Hidup ini satu perjalanan, pengembaraan hamba untuk kembali kepada Sang Pencipta. Hidup juga merupakan himpunan kisah-kisah, peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan insan. Kadang ia cerita yang menggembirakan, kadang kisah yang mampu menerbitkan air mata, begitulah seterusnya. Oleh kerana ia merupakan satu perjalanan, haruslah seorang hamba itu mengetahui arah tujuan nya, agar ketika ia melangkah melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku, dia tidak terkeliru dan tersasar dari jalan asal menuju destinasi sebenar.
Syukur di panjatkan kepada Sang Pencipta, pemilik alam kerana mengizinkan saya untuk melalui satu fasa dari pelbagai fasa di dalam kehidupan ini, iaitu fasa pembinaan Baitul Muslim. Pelbagai persoalan sebenarnya bermain difikiran saya, terutamanya untuk mendirikan Baitul Muslim di usia seawal 24 tahun, dimana bagi orang lain, waktu inilah waktu untuk menikmati kebebasan waktu bujang, saat mula menerima gaji pertama, bebas hidup tanpa sebarang tanggung jawab.
Di hari-hari awal pernikahan, saat bermulanya proses ta'aruf sebenar, saya bertanya kepada sang isteri:
"Anti tak rasa awal sangat ke kita berkahwin?"
"Ana masih ingat kata-kata Pakcik Rosdi Baharom, seseorang itu bernikah tepat pada masanya, tidak terlambat tidak juga cepat" balasnya yakin.
Sebenarnya saya sengaja bertanyakan soalan provokasi, alhamdulillah jawapan itu menenangkan hati. Ya, cabaran itu pasti ada, namun jika kita telah menyediakan hati yang redha, inshallah kita mampu melaluinya dengan baik.
Proses perkenalan (Ta'aruf)
Hatta selepas menerima lafaz nikah sekalipun, saya masih lagi kekok. Hendak melihat wajah isteri pun masih belum berani, kebanyakan masa juga asyik tunduk ke bawah, bercakap tanpa melihat muka. Dialog juga formal, guna 'ana' 'anti' , bersembang perkara yang penting dan serious.
Sebelum nikah, saya tidak pernah bercakap dengan bakal isteri melalui talifon, cuma pernah sekali ikut ibu dan ayah menziarahi keluarganya selepas pertunangan ketika pulang dari pengajian. Ketika bertunang juga saya tiada di Malaysia, saya hanya melihat gambar pertunangan di Facebook sahaja. Selepas itu, hanya bertaaruf menggunakan email yang di cc kepada ibu dan ummi bakal isteri, ketika sudah tinggal 3 bulan hendak bernikah baru saya berani (terpaksa) berkomunikasi menggunakan Whatsapp, sebab urusan borang-borang nikah perlu maklum balas yang cepat, ayah suruh call, tapi saya segan lagi.
Pernah saya keluar bersama kawan, dia bertanya pernahkah saya keluar bersama tunang saya, katanya masa inilah kita hendak mengenali hati budi orang yang bakal di kahwini. Saya kata saya segan, lagi pun saya serahkan urusan memilih kepada ibu, saya yakin ibu akan pilih yang terbaik. Dia hairan. Ketika yang lain kawan saya bertanya hairan "Kau biar betul tak pernah call, lagi sebulan je nak nikah ni?"
Saya juga tidak tahu adakah betul keputusan saya ini, namun sebenarnya tiada siapa pun tahu, hanya Allah yang tahu, dia menentukan, kita sebagai hamba perlu yakin dan menyediakan hati untuk meredhai.
Sekufu atau sefikrah
Mungkin ramai yang tidak akan bersetuju jika saya menyama ertikan sekufu dengan sefikrah (sama pemikiran, memahami Islam dengan definisi gerak kerja yang sama). Tetapi percayalah ia adalah yang terbaik, sungguh pun saya tidak mampu membawakan bukti dari pengalaman peribadi kerana pernikahan saya yang baru berumur 5 hari , itu lah yang saya yakini. Dan, setakat 5 hari ini, saya merasakan perkahwinan ini, satu perkahwinan yang istimewa, kita tidak berumah tangga seperti kebanyakan manusia, tetapi cuba membina baitul muslim yang mampu menjadi baitul dakwah.
Lebih manis apabila, bukan pasangan sahaja yang sekufu/sefikrah, tapi kedua-dua keluarga juga sefikrah. Masih segar usrah keluarga pertama yang diadakan bersama ummi dan ayah mertua selepas subuh, ummi menerbitkan air mata ketika belum pun memulakan bicara, saya juga menangis walaupun tidak terkeluar air mata (biologi lelaki sukar mengalirkan air mata). Ia merupakan air mata sedih dan gembira dalam masa yang sama, air mata harapan agar keluarga yang terjalin mampu menguatkan barisan dakwah. Keluarga yang menjadi sumber tarbiyyah peningkatan iman.
Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan tenang dan lancar. Saya mengungkapkan kepada ibu ketika kami bersama-sama menyiapkan persediaan kenduri bagi pihak kami, bertapa saya merasakan urusan perkahwinan sangat mudah dan dipermudah. Ibu menyatakan bahawa itulah hasil dari pemahaman yang sama, apabila kedua-dua keluarga faham untuk apa anak-anak ini dikahwinkan, soal-soal seperti adat istiadat/ birokrasi perkahwinan, hantaran, warna baju, semuanya tidak dipandang sebagai perkara utama dan diberat-beratkan. Jadilah ia, majlis yang saling memudahkan dan saling memahami.
Sefikrah juga bercerai. Perceraian merupakan sesuatu yang diperuntukkan oleh Syariat, seerah merakamkan bagaimana sahabat nabi (anak angkat), Zaid bin Harithah juga bercerai dengan Zainab binti Jahsy. Jadi ia bukanlah satu keaiban, tetapi jalan penyelesaian bagi membubarkan rumah tangga melalui cara yang baik.
Tidak dinafikan, bukan lah menjadi syarat sefikrah itu bagi menentukan pasangan, tidak juga berdosa jika berkahwin dengan pasangan yang tidak sefikrah. Terpulang pada kalian untuk menimbangnya, memilih yang mana lebih menenangkan hati, yang mana mampu melahirkan kerja-kerja Islam yang lebih kuat dan tersusun. Berlaku jujurlah pada diri sendiri.
Destinasi akhir
Akhirnya kita akan kembali pada Allah dalam perjalanan ini, mahu atau tidak mahu, rela atau terpaksa, kita akan kembali. Oleh kerana itu, pembinaan baitul muslim sangat penting, memilih pasangan seolah-olah kita memilih untuk ke syurga atau neraka. Pasangan yang baik akan membantu kita mendekatkan diri dengan Allah, juga sebaliknya pasangan yang tidak baik akan menjauhkan kita dari Allah. Jadi perhalusilah neraca pemilihan anda!
Hari dimana tidak berguna harta dan anak-anak, kecuali mereka yang kembali kepada Allah dengan hati yang sejahtera (As-Syuara: 88-90)