Sabtu, 23 Februari 2019

Ekonomi bukan hitam putih

Saya bukanlah seorang ahli ekonomi, di sekolah belajar aliran sains tak ambil subjek ekonomi. Kali pertama belajar ekonomi masa di universiti, seingat saya nama pensyarah saya adalah Radchenko semasa belajar di Russia. Dalam kelas beliau lah saya pertama kali dengar nama Adam Smith dan "the invisible hand".

Selepas keluar universiti saya ada beli buku The Wealth of Nations tulisan Adam Smith, dikumpulkan 3 jilid dalam satu naskah terbitan Bantam Books. Saya mengambil masa 8 bulan untuk menghabiskan buku setebal 1264 mukasurat ini. Ada bab yang mudah faham seperti "division of labour" manakala banyak yang saya sendiri tak dapat hadam, terutamanya bab yang terlalui detail dan memenatkan seperti harga jagung, nilai emas dan perak.

Tahun lepas ada satu subjek ekonomi yang saya ambil untuk ICS professional exam berkenaan dengan ekonomi pengangkutan laut dan perdagangan antarabangsa. Subjek ICS ni berjaya mencetus semula minat saya untuk membaca dan memahami subjek-subjek ekonomi.

Dalam pembacaan saya, saya dapati ekonomi bukanlah sesuatu yang hitam putih. Ia bukan sains seperti mana subjek Fizik atau Biologi, ada perkara dalam ekonomi yang tidak boleh diberikan definisi secara objektif. Ekonomis Cambridge, Ha-Joon Chang sebagai contoh mengatakan bahawa "95% dari subjek ekonomi adalah common sense".

Maksud bukan hitam putih adalah ia boleh dilihat dari banyak perspektif. Malah banyak polisi ekonomi sebenarnya adalah polisi politik. Saya suka pendekatan sejarawan Howard Zinn, pendekatan pensejarahan yang boleh diapplikasikan dalam bidang ekonomi. Iaitu bila dikatakan sesuatu polisi itu baik, kita perlu bertanya, baik untuk siapa?

Ambil contoh kelemahan nilai matawang berbanding US dollar. Dari sudut import memang tidak baik, sebab kita terpaksa membeli barang luar dengan harga yang lebih mahal. Jika kita melancong keluar negara, kita terpaksa berbelanja lebih dibandingkan dengan masa matawang kita mengukuh.

Tapi dari sudut eksport kelemahan matawang akan memberi kita kelebihan. Barang kita menjadi murah dan orang luar akan lebih membeli, eksport akan meningkat. Sebab itu China mengamalkan polisi yang menyebabkan nilai Yuan lemah secara artificial. Supaya barang mereka murah dan kilang mereka boleh eksport lebih. Yang mana merupakan punca trade war hari ini apabila US mengalami trade deficit dengan China.

Begitu juga bila sebelum ini kerajaan melaksanakan polisi protectionism dalam perusahaan automobil. Jika kita lihat dari sudut syarikat automobil negara, supplier dan vendor, mereka ia memang menguntungkan. Kita juga dapat mengembangkan kemahiran pekerja dalam sektor pembuatan berat, disamping boleh menyemai semangat patriotik terhadap industri tempatan.

Tapi jika kita melihat dari sudut rakyat yang terpaksa membeli kereta tempatan yang lebih kurang kualiti dengan harga yang lebih tinggi berbanding kereta import, tentu kita nampak polisi ini menjerat rakyat. Jika sektor ini diliberalisasi rakyat akan dapat membeli kereta import berkualiti dengan harga berganda lebih murah.

Jadi bila kita mendengar ahli politik berkata membangunkan pengangkutan awam tidak menguntungkan. Kita kena bertanya, tidak menguntungkan siapa? Mungkin tidak menguntungkan kerajaan dari satu segi, iaitu syarikat berkaitan kerajaan perlu mengendali kemudahan awam dengan caj minimum dan tidak menguntungkan.

Tapi ekonomi bukan hitam putih. Apabila ada infrastuktur kemudahan awam pelbagai aktiviti komersial boleh dijalankan. Sebagai contoh, orang berniaga di stesen LRT. Ia mencipta peluang pekerjaan, kerajaan dapat mengutip lebih banyak cukai dari aktiviti ini. Pekerja juga boleh pergi bekerja dengan kos yang rendah, seterusnya menggalakkkan lebih ramai orang bekerja dan kerajaan boleh mengutip lebih banyak cukai pendapatan. Tanah-tanah di sekeliling stesen pengangkutan juga naik harga dan kerajaan boleh kutip lebih banyak cukai hartanah. Ekonomi perlu dilihat dengan menyeluruh, bukan sekadar hitam putih untung rugi syarikat GLC.

Oleh itu penting kita sebagai rakyat untuk memahami bagaimana ekonomi berfungsi dan tidak bergantung semata-mata pada air liur ahli politik. Bila disebut untung atau rugi, kita kena selalu bertanya, untung dan rugi untuk siapa?

Sabtu, 9 Februari 2019

Perdebatan politik yang sia-sia



Baru-baru ini seorang sahabat yang sangat rapat dengan saya berkongsi bahawa perdebatan politik adalah perkara yang sia-sia, ia tidak akan mengubah apa-apa, setiap orang akan terus bersama pendapat yang dia percayai, dan yang paling jelas, setiap orang akan membenci antara satu sama lain. Ada juga yang menambah bahawa mereka yang berdebat berkenaan dengan politik selalunya tidaklah berfikiran munasabah tetapi hanya mempertahankan ego masing-masing.

Di atas permukaan, saya kira secara umum pandangan ini ada benarnya. Namun jika kita cuba melihat dan memahami dengan dalam, walaupun ia benar, ia bukanlah kebenaran yang seluruhnya, its true but not the whole truth. Ia adalah salah satu conventional wisdom, dan jika kita membaca buku Freakonomics tulisan Dubner& Levitt, kebanyakan conventional wisdom tidaklah begitu tepat jika kita mengkaji dengan lebih mendalam, mendasar, dan melihat kepada argumennya yang fundamental. Ada satu quote yang menarik.

“The worst illiterate is the political illiterate, he doesn’t hear, doesn’t speak, nor participates in the political events. He doesn’t know the cost of life, the price of the bean, of the fish, of the flour, of the rent, of the shoes and of the medicine, all depends on political decisions. The political illiterate is so stupid that he is proud and swells his chest saying that he hates politics. The imbecile doesn’t know that, from his political ignorance is born the prostitute, the abandoned child, and the worst thieves of all, the bad politician, corrupted and flunky of the national and multinational companies.”

Quote ini sering dinisbahkan kepada karyawan German, Bertolt Brecht. Namun pemilik quote ini merupakan sesuatu yang disputed, ada yang menyatakan ia bukanlah dari Brecht. Tapi yang lebih penting dalam hal ini adalah mesej bukan messenger. Dalam kata lain, kita boleh berpura-pura untuk tidak ambil tahu hal-hal politik, tetapi akhirnya kehidupan kita akan ditentukan oleh keputusan-keputusan ahli politik.

Sebab itu hatta dalam Islam, politik tidak dipisahkan dalam hidup, malah Islam merangkumi semua aspek dari individu kepada negara, dari keluarga kepada masyarakat, sosial sehingga ke perundangan, tidak dipisah-pisahkan seperti ajaran secular. Namun politik yang dimaksudkan bukanlah politik kepartian yang sempit.

Antara artis kegemaran saya adalah Gavin Aung Than, yang berkarya menggunakan nama pena Zen Pencils. Beliau sering melukis berkenaan dengan individu-individu yang memberi motivasi. Dalam satu karya strip komik beliau, beliau melukis berkenaan dengan bagaimana Pablo Picasso menghasilkan masterpiece beliau ‘The Guernica’. Picasso bertanya “Apakah sebenarnya seorang artis itu?” Adakah dia hanya seorang yang mahir melihat jika dia pelukis, atau seorang yang mahir mendengar jika dia pemuzik. Tidak, artis juga adalah “political being” yang patut memberi respon, melawan dengan karyanya. Guernica adalah karya Picasso sebagai ekspresi beliau menentang pengeboman bandar Guernica oleh tentera Nazi German yang mengorbankan 1600 nyawa.

Jadi, ya, politik itu tidak kurang pentingnya dalam kehidupan. Tapi perlukah kita berdebat?

Saya suka jawapan Professor Bernard Lewis dalam “The MESA debate: The Scholars, the Media, and the Middle East” yang diadakan pada 22 November 1986, yang mana antara tokoh lain yang berkongsi pentas pada acara debat itu adalah Prof. Edward Said. Beliau menyebut “Nothing we say or do will have the slightest effect, we can change nothing, we can’t even change each other opinion”. Beliau menambah “what we can and should discuss is ourselves, our own role and duty, our duty is to communicate what we understand to others”.

Mungkin betul, sesetengah orang berdebat kerana mereka egois, tetapi ada juga kemungkinan bahawa ada yang ingin mencari kepastian, mereka mahu menguji idea mereka, jadi diletakkan idea itu ditengah masyarakat untuk dinilai hujah lawan dan kawan. Melalui proses kritikan, sesuatu idea, fakta, atau perspektif itu boleh dinilai. Sudah tentu nilaian manusia berbeza-beza, setiap manusia mempunyai latar pendidikan berbeza, ada yang belajar untuk mendapatkan sijil, ada yang membeli sijil. Setelah kita mendapat hujahan balas, terpulang kepada kita untuk memilih apa yang kita mahu pegang mengikut faham masing-masing, dan paling kurang kita faham rasional orang yang mempunyai pandangan berbeza. Atau mungkin mereka memang egois.

Sabtu, 2 Februari 2019

Maka rindu pun datang mengusik



Air mata pun gugur
Mengenang tarbiyah yang pernah subur
Dalam diri yang dahulunya nakal
Di musolla ini kami menyalin bekal.

Aku pulang bukan sebagai dewasa
Tetapi anak remaja yang ingin mengulang masa
Merasai semula belaian jiwa
Dari murabbi yang kini sudah tiada.


Belasan tahun aku telah pergi
Membawa diri mencari erti
Hari ini anakmu pulang kembali
Berharap dapat mengulangi.


Namun aku sedar sungai sudah mengalir
Air yang hanyut tidak akan hadir
Tinggal kisah dan laman pusara
Menunggu anak-anak pulang semula.

Hari ini kita diberi peluang
Untuk bersama merindui yang telah hilang
Teman, rakan, dan cikgu
Semua disini di ketika dahulu.

Dan mungkin bila nanti
Kita kan bertemu lagi.


Wacana PLM 1-3 Februari 2019
MATRI, Perlis. #epiccomeback

Isnin, 10 Disember 2018

Mendemokrasikan intelektualisme


"Apabila berfikir menjadi suatu jenayah,
Hanya perlu mengambil tafsiran cendiakawan berjubah,

Ia suatu yang haram bagi awam,

Lalu keilmuan pun tenggelam karam.

Apabila mimpi digari,
Kemajuan apa yang boleh di cari,

Apabila idea dipenjara,

Bangsa mati penuh sengsara."

Puisi ini boleh di dapati di kulit belakang buku saya, namun tulisan ini bukanlah untuk tujuan promosi buku. Sekiranya anda sedang mencari bahan bacaan, saya cadangkan anda mencari buku-buku tulisan Chomsky. Sekadar mahu menjelaskan tulisan yang bersembunyi disebalik ayat abstrak.
Jika kita membaca discourse berkenaan social justice kita sering akan berjumpa dengan terma "class society", yang membawa maksud wujudnya sekumpulan elit yang berkuasa menentukan bagaimana manusia biasa lain hidup - rakyat kebanyakan. Kelas elit mempunyai kuasa ekonomi, politik, taraf sosial yang lebih tinggi, mereka menentukan polisi. Classical proletariat vs bourgeoisie.

Dalam kehidupan seharian kita juga, sama ada kita sedar atau tidak, kita mempunyai kelas elit intelektual. Yang menentukan bagaimana manusia lain berfikir. Mereka sering dipanggil expert, mempunyai autoriti untuk memberi definisi, dimana definisi berlawanan adalah salah, tidak tepat, kolot, anti-moden dan lain-lain.

Mungkin kalau dalam studi berkenaan orientalisme kita bercakap bagaimana kita memahami kebudayaan timur mengikut definisi dan analisa barat, begitu jugalah kita, sentiasa memerlukan kelas intelektual untuk memberi kita definisi berkenaan dengan aturan sosial, tatacara politik, susunan ekonomi dan lain-lain. Mereka meletakkan pagar sempadan pemikiran.

Saya teringat kata-kata ahli ekonomi di Cambridge, Ha-Joon Chang dalam syarahan beliau, beliau menyebut "95% of economics is common sense".

Kelas intelektual yang saya maksudkan bukanlah spesifik kepada ahli akademik atau agamawan, tetapi terbuka kepada mana-mana persona yang menutup ruang fikir, termasuk saya sendiri. Persepsi minda yang saya ingin bawakan adalah bukan untuk menolak golongan intelektual, tapi berani berfikir meskipun berlawanan dengan autoriti. Kerana sering kali kita menerima kesimpulan kerana kita tidak faham hujahan, kita terima dan berkata "dia betul, aku yang terlalu bodoh untuk faham".

Sebaliknya apa yang saya ingin bawa adalah kita mendengar hujahan baik dari orang yang bergelar intelektual atau tidak, dan berfikir sendiri kebenarannya, adakah ia masuk akal atau tidak. Bukan percaya buta orang dengan semua yang diberikan kepada kita hanya kerana dia mempunyai tag intelektual. Akal itu bukan milik eksklusif mana-mana kelas, ia adalah anugerah buat semua.

Untuk membina bangsa yang berjaya, ilmu tidak boleh bersifat eksklusif.




Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331)



Sekiranya anda menerbitkan buku di Malaysia, anda boleh mendapatkan International Standard Book Numbering (ISBN) secara percuma. Antara syarat yang perlu dipenuhi apabila mendapat ISBN adalah menyerahkan 5 naskah buku ke Pusat Penyerahan Terbitan Negara di Perpustakaan Negara Malaysia. Serahan ini adalah wajib melalui Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331).

Akta ini mewajibkan penerbit menyerahkan bahan yang diterbitkan dalam negara kepada Perpustakaan Negara Malaysia melalui Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Bahan-bahan yang diterima ini dijadikan sebagai koleksi negara yang dapat mencerminkan warisan intelek, kesusasteraan, kebudayaan serta ilmu dan kebijaksanaan manusia yang terkumpul. Konsep penyerahan secara undang-undang telah diamalkan sejak dahulu lagi melalui Straits Settlements Book Ordinance 1886, FMS Book Enactment (F.M.S Cap 90) 1916, Preservation of Books Ordinance 1950 dan Akta Pemeliharaan Buku 1966.

Akta ini bertujuan:
1. Menyediakan bagi pemuliharaan dan penggunaan bahan perpustakaan yang diterbitkan di Malaysia.
2. Mewujudkan rekod bibliografi yang standard bagi bahan yang diterbitkan di Malaysia.
3. Menyelenggara rekod-rekod statistik bahan perpustakaan yang diterbitkan di Malaysia.


Bahan yang diterima dibawah Akta 331 ini akan disimpan di:
1. 1 naskah disimpan sebagai koleksi negara.
2. 2 naskah untuk Pusat Rujukan Malaysiana.
3. 2 naskah disimpan di dua pusat penyimpanan luar sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku bencana.


Saya difahamkan oleh pustakawan, bahan yang disimpan ini hanya boleh dibaca dan tidak boleh dipinjam.

Semoga kita menjadi bangsa membaca!


Catatan Baitul Muslim 17: Pendidikan kebahagiaan



Sekitar Disember 2018 saya berpeluang menziarahi sebuah madrasah di kaki gunung di Pahang yang diusahakan oleh jemaah tabligh. Madrasah ini jauh dari hiruk pikuk kemodenan. Pelajar tidak dibenarkan membawa talifon bimbit. Komik dan novel jika dijumpai akan dibakar. Wang saku pun tidak boleh dibawa!

Melihat anak-anak riang di sini saya teringat sebuah dialog dalam komik yang dilukis Nick Seluk:

Brain: If you can choose to be one person in this world, who would it be?
Heart: I want to be that squirrel.
Brain: You could choose to be Picasso, Einstein, Mandela, instead you choose to be a squirrel?
Heart: That squirrel seems genuinely happy.

Mungkin bagi sesetengah orang anak-anak perlu cepat menghabiskan silibus, perlu cemerlang akademik agar dapat masuk ke pasaran kerja berteknologi tinggi. Akhirnya yang lahir adalah robot yang berfungsi menghasilkan produk bagi memenuhi kehendak industri.

Kehendak industri tidak semestinya selari dengan naluri kehendak manusia. Sebab itu kita baca ada orang yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya hebat, akhirnya jatuh ke alam depresi. Hidup tidak ada tujuan dan matlamat. Akhirnya mereka sedar dunia material objektif tidak dapat memberi kebahagiaan yang subjektif.

Anak-anak ini hidup 100 peratus di dunia sebenar, mereka tiada kehidupan virtual dan digital. Mereka berkawan dengan manusia sebenar, mereka bersembang dan mendengar kata-kata, berkomunikasi dengan intonasi dan suara. Mereka mempunyai karakter dan kemahiran sosial. Dapat berinteraksi dan memahami emosi.

Saya tertarik membaca bagaimana para ahli teknologi di Silicon Valley sendiri pon menghantar anak-anak mereka di sekolah di desa yang masih menggunakan sistem analog, papan hitam dan kapur. Kerana algoritma mempunyai limitasi, mereka mungkin boleh menghasilkan robot yang sempurna, tapi bukan manusia yang sempurna.

Akhir sekali, semua manusia akan cuba mencari bahagia.


Ahad, 2 Disember 2018

Peranan hakim sebagai pentafsir undang-undang



Lazimnya fahaman kita terhadap perundangan adalah sesuatu yang tetap, konsisten, dan rigid. Hal ini sangat berbeza apabila kita membaca buku perundangan, ada banyak area dalam perundangan terdedah pada tafsiran, boleh berubah apabila falsafah perundangan berubah. Bahkan kes yang sama dengan fakta yang sama di lower court boleh diketepikan keputusannya oleh higher court.

Kita akan jumpa dalam buku undang-undang ayat seperti 'the law is not static and is not as simple as set of rules'. Juga ayat seperti 'there is nothing black and white about the law'.

Antara contoh yang menarik, dalam industri perkapalan sebagai contoh kes Riverstone Meat Co v Lancashire Shipping Co (The Muncaster Castle) [1961] Lloyd's Rep 57 yang dibawa kepada House of Lords.

Dalam kes in Riverstone menghantar ox tongue menggunakan khidmat Lancashire dengan kapal yang bernama 'Muncaster Castle'. Sebelum pelayaran kapal tersebut telah menjalani survey dan disahkan seaworthy oleh reputable organisation. Namun salah satu valve tidak ditutup dengan kemas oleh fitter. Menyebabkan cargo rosak dalam perjalanan apabila hold dimasuki air.

Artikel 3 (1) dalam Hague-Visby Rules antara lain menetapkan bahawa 'the carrier shall exercise due diligence to make the ship seaworthy'. Defendan dalam kes ini menyatakan mereka telah buat due diligence dengan melantik surveyor bertauliah untuk memastikan kapal dalam keadaan seaworthy.

Point pertikaian yang memerlukan penafsiran adalah apakah yang dimaksudkan oleh artikel 3(1)? Adakah ia bermaksud bahawa carrier hanya perlu membuat due diligence dengan delegate tugas kepada competent surveyor? Atau maksudnya carrier memberi warranty bahawa kapal adalah seaworthy selepas melakukan due diligence?

Penghakiman dalam kes ini oleh Lord Radcliffe mengetepikan keputusan yang diberikan oleh Court of Appeal oleh Mr. Justice McNair. Dimana diputuskan bahawa carrier tidak boleh melepaskan diri dari tanggungjawab memastikan kapal berada dalam keadaan seaworthy. Menurut tafsiran hakim dalam kes ini, tangungjawab ini tidak boleh di delegate kepada orang lain menurut artikel 3(1).


Kes ini adalah salah satu contoh dimana hakim mempunyai kuasa mentafsir undang-undang.

Judge Kavanaugh, seorang hakim konservatif kontroversi di Amerika Syarikat pernah menyebut: "My judicial philosophy is straight-forward: a judge must be independent and must interpret the law, not make the law”.


Oleh itu, kegusaran mana-mana individu atau segmen masyarakat terhadap latar belakang hakim yang dilantik adalah wajar, kerana banyak perkara dalam undang-undang yang terdedah pada tafsiran.

Rabu, 21 November 2018

Melawan naratif apologis Maszlee



Saya ingin mulakan penulisan ini dengan satu quote yang sehingga hari ini masih terngiang-ngiang di minda saya. Ia merupakan petikan dari novel ‘The Kite Runner’ yang ditulis oleh Khaled Hosseini, seorang doktor dari Afghanistan.

“There is only one sin, only one. And that is theft. Every other sin is a variation of theft. When you kill a man, you steal a life. You steal his wife's right to a husband, rob his children of a father. When you tell a lie, you steal someone's right to the truth. When you cheat, you steal the right to fairness, there is no act more wretched than stealing.”

Apologis Maszlee sering menggunakan ayat, “tengok banyak perubahan baik yang dibuat, kenapa asyik fokus pada kasut hitam”. Ya betul dari satu sudut seolah isu remeh yang diketengahkan, sedangkan banyak isu lain yang lebih mendesak dan penting. Tapi ini tidak menjawab punca permasalahan sebenar. Mengapa masih ramai yang tidak dapat menerima menteri ini walau “banyak” perubahan baik baru yang dibawa?

Kita sering mendengar bahawa sesuatu perkara perlulah dimulakan dengan baik. Dalam hal ini kita melihat bagaimana ahli politik menipu untuk mendapatkan undi. Walau apa pun kebaikan yang dibawa, dia akan sentiasa dihantui penipuannya. Penipuan seperti janji pemansuhan tol, penangguhan bayaran pinjaman pendidikan, perlu dibetulkan dahulu jika mahu mematahkan kritikan. Jika tidak, masih berdolak dalih, kritikan itu tetap valid, rakyat berhak membenci penipu, sehinggalah dia membetulkan penipuannya.

Bagi saya, pujian terhadap perkara yang baik tidak boleh memadamkan kritikan terhadap perkara yang tidak baik. Kerajaan dahulu pun ada juga kebaikan yang dilakukan, tetapi kenapa dahulu tidak puji sebaliknya fokus terhadap keburukan? Pendidikan membangkang seperti inilah yang membentuk pola bangkangan hari ini, cuma berubah wajah. Bila kena muka sendiri baru terasa panas?

Begitu juga dengan tulisan-tulisan satira, padahal dahulu dialah yang rajin menulis satira. Sehingga terpaksa memadam pantun “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi..”. Semasa zaman dia menulis satira, apologis ini tidak pula membawa dalil-dalil agama melarang satira. Apabila satira terkena muka sendiri dibawa dalil agama, bukankah itu namanya menunggang agama? Menggunakan agama untuk menutup penipuan sendiri.

Saya kira, ini adalah punca kebencian kebanyakan rakyat. Ahli akademik yang diharap membawa pembaharuan terhadap panorama politik baru, sebaliknya hampa ditipu sama seperti ahli-ahli politik lain. Selagi “barang yang dicuri” (janji kepada pengundi) ini tidak dipulangkan, selagi itu kebencian dan kritikan rakyat adalah adil.

Gambar hiasan (tiada kena mengena dengan penulisan, sekadar ulangkaji sejarah), ‘Haymarket Affair’ – dimana golongan pekerja melakukan protes menuntut sistem berkerja 8 jam sehari, sistem yang kita nikmati hari ini. Peristiwa yang juga merupakan asal usul sambutan hari pekerja.

Masalah pada sistem demokrasi



Hari ini saya berpeluang berdiskusi dengan seorang rakan berkenaan dengan Malaysia dan polisi yang ada. Walaupun kami berbeza pendapat, kami dapat berbincang dengan rasional. Saya mendengar pandangannya dan saya kemukakan pendapat saya. Kami akhirnya setuju untuk tidak bersetuju antara satu sama lain.

Antara yang kami bincangkan adalah masalah dalam sistem demokrasi. Ramai yang berpandangan demokrasi boleh membawa perubahan, saya pula berpandangan bahawa ia tidak boleh mendatangkan perubahan. Ia boleh mengubah kerajaan, tetapi bukan polisi.

Argumen untuk hujah ini adalah demokrasi berfungsi dengan kuasa majoriti. Ramai menyangka pemimpin politik sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat. Ini adalah salah faham utama. Ahli politik sentiasa mengutamakan kepentingan pengundi. Perbezaan ini perlu difahami. Tidak semua rakyat adalah pengundi. Orang gila sebagai contoh, tiada parti yang memperjuangkan hak orang gila. Mungkin orang gila adalah rakyat, tapi dia tidak ada voting power.

Sebab itu polisi berdasarkan ras pada pandangan saya akan terus kekal, at least for now. Kerana ia adalah concern besar buat majoriti yang mempunyai kuasa undi. Menamatkan polisi ini akan menyebabkan parti hilang undi majoriti. Sama ada polisi berdasarkan ras adalah baik atau tidak adalah beyond the scope of this writing. Mungkin boleh dikupas dalam penulisan lain kali.

Dalam konteks Malaysia, argumen kedua saya berkenaan dengan mengapa polisi ini akan terus kekal, adalah faktor demografi. Pertumbuhan kaum cina sebagai contoh, mengikut statistik, semakin menurun. Manakala orang melayu terus bertambah, orang Melayu Islam terus mempunyai keluarga besar walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar. Mungkin kerana anak dianggap rezeki bukan liabiliti ekonomi.

Argumen ketiga saya mengapa sistem berdasarkan ras ini akan kekal adalah pendidikan. Pendidikan berdasarkan ras, sekolah vernakular akan terus mengekalkan status quo. Masyarakat tidak akan berintegrasi. Ahli politik tidak akan berani mengubah sistem ini kerana mereka akan akan hilang undi.

Kawan saya bertanya bagaimana keadaan ini boleh diubah. Saya kata secara praktikalnya, kita harus berubah kepada sistem good dictatorship, dimana polisi boleh diubah tanpa pemimpin takut hilang kuasa dari pengundi. Dan perubahan boleh dilakukan dengan konsisten tanpa terganggu dengan perubahan polisi setiap kali pilihanraya. Namun masih ada risiko ia menjadi bad dictatorship.

Kita boleh duduk dimana-mana spekrum politik, kanan, kiri, atau centrist. Ia tetap tidak akan mengubah kenyataan bahawa sistem demokrasi ada masalah dan limitasi.

Ahad, 18 November 2018

Catatan Baitul Muslim 16: Bina keluarga dengan ilmu



Sekitar bulan November 2018 saya berkesempatan menghadiri Konvensyen Belia Relawan Haluan (KOBAR) Zon Utara 2018. Konvensyen yang berlangsung selama satu hari ini diisi dengan pelbagai topik menarik seperti cara menguruskan gajet dalam keluarga, kesukarelawanan, misi kemanusiaan, dan juga topik kekeluargaan.

Antara slot yang saya kira paling diingati adalah forum berkenaan dengan kekeluargaan yang bertajuk "Bercinta di dunia, bertemukah di syurga?". Pada mulanya persepsi saya adalah forum ini pastinya berkisar dengan percintaan klise yang penuh dengan ayat berbunga disulami kejiwangan. Ternyata persepsi saya salah. Forum ini dibarisi Puan Fatimah Azzahra Azmi, seorang peguam, dan Ustaz Ahmad Muhtad Yusoff, seorang pengetua sekolah. Forum tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Anas Mokhtar, seorang ustaz selebriti terkenal.

Pelbagai isu dikupas dengan real, seperti tanggungjawab suami isteri, kes-kes penceraian di Malaysia, juga teknik-teknik mengendalikan konflik dalam rumahtangga. Juga diselang selikan dengan kisah-kisah dari seerah yang sememangnya memberi satu perasaan keinsafan dan keinginan untuk memperbaiki rumah tangga. Saya tertarik dengan perkongsian yang diberikan oleh Ustaz Muhtad, dimana beliau menyebut:

"Suami apabila pulang ke rumah perlu menjadi seperti kanak-kanak, apabila keluar dari rumah dia perlu menjadi seorang lelaki yang sejati."

Beliau mengulas bahawa seorang suami yang juga merupakan seorang ayah perlulah meluangkan masa bermain bersama anak-anak, bukan melepaskan terus tanggungjawab bermain dengan anak-anak kepada isteri. Malah sebagai bapa seharusnya bermain dengan serius sehingga menjadi seperti 'kanak-kanak' dalam menghargai anak-anak. Bapa yang baik tidak kekok bermain bersama anak-anak malah anak-anak tidak kekok bermain dengan bapanya.

Saya kira perkara ini penting terutamanya kepada anak pertama pada ketika dia belum mempunyai adik. Ibubapalah yang perlu menjadi rakan sepermainan, dan bukan dilepaskan kepada talifon bimbit bagi mengisi masa bermain anak-anak. Bermain bersama anak-anak juga merupakan salah satu method awal mentarbiyah anak.

Dalam forum tersebut juga, panelis ada menyebut bahawa kita di Malaysia tidak disediakan pendidikan kekeluargaan. Kita tiada subjek yang memberi pendedahan berkenaan dengan tugas dan tanggungjawab suami atau isteri semasa PMR, PT3 atau SPM. Hatta di universiti sekalipun kita tidak mengikuti kursus pengurusan keluarga. Dengan generasi yang tidak dididik berkenaan soal mengurus keluarga, bagaimana kita hendak mengharap lahir institusi keluarga yang baik dan berfungsi? Dengan magik? Tentulah tidak.

Disini forum tersebut menyimpulkan bahawa pentingnya bakal suami, bakal isteri, bakal ibu, dan bakal ayah, menyiapkan diri dengan ilmu. Membaca buku, menghadiri kursus dan seminar, agar keluarga yang dibina adalah keluarga yang berfungsi dan didasari ilmu.    

Ahad, 4 November 2018

Memaknai Rumi: Siri 3


Free of who I was, free of presence, free of
dangerous fear,hope,
free of mountainous wanting. (21)

Saya sering berfikir alangkah indahnya jika saya boleh hilang dari kewujudan, tanpa ada rasa takut terhadap apa-apa, tiada perasaan sayang atau cinta. Atau lahir sebagai insan baru tanpa masa silam, hidup sebagai kertas putih yang belum dicemari sebarang dakwat, bebas melakar lukisan masa depan baru, mengarang kisah kehidupan baru tanpa sebarang keterikatan.

Manusia sering terperangkap dengan masa. Asyik dengan nostalgia memoria masa silam. Asyik dengan impian dan masa depan yang diidamkan. Sehingga dia lupa, dia hanya mempunyai masa kini, dia hidup di hari ini, jam ini, minit ini, detik ini. Masa silam dan masa depan merupakan dimensi yang mustahil dicapai manusia, ia hanya fragmen imaginasi dalam kisah sains fiksyen. Namun begitu sukar manusia keluar dalam perangkap masa ini, perangkap yang dicipta oleh minda mereka sendiri. Dia terpenjara mengejar dimensi yang mustahil untuk dimiliki, dalam masa yang sama mengabaikan satu-satunya peluang yang ada – masa kini, sekarang.

Hiduplah sekarang, nikmatilah saat ini, tinggalkan semalam dan esok.

Memaknai Rumi: Siri 2


But if the frog could be completely silent,
then the snake would go back to sleeping,
and the frog could reach the barley. (21)

Adakala dalam hidup berdiam diri merupakan satu yang menyelamatkan. Kata-kata seringkali digunakan sebagai senjata untuk meluka orang lain, ada ketika kata-kata memakan diri. Hari ini teknologi membenarkan kita berkata-kata tanpa bersua muka, tanpa sebarang bunyi kita boleh menyampaikan mesej dan makna. Kewujudan teknologi membolehkan seorang yang secara fizikal sosialnya pendiam, nampak seperti peramah di media sosial. Dan media sosial seolah menggambarkan manusia tidak pernah berhenti dari berbicara, bercerita. Bercerita berkenaan dengan semua perkara, mempunyai pasangan baru, anak baru, kasut baru, rumah baru, pekerjaan baru, semuanya diceritakan. Tiada yang tertinggal, makan di restoran mana, pergi melancong di mana, berjumpa siapa, segalanya didedahkan, ditaip dan di digitalkan dalam bentuk data. Tanpa sedar mereka akhirnya menjadi maklumat awam, bukan lagi insan yang unik dengan misteri dan teka-teki.

Selasa, 23 Oktober 2018

Memaknai Rumi: Siri 1



Close both eyes
To see with the other eye.
Why do you stay in prison 
When the door is so wide open? (3)

Kita sering melihat hidup dalam kaca mata material. Kita yakin dengan apa yang kita nampak, apa yang dapat dipandang, dipegang, dan dirasai. Namun hidup ini lebih misteri dari sekadar objek fizikal. Hidup kita dicorak dengan emosi dan perasaan, sesuatu yang tidak dapat dibuktikan secara emperikal. Oleh itu kadang kala ketika membuat keputusan, kita perlu menutup mata dan percaya pada perasaan. Biar sungai takdir yang membawa kita ke muara baru, muara yang kita sendiri tidak pernah tahu akan kewujudannya.

Kita sering memenjara diri sendiri, mengalah dengan keadaan. Kita bukan tumbuhan, kita punya kaki untuk melangkah ke perubahan. Tiada yang menghalang melainkan perasaan dan minda kita sendiri. Apabila minda kita bebas, kita tidak takut lagi melangkah keluar dari keadaan. Pergi jauh meninggalkan keburukan kepada masa depan yang lebih baik. Kunci pintu penjara ada ditangan kita. Jangan takut, tutuplah mata dan melangkah keluar. Ada alam baru yang hijau segar menanti ketibaanmu.

Jumaat, 12 Oktober 2018

Jiwa yang hilang



Bintang cerah itu masih belum muncul lagi
Aku bangun menyusur dalam gelap pagi
Aku tertanya kenapa satu bintang digelar mentari
Sedang berjuta lagi menghias menyinari

Pagi ini langkahku lelah
Entah kenapa jiwaku kesah
Seolah separuh ruhku telah mati
Ada sesuatu yang hilang dari hati

Aku cuba sedaya upaya mencari punca
Namun hampa berderai seperti kaca
Aku cuba juga untuk berkerja
Namun seharian jiwaku seperti didera

Ibarat helang yang bebas terbang
Aku berdoa agar aku hilang
Tiada jejak tiada perasaan
Tenang abadi bersama Tuhan.

Ahad, 7 Oktober 2018

Pagi yang gelap & puisi Rumi


I'm wide awake this morning. Selalunya dalam bas selalu tertidur. Tapi pagi ni tak dapat tidur, termenung melihat lampu sepanjang jalan dari Sg. Petani ke Butterworth. Tiba-tiba teringat musim sejuk di St. Petersburg, lampu- lampu sepanjang sungai Neva. How I miss the scenery. Rumi menulis bahawa manusia kebanyakannya mabuk dan tidak waras. Hanya sedikit sahaja yang sedar mengenai hakikat diri. Manusia yang dapat merasai kedalaman hakikat kehidupan, sedar mereka hidup. Rasa mereka hidup, tidak mabuk mengejar dunia. Mereka sedar mereka sedang hidup. Pagi ini aku tertanya pada diriku, adakah aku sedar atau mabuk?

The rain is falling, now I missed the snow and my blue jacket.