memadai. Alhamdulillah kami mempunyai senior-senior yang baik dan membantu.
Dengan bantuan mereka kami sudah dapat berdikari sendiri membeli makanan halal , dapat mengenali jalan-jalan di sekitar bandar , kemudahan internet
dan membantu dari segi komunikasi
yang merupakan masalah besar.

Makanan disini tidaklah terlalu susah untuk didapati cuma perlu sedikit kerajinan dan usaha. Alhamdulillah kami sudah pun tiba di Masjid St. Peterburg.
Masjidnya sederhana besar
dan masih mengekalkan ciri-ciri lama.Kelas bahasa kami baru bermula. Cuma sekarang 'heater' air tak berfungsi , jadi mandi disini agak sejuk dan membeku
.Tetapi ini cuma 'temporary problem' tidak lama lagi akan kembali normal.

Pada sebelah petang kami akan bermain bola bersama-sama. Terdapat juga ' Russian' yang bermain bersama kami. Kiraan jam disini masih memeningkan dan
belum menjadi kebiasaan.
Malam pada musim panas pendek sahaja dalam 4 jam. Tetapi dari segi solat tiada masalah kerana senior ada memberi jadual solat untuk 1 tahun.
Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Sila klik untuk melihat gambar di KLIA , Frankfurt dan St. Petersburg.Tetapi bumi Malaysia masih lagi kuat
and terbaik di ingatan.

Sabtu, 21 Mac 2009

BTN Mac 2009


Setelah hari berganti hari , minggu bertukar minggu , bulan berubah bulan dan tahun lama hilang dan muncul tahu baru tiba saatnya menempuhi kursus kenegaraan. Pada mulanya perspektif saya pada kursus ini adalah membosankan dan akan penuh dengan 'tocer' dan sebagainya.

Pendaratan kami ke Kem Bina Negara Meru pada 16 Mac disambut oleh para jurulatih yang diketuai Pak Rani dan angkatannya. Setelah diberikan taklimat bermulalah kursus kami secara rasmi. Pada awalnya kami disajikan dengan pembentangan kertas kerja yang agak membosankan namun penuh dengan maklumat dan pengetahuan. Setelah 4 kertas kerja dibentangkan fasa seterusnya adalah LDk.

Kumpulan saya telah diketuai oleh En. Zulkifli Harun sebagai fasilitator. Beliau merupakan seorang yang mahir mengendalikan LDK membuatkan kami sekumpulan tidak bosan malah bertambah gembira dan bersemangat untuk melakukan perbincangan. Ahli kumpulan yang terdiri dari kaum melayu , india , dan cina juga sangat mesra memberi kerjasama yang baik menjadikan sesi LDK bertambah lancar.

Apa yang tidak dapat dilupakan semasa sesi LDK adalah ketika sesi pengenalan dan personaliti diri. Apabila megetahui saya berasal dari sekolah agama En. Zul bertanya sekiranya saya digoda oleh perempuan di luar negara. Saya menjawab bahawa kita sebagai warga Malaysia yang beragama Islam harus mempertahankan maruah diri , agama dan negara..perlu mempunyai 'stand' dan pegangan kukuh sesuai dengan objektif kursus BTN. Suasana menjadi gamat seketika kemudian beliau mula bertanya kepada ahli kumpulan mengenai pandangan mereka. Ahli kumpulan perempuan kebanyakannya menyatakan mereka hanya percaya 30% , 40% dan 50%
. Manakala kebanyakan peserta lelaki menyatakan keyakinan mereka terhadap pendirian saya. Alhamdulillah. Walau bagaimanapun saya berdoa agar ALLAH memberi kekuatan dan perlindungan kepada saya jika berjaya melanjutkan pelajaran nanti.

Saya merasakan Kursus ini sangat berguna dan bermakna . Dan sepatutnya seluruh rakyat Malaysia mengikutinya. Bagi saya ia telah memperjelaskan mengenai perlembagaan , kontrak sosial , perkara 153 , perkara disebalik Tragedi 13 Mei dan sejarah pembinaan Malaysia. Seterusnya dapat mengelakkan salah tafsir serta mewujudkan persefahaman dan keharmonian antara kaum.

Apa pun saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan jurulatih Pak Rani , Pak Meon , Pak Ja'far dan Kak Aisyah kerana sentiasa bersabar melayan kerenah kami serta tak dilupakan Tuan Syukri Adnan yang banyak memberi bimbingan dan dorongan semoga usaha Kalian dirahmati ALLAH. Begitu juga fasilitator saya En. Zul yang memberi penerangan yang mantap sepanjang sesi LDK. Ucapan terima kasih juga kepada semua ahli kumpulan satu yang begitu baik dan berkerjasama Syafiq , Loqman , Muzamel , Farhan , Spoobalan , Cheing Loo , Filzah , Khadijah , Fasihah dan Nurus sehingga berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan lagu patriotik. Tahniah diucapkan.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan2 di intec yang mengambil jurusan kedoktoran dan arkitek . Semoga selamat sampai ke Ireland dan UK dan semoga berjaya mencapai impian masing2. Kepada rakan2 di MIAT isnin ni kelas math selamat belajar semula.