Alhamdulillah, semalam diberikan peluang untuk berkongsi sedikit pendapat dan buah fikir dalam satu wacana bersempena dengan Hari Kemerdekaan Negara. Program ini dipengerusikan oleh Saudara Syahmi Ibrahim sebagai moderator dan tuan guru saya Cikgu Azmi Bahari sebagai rakan panel. Disini saya kongsikan sedikit nota saya berkenaan dengan program ini. Untuk rakaman penuh boleh klik disini.
Erti Kemerdekaan & Signifikan Peranan Pemuda Dalam Mencapai Kemerdekaan
Kemerdekaan dari sudut sejarah
Malaysia merupakan kebebasan rakyat dalam konteks sebuah negara untuk mentadbir
sendiri urusannya, baik urusan domestik atau urusan polisi luar negara. Dari
sudut pandang anratabangsa, kita merupakan sebuah negara yang berdaulat, bukan
lagi sebuah kawasan yang merupakan koloni empayar British, Jepun atau mana-mana
kuasa imperial. Kecintaan kepada kemerdekaan dan kecintaan pada negara ini
merupakan sesuatu yang natural dalam diri manusia, dalam Islam disebut sebagai
hubbul watan, nabi sendiri cinta akan tempat beliau lahir dan membesar, nabi
cinta kepada Mekah, apabila berhijrah nabi berkata “Jika bukan karena aku
dikeluarkan oleh kaumku darimu, aku tidak akan meninggalkanmu selamanya”.
Dari sudut Islam kemerdekaan yang
sebenar di dunia ini adalah kemerdekaan dari perhambaan sesama manusia,
kemerdekaan dari menghambakan diri kepada perkara-perkara material dan bersifat
fana, kepada perhambaan kepada Pencipta kita. Ucapan syahadatain itu adalah
peristiharan kemerdekaan. Dalam perspektif Islam juga kemerdekaan yang hakiki
adalah pembebasan dari api neraka di akhirat nanti, apabila kita mendapat redha
Allah.
Permulaan gerakan mahasiswa di Malaysia ini kita boleh jejaki sebelum Perang Dunia Kedua, iaitu pada permulaan abad ke-20, pada masa tersebut Inggeris memperkenalkan institusi pengajian tinggi di Tanah Melayu iaitu Kolej Perubatan King Edward Ke-7 pada 1905 dan Kolej Raffles pada tahun 1929. Kolej ini kemudian digabung menjadi Universiti Malaya pada 1949, pada mulanya semua institusi ini terletak di Singapura. Antara institusi lain di zaman awal yang melahirkan elit intelektual Melayu adalah Kolej Sultan Idris (1922) di Tanjung Malim Perak, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Dari lapisan intelektual ini lahir kesedaran nasionalisme dan mereka mendirikan gerakan politik yang radikal pada ketika itu dinamakan Kesatuan Melayu Muda (KMM).
KMM ini mempunyai pengaruh dari
Turki, Young Turk (Turki Muda), antara pengasasnya adalah Ibrahim Yaakob yang
belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris (hari ini UPSI). KMM punya idea ketika
itu adalah menggulingkan British dan bergabung merdeka bersama Indonesia
membentuk Melayu Raya. (1)
Idea kebebasan ini merupakan idea
yang sama, baik golongan kiri atau kanan, kaum muda atau kaum tua dalam sejarah
kemerdekaan. Cuma mereka berbeza tentang bagaimana untuk bebas dan apa bentuk
yang ingin dicapai setelah kita bebas, bentuk “nation” atau negara yang hendak
kita bina.
Selain dari institusi tempatan,
mahasiswa yang belajar di luar negara seperti di Azhar, Mesir juga mempengaruhi
gerakan kemerdekaan, mereka membawa pengaruh gerakan Ikhwan Muslimin yang
melawan British di Mesir. Apabila mereka pulang, mereka dikenali sebagai Kaum
Muda, mereka cuba mereformasikan masyarakat Melayu dengan tulisan dan
penerbitan akhbar serta majalah, antaranya Al-Manar, Al-Imam, Neraca, Tunas
Melayu, Ikhwan dan Saudara. Ini memberi faham kepada kita tentang peranan
mahasiswa dalam menjadi objek merubah perlu melahirkan penulisan-penulisan
untuk mengubah masyarakat. Dari gerakan kaum muda ini lahir parti politik
Hizbul Muslimin, parti ini ditentang British, pemimpinnya ditangkap, dan
akhirnya dibubarkan. Perjuangannya kemudian diteruskan dengan penubuhan Parti
Islam Se-Malaysia yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Desakan
memelihara Islam ini akhirnya diterjemahkan selepas pengisytiharan Malaysia,
yang menjamin di dalam perlembagaan perkara 3 iaitu “Islam ialah agama bagi
Persekutuan”. (2)
Pengiktirafan ini penting dalam
menjamin kedudukan Islam di Malaysia. Perkara ini sangat penting kerana Islam
boleh wujud dalam bentuk institusi, kita ada Majlis Agama Islam, Jabatan Agama
Islam, Mufti, bahkan Menteri khusus untuk agama Islam. Jadi sebarang usaha
untuk mengubah Malaysia sebagai negara sekular perlu melepasi halangan besar
pertama ini.
Dengan Islam wujud dalam bentuk
institusi, Islam dapat dipelihara dengan penguatkuasaan dan ada legal standing,
ini berbeza dengan negara jiran kita yang mana Islam tidak disebut secara jelas
dalam perlembagaan. Indonesia sebagai contoh dalam perlembagaannya iaitu
Undang-Undang Dasar 1945 tidak
menyebut Islam dengan jelas. Ada frasa “dengan kewajiban menjalankan syariat
Islam bagi pemeluk-pemeluknya” dalam preamble asal, tapi kemudiannya dibuang. Di Indonesia ada Majlis Ulama Indonesia (MUI), yang boleh mengeluarkan
fatwa (ruling) tetapi tidak legally binding. (3)
Itu, dari sudut sejarahnya,
pengorbanan dan usaha anak muda sebelum ini. Tetapi kita hendaklah memahami
sejarah dalam usaha berjuang untuk hari ini, sejarah bukan berfungsi sebagai
kisah-kisah peristiwa lalu, ia mesti digunakan untuk menyelesaikan masalah hari
ini. Jadi golongan mahasiswa lalu telah berjuang menyelesaikan masalah pada
zamannya hingga tanah air merdeka dari penjajah. Mahasiswa hari ini perlu
memahami masalah hari ini, dan berjuang menyelesaikannya.
Pada pandangan saya secara peribadi,
kita dah selesai masalah penjajahan secara fizikal, tetapi apa yang belum
selesai adalah pembinaan negara, disini kita ada pelbagai bentuk idea yang
saling berlawanan, soal “identiti negara”, apa yang kita maksudkan apabila kita
katakan kita adalah rakyat Malaysia. Jadi kemerdekaan itu belum selesai dari
sudut pembinaan negara, soal keharmonian masyarakat berbilang kaum, juga soal
pembangunan ilmu, ekonomi, pendidikan, juga pembangunan dan peradaban. Ini
merupakan sisi-sisi kemerdekaan yang memerlukan perjuangan mahasiswa hari ini.
Apa yang saya sebutkan disini
sekadar permukaan sahaja, kerana masa kita yang terhad, jika kita mahu
mendalami peranan mahasiswa dan pemuda dalam sejarah kemerdekaan atau seerah
Islam kita perlu membaca dengan serious naskah-naskah sejarah yang ada.
Adakah Kita Hari Ini Telah Benar-Benar Merdeka?
Ada satu kata-kata menarik dari ahli
falsafah Jean-Jacques Rousseau “manusia dilahirkan merdeka, tapi dimana-mana
sahaja dia digari”. (4) Maksudnya tidak ada kebebasan atau kemerdekaan yang
mutlak, apa sahaja sistem atau ideologi yang kita pilih ia pasti punya batasan
dan kawalan. Sebagai seorang Muslim, kebebasan yang hakiki tidak ada di atas
muka bumi ini, tetapi kebebasan hakiki adalah apabila kita kembali pulang
bertemu dengan pencipta, bebas dari api neraka dan tergolong dalam orang-orang
yang diredhai Allah.
Seperti yang saya sebutkan tadi,
kemerdekaan itu belum selesai dari sudut pembinaan negara, soal keharmonian
masyarakat berbilang kaum, juga soal pembangunan ilmu, ekonomi, pendidikan,
juga pembangunan dan peradaban. Ini merupakan sisi-sisi kemerdekaan yang
memerlukan perjuangan mahasiswa hari ini. Jadi saya hendak menggunakan soalan
ini bagi menyampaikan pendapat saya berkenaan dengan pembinaan peradaban.
Yang pertama manusia yang
berperadaban ini mestilah mempunyai akhlak dan budi pekerti yang baik. Jika
dalam teori-teori Barat orang yang berperadaban disebut sebagai “civilized”
manakala lawannya adalah “savages” atau “barbarian”. Jika seseorang itu
merupakan mahasiswa Islam dia punya tanggunjawab besar dalam membina peradaban
masyarakat kita pada hari ini, terutamanya dari sudut akhlak, moral, dan
sahsiah. Rasulullah sendiri bersabda bahawa beliau diutuskan untuk
menyempurnakan akhlak mulia. Jadi masyarakat tidak boleh dikatakan maju atau
berperadaban jika dia tidak punya adab yang mulia.
Sebahagian besar akhlak mulia ini
adalah hubungan sesama manusia. Akhlak yang baik itu perlu difahami bukan hanya
sebagai nilai-nilai moral peribadi, tetapi ia dipancarkan dan dirasai oleh
masyarakat. Mahasiswa yang berakhlak perlulah menjadi mahasiswa yang faham akan
masalah masyarakat dan menyelesaikan masalah masyarakat. Baik masalah
kemiskinan, masalah pekerjaan, kesihatan, masalah pendidikan, masalah sosial,
jika akhlak yang baik itu tidak memberi kesan atau sumbangan pada masyarakat
kita tidak boleh katakan ia sebagai akhlak yang baik. Jadilah mahasiswa yang
syok sendiri, terpisah dari masyarakat dan dunia realiti.
Yang kedua adalah keilmuan dan
teknologi. Ini adalah salah satu sudut yang kita belum merdeka. Kita masih
banyak bergantung harap kepada negara-negara lain, tamadun Islam masih belum
menguasai semula bidang ilmu malah hari ini kita dibelakang sekali. Oleh itu
mahasiswa hari ini perlu membina tamadun ilmu negara dan umat Islam amnya.
Walaupun negara kita kecil, tidak semestinya kita tidak boleh melahirkan
ilmuan-ilmuan yang mempunyai sumbangan besar pada kemanusiaan. Mahasiswa kita
perlu mencari ilmu bukan sekadar sebagai tiket untuk masuk ke alam pekerjaan,
tetapi sebagai satu platform mereka menyumbang pada masyarakat dan negara.
Yang ketiga adalah solidariti kita
pada masyarakat dunia. Walaupun negara kita telah merdeka, masih ada
saudara-saudara kita di penjuru dunia yang masih belum merdeka dari penjajahan.
Terutamanya saudara kita di Palestin, saudara-saudara Rohingya kita, mahasiswa
kita perlu faham bahawa nasionalisme kita bukan nasionalisme sempit tetapi
mempunyai semangat persaudaraan yang lebih luas, nasionalisme kita mempunyai
semangat Ukhuwwah Islamiyah. Kemerdekaan kita tidak bererti jika masih ada
saudara kita yang dijajah, seperti kata-kata pejuang kebebasan Afrika Selatan
yang terkenal, Nelson Mandela “We know too well that our freedom is incomplete
without the freedom of the Palestinians.” Jadi sebenarnya masih banyak
ruang-ruang perjuangan yang boleh diisi oleh mahasiswa hari ini.
Kesimpulan
Apabila kita berbicara tentang
kemerdekaan ini, hendaklah ia kita fahami dalam konteks apa yang kita boleh
sumbangkan pada negara ini khasnya, dan pada umat secara amnya. Kemerdekaan
seharusnya menjadikan mahasiswa dan pemuda bukan sahaja cakna perihal sejarah
kemerdekaan, peristiwa dan tokoh yang ada, tetapi cakna dengan masalah negara
hari ini. Apalah gunanya kemerdekaan yang kita kecapi andai negara ini tidak
kita bina, bangsanya malas, sistem sosialnya kacau bilau, budaya ilmunya miskin
dan peradabannya tidak terbina.
Oleh itu kemerdekaan ini harus
memberi kita semangat untuk berusaha, sebagaimana generasi sebelum kita
berusaha dan berjuang untuk memerdekakan negara, kita hari ini perlu berjuang
untuk membina negara. Membina identitinya, budayanya, keilmuannya hinggalah
kepada peradabannya.
Sebagai Muslim juga kita perlu sedar
bahawa kemerdekaan kita tidak lengkap selagi ada saudara-saudara kita yang
masih dijajah dan dicabuli hak-hak mereka, baik di Palestin, Arakan, Syria atau
mana-mana bahagian dunia. Kita belum merdeka selagi semua manusia belum
merdeka.
Dan tambahan jika kita adalah
mahasiswa muslim, kita perlu fahami bahawa kebebasan yang hakiki itu adalah
kebebasan di akhirat dari api neraka Allah. Oleh itu perjuangan kita di dunia
perlulah selari dengan syariat Islam, dari segi objektif dan perancanaannya.
Kerana hakikatnya kita akan pulang bertemu Allah bukan sebagai satu negara,
tetapi sebagai ruh yang membawa hati, dan kita berdoa “hati” yang kita bawa
adalah “hati yang sejahtera”, qalbun saleem yang diredhai oleh Allah.
Rujukan:
(3) Syed Ahmad Fathi. “Diskusi UniSHAMS:Islam liberal, salahkah?” Meniti Jambatan Masa, 16 Mac 2019.
(4) Jacques, Rousseau Jean. "Social
Contract." (1968).