Ahad, 16 Jun 2024

Dunia Dalam Perenggan: Tinta Seorang Bibliofil

Buku ini merupakan buku PBAKL 2024 pertama yang berjaya saya habiskan. Buku Dunia Dalam Perenggan: Tinta Seorang Bibliofil tulisan Emmy Hermina Nathasia ini saya kira merupakan buku yang ditulis oleh seorang bibliofil heavyweight, beliau berjaya menghabiskan pembacaan sebanyak 137 buah buku pada tahun 2017.  Saya sendiri, paling banyak, hanya pernah menghabiskan 23 buah judul buku setahun. 

Pada pandangan saya, buku Emmy ini merupakan karya persuratan bibliofil yang berbentuk self-help. Ini dapat dilihat dalam bentuk penulisannya yang cuba mengajar sesuatu dan memberikan tips dan cadangan. Selain itu, beliau juga memperincikan kaedah-kaedah membaca yang boleh digunakan. Saya secara peribadi meminati gaya bacaan aktif.  Di mana pembaca menilai secara kritis perihal apa yang dibaca, bertanyakan soalan along the way, dan mengaitkan apa yang dibaca dengan pengetahuan sendiri. Pembaca yang aktif juga akan menotakan bacaan mereka. 

Emmy menekankan bahawa aktiviti pembacaan perlulah dikekalkan sebagai aktiviti yang menyeronokkan.  Jika tidak, pembaca akan berhenti ditengah jalan. Membaca buku Dunia Dalam Perenggan juga membuatkan saya merenung tentang evolusi pembacaan saya sendiri. 

Antara isu bibliofil lain yang menarik yang disentuh oleh Emmy adalah isu tsundoku, perkataan ini berasal dari Jepun di mana seseorang itu mengumpul banyak buku namun tidak dibaca.  Saya sendiri sedang bergelut dengan isu ini, terlalu banyak buku dan terlalu sedikit masa untuk membaca. Namun, walaupun tidak sempat baca semuanya, bagi saya, lebih baik jika kita menyimpan koleksi buku yang kita mahu. Jika pun tidak dapat dibaca keseluruhan, kita masih boleh membuat rujukan dan membaca beberapa bahagian yang kita perlukan. 

Banyak lagi isu-isu seputar bibliofil yang dibahaskan di dalam buku ini. Sememangnya buku tulisan Emmy Hermina Nathasia ini merupakan satu naskhah istimewa bagi pencinta buku, saya pasti bibliofil yang membacanya boleh merasakan keterikatan dengan isu-isu yang dibawanya. Ia boleh dikatakan sebuah naskhah dari pembaca untuk pembaca yang lain.

Sabtu, 15 Jun 2024

Mengintai Kematian


Topik kematian biasanya topik yang dielakkan untuk disentuh, ia seolah topik taboo, menakutkan dan menyedihkan. Namun sebenarnya kematian adalah sebahagian dari kehidupan ini. Perkara yang tidak dapat dielakkan, baik kita suka atau duka. Kematian yang kita takuti itu besar kemungkinan duduk disebelah kita sahaja.

Saya sendiri punya banyak teman rapat yang sudah pergi ke alam abadi. Sebahagiannya merupakan rakan sebaya sepermainan di sekolah. Kehilangan mereka memang satu perkara yang menyedihkan. Ada juga rakan baik yang lebih muda dari saya pergi dahulu. Begitulah sifat kematian, tidak menunggu orang itu tua atau muda.

Saya pada mulanya menjangkakan saya akan hidup hanya sekitar 26 tahun lagi sahaja. Anggaran ini saya buat berdasarkan umur ayah saya yang meninggal dunia pada umur 60 tahun.  Tetapi sejak tahun lepas, saya merasakan anggaran saya ini mungkin tidak tepat. Saya berfikir, sepatutnya tahun lepas saya sudah meninggal dunia apabila menghadapi serangan jantung. Namun mungkin Allah masih memberi saya sedikit masa untuk hidup lagi seketika.

Dengan izin Allah dan bantuan perubatan moden, hayat saya masih ada. Walaubagaimana pun, saya selalu berfikir masa yang saya ada semakin suntuk, terutamanya di hari-hari di mana dada terasa sakit dan sesak. Mungkin kerana rasa kesuntukan masa ini menyebabkan saya lebih tertolak untuk belajar, membaca, dan menulis dengan lebih banyak. Sekadar mahu menikmati saat-saat terakhir dan meninggalkan sebuah jejak sebelum pulang ke negeri abadi. Saya juga gemar bertemu kawan-kawan lama kerana mungkin itu peluang terakhir yang saya ada. Jika tiba-tiba saya talifon sesiapa, janganlah pelik, saya bukan mahu menjual apa-apa. Mungkin sekadar mahu sembang-sembang terakhir sahaja.

Maaf andai coretan ini agak melankolik. Sekadar catatan fikiran menunggu nombor untuk bertemu kardiologis.

Jumaat, 14 Jun 2024

Melihat Manusia di Pesta Buku & Reruai Terbaik di PBAKL 2024


Tahun ini teramat sibuk, tak sempat berlama-lamaan di pesta buku, sempat sehari sahaja selama beberapa jam. Tapi tetap puas, terutamanya dapat jumpa teman-teman bukuwan, penerbit, penulis, penterjemah, penjual, dan juga pembaca. Saya suka melihat-lihat manusia di pesta buku. Ada ayah yang tertidur bersama bayi dalam dakapan sedang isterinya "hilang". Ada ibu yang stress ayah tak mahu balik lagi dan anak sudah meragam. Ada yang sibuk makan dan minum. Juga para pempamer yang sibuk menyantuni pengunjung. Ada bahagian yang bising, ada juga bahagian yang tenang. Ragam manusia di pesta buku, adalah ragam kehidupan. Tidak kurang, tidak lebih.

Sama seperti coretan Cikgu Afiq Rostam, antara yang saya hargai di pesta buku adalah sembang-sembang sesama bukuwan. Saya ingin kongsikan beberapa cebisan di sini, rebagai rekod dan rujukan buat Fathi di masa hadapan.

Antara sembang yang saya kira menarik adalah dengan Saudara Amir dari reruai The Bibliophile Bookshop. Pertama, kami bersembang bagaimana memilih bahan bacaan. Saya secara jujur, mula membaca dengan intensif agak lewat, di hujung zaman universiti. Diet bacaan awal saya kebanyakannya buku non-fiksyen berbahasa Inggeris, buku bahasa Melayu yang saya baca hanya buku-buku agama.

Saya juga tidak akan beli buku sebarangan. Kebanyakannya sudah saya kaji dahulu siapa penulisnya, apa isi kandungannya, bagaimana reviunya, baru saya dapatkan. Tapi apabila saya mula menulis dan masuk ke "dunia buku" di Malaysia, saya sedar bahawa saya tidak banyak pengetahuan berkenaan dengan persuratan negara saya sendiri. Maka saya mula membaca juga karya-karya tempatan. Sekarang, hampir 50-80% buku bacaan saya adalah karya tempatan.

Saya juga sembang dengan saudara Amir bahawa saya sedar bahawa saya kena keluar dari bubble bacaan saya. Apabila kita strict memilih bahan bacaan, kita akan bias memilih bacaan yang kita selesa sahaja. Kita akan hidup dalam bubble. Oleh itu, sekarang, saya akan beli juga satu dua buku yang saya tidak kenal penulisnya, dan tidak tahu subjek tulisannya. Agar saya tidaklah terpuruk dalam bubble bacaan saya sahaja. Bahkan, kadang saya cuba juga baca buku yang saya sendiri tak begitu berminat, contohnya  buku genre "puisi healing gadis remaja". Walaupun itu bukan minat saya, sekurang-kurangnya, saya tahu apa yang sedang berkembang dalam dunia buku di luar bubble saya.

Kami juga bersembang perihal "kalau buku tu tak best, perlu ke kita baca sampai habis?".

Pada saya, buku tak best ini ada dua kategori. Pertama buku yang tak best tapi merupakan bahan sastera penting. Contohnya buku Adam Smith, The Wealth of Nation. Buku ditulis tahun 1776, dengan gaya Inggeris lama. Ada bab-bab yang sangat laborous, yang membincangkan harga pasaran jagung, emas, perak, yang sangat susah dibaca dan sukar dihabiskan. Kerana buku Smith adalah buku yang penting dalam persuratan. Saya akan habiskan juga walaupun lambat, biasa saya akan sulam dengan buku-buku lain sementara saya hendak menghabiskannya.

Kategori kedua adalah buku tak best yang bukan bahan sastera penting. Buku macam ini saya akan cuba juga habiskan, tapi kalau saya tak habis pun saya tidak begitu rasa bersalah. Dan kadang kala, memang terbengkalai dan tak habis-habis.

Banyak lagi sebenarnya sembang-sembang bukuwan yang menarik di pesta buku sambil melihat gelagat dan ragam manusia. Ada juga sebahagiannya gosip-gosip bukuwan yang tidak boleh dikongsikan. Apa pun tahniah kepada semua yang terlibat dalam pesta buku kali ini. Pahit manisnya adalah ragam kehidupan yang biasa.

Ada rezeki dan kesihatan, moga ketemu lagi tahun depan.

Ada satu point saya hendak sertakan dalam catatan tentang PBAKL. Tentang satu reruai terbaik. Nama reruai tersebut dirahsiakan bagi mengelakkan reruai tersebut kembang hidung. Reruai ini menjual buku-buku sains sosial, sejarah, dan juga sastera.

Apabila pembeli datang, pekerja di reruai tersebut akan melayan pembeli. Beliau terangkan satu persatu perihal buku yang ditanya. Bahkan beliau bersembang dengan pembeli perihal subjek-subjek buku-buku yang dijualnya. Saya yang mendengar terdetik dalam hati "ini dah jadi macam forum ilmiah", walhal dia bersembang dengan pembeli perihal buku-buku sejarah dan sastera yang dijualnya.

Di sini saya melihat kelebihan reruai ini. Pekerjanya bukan sekadar penjual, tetapi pembaca buku yang tegar. Dia bukan sekadar jual buku, tetapi dia juga nampak gembira berkongsi dapatan dari bahan-bahan bacaannya. Dia boleh memberikan nasihat perihal buku apa yang bagus jika pembeli mahu mengetahui tentang sesebuah topik. Dalam kata lain, perbincangannya dengan pembeli adalah dari hati ke hati, dari seorang pembaca kepada pembaca yang lain. Seperti sebuah diskusi buku.

Di sini saya kira kepentingan reruai buku yang mencari penjual di kedai yang membaca dan yang mencintai buku. Secara automatik ada jambatan hati antara dia dan pembeli, kerana kedua-duanya berkongsi frekuensi kecintaan kepada buku yang sama. Saya lihat orang yang datang juga teruja, malah ada yang memuji.

"Baguslah awak ni, awak tahu banyak tentang buku-buku, jarang jumpa penjual yang tahu dengan mendalam karya-karya yang dijual".

Bagi saya ini adalah kekuatan yang diperlukan oleh reruai yang ingin berjaya. Bukan sekadar tangkap muat pekerja yang boleh dibayar murah. Tetapi melengkapkan reruai mereka dengan pencinta buku. Promosinya damai dan lancar, dari hati pembaca yang menjual ke hati pembaca yang membeli. Begitulah perkongsian singkat saya perihal PBAKL 2024.

Khamis, 30 Mei 2024

Terpaling Palestin


Saya sebenarnya tak kisah kalau ada orang kutuk atau sindir "terpaling Palestin". Malah saya bangga jika dapat sindiran sebegitu. Apabila sejarah bertukar, dan Palestin merdeka, kita akan melihat orang-orang yang menyindir orang lain "terpaling Palestin" ini adalah orang-orang bodoh yang melambatkan pembebasan dan kemerdekaan satu bangsa yang sepatutnya sudah bebas sejak 100 tahun yang lalu. Maka biar kita jadi terpaling Palestin dan biar mereka menjadi terpaling bodoh.

Mengapa Intelektual Yang Membosankan?


Buku ini pertamanya hadir dalam fikiran saya ketika saya memerhatikan gelagat beberapa jenis manusia yang merasakan diri mereka intelektual. Walaupun ada diantaranya yang tidak pernah menerbitkan apa-apa buku, artikel, atau kajian ilmiah, mereka merasakan mereka ini intelektual kerana mereka banyak membaca.

Mereka juga merasakan jenis-jenis buku yang mereka baca sahaja melayakkan diri mereka sebagai seorang intelektual. Mereka yang tidak membaca buku-buku aliran mereka dianggap kolot, jumud, konservatif, feudal, dan seribu satu label lain sesuai dengan selera mereka. Bagi saya golongan ini adalah golongan yang membosankan, dalam beberapa ketika, juga menjengkelkan.

Mereka syok sendiri dengan "mengecop" diri mereka sebagai intelektual, satu istilah yang diberikan pada diri mereka sendiri. Maka penuhlah media sosial mereka dengan hashtag #notaintelektual dan lain-lain gelagat yang membosankan. Wacana mereka mengulang isu yang sama saban tahun tanpa menyentuh isu-isu strategik masalah manusia hari ini. Falsafah mereka terawang-awangan, terlalu utopia untuk difahami manusia.

Selain golongan yang membosankan ini, saya juga mengambil kesempatan dalam naskah ini membahaskan beberapa topik terpilih seperti sumber dalam epistemologi ilmu, isu pendidikan, dan juga beberapa kritikan terhadap idealisme mahasiswa. Semuanya dalam rangka memperkemaskan lagi budaya intelektual yang sebenar, bukannya budaya syok sendiri yang membosankan.

Terima kasih kepada penerbit The Biblio Press yang bertungkus lumus menyiapkan buku ini. Naskah ini sudah menemui pembaca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung. Sekiranya anda tidak berkesempatan ke PBAKL 2024, buku ini juga boleh dibeli di Shopee.

Khamis, 23 Mei 2024

Hari Di Mana Aku Meninggalkan Gerakan Islam

 


Hari itu aku berjanji untuk berjumpa dengan seorang sahabat, beliau sudah tamat perkhidmatan di Sungai Petani dan akan berpindah ke Kelantan. Petang itu aku menunggunya di dalam kabin "Perhentian Kopi", sebuah kafe kopi hipster baharu yang terletak di Dataran Jam Besar, Sungai Petani. Oleh kerana sahabat tersebut datang lambat, aku mengambil keputusan untuk membaca buku sejarah tulisan pensyarahku di USM, perihal perantauan masyarakat Melayu pada zaman British ke Kerian, Perak. Menarik juga bukunya, antara migrasi yang disentuh, selain masyarakat Melayu, adalah migrasi orang Banjar ke Perak, oleh kerana atukku merupakan orang Banjar di Perak, buku tersebut sedikit sebanyak membuatkan aku merasakan aku adalah sebahagian dari sejarah tersebut.

Apabila sahabat tersebut tiba, kami bersembang banyak perihal gerakan Islam di Malaysia, terutamanya gerakan yang kami sendiri ikuti. Beliau meluahkan perasaannya, perihal mengapa beliau tidak lagi begitu berminat mengikuti gerakan Islam di Malaysia. Perihal meninggalkan gerakan Islam ini merupakan fenomena yang selalu aku fikirkan, terutamanya dalam kalangan orang muda, gerakan Islam seolah sudah tidak menarik lagi kepada mereka. Aku ada menulis tiga tahun yang lalu dalam sebuah artikel, perihal pemerhatianku berkenaan kepupusan kaum muda dalam gerakan Islam di Malaysia. Dalam penulisan ini, aku ingin merenung perbualanku dengan sahabatku ini. Mencoret sedikit isi-isinya, agar boleh aku analisa dan rujuk kembali untuk menimbang pemikiranku. Bagi aku, menuliskan semula pemikiran kita itu satu perkara yang perlu, agar kita dapat melihat dan menimbang perubahan pemikiran kita seiring perubahan masa.

Sahabatku itu meluahkan isi hatinya, antara sebab minatnya pudar dalam mengikuti gerakan Islam adalah kerana pergaduhan dalaman yang pernah berlaku semasa musim pilihanraya. Baginya ada sesetengah anggota yang terlalu mempertahankan parti politik tertentu. Aku bukanlah ingin mempertahankan mana-mana pegangan atau polisi gerakan Islam. Jadi aku dengar dahulu segala luahannya. Tidak aku bangkang terus, kerana aku tidak rasa jika aku berhujah sekali pun dapat merubah pegangannya. Selepas habis luahan hatinya, baru aku terangkan apa yang aku fikirkan.

Bagi aku, dalam persoalan politik parti. Gerakan Islam sememangnya tidak memberi sokongan penuh kepada mana-mana parti, kerana tugas mereka bukan berpolitik dalam parti. Tetapi dalam masa yang sama, mereka juga tidak boleh bersifat neutral, kerana Islam adalah agama yang bersifat politik. Dalam Islam terdapat elemen siyasah yang tidak dapat dinafikan. Jika dia bersifat neutral, dia akan dikritik kerana sibuk berkata bahawa perlunya Islam memerintah, tetapi dalam sudut praktis, mereka berkecuali. Tetapi jika mereka berpihak, ini akan membuka ruang perpecahan kerana memang sifat parti politik itu menganjur pada perpecahan.

Jadi pada pandangan aku, sikap untuk tidak mengumumkan kepada umum bahawa perlu menyokong siapa itu adalah langkah yang tepat dan lebih harmoni. Dalam masa yang sama, untuk tidak dikritik bahawa gerakan Islam ini tidak mempunyai pegangan siyasah, saranan untuk berpihak pada siapa ini hanya dibisik-bisik kepada ahli sahaja, dengan penerangan diberikan tentang mengapa pilihan itu dibuat dalam situasi semasa. Pastilah apabila diberitahu pilihan, ini akan menyebabkan pergaduhan dan ketidak setujuan. Tambahan pula, ketika PRU-14 dan PRU-15, negara sedang mengalami fasa perubahan. Jadi suhu politiknya sangat tinggi, apa pun keputusan yang dibuat akan menimbulkan pergaduhan. Dan ini saya lihat berlaku dalam semua gerakan Islam, tiada yang terkecuali. Ia tidak unik berlaku dalam sebuah gerakan Islam sahaja.

Tambahan pula, gerakan Islam tentunya tidak dapat mengawal pemikiran ahli-ahlinya. Setiap orang mempunyai kefahaman masing-masing. Ada hujah dan logik tersendiri. Sekuat mana pun usaha kita untuk membina 'kesatuan pemikiran', tetap akan ada perbezaan pendapat dan pandangan. Hal ini saya kira bukan kelemahan gerakan Islam tertentu, tetapi fitrah kejadian manusia. Hatta jika kita mengimbau sejarah Islam sendiri, kita akan dapati pergaduhan dan perbezaan ini berlaku di setiap masa dan zaman. Dalam kata lain, kita perlu menerimanya sebahagian dari sunnatullah. Namun apabila musim pilihanraya sudah berakhir, sepatutnya kita kembali merapatkan saf dan berkerja lagi membaiki masyarakat, bukan meninggalkan kerja-kerja yang ada.

Kemudian kami mula berbincang perihal ideologi dan pemikiran. Di sini ada beberapa isu. Pertama adalah penggunaan teks-teks tafsiran lama yang dilihat sudah tidak menjawab persoalan zaman. Aku bersetuju akan hal ini, bahawa perlunya kita juga membaca dan memikirkan tafsiran baru. Malah, inilah sebenarnya yang cuba aku ketengahkan dalam buku Berfikir Tentang Pemikiran. Namun, dalam masa yang sama, aku faham mengapa teks lama lebih diutamakan berbanding teks baharu. Aku merasakan, generasi lama lebih selesa dengan teks lama kerana ia lebih terjamin, pemikirnya telah lama meninggal dunia oleh itu pemikirannya telah terhenti. Jika diambil teks baharu, terutamanya jika pemikir tersebut masih hidup, boleh jadi dia akan bertukar fikiran di kemudian hari, boleh jadi juga mereka menjadi penentang gerakan Islam di kemudian hari, jadi pemikiran mereka belum benar-benar terjamin untuk konsisten dan istiqamah.

Dalam hal pemikiran juga, sahabatku tersebut membangkitkan persoalan demokrasi. Bagi aku, persoalan demokrasi ini, aku 50-50. Tidaklah aku merasakan demokrasi ini satu sistem yang betul-betul baik atau betul-betul buruk. Ia ada kelebihan dan ada juga limitasi. Tetapi jika kita berputus asa, dan merasakan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengubah sistem ini, maka di situ kita akan menjadi sebahagian dari sistem yang bermasalah. Masalah yang ada dalam sistem demokrasi ini sudah terlalu banyak kali aku menulisnya, jadi tidak perlulah diulang-ulang lagi di sini. Semua sistem dalam dunia ini, semasa ia dilaksanakan, orang merasakan tiada apa yang boleh dibuat untuk mengubahnya hinggalah tiba satu masa ada orang yang mengubahnya. Apabila sudah diubah, baru orang akan berkata "rupanya ada sistem yang lebih baik" atau "rupanya sistem ini boleh diubah". Jika kita mengatakan sistem yang ada tidak perlu diubah, maka gerakan-gerakan yang ada sudah tiada raison d'etre. Semua gerakan yang wujud mahu mengubah sesuatu, jika tiada perubahan yang dimahukan, semua gerakan tidak perlu wujud, termasuk gerakan Islam.

Akhir sekali, kami membincangkan perihal generasi lama yang ada dalam gerakan Islam. Sebahagian dari masalah golongan muda dalam gerakan Islam adalah krisis antara generasi. Aku akui, memang ada sebahagian golongan lama yang keras pendekatan dan pandangannya. tetapi kita harus sedar, gerakan Islam ini bukan milik sesiapa. Pemikiran juga bukanlah satu perkara yang statik, generasi lama ini juga akan berlalu. Jika pun kita tidak bersetuju dengan beberapa pemikiran mereka, aku merasakan bahawa meninggalkan gerakan Islam bukan solusinya. Apabila generasi berubah, kita boleh melaksanakan pula pemikiran kita, masanya akan tiba. Perubahan generasi ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, ia akan berlaku. Umpama terbitnya fajar baharu, tiada siapa dapat menghalangnya, melainkan kiamat tiba.

Saya juga tidak bersetuju dengan pemikiran bahawa generasi lama tidak membawa apa-apa perubahan. Ini kerana lensa kita yang pendek. Kita melihat apa yang berlaku hari ini sahaja, namun jika kita ukur keadaan masyarakat ketika gerakan islam baru bermula, kita akan dapati bahawa berlakunya perubahan yang begitu besar. Dari sudut masyarakat dan juga institusi. Namun, seperti juga gerakan dan institusi yang lain, ia pasti mempunyai masalah-masalahnya. Kita melihat institusi lain seperti gah dan tidak bermasalah, namun, apabila kita memasukinya, kita terus dapat melihat kelemahan-kelemahan yang ada. 

Bukanlah penulisan ini merupakan cubaan untuk aku untuk menyuruh sahabatku itu kembali ke pangkuan gerakan Islam. Itu adalah pilihan yang harus dibuatnya sendiri. Aku sekadar mahu meletakkan pemikiranku kerana aku juga mempunyai kritikan-kritikan yang sama. Cuma aku memilih pendekatan yang berbeza. Aku merasakan, hari di mana aku meninggalkan gerakan Islam itu belum tiba, dan aku berharap ia tidak akan tiba. Kelemahan dan masalah itu pasti akan ada, tetapi meninggalkannya tidak akan membuat keadaan bertambah baik. Jika pun penyertaanku tidak mengubah apa-apa, tidaklah aku kecewa, kerana itu semua adalah qadar Allah. Cuma aku merasakan, di kesempatan usia yang singkat ini, sekurang-kurangnya aku melakukan sesuatu. Aku teringat akan sebuah penulisan oleh Maududi bertajuk Syahadatul Haq yang aku pernah baca dahulu di universiti. Maududi berkata, jika kau merasakan gerakan ini baik maka bergabunglah dengannya, jika kau rasa buruk, maka dirikanlah satu gerakan yang baik. Cuma satu yang jangan kau lakukan, jangan duduk dan tidak berbuat apa-apa.

Aku doakan sahabatku itu dilindungi oleh Allah, dalam apa pun pilihannya.

Rabu, 22 Mei 2024

Mon Monologue: Dva

 

Hari ini diberi kesempatan untuk berenang-renang di dalam kolam disamping membawa anak-anak bercuti dan mandi. Menyelam dan berenang di dalam kolam merupakan satu aktiviti yang sangat menyegarkan bagiku. Seolah-olah ikatan kuat yang mengikat fikiran sehingga stress perlahan-lahan melonggar. Fikiran mula beransur tenang sambil badan diapungkan oleh air biru yang jernih.

Melihat silauan cahaya matahari yang terbias di dasar air juga melonggarkan lagi ikatan yang membelenggu fikiran. Sambil merasakan diri hanyut terapung di dalam air biru yang jernih. Fikiran dibiar kosong dan melayang. Segala kerja yang menyesakkan dilupakan. Yang ada hanyalah apungan dalam satu ruang kosong yang tidak mempunyai dasar. Kosong, kosong, longgar, dan menyegarkan. Biar pun apungan itu hanya sementara sahaja, sedikit sebanyak minda kusut yang ketat menjadi terbuka semula. Kerja-kerja yang bertimbun dilihat dengan objektif semula. Bukan lagi dari perspektif stress, tapi perspektif produktif, untuk disusun dan dibereskan satu per satu.

Kerja memang banyak dan tidak akan habis. Jika habis pun, kita akan mencari dan mencipta kerja baharu bagi mengisi kekosongan hidup. Merenung sepasang tangan di dalam air biru aku terfikir. Semua manusia diberikan sepasang tangan yang sama. Kanan dan kiri. Tetapi mereka menghasilkan hasil yang berbeza-beza. Apa yang membezakan mereka bukan sepasang tangan mereka, tetapi banyak mana usaha yang sanggup dilaburkan.

Dalam apungan hidup yang sebentar ini, aku harap, dua tangan aku ini mampu aku gunakan untuk meninggalkan sesuatu yang bermakna buat dunia.

Sabtu, 11 Mei 2024

Mengapa Perlu Menyimpan Jurnal Peribadi?


Saya merasakan menulis dan menyimpan jurnal peribadi adalah sesuatu yang sangat mengasyikkan dan membahagiakan. Topik-topik lain, perihal politik, ekonomi, sosial dan lain-lain boleh ditulis oleh orang lain. Tetapi penulisan perihal diri dan hidup kita hanya kita yang mampu menulisnya. Orang yang paling "expert" tentang diri kita adalah kita.

Adakah hidup kita signifikan untuk dijurnalkan? Jika pun tidak signifikan untuk orang lain, jurnal kita akan sangat signifikan untuk diri kita sendiri. Tidak semua perkara dalam hidup ini dapat kita ingati, banyak perkara-perkara kecil yang akan kita lupakan. Namun dengan menyimpan jurnal, perkara-perkara kecil ini dapat kita pelihara, dapat kita selak semula pada satu hari nanti. Membuatkan kita tersenyum, atau mungkin menangis dalam nostalgia rindu.

Dengan adanya jurnal peribadi, kita dapat mengukur perubahan diri. Selang berapa tahun, kita boleh membaca semula pengalaman lalu, dari situ kita dapat membandingkan perubahan diri kita. Namun jika ia tidak dijurnalkan, sukar untuk kita melakukan perbandingan, kerana banyak sisi-sisi hidup kita yang lalu akan hilang ditelan memori. Dengan adanya rekod bertulis, kita dapat melakukan perbandingan yang lebih tepat dan bermakna.

Jurnal peribadi juga boleh digubah semula. Ia boleh diadun dengan imaginasi dan juga kreativiti untuk menghasilkan satu penulisan yang unik. Di satu sudut, ia bersifat peribadi dan mampu membuatkan kita mengenang semula memori lama. Di satu sudut lain, ia dapat menjadi kisah yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Dengan mengadunnya semula dengan imaginasi dan kreativiti, ia boleh dibaca oleh pembaca lain sebagai satu penulisan yang tidak terlalu peribadi, suatu penulisan yang membuatkan orang lain merasakan ada kaitan yang boleh dibuat dengan diri mereka sendiri dengan kisah-kisah yang dibawakan.

Saya kira antara contoh jurnal peribadi yang baik yang diadun dengan imaginasi dan kreativiti adalah Jurnal Seorang Rockers oleh Mel Zainal. Ia adalah satu penulisan yang duduk di tengah-tengah. Antara karya non-fiksyen dan karya kreatif kerana ia menggabungkan kedua-dua elemen ini. Di satu sudut, penulis dapat memelihara memorinya, di satu sudut yang lain, dia dapat mempersembahkan satu cerita yang santai.

Menulis jurnal juga saya kira adalah sebagai satu tanda, tanda bahawa perasaan kita pernah wujud di dunia.

Ahad, 28 April 2024

"Intelektual" Bodoh Yang Mempertahankan Kolonialisme

 

Baru-baru ini Universiti Malaya ada menjemput seorang professor dari Amerika Syarikat yang menyokong zionis dan membawa pandangan pro-kolonialisme untuk memberi syarahan. Kelakarnya, ketika professor ini sibuk mengkritik Malaysia sebagai "tidak selamat", polis-polis di Amerika Syarikat sedang sibuk membelasah professor di sana menghalang mereka bersuara. Tindakan polis ini mirip amalan fasisme, ini boleh dilihat apabila professor falsafah seperti Caroline Fohlin dilakukan dengan keras dan kejam hingga ditolak dan dibaringkan sebelum ditahan, hanya kerana menyokong pelajarnya. 

Seorang individu kurang cerdik yang mengaku dirinya "intelektual" telah mempertahankan professor zionis pro-kolonialisme ini atas alasan kebebasan bersuara. "Intelektual" kambing ini telah menulis:

"I am against racism, and genocide but banning a Zionist professor is not the way. Agree to disagree is the principle of academic freedom. Both side have their cause. This is a good time not to just echoing ourselves. Cancel culture is a woke-ism thing and a disease."

Pada pagi 27/04/24, saya bersembang dengan seorang profesor sejarah dari University California Riverside di dalam kereta. Kami ada program bersama. Beliau telah membuka cerita berkenaan dengan professor pro-kolonialisme ini. Dia cakap terus terang sahaja "the guy is an idiot". Sedikit pun dia tidak mempertahankan professor pro-kolonialisme tersebut. "Intelektual" bodoh tempatan yang membosankan sahaja yang beria-ria dan terkinja-kinja untuk mempertahankan geng zionis pro-kolonialisme ini atas kebebasan idea.

Bagi saya, kalau ada seorang "intelektual" yang mengatakan pembunuhan 30,000 kanak-kanak "is up to debate" dalam suasana "freedom of idea". Saya tak rasa dia ada setitik zarah pun dari sudut moral untuk digelar "intelektual". Memalukan sahaja bersembang tentang ilmu mandiri dan kebebasan jika masih mempertahankan kolonialisme, kalau dia cerdik sedikit, dia akan sedar bahawa kolonialisme itu sendiri bercanggah dengan kebebasan.

Rabu, 17 April 2024

Mengenang Haji Mohamed Noh bin Jaafar

 

Gambar Haji Mohamed Noh bin Jaafar ketika beliau masih muda. Di-scan dari album simpanan keluarga. (undated)

27 Mac 2024 merupakan hari Khamis biasa sahaja, sebahagian dari Khamis di bulan Ramadhan. Saya memang bercadang untuk balik ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya. Pagi itu ibu mengkhabarkan bahawa atuk sudah kembali ke pangkuan ilahi. Pada mulanya saya menjangka jenazah akan di bawa pulang ke Bagan Datuk, jadi saya pulang agak lambat. Saya hanya bergegas apabila dimaklumkan atuk akan dikebumikan di Kuala Lumpur. Walaupun kalut, mujur saya sempat tiba dari Sungai Petani, Kedah ke Masjid Ar-Rahimah, Gombak sebelum solat Asar dan sempat menyertai sembahyang jenazah sebagai penghormatan terakhir kepada atuk.

Menurut Wo (nenek saya), atuk merupakan orang Banjar generasi ke-3 di Bagan Datuk. Atuk tidak biasa melakukan kerja-kerja berat seperti terlibat dalam sektor perladangan kelapa yang terkenal di Bagan Datuk. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk berniaga. Beliau pernah membuka kedai runcit di rumahnya di Kampung Parit Tengah. Atuk juga merupakan seorang yang meminati fotografi, antara kerja seninya adalah mengambil gambar ibu ketika kecil dalam satu gambar, kelihatan seperti ada dua budak perempuan dalam gambar, tetapi sebenarnya budak tersebut adalah budak yang sama (ibu saya ketika kecil). Ibu juga menceritakan dahulu di rumah mereka ada bilik gelap, di mana atuk selalu mencuci gambar-gambar yang ditangkapnya.

Atuk juga merupakan seorang yang beragama dan menjadi imam di surau berdekatan dengan rumahnya. Apabila tiba hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, apabila usianya sudah sedikit lanjut, dia akan menyuruh anak-anaknya membacakan khutbah raya menggantikaannya. Antara yang pernah membaca khutbah raya ini adalah pakcik saya Pakteh dan arwah Oncu Mun. Kemudian, tanggungjawab ini diberi kepada cucu-cucunya iaitu kami adik-beradik. Kerana kami bersekolah di sekolah agama. Perkara ini menjadi bualan setiap kali hari raya oleh saudara-mara dan orang-orang kampung, tentang anak Norizan yang membaca khutbah. Biasanya teks khutbah akan diberikan kepada kami oleh arwah Atuk Ho (nama sebenar beliau adalah Sahar bin Sidin, beliau adalah adik kepada Wo, beliau meninggal dunia pada 23 Januari 2022). Selepas khutbah hari raya, biasanya ada jamuan makan yang disediakan di dalam dulang di Surau Kampung Parit Tengah.

Atuk Ho (Sahar bin Sidin) memeluk saya semasa majlis perkahwinan saya pada tahun 2014.

Seingat saya, arwah atuk juga seorang yang pandai berbahasa Arab. Kerana saya bersekolah di sekolah agama sejak sekolah rendah. Apabila pulang ke kampung, atuk akan bertanya-tanya kepada saya soalan dalam bahasa Arab. Jika saya tidak tahu apa yang beliau sebutkan, maka dia akan menerangkan kepada saya maksud perkataan tersebut. Atuk juga seingat saya rajin bertukang. Sebahagian dari rumah di kampung itu dibuatnya sendiri. Dahulu seingat saya di tepi rumah itu ada semacam satu bangsal yang dibina oleh atuk setinggi dua tingkat. Saya selalu memanjat bangsal tersebut kerana di tingkat atas bangsal tersebut ada buku-buku dan majalah lama yang saya biasa selak-selak apabila balik ke kampung.

Saya tidak sempat melihat kedai runcit atuk. Zaman kanak-kanak saya, apa yang saya ingat adalah atuk dan Wo berniaga makanan di gerai mereka di Bagan Datuk. Di kedai ini, atuk biasa bertugas sebagai pembancuh air. Kadang-kadang kalau pulang ke kampung, segan juga saya mahu order air, sebab atuk yang akan membancuhnya. Patut saya yang pergi bancuh air sendiri. Apabila cuti sekolah yang agak lama, kadang-kadang ibu dan ayah akan menghantar saya pulang ke kampung. Saya masih ingat pada ketika itu naik bas lompat-lompat. Dari Kuala Lumpur ke Medan Gopeng, Ipoh. Kemudian naik bas lain, bas ini akan melalui kawasan estet-estet, dan saya akan turun di Masjid Selekoh Bagan Datuk. Di situ saya akan menunggu Wo datang mengambil saya. Duduk di kampung saya melihat bagaimana Wo akan bangun awal pagi seawal jam 4 pagi untuk masak nasi lemak. Nasi lemak ini, bersama sambal, dan lauk kemudian dimasukkan ke dalam kereta Perodua Kancil untuk dibawa ke gerai, Wo dan atuk akan ke gerai mereka di Pekan Bagan Datuk sebelum subuh. Gerai ini terletak di belakang pejabat Jabatan Laut Wilayah Utara, Bagan Datuk, namun semasa saya kecil, pejabat ini belum ada. Hari ini gerai ini diambil alih oleh pakcik saya, nama gerainya adalah Wanwaina Corner.

Kubur Mohamed Noh bin Jaafar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, kubur bernombor 2423

Begitulah sedikit sebanyak memori yang saya ada perihal arwah atuk. Seminggu sebelum atuk meninggal dunia, saya sempat menziarahinya di Bagan Datuk, pada ketika itu atuk sudah pun lemah di usia 91 tahun. Atuk meninggal di rumah ibu di Gombak dan dikebumikan di tanah perkuburan yang sama dengan arwah ayah saya, iaitu di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, kubur bernombor 2423.

Al-Fatihah buat Arwah Atuk. Allahummaghfirlahu warhamhu.

Dalam ingatan.
Mohamed Noh bin Jaafar
(04 Januari 1933 - 27 Mac 2024)

Ahad, 14 April 2024

Intelektual Bodoh Yang Membosankan

 

Pada 10 April 2024, Israel telah membunuh tiga anak pemimpin politik Gaza, iaitu Ismail Haniyeh bersama beberapa orang cucunya. Tiba-tiba muncul seorang bodoh yang perasan dirinya intelektual mempersoalkan bagaimana Haniyeh mengaku dirinya pejuang tetapi tinggal di luar negara. Orang bodoh ini turut mempersoalkan kenapa anak saudara Haniyeh mendapat rawatan di Israel. Bayangkan tiga orang anak anda dibunuh, kemudian datang seorang yang bukan mahu membela keadilan, bukan datang untuk menggesa pembunuh di bawa ke muka pengadilan, sebaliknya mempersoalkan kenapa anda duduk di luar negara.

Saya memang cukup menyampah dengan orang bodoh ini, lagi-lagi yang mengaku intelektual. Ini adalah antara perilaku yang akan saya kritik dalam buku saya seterusnya. Intelektual bodoh yang berbicara pasal falsafah bodoh, mereka kemudian mengkritik perjuangan orang lain yang mana mereka berjuang dengan menyerahkan segala jiwa dan raga mereka. Orang yang mereka kritik itu berjuang dengan darah dan nyawa, sedang intelektual bodoh yang mengkritik mereka hanya goyang kaki membaca buku sambil menghisap curut.

Intelektual bodoh ini duduk bersenang lenang di tempat yang selamat tetapi ada hati hendak berbicara pasal falsafah perjuangan. Orang yang percaya pada intelektual bodoh seperti ini sebenarnya membodohkan diri. Bukan mengintelektualkan diri. Kononnya membaca buku menjadikan mereka suci dan tinggi, dan boleh meremehkan perjuangan satu bangsa lain yang dijajah.

Apa dalam perjuangan semua orang perlu duduk di satu tempat dan mati beramai-ramai? Tidak perlu adanya ruang diplomatik? Begitulah intelektual bodoh dengan falsafah bodoh mereka. Mereka tak pernah berjuang, hanya membaca buku sambil menghisap curut, tidak faham akan strategi perjuangan, tetapi ada hati mahu bicara tentang falsafah kebebasan. Ia hanya kepalsuan yang membosankan. Anak saudara terima rawatan pun dijadikan isu? Adakah semua pejuang perlu mengambil tahu di mana anak saudara mereka mendapat rawatan?

Alangkah bodohnya si bodoh yang mengaku intelektual.

Khamis, 4 April 2024

Timbunan Draf-Draf Penulisan Terbengkalai


Hampir setiap hari, apabila saya membaca-baca berita yang keluar, tiada satu pun yang benar-benar menunjukkan bahawa dunia ini sedang menuju kepada masa depan yang optimistik dan lebih baik. Sepertinya dunia ini menuju zaman kegilaan, Raja Ahmad Aminullah menulis bahawa zaman ini adalah "Zaman Edan".  Sebab itu saya selalu merasakan pada masa kini, elok saya berundur ke alam pembacaan dan penulisan. Sekurang-kurangnya alam penulisan lebih "make sense" dari apa yang berlaku dalam realiti dunia hari ini.

Apabila saya mula menyambung pengajian, saya sedar banyak benda-benda yang menarik untuk diteroka dan diketahui. Untuk difikir dan ditulis. Walaupun ia mengayakan pemikiran, saya juga kadang-kala merasakan ia mengambil banyak masa saya untuk menulis hal-hal lain, kerana banyak masa diluangkan menulis perihal hal-hal akademik. Hal akademik seronok sebenarnya untuk ditulis, tetapi ia tidak mempunyai ruang yang besar untuk refleksi berbanding penulisan esei yang lebih bebas.

Saya juga merasakan, kadang kala orang yang membaca penulisan kita, mereka melihat buku-buku yang kita tulis dan terbitkan, dan merasakan bahawa seorang itu banyak "kejayaan". Tetapi apa yang pembaca tidak nampak adalah sebenarnya lebih banyak lagi buku-buku yang tergendala, yang sudah ditulis bertahun-tahun tetapi terbengkalai, penulisan yang ditulis separuh dan tidak diteruskan, dan seribu satu penulisan yang tersimpan di dalam fail draf. Sebenarnya apa yang diterbitkan itu permukaan sahaja, disebaliknya sebenarnya banyak lagi buku-buku yang tidak berjaya.

Penulisan ini bukanlah satu penulisan terarah. Sekadar mahu mencoret sedikit anekdot perihal beberapa fikir yang datang ke minda.

Ahad, 17 Mac 2024

Koleksi Fikir: Ramadhan Bulan Membaca & Jurnal Akademik

 


"KPT tubuh jawatankuasa bagi memastikan penerbitan jurnal akademik berkualiti dan berkredibiliti"
- 13 Mac 2024.

Pada pandangan marhaen saya, aspek yang lebih penting adalah aksesibiliti dan visibiliti. Buat apa banyak-banyak jurnal tetapi ia tidak dibaca dan dimanfaatkan. Sebaiknya jurnal yang dihasilkan itu dimudahkan aksesnya, digalakkan penggunaannya secara akademik oleh pelajar. Diwacanakan, dibincangkan dan diperhalusi. Mungkin boleh tukar KPI dari hasilkan banyak-banyak jurnal kepada banyakkan perbincangan dan penerangan perihal subjek yang sudah dihasilkan dalam jurnal. Tak perlu konferens-konferens yang gah di hotel, jika dibincangkan dalan grup yang lebih kecil, difahami, dan dikembangkan, itu lebih baik dari konferens yang gah yang tidak dimanfaatkan oleh sesiapa. 

Bulan Ramadhan Bulan Membaca

Pada pandangan saya, bulan Ramadhan adalah bulan membaca, bacaan pertama wajiblah Al-Qur'an. Kemudian buku-buku yang bermanfaat. Saya kira-kira, saya ada sekitar 5 buah buku yang saya sedang baca dan tergendala. Namun sempena Ramadhan, saya memulakan bacaan baharu, iaitu buku bertajuk Nurturing Eeman in Children tulisan Dr. Aisha Hamdan. Moga-moga sempat habis sebelum syawal. Salam Ramadhan diucapkan kepada semua.


Menambah Sebuah Bibliografi: Resistance Sudah Berbunga


Tahun ini saya diberi rezeki oleh Allah untuk menambah satu lagi bibliografi, iaitu sebuah buku yang bertajuk Resistance Sudah Berbunga. Buku ini sebenarnya tidak ada dalam draf asal rancangan penulisan, namun melihat kepada situasi perang yang menyedihkan di Gaza pada ketika ini, saya merasakan tidak menulis satu buku khas perihal tajuk ini merupakan satu pengkhianatan buat mereka di sana. 

Buku ini saya dedikasikan buat anak-anak di Gaza. Buku ini sebenarnya antara buku yang sukar ditulis oleh saya, pertama kerana ia membangkitkan emosi saya yang sangat kuat. Kedua, kerana keadaan yang begitu menyedihkan di sana membuatkan saya merasakan begitu sedih. 

Selepas perang baru yang meletus, saya dilanda serangan panik, hampir setiap hari, dan selama setiap hari, saya akan membaca berita dan berharap agar pejuang kemerdekaan di sana mendapat kemenangan. Compulsion saya membaca berita-berita ini diikuti dengan compulsion saya untuk menulis analisis suasana ketenteraan di sana bagi meredakan kerisauan hati saya. 

Penulisan selama seratus hari lebih ini akhirnya melahirkan buku ini. Buku ini juga satu usaha yang sukar kerana ia ditulis semasa saya sedang bergelut dengan peperiksaan semester pertama dalam pengajian sarjana sejarah saya di Universiti Sains Malaysia. Syukur projek ini akhirnya berjaya siap. Maka bolehlah saya menyambut Ramadhan mubarak dengan hati yang lebih tenang. Compulsion saya membaca berita sebenarnya masih belum surut kerana situasi di sana yang masih genting, namun compulsion menulis saya sedikit sebanyak telah terubat. Semoga naskah ini dapat menjadi sebahagian dari bibliografi yang membantu memerdekakan Palestin.

Menziarahi Atuk Yang Sekarang Berumur 91 Tahun

Gambar atuk (Mohamad Noh bin Jafar) menunaikan haji/umrah pada tahun 1994.

Beberapa hari lepas saya dimaklumkan ibu bahawa atuk kini sudah tidak mampu bangun dan terlantar di atas katil. Doktor yang datang ke rumah memaklumkan bahawa jantungnya sudah membengkak dan injap jantungnya sudah rosak. Atuk juga mengalami strok menyebabkan dia sukar menelan makanan. Jadi saya mengambil keputusan untuk pulang ke Bagan Datuk, Perak pada hari Sabtu, 17 Mac 2024. Perjalanan ke kampung memang mengasyikkan, saya merasakan long drive plus good music is gold. Ia juga mengasyikkan kerana nostalgik. Melihat permandangan yang sudah banyak berubah, sejak saya pulang ke kampung masa kecil-kecil dahulu. Walaupun banyak yang berubah, sisa-sisa ladang kelapa masih banyak dikampung, walaupun sebahagian besar sudah berubah menjadi ladang kelapa sawit. Dahulu Bagan Datuk terkenal dengan tanaman kelapa dan koko.

Perjalanan kali ini juga sangat singkat, sekitar dua jam setengah sahaja. Kerana lebuh raya West Cost Expressway (WCE) di Changkat Jering sudah siap. Oleh itu, tidak perlu lagi melalui jalan kampung bengkang-bengkok ke Beruas. Dari Changkat Jering, boleh terus melalui lebuhraya hingga ke jambatan Bagan Datuk. Jambatan ini juga baru sahaja siap, dengan jambatan ini, tidak perlu lagi berpusing jauh melalui Simpang Empat Hutan Melintang. Perjalanan yang sebelum ini memakan hampir 5-6 jam dari Sungai Petani, kini hanya memakan masa kurang 3 jam. WCE juga memberikan diskaun sempena pembukaannya, diskaun selama 2 bulan.

Saya bersama ibu menemani Atuk dan Wo untuk menghantar mereka menunaikan haji/umrah pada tahun 1994.

Ketika sampai di rumah Wo (nenek dalam bahasa orang Banjar disebut sebagai Wo), hanya ada Wo dan Atuk, ibu pada ketika itu keluar. Sempatlah juga saya bersembang seketika bersama Wo perihal keadaan atuk. Atuk lahir pada tahun 1933, oleh itu kini umurnya mencecah 91 tahun. Atuk kelihatan kurus dan lemah, bernafas juga perlu menggunakan mulut. Hari itu semua adik-beradik ibu pulang ke kampung. Pak Ngah, Pak Uda, Pak Teh, Pak Anjang, Makcik Mam, dan juga Makcik Na, bersama dengan keluarga mereka. Terasa meriah seketika macam zaman dulu-dulu apabila semua ada. Pada hari Ahad, hasil perbincangan, Atuk dan Wo akan duduk di rumah ibu di Gombak kerana lebih mudah menjaga atuk di sana. Juga kelengkapan seperti katil pesakit dan perkhidmatan jururawat juga lebih mudah didapatkan. Mungkin tahun ini, tempat berhari raya akan berubah ke Gombak. 

Sepertinya, satu lagi zaman bakal berakhir, dan akan bermula zaman baharu. Suasana-suasana lama semakin hari semakin pudar dengan tibanya realiti baharu. Saya sempat membelek album-album lama di kampung, beberapa keping gambar lama saya bawa pulang untuk didigitalkan. Gambar-gambar ini mungkin yang akan tinggal selepas ini. Yang mungkin akan tinggal selepas ini, hanyalah nostalgia dan memori.