Isnin, 30 November 2020

Nota Dari Perkongsian di Al-Aqsa Book Review


Alhamdulillah, baru-baru ini diberi kesempatan untuk berganding dengan adinda tersayang, Syed Zulfaqar dalam slot perbincangan buku-buku Palestin di Al-Aqsa Book Review: Ulat atau Ulas? Ini adalah nota dari penyampaian saya, yang ditulis andai ada peserta yang mahu merujuk tentang bahan-bahan yang saya sentuh.

Apakah sebenarnya yang diperlukan untuk melayakkan seseorang membuat ulasan buku?

Bagi saya secara teknikalnya, ada dua syarat utama seseorang itu layak membuat ulasan buku. Syarat yang pertama adalah seseorang itu boleh membaca, jika dia pernah belajar membaca di tadika atau sekolah, maka, dia sudah memenuhi syarat ini. Yang kedua dia pandai menulis, menulis hari ini tidak memerlukan kita untuk pegang pen atau pensil, tetapi lebih kepada menaip, jadi jika sesorang itu boleh menaip dia sudah cukup syarat kedua.

Ulasan buku ini dia ada pelbagai jenis. Yang pertama kita tulis pandangan kita membaca buku tersebut, contohnya sesuatu buku itu mudah dibaca, atau buku tersebut terlalu berulang-ulang isinya, atau kita rasa buku itu membosankan, ini bagi saya level pertama ulasan buku. Yang kedua, kita tulis semula isi-isi utama sesuatu buku, ini lebih berbentuk diskriptif, kita faham isi penting buku, dan kita ulas semula menggunakan ayat dan gaya tulis kita. Yang ketiga adalah komparatif, yang ini mungkin level tinggi sedikit, kita bandingkan buku yang kita baca dengan idea atau pandangan penulis lain. Yang ke-empat adalah kritik buku, yang ini bukan sahaja kita ulas semula atau buat perbandingan, tapi kita kritik isinya, yang ini mungkin memerlukan sedikit ilmu perihal subjek yang kita nak kritik.

Pandangan perihal suasana membaca dikalangan masyarakat

Suasana membaca dalam masyarakat saya lihat positif, terutamanya anak-anak muda yang banyak membaca buku-buku yang dianggap berat satu ketika dahulu. Dahulu ada yang meramalkan bahawa buku fizikal akan mati diganti dengan e-book, namun nampaknya ramalan tersebut tidak benar.

Buku-buku tentang konflik Palestin yang pernah dibaca

Buku yang betul-betul berkenaan dengan Palestin yang pernah saya baca rasanya 4 buah. Yang pertama sekali adalah The Holocaust Industry tulisan sejarawan Yahudi, Norman G. Finkelstein yang saya baca pada tahun 2015, ia adalah jawapan Prof. Finkelstein untuk propaganda Israel yang mengaitkan orang Arab dengan Nazi sebagai justifikasi kepada dunia untuk menjajah Palestin. Kedua juga adalah pengarang yang sama, bertajuk Beyond Chutzpah (dibaca pada tahun 2017) dimana Prof. Finkelstein menjawab serangan Israel kepada pengkritiknya yang dilabel anti-semitism, beliau juga menjawab penipuan apologis Israel Alan Dershowitz, Finkelstein mengkritik buku Dershowitz, The Case for Israel sebagai “spectacular academic frauds ever published”. Tahun 2018, saya membaca buku The Ethnic Cleansing of Palestine yang juga ditulis oleh sejarawan Yahudi, namanya Ilan Pappe, beliau berhujah bahawa peristiwa 1948 bukan Nakba atau kemerdekaan Israel, tetapi merupakan satu jenayah perang terancang. Buku ni memang menyedihkan, dan saya memang menangis baca. Saya ada tulis sedikit berkenaan dengan buku ini dalam posting “Village Files”. Boleh baca perancangan Zionis untuk menghalau bangsa Palestin keluar. Walaupun mereka ini berbangsa Yahudi, mereka menentang Zionis, ini kena kita bezakan, bukan semua Yahudi adalah Zionis. Banyak persatuan Yahudi yang menentang Zionis, contohnya mazhab ortodoks seperti Neturei Karta, pergerakan Yahudi liberal seperti Jewish Voice for Peace, dan gerakan muda progresif seperti IfNotNow. Buku yang ke-4 adalah tulisan Ang Swee Chai bertajuk From Beirut to Jerusalem, yang ini pun sedih, setiap muka surat sebaldi air mata, Dr. Ang adalah seorang Kristian Zionis lahir di Pulau Pinang, warga Singapura dan menjadi pelarian dan surgeon di United Kingdom. Alhamdulillah pernah berkesempatan berjumpa beliau pada Februari 2020 secara peribadi semasa UN konferens di Kuala Lumpur dan bertukar-tukar buku. Beliau menjadi aktivis Palestin selepas menjadi doktor sukarela di kem pelarian Shabra & Shatilla, beliau merupakan antara saksi Sabra Shatila Massacre dan testify dalam Kahan Comission di Israel. Buku lain perihal Palestin seperti Power & Terror oleh Noam Chomsky, yang mengkritik bantuan Amerika terhadap jenayah perang Israel.

Panduan pemilihan buku dan cara menikmati pembacaan

Panduan yang paling mudah memilih buku adalah baca ulasan perihal buku oleh orang lain. Goodreads contohnya ada review section, kita boleh baca dua-dua side, ulasan yang memuji dan ulasan yang mengeji. Tapi jangan 100% percaya review sebab setiap orang berbeza kefahaman, perasaan, kesukaan dan lain-lain. Untuk merasai nikmat baca buku jangan speedreading, bagi saya speedreading antara kaedah yang saya paling tak suka. Saya suka baca perlahan-lahan, tanda idea yang menarik, tuliskan sedikit nota bacaan, kongsi review, itu cara saya nikmati bacaan.

Apa yang ingin dicari dalam sesebuah ulasan buku?

Ada dua perkara biasa saya nak tengok dalam reviu buku, pertama apa idea-idea asas buku itu ataupun yang dikatakan tema utama, yang kedua pandangan pembaca perihal buku tersebut.

Pandangan perihal buku tempatan

Secara jujur saya tak meragui kebolehan penulis tempatan, walaupun baru-baru ini timbul isu buku copy paste menang anugerah buku di Malaysia, saya lebih gemar buku-buku yang ada unsur pengalaman peribadi contohnya memoir insiden serangan ke atas kapal Mavi Marmara, tapi secara jujur saya belum pernah membacanya. Mungkin ia diterbitkan sendiri atau penerbit kecil yang pasarannya tidak besar jadi tidak sampai kepada saya. Namun jika ada cara saya akan cuba mendapatkannya. Buku-buku mengenai sejarah Yahudi tempatan saya tak berapa minat, terutamanya yang bercampur antara fakta dan konspirasi. Secara jujur saya belum pernah baca buku tempatan perihal persoalan Palestin. Mungkin saya lebih minat baca hujahan scholar luar kerana saya rasa isu ini isu global, dan bila kita berdebat perihalnya kita kena mahir dalam argumen international, banyak fakta konspirasi tak boleh guna bila kita argue dengan orang luar.

Kualiti buku sama ada recomended atau tidak bagi saya, saya kena baca dahulu, baru saya boleh bari tahu dengan yakin sama ada ia bagus atau tidak. Tetapi rujuk review juga salah satu cara kita nak tahu buku tersebut bagus atau tidak, sebab itu penting kita tulis review.

Saya faham, kadangkala kita tak nak bazirkan masa untuk baca buku yang tak bagus, sebab itu kita perlu pandangan orang lain, reviu sebagai contoh. Tapi sebenarnya membaca buku yang tak baik atau yang tak bagus itu juga sebenarnya baik, dari situ kita belajar dari pengalaman, kita ada pengalaman baca buku yang tak menarik, itu berharga. Pengalaman dalam pembacaan tak bermaksud kita baca buku yang bagus sahaja. Saya secara peribadi pernah beli buku yang ditulis pensyarah tempatan, buku itu sangat teruk, dalam buku itu tiba-tiba ada ayat (masukkan hadis ibadat / contoh), menunjukkan ia adalah kerja yang diberi kepada pelajarnya, tidak diedit dan dibuang. Itu adalah pengalaman pembacaan, jika kita tak jumpa yang buruk kita tak tahu apa yang baik. Walaupun buku itu teruk, ia tetap menjadi pengalaman yang berharga buat kita. Kita boleh cerita, cerita kita lebih menarik, ada baik dan buruk.

Buku yang perlu dielakkan adalah buku-buku propaganda dah disahkan tidak benar oleh pengkaji dan ahli akademik, contohnya buku Alan Dershowitz tadi, seperti buku The Painted Bird tulisan Jerzy Koskinski, juga contohnya buku Fragments tulisan Binjamin Wilkomirski, ditulis dan dipopularkan walaupun tidak sahih. Wilkomirski ini menulis tentang pengalamannya semasa di kem Nazi akhirnya terbukti bahawa dia bukanlah seorang Yahudi malah semasa peperangan dia berada di Switzerland sepanjang masa! 

Harapan saya sebagai konklusi

Saya harap lebih ramai lagi orang yang menulis ulasan buku, kita suburkan budaya membaca, mengkritik teks. Nasihat saya untuk mulakan ulasan, bila baca buku, sampai di tempat yang menarik atau idea yang bagus, berhenti tulis sedikit nota, kemudian sambung balik baca, jumpa berhenti lagi tulis. Jangan tunggu habis baca baru tulis. Kemudian akhirnya kumpul semula nota-nota itu jadikan satu review. Bila dah banyak review, kumpulkan pula untuk jadikan sebuah buku. Ulasan buku ini penting, ia gedung kefahaman bacaan kita, persediaan talk ini sendiri saya rujuk kembali pada review-review lama saya.


Ahad, 29 November 2020

Kultura Podcast #8 : Review Goodreads Tahun 2020

 


Baru-baru ini sempat bersiaran bersama saudara Mel Van Dyk dalam podcast beliau, Kultura Podcast dalam episod ke-8 dengan tajuk Goodreads: Year End Review untuk bersembang perihal pembacaan. Tajuk tersebut memang secara peribadinya dekat dengan hati saya. Tahun ini saya memang target membaca dalam 10 buah buku sahaja, namun ketika podcast itu dirakamkan, saya telah membaca 14 buah buku untuk tahun 2020, dan ada 3 buah buku yang masih dalam pembacaan. Buku yang saya baca juga kebanyakannya non-fiksyen, perlu dibaca perlahan-lahan, difikirkan dan dinotakan.

Corak pembacaan saya juga sebenarnya tidaklah terancang secara rigid, saya tidak punya senarai buku apa yang saya hendak baca pada tahun tersebut, cuma yang dirancang dan dipilih adalah buku yang hendak dibeli, selepas dibeli dan disusun dalam rak, saya akan merenungnya saban hari, berfikir, dan memilihnya secara rawak untuk dibaca.

Buku pertama yang saya baca tahun ini adalah buku Port Agency oleh Institute of Chartered Shipbrokers, buku ini saya baca kerana ia adalah silibus pengajian professional saya. Buku ke-2 adalah buku tulisan Jamie Glowacki bertajuk Oh Crap! I Have a Toddler: Tackling These Crazy Awesome Years—No Time-outs Needed, buku ini berbeza dengan buku parenting lain. Buku ini lebih blunt dan praktikal. Saya suka kesimpulannya, orang yang paling expert pasal anak anda adalah anda sendiri. Buku ke-3 adalah satu-satunya novel yang saya baca pada tahun ini, And the Mountains Echoed tulisan Khaled Hosseini, buku ini saya kira tidak dapat menandingi dua novel Hosseini sebelum ini dari segi emosi yang dibangkitkan atau tema besar yang dibawakan, ia lebih kepada konflik keluarga.

Buku ke-4 adalah sebuah zine kecil NutMag Volume 4 yang bertemakan Transition oleh MYWriters Penang, ia merupakan antologi cerpen, artikel, dan juga puisi, ada yang menarik, ada juga penulisan yang tidak menarik didalamnya. Buku ke-5 adalah Sapiens: A Brief History of Humankind oleh Yuval Noah Harari ia adalah cubaan beliau untuk memuatkan seluruh sejarah manusia dalam satu buku, satu cubaan yang mustahil namun harus dipuji atas cubaannya. Namun saya tak rasa ia sebuah buku saintifik tulen seperti yang dipasarkan sebagai popular science kerana ia ada juga membincangkan persoalan falsafah, metafizik, agama dan perkara-perkara non-emperikal.

Buku ke-6 adalah Menolak Perintah tulisan Iltizam Iman tulisan anak jati Johor. Saya meminati perbahasan-perbahasan beliau perihal pendidikan dan home-schooling, juga aktivisma mempertahankan Bukit Payong dari projek tempat pembuangan sisa kerana menjejaskan kehidupan penduduk juga disebabkan lokasi tersebut yang mempunyai tinggalan warisan sejarah yang belum habis dikaji. Buku ke-7 adalah Kept in Ink tulisan Francis Wolf, buku ini saya kira kreatif kerana bukan sahaja merakamkan pengalaman berkelana di Thailand, tetapi juga memuatkan lukisan-lukisan tangan beliau disana.

Buku ke-8 adalah One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment tulisan Mei Fong. Saya minat kritikan-kritikan Mei Fong terhadap polisi ini, namun kadang kala saya merasakan beliau begitu antagonistik terhadap China, mungkin kerana latar belakang pendidikan dan kerjaya beliau. Buku ke-9 adalah buku yang diharamkan KDN, Antithesis tulisan Benz Ali. Bagi saya, banyak kritikan-kritikan Benz terhadap institusi Islam mempunyai merit, cuma mungkin bahasanya sedikit ganas menyebabkan ia diharamkan. Buku ke-10 adalah The End of History and The Last Man oleh Francis Fukuyama, walaupun ada perkara yang saya tidak setuju dengan perbahasan Fukuyama, tetapi perbahasan-perbahasan beliau perihal falsafah sains politik sangat membuatkan ia sebagai pembacaan yang sangat kaya.

Empat buku lain yang sempat saya baca tahun ini juga adalah Meruntuhkan Mitos Superman oleh Benz Ali, Educated sebuah memoir oleh Tara Westover, zine Dari Johor oleh Kolektif Naratif dan akhir sekali buku Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945) tulisan Dr. Saiful Akram Che Cob. Ada juga tiga buku lain yang saya masih baca pada tahun ini, jika tidak sempat dihabiskan akan masuk ke senarai bacaan tahun hadapan.

Manakala dalam senarai Mel Van Dyk adalah buku House of Wisdom oleh Jonathan Lyons, Letter to a Young Muslim oleh Omar Saif Ghobash, A Gentleman in Moscow oleh Amor Towles, Into the Wild oleh Jon Krakauer, Sapiens oleh Yuval Noah Harari, Fiqh Islam Mazhab Syafie oleh Sheikh Ahmad bin Hussain Al-Isfahani dan Surat Buat Mufti Johor oleh Hamka.

Untuk tahun depan saya ingin mendedikasikan pembacaan saya hanya pada satu buku iaitu The Great War for Civilization: The Conquest of The Middle East oleh Robert Fisk, sebuah buku besar setebal 1,136 mukasurat. Manakala Mel Van Dyk merancang untuk membaca tiga buku iaitu The Fall of the Ottomans oleh Eugene Rogan, Nothing to Envy: Ordinary Lives in North Korea oleh Barbara Demick, dan yang terakhir adalah How to Think Like a Roman Emperor: The Stoic Philosophy of Marcus Aurelius oleh Donald Robertson.

Podcast penuh boleh di dengari di Spotify, Google Podcast, dan iTunes.

Sabtu, 21 November 2020

L'Egypte Resplendit des Feux de Son Aurore


Petanda bagi menentukan sesuatu buku itu sangat menarik, pada hemat saya, salah satunya adalah kemampuannya menyebabkan pembaca terhenti, dan merasa terdesak untuk menuliskan apa yang dia dapati dari pembacaan. Inilah yang berlaku semasa saya menelaah buku hasil penelitian dan kajian Prof. Edward Said yang bertajuk Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Selepas menuliskan pendahuluan, rasional kajian, sebab kajian, skop, juga huraian definisi. Said membedah sejarah permulaan Orientalis moden, iaitu ekspedisi Napoleon Bonaparte ke Mesir.

Napoleon mempunyai cita-cita yang tinggi, beliau mahu menakluki keseluruhan Mesir. Untuk itu beliau membuat perancangan yang sangat rapi, perancangan yang sangat skematik, saintifik, methodikal dan tekstual. Tiga sebab membuatkan Napoleon mengambil keputusan untuk menawan Mesir. Pertama, kejayaan ketenteraannya menyebabkan tiada lagi kawasan untuk dikembangkan keagungannya melainkan ke Timur. Kedua, Napoleon sejak mudanya memang meminati Orient, beliau melihatnya sebagai satu tempat yang mampu memberinya keagungan seperti apa yang dicapai oleh Alexander. Ketiga, beliau berpendapat bahawa Mesir merupakan kawasan yang sudah difahami dan dipelajari dari sudut strategi dan sejarah - jadi ia mudah ditawan. Ekspedisi Napoleon bukan merupakan ekspedisi ketenteraan biasa, beliau membawa bersamanya sekumpulan 167 saintis. Bagi Said, ia adalah ekspedisi pertama keilmuan dalam bidang Orientalis digunakan bagi tujuan kolonial. (80)

Pengetahuan Napoleon perihal Mesir banyak bergantung dari tulisan pengembaraan Comte de Volney. Bagi Napoleon yang membaca Volney, ada tiga halangan utama hegemoni Perancis keatas dunia Orient, iaitu England, Ottoman, dan yang ketiga, yang paling sukar adalah Muslim. (81) Penulis Arab awal perihal ekspedisi ini, Abd-al-Rahman al-Jabarti kagum dengan kelicikan strategi Napoleon, beliau mengagumi taktik Napoleon yang menggunakan para cendiakawan untuk menguruskan masyarakat peribumi, beliau sentiasa meletakkan dirinya dalam posisi yang kelihatan seperti berjuang untuk Islam, dan setiap ucapan beliau diterjemah ke Bahasa Arab Al-Qur'an. Beliau sentiasa memperingatkan tenteranya untuk menjaga sensitiviti umat Islam. (82)

Apabila terbukti bilangan tenteranya tidak dapat menandingi tentera Mesir, beliau menggunakan imam tempatan, qadhi, mufti, dan ulama' untuk menafsirkan Al-Qur'an untuk kepentingannya. Seramai 60 ulama' Al-Azhar diundang dan diberi pangkat ketenteraan, Napoleon diperlihatkan dirinya sebagai insan yang menghargai Islam dan Nabi Muhammad, juga faham selok belok Al-Qur'an. Beliau memberikan arahan yang spesifik kepada pembantunya Kleber agar sentiasa mentadbir Mesir melalui cendiakawan Orientalis dan juga pemimpin agama tempatan. Strategi ini berkesan, ia membuatkan masyarakat peribumi percaya kepada penjajah yang menjajahnya. (82) Strategi ini dipuji oleh Hugo dalam puisinya Lui:

L'Egypte resplendit des feux de son aurore...
Sublime, il apparut aux tribus eblouies,
Comme un Mahomet d'occident.

(Egypt shines with the fire of his dawn...
Sublime, he appeared to the dazzled tribes
Like a Mahomet of the Occident.) (82-83)

Hampir serta merta selepas penaklukannya di Mesir, golongan saintis yang dibawa yang merupakan sebahagian dari Institut d'Egypte yang diasaskan oleh Napoleon yang terdiri daripada ahli kimia, sejarawan, biologis, arkeologis memulakan eksperimen dan kajian mereka. Semua yang dikaji, didengar, dan dilihat direkodkan, hasilnya adalah penerbitan Description de l'Egypte yang begitu besar dan tebal sebanyak 23 jilid. Napoleon bukan sahaja mahu menawan Mesir, termasuk dalam perancangan dominasinya adalah untuk membukanya sebagai objek kajian Eropah, Mesir menjadi sebuah jabatan untuk dipelajari oleh orang Perancis. (83-84)

Dalam bab pendahuluan Description yang ditulis oleh Jean-Baptiste-Joseph Fourier, setiausaha institut, Fourier memberi justifikasi akan projek penjajahan dan kolonial Perancis ini, menurutnya Mesir yang agung telah jatuh kepada barbarism, oleh itu ia memerlukan penyelamat. Penjajah dipotretkan sebagai hero penyelamat, yang akan memberikan mereka kehidupan yang lebih baik, juga menghadiahkan mereka kelebihan peradaban. (85)

Pembacaan saya perihal sejarah ekspedisi Napoleon Bonaparte ini belum lagi dihabisi, ini merupakan nota awal bacaan saya, yang membuatkan saya teruja untuk menulis dan berkongsi perihalnya. Perihal bagaimana ekspedisi kolonial dirancang dengan begitu saintifik, ilmu orientalis perihal masyarakat peribumi digunakan untuk menakluk mereka sendiri, dan bagaimana dengan kekuatan intelektual dan ketenteraan kolonial, sejarah ditulis untuk membersihkan kerja-kerja mereka, menjadikan mereka hero di dalam helaian sejarah.

Isnin, 16 November 2020

Gerimis Malam: Mengapa Masih Disini?



Malam itu hujan renyai-renyai, hujan lebat telah berlalu, kini yang tinggal hanya gerimis di malam hari. Kedai makan tempat dijanjikan untuk berjumpa sudah tutup, mungkin kerana tempat yang agak tersorok menyebabkan lokasi kedai ini tidak strategik. Saya menunggu di dalam kereta sambil dilimpahi lampu neon jalan. Kelihatan sebuah kereta tiba, kemudian berpusing, dan datang lagi. Ahh mungkin mereka merasakan mereka sesat kerana kedai yang dilihat di alam maya tidak ada. Saya mengeluarkan talifon, memberitahu bahawa kedai makan yang dijanjikan itu telah berpindah, dan mencadangkan tempat perjumpaan diubah ke kedai ikan bakar bersebelahan kedai tersebut, di sebelah sungai. Mereka setuju.

Kelihatan dua anak muda keluar dari kereta dan bergegas ke kedai ikan bakar, seorang darinya memegang senaskah buku di tangannya. Saya pun keluar dan mengekori mereka. Malam itu kami bersembang panjang, perihal masalah-masalah pemikiran yang ada dalam pergerakan Islam. Perihal retorik yang tidak sesuai dengan waqi'e setempat, peromantikan sejarah lampau, kebekuan dalam cara program-program diatur. Panjang diskusi itu, melarut seiring larutnya malam.

"Lantas, melihatkan permasalahan-permasalahan ini, relevankah lagi kita berada dalam pergerakan ini?" soal salah seorang dari anak muda tersebut. Soalannya ikhlas, dari riak wajahnya saya dapati mungkin dia sekarang dalam transisi pergelutan idea di dalam minda, dalam proses membentuk pemikiran. Saya memberi jawapan bahawa faktor keluarga merupakan faktor mengapa saya masih setia dalam pergerakan, kerana bagi saya pergerakan ini sudah sebati menjadi keluarga saya. Ia adalah lanjutan apa yang dibina oleh ibu ayah saya, dan tidak pantas bagi saya untuk meninggalkan mereka, mengecewakan mereka, meski saya kira ada percanggahan pemikiran dalam gerakan ini.

Setelah perjumpaan tersebut tamat, dan kami masing-masing membelah malam pulang ke rumah masing-masing, soalan tersebut tetap bermain-main dalam fikiran saya. Seolah-olah jawapan yang saya berikan itu tidak benar-benar memuaskan hati saya sendiri. Saya berfikir tentang soalan itu dengan dalam, dengan lama, dengan mendasar. Dan tinta saya kali ini adalah untuk merakamkan sambungan pemikiran saya, jawapan terhadap soalan tersebut.

Bagi saya gerakan ini masih relevan. Kerana meski pun saya merasakan ada beberapa pemikiran yang tidak saya persetujui, tetapi bagi saya ia tidak cukup kuat untuk mengeluarkan saya. Kerana pada hemat saya tidak semua perkara boleh dipelajari dari buku atau melalui kiat-kiat pemikiran intelektual sahaja. Tetapi pengalaman berada dalam pergerakan itu merupakan satu ilmu yang juga berharga, ia tidak boleh didapati di helaian-helaian muka surat. Pergelutan dengan manusia dalam organisasi mengajar kematangan, mengajar kita cara mengurus manusia, mengajar kita soal keragaman manusia, cara berdiplomasi, juga cara bergerak dalam organisasi. Semua ini adalah ilmu praktikal yang tidak bisa didapati dalam arena intelektual.

Saya juga selesa berada dalam pergerakan ini. Saya sedar saya boleh menyertai pergerakan lain atau memulakan pergerakan sendiri, tetapi saya juga sedar bahawa saya tidak akan merasai perasaan yang sama. Ibarat kita pergi berjaulah, kita tinggal di hotel, semuanya kemas dan indah, namun kita tetap tidak merasakan bahawa kita di rumah kita sendiri. Apabila kita pulang kita berasa lega, rasa selamat, rasa disinilah tempat kita, this is where we belong. Dalam kehidupan ini, semakin tua semakin sedikit kawan baharu yang akan kita temui, sahabat yang saya sudah menjalinkan ukhuwwah dalam gerakan ini terlalu ramai, terlalu mesra, terlalu akrab, saya tidak fikir saya akan mampu menjumpai permata seperti mereka di tempat lain.

Tulisan ini diharap tidak dilihat sebagai didaktik, atau merupakan satu ancaman untuk tidak mencuba pergerakan baru, bukan kongkongan untuk bebas meneroka, sebaliknya ia adalah jawapan-jawapan peribadi saya, alasan-alasan saya sendiri. Tentu sahaja orang lain boleh membuat pilihan mereka sendiri berdasarkan kefahaman mereka, perasaan mereka, juga pemikiran mereka.

Antara sebab lain saya masih disini adalah kerana saya merasakan gerakan ini, meskipun ada cacat celanya, ia sudah mempunyai pengalaman yang lama, sekurang-kurangnya lebih lama dari umur saya sendiri. Jadi untuk berpecah dan bermula semula sendiri merupakan satu kerugian. Ia sudah matang dalam beberapa perkara yang membolehkan kita menyumbang tenaga pada masyarakat. Sumbangan yang tak bisa kita lakukan andai kita bergerak sendiri.

Saya ada menyaksikan sepanjang hayat saya, anak-anak muda yang bersemangat, mereka pantas meninggalkan pergerakan yang tidak mampu mengikuti kelajuan semangat mereka, namun setelah sekian lama semangat mereka pudar, mereka sedar bahawa dengan semangat yang idealistik itu tak mampu mengubah dunia yang realistik, namun untuk berpatah semua mereka terasa segan. Ya, kita punya semangat yang membara, banyak benda yang kita rasa tidak betul, tetapi semangat tanpa strategi adalah sebilah pedang yang tumpul.

Apabila keluar, nasihat dan pandangan kita terhadap ahli gerakan akan dianggap sebagai pandangan luar, biar pun kita punya semangat, idea kita tidak akan disambut. Jadi ia adalah strategi yang salah. Saya merasakan kita perlu melakukannya dari dalam, bertahap, dan berstrategi. Perubahan dari dalam secara perlahan-lahan adalah perubahan organik yang bernafas panjang, ia lebih baik dari revolusi yang menatijahkan kejayaan singkat namun tidak bertahan lama, roboh kerana tiadanya foundasi organik.

Akhir sekali saya merasakan bahawa setiap pergerakan mempunyai masalah-masalahnya. Kita mungkin nampak pergerakan lain sempurna kerana kita tidak duduk didalamnya, jadi kita tidak tahu masalah mereka. Jadi meninggalkan pergerakan yang ada untuk mencari pergerakan yang sempurna bagi saya adalah seperti mengejar fatamorgana, akhirnya kita penat tanpa dapat mencapai apa-apa. Pergerakan Islam bukan milik mana-mana individu secara peribadi, ia adalah milik ummat, dan selagi kita tergolong dalam ummat ini kita adalah sebahagian dari pemiliknya. Sudah pasti manusia mempunyai cara fikir yang berbeza-beza, untuk menjadikan pemikiran semua ahli seratus peratus sama adalah satu kemustahilan, oleh itu perbezaan pemikiran hendaklah difahami sebagai sesuatu yang natural, sunnatullah dalam mana-mana pergerakan manusia.

Akhirnya kita akan pulang bertemu Tuhan. Mahu atau tidak mahu, percaya atau tidak percaya, kita semua akan binasa. Oleh itu masa yang kita ada perlulah diisi dengan amalan-amalan, sebagai bekal untuk ke alam seberang. Tidak salah berfikir atau berbeza pemikiran, yang salah mungkin jika kita tinggalkan medan amalan.

Isnin, 9 November 2020

Menuju Lautan: Evolusi Pembacaan


Kehidupan ini kadangkala rasanya seperti sungai, pada mulanya laju, ada air terjun, kemudian semakin perlahan, mendatar, sehinggalah bertemu lautan, akhirnya larut, hilang. Membaca merupakan satu aspek kehidupan yang saya kira berevolusi sepanjang kehidupan saya. Saya masih ingat semasa sekolah rendah banyak dilaksanakan kempen-kempen membaca. Antara yang paling melekat adalah lagu "Membaca Gaya Wawasan", bila lihat semula video lagu tersebut di Youtube memang nostalgia, penyanyi-penyanyinya Siti Nurhaliza, Nazri Johani, Sarimah Ibrahim, Afdlin Shauki, semuanya masih muda-muda. Lagu ini selalu diputar di televisyen, sejauh mana ia mempengaruhi masyarakat saya tak pasti. Tapi bagi saya, sehingga kini masih ingat.

Saya mula membaca dengan membaca buku-buku fikrah Islam. Buku-buku Fathi Yakan, Syed Qutb, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Ramadhan Al-Buti kerana ia merupakan buku-buku yang dianjurkan untuk dibaca oleh ibu, ayah, guru, dan murobbi saya. Semasa saya habis sekolah, membuat pengajian persediaan saya meminjam buku dari seorang rakan dari Terengganu, beliau merupakan peminat Tuan Guru Nik Aziz, jadi dari beliau saya membaca buku 'Kemuncup Dalam Perjuangan' dan 'Insan Ingatlah! Sebuah Panduan Menuju Hati Yang Tenang'. Pada peringkat permulaan, pembacaan adalah satu instrumen spiritual pada saya, satu proses menguatkan ruhi dalam diri.

Saya hanya meneroka buku-buku selain buku fikrah Islam semasa pengajian pasca-siswazah saya di Johor (pengajian yang tidak dihabiskan). Saya masih ingat dalam kelas research methodology, pensyarah saya ada berbincang panjang lebar sebuah buku tulisan Thomas L. Friedman. Saya tertarik dan mula membacanya. Selepas saya tamat membaca buku tersebut, saya seolah-olah dirasuk. Seperti ada awakening dalam diri saya bahawa membaca begitu menyeronokkan, begitu mengubah cara saya melihat dunia, memahami bahawa dunia ini lebih luas dari apa yang saya imaginasikan. Saya kemudian membaca buku tulisan agen CIA, Graham Fuller bertajuk 'A World Without Islam' dan sejak itu saya membaca pelbagai jenis buku lagi. Bagi saya ketika itu, saya mahu membaca sebanyak mungkin buku sebelum mati. 

Dari satu buku ke satu buku, saya baca semua, dari buku Mufti Perlis 'Aku Ingin Kembara Lagi' sehinggalah buku militant atheist Richard Dawkins 'The God Delusion' semuanya saya baca untuk memuaskan kehendak membaca dalam diri. Malah buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1231 mukasurat juga saya baca dari kulit ke kulit, buku ini pertama kalinya diperkenalkan oleh pensyarah ekonomi saya di Russia, V.I. Radchenko, dalam bahasa Rusia berjudul Bogatstva Norodov, saya mencari frasa "the invisible hand" yang disyarahkan oleh guru saya dahulu. Saya kemudian bertemu dengan buku-buku Noam Chomsky. Banyak bukunya yang saya baca termasuklah Power and Terror, Power System, Manufacturing Consent, saya begitu tertarik dengan pemikiran Chomsky perihal hegemoni Amerika dan American Exceptionalism, malah ketika saya tidak membaca pun saya akan dengar syarahan-syarahan beliau di Youtube. Hingga satu hari saya terdengar beliau membicarakan soal pembacaan, katanya "there is no use to read, but forget 5 minutes later". Kata-kata Chomsky ini begitu menusuk minda saya, ia mengubah paradigma saya tentang membaca. Buku Adam Smith contohnya, saya ingat dan faham akan bab-bab awal perihal division of labour, tetapi banyak bab-bab lain hilang tanpa ada sebarang ibrah dan pengajaran yang boleh diambil.

Selepas itu paradigma membaca saya berubah. Saya bukan lagi mahu membaca sebanyak mungkin buku. Tetapi saya membaca untuk faham. Saya bahagikan pembacaan kepada dua. Yang pertama adalah leisure reading, bacaan perihal cerita, memoir, novel yang boleh dibaca dengan mudah dan sekali lalu.  Buku seperti Educated oleh Tara Westover dan The Translator oleh Daoud Hari adalah dalam kategori ini, ia boleh dibaca tanpa perlu banyak berfikir. Tetapi tetap saya akan tuliskan sedikit dapatan, apa yang saya dapat dari buku tersebut. Yang kedua adalah serious reading, buku-buku dalam kategori ini bukan sahaja saya baca, malah saya tanda, saya tuliskan nota, ulang baca, dan tuliskan nota yang panjang perihalnya. Saya lebih belajar darinya dari membaca tentangya. Bagi saya amalan ini lebih memuaskan hati, lebih bermanfaat untuk saya walaupun ia melambatkan pembacaan. Dari 20 buku setahun, kini mungkin saya membaca sekitar 10 buku setahun.

Kebelakangan ini saya tersedar akan sesuatu, saya kurang membaca buku-buku karya penulis tempatan. Entah kenapa saya lebih gemar membaca buku dalam bahasa Inggeris, mungkin ada sifat penjajah Anglophile sedikit dalam diri. Bagi saya buku bahasa Inggeris seronok kerana ia membolehkan kita membaca idea-idea lain di dalam dunia yang tiada dalam Bahasa Melayu. Apa-apa pun kini saya bertatih, sedikit demi sedikit membaca buku tulisan anak tempatan, yang bagi saya tidak kurang hebatnya dengan karya antarabangsa.

Begitulah evolusi saya dalam membaca, mungkin ia akan berevolusi lagi saya tidak tahu. Tetapi dalam hati setiap hari saya merasakan saya semakin hampir dengan lautan. Kehidupan ini sememangnya sementara, saya bersyukur pada Allah, tuhan yang memberikan saya nikmat membaca, nikmat memahami. Terima kasih juga kepada guru-guru tadika dan sekolah saya kerana mengajar saya membaca, ibu yang dahulu sering membawa kami adik beradik ketika kecil ke Perpustakaan Negara, juga arwah ayah yang memberi buku-buku fikrah untuk saya baca. Sememangnya membaca merupakan nikmat, anugerah Tuhan sebelum tiada.

Sabtu, 7 November 2020

Swaterbit atau Self-publish


Saya ada menonton video Francis Wolf yang bertajuk Social Carbon Copy and Self Publishing. Francis juga merupakan penulis buku Kept in Ink yang pernah saya baca dan tulis sedikit reviu. Selepas mendengar kisah beliau, saya ingin mencoret sedikit kisah dan pandangan saya. Kebanyakan yang diperkatakan oleh Francis saya setuju.

Selalu juga saya mendapat soalan dari kenalan, sahabat, adik-adik, yang menulis buku, dimana hendak diterbitkan? Bagi saya terdapat banyak penerbit diluar sana. Jika manuskrip telah siap, boleh cuba nasib dengan menghantar kepada mana-mana penerbit. Tetapi jika sudah dihantar tetapi tidak diterima juga, apa yang perlu dilakukan?

Bagi saya, jawapannya adalah swaterbit atau dalam bahasa penjajah, self-publish. Industri buku di Malaysia sekarang memang sedang menghadapi krisis hidup-mati. Setiap hari akan ada berita kedai buku tutup cawangan, tutup kedai, dan bankrap. Penerbit juga sama, rugi, terpaksa jual buku secara lambak dan murah, dan banyak juga yang gulung tikar. Keadaan memang sudah teruk apabila program vaucher buku dihentikan. Apabila pandemik Covid-19 menyerang, ia menjadi satu pukulan maut untuk industri buku, kini talkin sudah boleh dibaca.

Jadi tidak hairan jika penerbit tidak mahu menerbitkan buku baru, kerana menerbitkan buku perlukan modal, dan dalam keadaan nazak sekarang mereka tidak pasti adakah modal itu boleh diterjemahkan kepada jualan. Tapi apa pun alasan penerbit untuk tidak menerbitkan buku anda, jangan bersedih. Kerana jika ada seorang yang mempercayai tulisan anda, ianya mestilah diri anda sendiri! Jika anda sendiri pun tidak percaya kepada karya anda, mengapa penerbit perlu percaya?

Jadi jika anda percaya akan karya anda, berikan karya anda peluang, terbitkan sendiri. Terbit sendiri tidak susah pada hari ini, anda boleh buka pre-order untuk kutip modal, dan boleh print digital pada skala kecil. Saya sendiri menerbitkan buku pada mulanya secara swaterbit. Cetak hanya 50 naskah, habis terjual dalam masa sebulan, kebanyakan yang beli adalah keluarga dan rakan-rakan. Kemudian saya cetak lagi 50 naskah untuk dijual sendiri di Pesta Buku Kuala Lumpur 2019 - habis. Kemudian saya cetak lagi 30 sebagai back-up jika ada yang masih order.

Beberapa ketika kemudian, buku tersebut mempunyai audiens tersendiri, kemudian ada penerbit yang sudi menerbitkan buku saya. Jadi jangan takut untuk mula menerbitkan karya anda sendiri, beri peluang untuk karya anda lahir ke dunia, anda tidak tahu mungkin ia boleh membesar dengan sendiri, namun jika anda tidak memberi karya anda peluang, ia tidak akan dapat dikenali dunia. Jadi nasihat saya terbit sendiri, jika anda konsisten, lama kelamaan karya anda akan dikenali, dan kemudian penerbit yang akan mencari anda.

Pilihanraya Amerika 2020: Trump Vs Biden

 

Sehingga artikel ini ditulis, pilihanraya presiden Amerika Syarikat masih belum menamatkan tirai, selepas 3 hari keputusan sama ada Donald Trump bakal kekal menjadi presiden bagi penggal ke-2 masih menjadi tanda tanya. Seperti ramalan penganalisis, pada peringkat awal, Trump dijangka mendahului, fenomena yang dipanggil The Red Mirage. Namun, apabila undi-undi pos dikira, calon Demokrat, Joe Biden mendahului Trump. Setakat artikel ini ditulis, Biden mendahului dengan 264 undi, manakala Trump dibelakang dengan 214 undi. Masing-masing memerlukan 270 undi untuk memenangi pertandingan ini. 

Saya dahulu ikut dengan rapat juga politik Amerika Syarikat, tetapi selepas Bernie Sanders gugur sebagai calon presiden kerana tidak mendapat sokongan dari elit politik dalam Parti Demokrat, saya hilang minat. Dan saya tidak terkejut jika Trump menang, kerana bagi saya elit Demokrat sudah lost touch dengan grassroots voters. Bagi saya Biden tiada beza dengan Bill Clinton. Ya, Trump banyak buat kerosakan pada international order, tarik diri dari Iran Nuclear Deal, tarik diri dari Paris Climate Agreement, dan yang terbaru tarik diri dari WHO. Semakin lama dibawah Trump, semakin cepat US menjadi pariah state berbanding global leader. Tapi Amerika sudah pun lama menjadi pariah state di UN terutamanya dalam undi perihal isu Palestin. 

Jika tanya saya, saya mahu Trump menang supaya lebih banyak kerosakan dilakukan, ia akan menjadi reality check kepada elit Demokrat bahawa meletakkan calon yang mengekalkan status quo dan tiada polisi progresif akan sentiasa gagal menangkap imaginasi rakyat. 

Tetapi pilihanraya kali ini ada juga yang menggembirakan. Calon muslim seperti Ilhan Omar dan Rashida Tlaib mempertahankan kerusi masing-masing. Selain itu banyak juga calon Muslim lain yang menang termasuklah Mauree Turner (Oklahoma), Iman Jodeh (Colorado), Madinah Wilson-Anton (Delaware), Nida Allam (Durham County Commissioner), Hoda Hasan (MN State Rep), Nafisa Fai (Washington County Commission), Nadia Hasan (Beaverton City Council).

Jumaat, 6 November 2020

Memperingati Robert Fisk


Buku Buku Robert Fisk perihal tragedi peperangan di Timur Tengah merupakan buku yang paling besar dan tebal di dalam rak buku saya. Buku yang bertajuk The Great War for Civilization ini mengalahkan ketebalan buku Trotsky perihal sejarah revolusi Russia. Buku beliau saya beli 2 tahun lepas, namun sehingga hari ini saya takut untuk membacanya kerana terlalu tebal, mungkin saya akan abadikan setahun pada tahun hadapan untuk membaca buku tersebut.

Syarahan-syarahan beliau merupakan antara menu makanan kegemaran saya sekiranya saya merayau-rayau di Youtube. Pengalaman beliau sememangnya tidak dapat ditandingi. Pemikiran beliau penuh dengan penghormatan kepada nyawa dan penolakan pada peperangan. Robert Fisk merupakan sosok wartawan yang tidak asing dalam penulisan perihal perang dan konflik dunia. Beliau pernah 3 kali menemu ramah Osama bin Laden. Beliau juga antara wartawan yang ada di Shabra dan Shatila semasa pembunuhan pelarian Palestin berlaku semasa pencerobohan Israel di Lubnan pada 1982. Beliau melihat sendiri darah panas yang mengalir dari tubuh wanita yang dibunuh di kem pelarian dan pembunuhnya dilihat keluar dari pintu hadapan rumah. Fisk merupakan seorang wartawan yang sangat berprinsip, padanya tugas wartawan adalah untuk melaporkan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa, terutamanya jika mereka berperang.

Selepas menyaksikan kekejaman perang demi perang, Fisk berubah menjadi sosok yang begitu anti kepada perang. Baginya ahli politik mudah mengishtihar perang kerana bukan mereka yang akan berperang, para presiden tidak pernah turun ke medan perang, menyaksikan tangan atau kepala yang berkecai ditusuk peluru dan bom. Kaca televisyen juga tidak menunjukkan imej-imej ngeri perang, mayat tidak ditunjuk kerana menghormati orang yang mati, padahal tidak dihormati semasa hidup sebelum dibunuh. Ini menjadikan masyarakat public tidak melihat sendiri apa sebenarnya perang, kemusnahan dan penderitaan yang dialami manusia. Mereka hanya memahami perang melalui kacamata Hollywood.

Pada 30 Oktober 2020, dunia menangisi pemergian Robert Fisk yang berumur 74 tahun. Beliau merupakan wartawan perang yang disegani di seluruh dunia. Tulisan kecil ini adalah tribute kecil buat beliau yang menyumbang besar kepada manusia dan kemanusiaan. Fisk mendapat pengaruh kuat dari ayahnya perihal perang, ayahnya merupakan bekas askar dan sangat obses dengan perang, di rumahnya ayahnya menggantung gambar Churchill, hanya selepas ayahnya mati gambar tersebut diturunkan. Beliau berkhidmat di The London Times sebelum berhenti kerana bagi beliau integriti The Times telah dirosakkan selepas dibeli oleh Rupert Murdoch, untuk menjadi wartawan yang baik, bagi Fisk, beliau memerlukan seorang editor yang menerbitkan apa yang wartawan inginkan, bukan apa yang dimahukan oleh pemilik syarikat. Bagi Fisk wartawan yang baik perlu diberi peluang untuk fokus kepada satu lapangan, memahami bahasa dan budaya setempat, bukan dipindah-pindahkan. Falsafah ini mungkin berbeza dengan apa yang diajarkan kepada kita hari ini, bahawa untuk survival masa hadapan, kita perlu menjadi seorang yang tahu serba serbi, tahu akan pelbagai pengetahuan umum, menjadi seorang yang generalist, bagi Fisk hal ini hanya menjadikan seseorang itu “knows about everything and everything about nothing”. Bagi Fisk tugas sebagai wartawan yang melaporkan kepada dunia tentang situasi perang adalah tugas yang sangat berbahaya, membuatkan seseorang berasa sepi dan terasing, juga membuatkan seseorang jatuh murung melihat segala keganasan dan kengerian perang, tidak sedikit rakan-rakan wartawan beliau yang terkorban di medan perang. Bagi mereka yang ingin menjadi wartawan Fisk menasihatkan agar mereka perlu mempunyai minat yang tinggi, mereka juga perlu banyak membaca, bacaan wajib bagi beliau untuk wartawan perang adalah War and Peace tulisan Tolstoy yang mana bagi beliau memberikan pemahaman yang baik tentang apa itu peperangan. Selain itu pelajar bidang kewartawanan harus membaca puisi-puisi dari medan perang, juga sentiasa membawa buku sejarah di dalam beg mereka. Beliau sendiri kadang kala membaca 18 jam sehari. Selain itu wartawan yang baik bagi Fisk perlu diberi kebebasan untuk menulis dengan penuh rasa marah dan menulis dengan jelas pihak mana yang melakukan kejahatan, bagi beliau jika dia menyaksikan pembunuhan, dia tidak akan teragak-agak untuk menulis siapa pembunuhnya dan kenapa dia membunuh. Dalam perang, bagi Fisk semua pihak melakukan kejahatan, kata beliau “there is no good guy in war”. Dalam filem kita mungkin didoktrinkan bahawa perang adalah perihal kemenangan dan kekalahan, tetapi sebenarnya perang adalah tanda kerosakan total pada diri manusia, perang adalah tentang kematian dan pembunuhan. Tugas wartawan perang pada Fisk bukan untuk duduk mendengar kenyataan ahli politik, atau bersembang dengan pegawai diplomatik, atau menghadiri sidang akhbar, atau mendengar pandangan pusat pemikir perihal perang, tetapi tugas mereka adalah di jalanan, di medan tempur, di hospital, menyaksikan sejarah, menemubual mangsa dan memberi suara kepada mereka, dan menulis dan merekodkan penderitaan mereka. Wartawan bagi Fisk perlu ada di lapangan, jika tidak, bagi Fisk, tiada gunanya menjadi wartawan. Apakah misi hidup Fisk? Beliau menceritakan bahawa beliau pernah memasuki hospital di Beirut, dan melihat anak-anak yang telah putus tangannya, permandangan yang akan menyebabkan manusia biasa akan muntah setiap pagi, dan di kaca televisyen ahli politik bercakap perihal bagaimana genjatan senjata tidak boleh dilakukan. Bagi beliau para pemimpin dunia tidak kisah akan mangsa perang, kerana pengalaman perang mereka hanya melalui kaca televisyen, mereka tidak pernah menyaksikan kengerian perang di depan mata mereka. Kita perlu jujur dalam perkataan kita kata Fisk, bukan hanya Al-Qaeda melakukan jenayah perang tetapi semua pihak termasuk tentera Barat dan Amerika. Tugas wartawan adalah melaporkan semua ini kepada dunia sehingga dunia tidak boleh berkata “nobody tells me, I didn’t know”. Misi beliau adalah untuk memantau pusat-pusat kuasa, untuk mencabar authority setiap masa terutamanya apabila mereka berperang, membunuh manusia, dan menipu perihalnya. Bagi Fisk apa yang menyedihkan adalah kebanyakan wartawan tidak melakukan tugas ini, mereka hanya melaporkan apa yang diberitahu kepada mereka oleh pihak yang memegang kuasa, mereka berpelukan dengan pihak berkuasa, bagi Fisk mereka bukan wartawan tetapi hanya jurucakap penguasa. Bagi Fisk apa yang dilihatnya sangat dahsyat sehingga ia memberinya semangat untuk menulis dengan lebih bebas, untuk melaporkan apa yang terjadi dengan benar. Fisk mengkritik wartawan Amerika yang tidak mahu menjadi sosok kontroversi, wartawan yang patuh kepada pihak berkuasa dan mahu hanya “safe journalism”. Mereka menulis menggunakan euphemism dan terma yang yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, dalam konflik Palestin sebagai contoh, tembok ditulis sebagai pagar, dan penjajahan ditulis sebagai pertikaian, perkara ini memberi gambaran yang salah kepada pembaca, mereka akhirnya gagal memahami situasi sebenar, mereka tidak faham kenapa anak-anak Palestin membaling batu kerana pertikaian sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah sambil minum secawan teh. Apa yang ditayangkan di kaca televisyen juga memberi kefahaman yang salah perihal perang. Televisyen tidak mahu menunjukkan imej-imej ngeri dari medan perang, kepala kanak-kanak yang berkecai, wanita yang cedera penuh dengan tusukan sisa bom, ia tidak dibenarkan ditayangkan. Mayat tidak ditunjukkan sebagai menghormati mereka yang telah mati, walhal ketika mereka hidup mereka tidak dihormati, mereka dijajah, dibunuh, tetapi apabila mereka mati mereka perlu dihormati? Hal ini tidak masuk akal bagi Fisk, tanpa menunjukkan imej-imej perang ini masyarakat gagal memahami apa itu perang, mereka tidak akan menentang pemimpin mereka yang melancarkan perang. Jika mereka melihat apa yang wartawan lihat di medan perang fikir Fisk, tiada siapa yang akan menyokong peperangan. Apabila imej-imej perang Vietnam keluar kepada masyarakat awam sebagai contoh, ia menjadi kemelut politik yang akhirnya menghentikan perang. Pembunuhan pelarian Palestin di Shabra dan Shatila oleh Militia Kristian Phalange yang dihantar oleh Israel semasa pencerobohan Israel keatas Lubnan merupakan antara peristiwa yang mengubah pandangan Fisk kepada perang. Beliau antara individu yang merupakan saksi kejadian tersebut, beliau melihat sendiri pembunuh-pembunuh yang memasuki kem, mayat busuk bergelimpangan, mayat wanita yang darahnya masih panas mengalir, bagi beliau, beliau tidak pernah menyaksikan kekejaman seperti itu, ia membuatkan beliau termenung tanpa kata-kata, malam selepas pembunuhan itu beliau berubah dan mula menulis dengan penuh amarah perihal perang. Bagi beliau wartawan perlu menulis dengan marah perihal perang. Apabila kekejaman berlaku, Fisk menolak konsep neutraliti, bagi beliau kita sentiasa perlu berpihak kepada mangsa kekejaman dan tidak bersifat neutral. Ia cocok dengan falsafah Howard Zinn yang mengatakan bahawa “you cannot be neutral on a moving train”. Kita perlu sentiasa menunujukkan pihak yang melakukan kekejaman, siapa pun mereka. Kita perlu mengutuk Syria apabila mereka melakukan pembunuhan di Hama, mengutuk Iraq apabila mereka membunuh, mengutuk Israel apabila mereka membunuh pelarian di Lubnan, mengutuk Palestin apabila mereka mengebom kanak-kanak. Bagi Fisk siapa sahaja melakukan kekejaman perlu dikutuk, dan kita berhak untuk tidak neutral dalam menghadapi kekejaman. Fisk sentiasa melihat kebaikan pada masyarakat awam yang menjadi mangsa perang, beliau menceritakan bagaimana keluarga yang sedang dibedil oleh Israel, keluar ke jalanan untuk mambawanya masuk kerumah mereka agar dia tidak dibunuh, mereka melakukannya walaupun mereka tidak perlu melakukannya, walaupun mereka berbeza agama dengannya. Bagi Fisk, di Timur Tengah beliau hidup dengan manusia yang masih beriman dengan agama sementara Barat sudah meninggalkan agama, bagi Fisk ia tidak dihargai Barat, Barat tidak membaca sejarah sedangkan mereka di Timur Tengah sangat berpegang kuat dan mengingati sejarah mereka. Bagi Fisk, selepas menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh Barat keatas dunia Islam, beliau sangat kagum dengan kesabaran orang-orang Islam, beliau sangat kagum mereka tidak membalas dendam dengan lebih banyak serangan seperti 11 September. Selepas hidup bersama Muslim sekian lama di Timur Tengah, Fisk merasakan dia tidak pernah merasakan dilayan berbeza, seolah-olah masyarakat disana tidak membezakan antara muslim dan non-muslim dari segi layanan dan persahabatan. Bagi Fisk, Barat sudah kehilangan agama mereka, sedangkan orang-orang Islam masih berdiri teguh dengan agama mereka, dan Barat mempunyai kuasa untuk memaksa ketidakpercayaan mereka sedangkan orang-orang Islam tidak punya kuasa tentera dan politik untuk mempertahankan diri mereka. Fisk mendapati kebanyakan Muslim yang ditemuinya adalah moderat, kita semua adalah manusia biasa baginya. Apabila manusia ditekan, dipukul, dijajah, walaupun dia seorang liberal yang lemah lembut akan berubah menjadi harimau. Apabila kita menyerang manusia bertalu-talu kerana agamanya, bangsanya, mengapa kita hairan jika mereka tidak suka kepada kita tanya Fisk, kemudian kita bertanya mengapa mereka membenci nilai dan demokrasi kita? Kehilangan Fisk sememangnya merupakan kehilangan besar kepada dunia. Dunia kehilangan seorang tokoh wartawan yang sangat setia kepada moral dan integriti. Wartawan yang jujur, yang berani melaporkan kebenaran dihadapan kuasa-kuasa besar. Tulisan-tulisan Fisk akan menjadi harta yang sangat berharga untuk manusia. Bagi mereka yang ingin mendalami dengan lebih dekat sosok wartawan yang disegani ini, saya mencadangkan agar anda membaca karya beliau sendiri, antara yang boleh dibaca adalah bukunya perihal tragedi perang di Timur Tengah yang bertajuk The Great War for Civilisation: The Conquest of Middle East.

Antara petikan kata-kata (quotes) Robert Fisk:

"War is primarily not about victory or defeat but about death and the infliction of death. It represents the total failure of the human spirit".

"It's a journalist's job to be a witness to history. We're not there to worry about ourselves. We're there to try and get as near as we can, in an imperfect world, to the truth and get the truth out".

Robert Fisk, 12 Julai 1946 - 30 Oktober 2020.

Ahad, 1 November 2020

Membaca Propaganda Visual Tulisan Saiful Akram Che Cob


Tajuk penuh buku: Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal. Terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), 2018.

Jika ada yang mengatakan saya seorang anglophile dalam pembacaan, tidak banyak hujah yang dapat saya kedepankan untuk melawan tuduhan tersebut. Memang saya lebih banyak membaca buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa yang mendedahkan kita kepada banyak idea-idea dunia, bahan literasi, karya, yang belum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Namun sejak kebelakangan ini saya mula membeli dan membaca naskah-naskah karya tempatan untuk menebus 'dosa' saya ini. Kebanyakannya naskah yang ditulis oleh penulis yang saya kenali dan punyai hubungan, baik hubungan persahabatan atau hubungan persahabatan virtual.

Kitab Propaganda Visual ini saya kira merupakan naskah akademik, namun tidak bermakna ia tidak boleh difahami oleh masyarakat awam, pada saya bahasanya mudah difahami, sekiranya ada terma asing, teknikal, atau jargon digunakan, ia akan disertakan dengan penjelasan perihal apa yang dimaksudkan. Bagi saya ini merupakan satu projek yang baik, kajian-kajian akademik perlu dibukukan untuk dihidangkan sebagai 'makanan' orang awam, barulah ia menjadi kajian yang bermanfaat untuk masyarakat. Sekiranya tesis-tesis ini hanya diperap dalam almari universiti, masyarakat awam mendapat manfaat yang sedikit. Namun saya sedar itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, ia perlukan modal, pemasaran, dan usaha untuk diketengahkan kepada 'mata-mata' awam. Oleh itu saya ucapkan tahniah pada penulis dan penerbit, naskah ini berjaya sampai ke tangan masyarakat.

Buku ini mengkaji lukisan, imej, foto, yang digunakan Jepun sebagai propaganda semasa pendudukannya di Malaya lewat Perang Dunia Kedua. Banyak juga fakta-fakta sejarah yang saya pelajari dari naskah ini, ia menyedarkan saya bertapa ceteknya pengetahuan saya perihal sejarah negara sendiri. Pendeta Za'ba misalnya merupakan propagandis Melayu bagi pihak Jepun, beliau memanfaatkan bakat menulis untuk menunjukkan sokongan terhadap "tuan baharu" Malaya. (xix) Fakta ini mungkin kedengaran ofensif pada kita yang biasanya disajikan dengan sejarah yang telah 'dibersihkan' perihal tokoh-tokoh kita dahulu. Untuk menjadi kritis kita perlu berani mendepani fakta, pandangan, perspektif yang membuatkan kita tidak selesa, jika tidak setuju, hujah balas perlu dinyatakan. Selain Za'ba banyak rupanya tokoh-tokoh lain yang menjadi propagandis Jepun, terutamanya dalam penulisan majalah Semangat Asia termasuklah Ishak bin Haji Muhammad (Isako/Pak Sako), Ibrahim Yaacob, Haji Abdul Malik bin Abdul Karim (HAMKA), dan juga Ir. Soekarno. (119)

Dalam pendahuluannya, Saiful Akram membawakan polemik gambar yang merupakan larangan dalam agama Islam seperti mana yang difahami oleh masyarakat Melayu. Beliau membawakan pandangan tokoh pemikir Syed Syeikh Al-Hadi dalam akhbar Al-Ikhwan pada 1929 yang berhujah bahawa visual mempunyai peranan yang sangat penting dalam perekodan persejarahan, ia dibolehkan kerana ia bukan bertujuan untuk disembah.(1) Ini merupakan sebahagian singkapan sejarah berkenaan dengan pemikiran Islam yang lebih moderat, toleran, progresif dan bersesuaian dengan peredaran zaman.

Pembelajaran propaganda turut dijejaki penulis dari Menteri Propaganda fasis German, Joseph Goebbels, antara yang dibincangkan adalah poster Ein Volk, ein Reich, ein Fuhrer (satu bangsa, satu empayar, satu pemimpin) yang merupakan poster Adolf Hitler yang menghiasi dinding rumah, pejabat dan sekolah di seluruh Jerman.(3) Propaganda yang dikeluarkan oleh Jabatan Propaganda (Senden-Bu) tidaklah tidak berkesan, hal ini dapat dilihat dengan adanya sokongan orang Melayu misalnya dukungan dari Kesatuan Melayu Muda yang dipimpin Ibrahim Yaacob.(7) Ada juga senarai rujukan yang digunakan oleh penulis yang merupakan sosok yang saya kenali, seperti Prof. Md Sidin Ahmad Ishak yang mana saya pernah berguru dengannya semasa mengikuti kursus penulisan di DBP pada tahun 2016.

Membaca ulasan penulis berkenaan dengan kartun "Chungking Plight" yang disiarkan dalam akhbar The Syonan Sinbun pada 02 April 1943 mengingatkan saya berkenaan dengan sebuah filem yang saya tonton ketika di universiti berkenaan dengan pembunuhan besar-besaran Jepun pada tahun 1937 semasa pendudukan Jepun di  Nanking, China, filem itu bertajuk The Flowers of War.(56) Chungking Plight mengambarkan sebuah wilayah China yang dikongkong oleh hegemoni anglo-americans dan untuk merdeka mereka perlu berkerjasama dengan Tentera Jepun dan Tentera Baru Republik China.

The Flowers of War
Filem The Flowers of War (2011)

Jika Chungking Plight merupakan propaganda Jepun, filem The Flowers of War mungkin merupakan propaganda China melawan naratif Jepun, mungkin juga ada unsur propaganda anglo-americans kerana watak utamanya adalah Christian Bale. Filem ini merupakan filem yang sangat tragis perihal kekejaman Jepun, sebuah filem yang menjanjikan linangan air mata. Ia mengisahkan perihal sekumpulan pelacur yang berlindung di gereja anak-anak perempuan, mereka akhirnya berkorban menggantikan anak-anak tersebut apabila tentera Jepun ingin mengambil mereka. Saya merasakan kesan filem tersebut sangat kuat, sehingga hari ini masih mewarnai fikiran saya apabila berfikir tentang pendudukan Jepun.

Selain kartunis Jepun, imej propaganda ada juga dihasilkan oleh kartunis tempatan, antaranya Abdullah Arif dari Pulau Pinang yang melukis ilustrasi perayaan "Tentyo Setsu di Syonan" ia menggambarkan sokongan orang Melayu dalam sambutan hari lahir Maharaja Hirohito. Selain orang Melayu, lukisan propaganda ini turut dimasukkan imej kaum Jawa Islam sebagai tanda penglibatan sokongan kepada pendudukan Jepun di Indonesia.

Bagi tujuan propaganda, pihak imperial Jepun mempunyai jabatan propaganda khas yang dipanggil Senden-Bu. Jika diamati imej-imej yang menjadi propaganda di zaman tersebut, ia memaparkan imej yang berlainan dari buku-buku yang ditulis perihal kesengsaraan yang dialami semasa pendudukan Jepun. Kehidupan masyarakat digambarkan dengan gambar yang harmoni. Propaganda Jepun boleh dibahagikan kepada dua, yang pertama adalah propaganda-anti, yang mengeluarkan doktrin-doktrin untuk memburukkan musuh perang Jepun iaitu Amerika dan Britain. Yang kedua adalah propaganda-pro yang memaparkan sisi kebaikan pemerintahan Jepun. Antara propaganda-pro yang kerap kali kelihatan dalam analisis Akram adalah kempen menyokong Orde Baharu juga dasar Kesejahteraan Bersama Asia Timur Raya.

Dalam membahaskan perkembangan propaganda visual, Saiful Akram membawakan wacana penyatuan antara seni dan propaganda, propaganda adalah sesuatu seni untuk mengelakkan masyarakat berfikir, tetapi masyarakat dianjurkan untuk menyerap mesej yang disampaikan tanpa berfikir panjang. Oleh itu propaganda boleh kita definisikan sebagai satu proses untuk menghalang masyarakat berfikir dan merenung jauh, ia adalah pujukan dengan penuh kesenian agar masyarakat menerima sesuatu idea dengan pantas, bersetuju dengan kesimpulan yang telah disediakan. (22)

Saya teringat akan siri perdebatan Christopher Hitchen, dalam mempertahankan kem ateis apabila diserang berkenaan beban jenayah yang dilakukan oleh rejim-rejim ateis, beliau sering membawa perspektif bahawa mereka bukan ateis, mereka merupakan rejim pseudo-teologi. Korea Utara misalnya, walaupun berfahaman komunis tetapi Supreme Leader mereka Kim Jong-un dianggap dan dilayan seperti tuhan. Begitu juga imperial Jepun, maharaja mereka merupakan tuhan secara literal. Saya merasakan bahawa jika Hitchen masih hidup, dia akan bersetuju dengan falsafah Jepun yang diungkapkan oleh Saiful Akram. Dalam analisisnya, Akram membawakan fahaman Jepun ketika itu bahawa maharaja mereka berasal dari tuhan serta mewarisi sifat tuhan. Orang Jepun percaya bahawa mereka merupakan bangsa yang terpilih, mereka lebih suci dan sejati, manakala misi pembebasan (atau penjajahan) mereka di Asia Pasifik adalah misi ketuhanan. (25)

Di dalam naskah ini, Dr. Akram menjejaki semula kartun-kartun yang disiarkan dalam akhbar dan majalah tempatan ketika pendudukan Jepun. Saya tertarik dengan ulasan berkenaan dengan kartun lukisan Kato Etsuro di dalam akhbar The Syonan Sinbun yang menggambarkan reputasi unggul jututerbang berani-mati Jepun yang digelar kamikaze, mereka diagungkan kerana sanggup mengorbankan nyawa demi ketaatan kepada mahajara Jepun. (54) Apa yang membuatkan saya berfikir adalah bagaimana propaganda membuatkan ia sebagai suatu yang unggul dan dihormati. Walhal ia tiada beza dengan pengebom berani mati Palestin sebagai contoh, yang mengorbankan diri untuk kemerdekaan tanah air mereka, namun dimata dunia mereka bukan unggul dan dihormati tetapi digelar dengan gelaran yang jelik seperti teroris di mata dunia. Disini saya memahami peranan propaganda boleh menggambarkan sesuatu perbuatan yang sama dengan persepsi yang cukup berbeza.

Propaganda yang disajikan kepada masyarakat Malai (Malaya) dan Syonan-to (Singapura) bukan sahaja perihal perkembangan peperangan di Asia, malah peperangan dan situasi di Eropah turut disajikan. Propaganda yang menyokong pasukan Paksi iaitu pihak fasis Jerman dan Itali yang merupakan sekutu Jepun turut ditanam ke dalam masyarakat Malai dan Syonan-to. Antara magsa propaganda yang sering menjadi target serangan adalah Churchill dan Roosevelt. Roosevelt digambarkan sebagai pemimpin yang lemah serta menghadapi kekalahan dalam kempen perang antarabangsa juga menghadapi tekanan dalam negara, namun hakikatnya Roosevelt merupakan antara presiden Amerika paling popular dalam sejarah, beliau memenangi pilihanraya presiden sebanyak 4 kali, malah dibawah pemerintahan beliau, reformasi sosial besar-besaran dilaksanakan yang sangat terkenal, dipanggil sebagai The New Deal yang berjaga membawa Amerika keluar dari The Great Depression. (77)

Walaupun naskah ini merupakan naskah kajian ilmiah, saya mempunyai kritik kecil, iaitu tentang bagaimana penulis menafsirkan sesebuah imej propaganda, tidak begitu jelas metodologi yang digunakan. Seolah-olah ia hanya tafsiran rawak penulis berdasarkan pemerhatian-pemerhatian luaran. Juga saya dapati banyak ulasan mempunyai kekurangan konteks, antara propaganda yang selalu kelihatan berulang-ulang adalah kempen menanam sendiri makanan, meningkatkan produktiviti pertanian, Grow More Food. Namun tidak diulas secara terperinci kena kempen ini terjadi, adakah ketika itu berlaku kekurangan makanan sehingga ia memerlukan propaganda yang berulang? Mungkin boleh dikemukakan kajian-kajian perihal stok makanan semasa pendudukan Jepun. Jika konteks ini diperincikan mungkin pemahaman tentang mengapa propaganda tertentu dikeluarkan dapat lebih difahami dari sekadar mengulas apa yang terlukis pada gambar.

Akhir kalam saya merasakan bahawa buku ini sangat informatif terutamanya kepada masyarakat awam seperti saya yang tidak mempunyai banyak pengetahuan perihal situasi negara semasa perang dunia ke-2. Makalah ini sudah tentu mempunyai perspektif dan bidang pengkajiannya yang spesifik, ia membuatkan pembaca tertanya-tanya perihal sudut-sudut lain yang boleh dilihat perihal sejarah pendudukan Jepun di Malaya ini. Semoga kita bakal menikmati pelbagai jenis karya lagi dari penulis yang prolifik ini.

Muhasabah Sebuah Kelahiran


Sambutan hari lahir tahun ini dirumah sahaja, biasanya isteri akan belanja makan diluar, tetapi kerana mengenangkan suasana pandemik yang masih belum surut beliau hanya membawa balik ayam goreng 4Fingers dan sekeping pizza untuk dimakan dirumah bersama anak-anak. Sederhana tetapi syukur, masih diberi secebis nafas untuk merasai sebuah kehidupan. Masih dikurnia orang-orang yang menyayangi diri ini.

Sambutan hari lahir bukanlah sebuah tradisi dalam keluarga saya. Kami tidak pernah menyambutnya semasa kecil seingat saya. Malah saya sendiri tiada kesedaran akan bila sebenarnya tarikh kelahiran saya. Ketika di sekolah menengah baru saya mula sedar dan tahu bila tarikh kelahiran saya kerana menyambutnya bersama rakan-rakan sekolah.

Namun kebelakangan ini saya lebih banyak memikirkan soal kematian berbanding soal kelahiran. Mengenang pemergian ayah sekitar 7 bulan lalu, jika dibanding usia pemergian ayah, saya hanya mempunyai baki 30 tahun lagi untuk terus hidup. Bakinya telah saya gunakan, telah saya hidupi, sama ada ia kehidupan yang baik, saya tidak pasti, namun saya kira itulah kehidupan paling baik yang saya boleh hidupi, dengan keadaan hidup yang saya ada. Sekarang saya mempunyai baki 30 tahun sahaja lagi, itupun jika ajal bukan lebih awal, jadi 30 tahun terakhir ini perlu difikirkan mahu diisi dengan apa, sebelum tiba masanya untuk pergi selama-lamanya.

Dahulu semasa kecil saya mempunyai banyak cita-cita, dan cita-cita ini sering berubah dari masa ke semasa, bergantung kepada apa yang saya alami dalam setiap fasa hidup. Saya ingin menjadi mujahideen berjuang membebaskan Afghanistan dari penjajahan Soviet, ingin menjadi saintis, ingin menjadi penternak ayam di kampung, ingin membuka rumah anak yatim dan miskin, dan seribu satu cita-cita lagi. Kini mungkin saya sedar, tidak semua cita-cita itu saya boleh capai, dahulu saya ingin mengubah dunia, di umur 30-an ini saya ingin mengubah diri saya.

Antara target baharu saya ialah untuk menghabiskan pengajian sarjana saya sebelum melangkah ke umur 40-an, alhamdulillah baru-baru ini saya telah berjaya menghabiskan peperiksaan untuk menjadi ahli profesional dalam bidang perkapalan jadi bolehlah saya kembali semula ke sekolah pascasiswazah. Cumanya keadaan semasa kelihatan tidak menentu dengan penularan wabak Covid-19, penangguhan pengajian di universiti, jadi saya mungkin perlu menunggu dahulu sebelum keadaan menjadi normal semula. 

Jumaat, 30 Oktober 2020

Reviu Zine Dari Johor #1


Zine Dari Johor yang pertama ini membawakan definisi anarkisme sebagai tema utama, semestinya anarkisme bukan dapat difahami dengan satu definisi rasmi sahaja, sekurang-kurangnya kita dapat faham apa yang dimaksudkan oleh anarkisme dari anarkis-anarkis Johor.

Dalam muka-muka awal dipersembahkan maksud otonomi (autonomy) iaitu sebagai satu kebebasan untuk menganut nilai-nilai anarkis tanpa perlu diminta persetujuan dari kekuasaan yang lebih tinggi seperti kerajaan. Bagi mereka otonomi bukan sahaja bersifat individu, tetapi juga bersifat kolektif, ia tidak dapat dipisahkan. Perkara ini membuatkan saya berfikir, apabila ditulis "otonomi individu tidak dapat dipisahkan dengan otonomi kolektif" apakah maksudnya? Kerana saya sering melihat bahawa setiap manusia mempunyai kepentingan yang berbeza, dan seringkali bercanggah. Seperti sejarawan Howard Zinn ketika membedah apa itu maksud "kepentingan negara", kerana negara itu terdiri dari pelbagai kelas yang mempunyai kepentingan berbeza. Jadi jika ada perbezaan antara individu atau kolektif, atau kolektif bersama kolektif yang lain, dari sudut praktikalnya, siapa yang boleh membuat keputusan andai jalan perbincangan tidak menemui solusi?

Saya bersetuju dengan tuan editor bahawa terma 'anarkisme' mempunyai konotasi yang negatif dalam masyarakat, ia dipandang dengan "ganjil dan aneh". Media memainkan peranan penting dalam memaknai konotasi negatif ini, sebagai contoh, dalam siri televisyen Gotham, ketika detektif Gordon ingin membersihkan bandarnya dari cartel mafia dan korupsi, ketua mafia Don Falcone memberitahunya bahawa mereka bukanlah musuh sebenar masyarakat kerana mereka bekerjasama dan mengimbangi kerajaan, musuh sebenar kata Dol Falcone adalah anarki. Anarki dikaitkan dengan kacau bilau sedangkan bagi para anarkis maksud mereka mungkin merupakan manifestasi kebencian mereka terhadap perampasan, penindasan, penaklukan, monopoli, dari authority yang berkuasa dan zalim.

Saya faham bahawa zine ini merupakan medium santai bukan buku teks, tetapi saya kira ianya perlu diperbaiki lagi dari sudut teksnya agar mudah difahami. Saya dapati ada ayat-ayat yang tergantung, ayat yang tidak jelas dan tersusun yang menyukarkan pembacaan. Mungkin boleh diminta ia diulang-baca oleh sesiapa sebelum diterbitkan.

Saya juga tertarik dengan usaha-usaha ekonomi yang dibangunkan contohnya String Art, kolektif mereka turut menceburi pelbagai bidang seperti penerbitan, Cukong Press, percetakan pakaian, Organisasi Terlarang. Mereka bukan sahaja bersembang hal-hal idea anarkis tetapi ada sudut praktikalitinya. Mungkin satu hari nanti boleh ditulis pula sejarah dan perkembangan usaha-usaha ekonomi ini dalam zine akan datang satu persatu, ia tentunya mempunyai pelbagai kisah suka dan duka.

Dalam perbincangan perihal forum Seni dan Aktivisme ada ditakrifkan apa itu seni, iaitu seni sebagai aksi, ekspresi dan menyuarakan pendapat, seni bukan sahaja aktiviti seperti melukis, mewarna dan menyanyi kerana itu adalah perbuatan. Definisi seni ini sangat menarik kerana ia membawa makna yang lebih luas, sesiapa pun boleh melakukan kesenian. Saya teringat akan satu temuramah oleh George Carlin ketika beliau sudah tua, beliau ditanya bila hendak bersara, beliau menjawab komedinya adalah satu aksi kesenian, kita tidak akan bertanya kepada Picasso bila dia akan berhenti melukis.

Ada juga diceritakan perihal mat-mat motor yang dianggap rosak oleh masyarakat. Hakikatnya mereka bukanlah rosak kerana mereka ingin rosak, cumanya mereka tidak punya kesedaran tentang apa yang perlu dilakukan untuk memberi sumbangan pada dunia. Diceritakan perihal seorang mat motor yang mendapat kesedaran dan menggunakan circle dan hubungannya sesama mat-mat motor untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang positif. Tuan editor dalam penulisannya menekankan permasalahan ini adalah permasalahan sistem, bukan sahaja mat motor tidak punya kesedaran, tetapi ibu bapa mereka sibuk mengurus hal ekonomi dan tidak sempat untuk mendidik anak-anak.

Tulisan berkenaan dengan solidariti terhadap orang kampung yang menolak pembinaan pusat sisa buangan waste to energy di Bukit Payung turut dimuatkan didalam zine ini. Saya pertama kali memahami dengan dalam masalah ini ketika membaca buku yang ditulis oleh saudara Iltizam Iman Menolak Perintah. Sekali lagi masalahnya bukanlah pada projek ini secara khusus, tetapi masalahnya adalah sistem yang dibuat untuk tidak menyebelahi rakyat. Anarkis sedar akan hal ini, sebab itu permasalahan sistem adalah tema yang selalu diulang di dalam zine ini.

Ada satu artikel khas yang ditulis dalam zine ini oleh Ocha dalam memberi makna kepada anarkisme, walaupun bahasanya agak kasar dan ganas, maknanya saya kira elok direnungkan. Anarkisme adalah sebuah fahaman tanpa ketua, tetapi ia memahami realiti hidup, iaitu ada ketika seorang pembuat keputusan diperlukan, maka ketika itu seorang ketua boleh dilantik, tetapi apabila ketua itu bertindak membahayakan orang lain, dia perlu digugat dan diturunkan. Makna ini saya kira dekat dengan makna yang pernah diberi oleh Noam Chomsky iaitu mana-mana sistem kuasa yang tidak dapat menjustifikasikan kewujudan mereka perlulah dirobohkan.

Cuma artikel itu sedikit mengelirukan, walaupun ia ditulis oleh Ocha, ditengah-tengahnya editor masuk dan menulis "thanks Ocha". Saya kira elok kiranya setiap artikel ditulis tajuk dan penulis di permulaan untuk memudahkan pembacaan dan tidak mengelirukan, ucapan terima kasih mungkin boleh dimasukkan di penghargaan di permulaan zine. Artikel berkenaan kemudian menyambung bahawa anarkisme adalah ideologi ekonomi, bersifat alamiah, tanpa campur tangan kuasa dan kepentingan yang menindas. Anarkisme yang dituduh buruk tidak mencetuskan perang-perang dunia, sebaliknya merekalah yang melawan kuasa-kuasa yang sering berperang. Anarkisme percaya bahawa masalah utama masyarakat adalah masalah ekonomi, kerana dari ekonomi sesuatu masyarakat terbentuk.

Artikel yang ditulis oleh Grinder Kulaifornia II juga menarik minat saya, yang membawakan idea untuk menghidupkan sebuah lorong di Kulai iaitu Lorong Ismail. Ia diberikan nama istimewa sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Saya begitu tertarik dengan misi untuk menjadikan LUAS sebagai "sebuah tempat yang penuh dengan keamanan dan ketenangan untuk mereka yang sukakan suasana street sambil mengopi dan menikmati aktiviti-aktiviti seni". Semoga usaha ini berjaya, dan semoga satu hari nanti saya boleh tumpang mengopi pula disana!

Selain artikel ganas perihal makna anarkisme, Ocha juga menyumbang satu lagi artikel dalam zine ini yang bertajuk "Peranan Percetakan Dalam Gerakan", mungkin ia adalah inspirasi kepada penubuhan Cukong Press. Dalam artikel itu dibawakan satu tokoh anarkis bernama Liu Shifu yang tidak begitu terkenal seperti tokoh anarkis lain seperti Proudhon, Bakunin, Stirner dan Goldman. Ia juga menceritakan bagaimana ideologi anarkis masuk ke Malaysia.

Artikel oleh Saleng Kulai yang bertajuk Kongsi Pengalaman juga menarik, terutamanya perbincangan tentang bagaimana teknologi membuatkan dunia semakin rapat. Eropah, Asia, Timur Tengah, semuanya kini mendekati antara satu sama lain, berinteraksi, belajar dan berhubung tanpa kekok. Perbincangan berkenaan dengan bagaimana teknologi mendekatkan dunia yang terpisah ini juga membuatkan saya terkenang buku yang ditulis Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat, idea Saleng Kulai ini menjadi teras kepada thesis buku Friedman itu.

Artikel Utopia tulisan Kulai Besar bagi saya merupakan artikel yang mempunyai nilai falsafah. Artikel ini cuba untuk menjawab tuduhan bahawa idea anarkisme adalah bersifat utopia yang tidak boleh dicapai. Ia juga membincangkan soal taktikal, ia tidak gelojoh dengan memulakan misi untuk merobohkan negara serta merta sebaliknya memulakan gerak kerja dengan keadaan yang ada, dengan sumber dan tenaga yang ada. Dalam pertahanannya, penulis mengkritik bahawa kapitalisma sendiri juga belum tertegak secara ideal seperti dalam teorinya, dalam kata lain kapitalisma juga adalah idea utopia. Saya rasa renungan ini benar, jika kita membaca buku yang ditulis ekonomis Ha-Joon Chang dalam bukunya yang sangat mudah difahami, 23 Things They Don't Tell You About Capitalism, Chang mengkritik idea free market yang diperjuangkan oleh kapitalisme. Kerana hakikatnya free market tidak wujud, contohnya kita tidak boleh menjual dadah, atau menggunakan buruh kanak-kanak, kenapa? Sekiranya pasaran itu terbuka, bukankah pasaran yang perlu menentukan apa yang hendak dijual-beli, bukan moral. Jadi jika dikatakan idea kapitalisme itu utopia, saya boleh menerimanya. Jadi persoalan yang tinggal, kenapa masyarakat menerima kapitalisme dan menolak anarkisme jika kedua-duanya idea yang utopia? Hakikatnya kita semua dalam proses menuju kepada sesuatu, idea yang utopia itu hanya memberi kita hala tuju destinasi yang hendak kita tuju.

Banyak lagi point-point yang menarik dalam zine ini untuk difikirkan, tidak muat untuk posting yang terbatas ini, elok dibaca dan diperhalusi sendiri. Saya akhiri ulasan zine ini dari kata-kata akhir editor sendiri, Redo, "tanpa diperintah dan memerintah, tanpa dimiliki dan memiliki, tanpa hieraki dan autoriti, tanpa patriaki dan matriaki, tanpa kuasa untuk menguasai!"

Sabtu, 17 Oktober 2020

Catatan Baitul Muslim 38: Anjing Bernama Pep-Po


Ketika anak saya yang pertama berusia dua-tiga tahun, cerita kegemarannya adalah Inside Out, mungkin itu cerita kegemarannya kerana dia tidak didedahkan dengan cerita lain. Animasi yang diterbitkan pada tahun 2015 ini mengisahkan perihal seorang budak berumur 11 tahun yang bernama Riley, peningkatan umur, juga perubahan keadaan hidupnya (berpindah dari Minnesota ke San Francisco mengikut ayahnya yang bertukar kerja) memberi kesan kepada emosinya. Animasi itu menceritakan bagaimana emosi Riley bertindak balas dan bagaimana dia berubah ke proses yang lebih matang. 

Tentu sahaja anak saya ketika itu tidak memahami plot dan makna cerita ini. Jika saya menonton bersamanya, dia akan bertanya kepada saya setiap minit "abi kenapa macam ini?" "kenapa macam tu?". Dia menontonnya sebagai sebuah kartun. Dalam animasi tersebut, ketika Riley masih kecil, dia mempunyai teman imaginari (imaginary friend) bernama Bing Bong yang merupakan haiwan campuran kucing, gajah, dan dolphin. Babak Bing Bong berkorban untuk emosi gembira Riley mungkin babak yang paling sedih dalam animasi ini - isteri saya menangis ketika kami tonton bersama ketika kami baru berkahwin.

Ada sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal Child Development yang ditulis oleh Gabriel Trionfi dan Elaine Reese berkenaan dengan kanak-kanak yang membesar dengan teman imaginari. Hasil kajian mereka, 48% kanak-kanak dari sampel kajian didapati mempunyai teman imaginari, teman ini boleh jadi diimaginasikan sebagai manusia atau haiwan. Kajian mereka mendapati anak-anak yang mempunyai teman imaginari mempunyai skil naratif yang lebih baik, mereka dapat menceritakan sesuatu dengan konteks yang lebih kaya, dan mereka mendapati hal ini lebih jelas pada anak yang pertama.

Saya berpendapat, hasil pemerhatian saya, anak pertama lebih cenderung akan hal ini, dia akan selalu mengajak saya untuk play pretend, contohnya menganggap tikar sebagai sungai, anak kedua masih diawal usia bayi jadi kecenderungan ini belum kelihatan. Anak pertama saya juga mempunyai seekor anjing mainan yang dibinanya dari set mainan blok dan dinamakan Pep-Po, kadangkala dia akan membawa Pep-Po tidur bersamanya, mengajak saya menyambut hari jadi Pep-Po, selain hari jadi teddy bear-nya. Walaupun sebagai seorang ayah, kadangkala sukar juga saya untuk lakonkan watak-watak mainan beliau apabila diajak bermain kerana saya sudah dewasa dan keluar dari fasa ini, saya akan cuba juga untuk bermain dengannya, play pretend, kerana satu hari nanti anak jaya juga akan keluar dari fasa ini.

Jumaat, 16 Oktober 2020

Kaki Ditarik Tenggelam Dalam Nostalgia


Apa perlunya kenangan,
Andai yang dibawa cuma tangisan.

Menarik kaki,
Dari berdiri,
Hanyut semula dalam sungai memori.

Melihat wajah yang telah pergi,
Cinta yang tidak jadi.

Sukar untuk hidup untuk sekarang,
Ibarat kaki yang kejang,
Terikat pada memori usang.

Beratnya menyesak jiwa,
Hingga akhirnya tenggelam dalam nostalgia.


Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Sosialisma?


Persoalan Komunisma-Sosialima merupakan persoalan usang, namun ia masih relevan sehingga ke hari ini. Perlawanan ideologi dua mazhab ekonomi ini telah diperdebatkan sejak zaman berzaman, darah telah ditumpahkan, revolusi tercetus, menyebabkan jatuhnya monarki dan feudalisma, malah lautan dakwat telah ditumpahkan ke atas lembaran untuk menulis kitab perihalnya, untuk menyokong atau mengkritiknya.

Dahulu saya mencari makna sosialisma ini dengan kacamata bahawa ia punya satu definisi objektif yang jelas. Namun kini saya tersedar bahawa ia adalah satu kanta yang silap, sosialisma tidak punya satu makna, tidak punya satu definisi, ia berbeza mengikut pemikir, mengikut geografi, latar masa dan suasana. Saya sedar akan hal ini apabila saya mengikuti pelbagai syarahan ahli ekonomi Marxis, Profesor Richard D. Wolff, yang digelar oleh majalah The New York Times sebagai ahli ekonomi Marxis yang paling ulung di Amerika.

Entah kenapa, apabila saya mendengar perbahasan ekonomi dari aliran kiri, ia lebih masuk akal, mudah difahami, menarik, hujahnya kedengaran lebih elegan, mungkin teori ekonomi arus perdana terlalu kompleks dan matematikal untuk otak manusia biasa seperti saya, atau teori ekonomi aliran kiri berbentuk simplistik, saya tidak pasti. Tapi syarahan Prof. Wolff begitu menarik, hampir satu minggu saya habiskan mendengar syarahannya, saya dengar syarahan beliau di Talks at Google, di Levy Economics Institute of Bard College, ACLU SoCal Lecture di Occidental College, di Webster University, juga temuramah beliau bersama Bill Moyers, temuramah beliau bersama Amy Goodman dan Paul Krugman di Democracy Now! juga debat beliau melawan Gene Epstein di Soho Forum Debate. Ada lagi syarahan beliau yang saya ikuti, tapi ia akan membuatkan perenggan ini terlalu panjang. Apa yang hendak saya katakan adalah syarahan beliau menangkap imaginasi, mudah difahami, serta menyebabkan saya mahu mendengar lebih lagi.

Antara ulasan beliau yang sangat mencerahkan adalah perkembangan sosialisma, seperti sistem lain termasuk sistem kapitalisma, sosialisma berubah mengikut zaman, ia tidak statik, ada idea yang dicuba dan gagal, ada idea-idea baru. Sosialisma lama menurut beliau adalah kefahaman bahawa sosialisma bermaksud perniagaan semuanya diuruskan oleh kerajaan dengan ekonomi dikawal ketat oleh kerajaan pusat (central planning). Model ini telah dicuba oleh Kesatuan Soviet tetapi gagal, komunis China pula tidak mengamalkan dasar ini secara monolitik sebaliknya membuka ruang besar untuk ekonominya dijalankan menggunakan sistem kapitalis walaupun menggunakan nama dan pakaian komunis.

Sosialisma Alaf-21 menurut Richard Wolff merupakan fahaman bukan bermaksud ekonomi perlu dikawal kerajaan, kerana apa yang dilakukan sebelum ini adalah menggantikan sekelompok kecil kapitalis yang menguasai syarikat dan menggantikannya dengan pegawai-pegawai kerajaan, ini menurut Wolff tidak mengubah struktur hiraki syarikat dan ini juga bukan idea asal Karl Marx, Marx dalam tulisan-tulisannya tidak memandang berat soal campurtangan kerajaan dalam ekonomi kerana itu bukan apa yang ingin beliau teliti. Apabila struktur hiraki tidak berubah, ia masih dikawal oleh segolongan kecil manusia yang membuat keputusan untuk populasi pekerja yang lebih besar, cuma bezanya sebelum ini mereka ditindas oleh kapitalis, sekarang mereka ditindas oleh pegawai kerajaan.

Bagi Wolff, sosialisma Alaf-21 bermaksud pendemokrasian tempat berkerja. Bukan sekadar menukar elit kecil yang membuat keputusan ekonomi. Tempat kerja adalah tempat yang kita habiskan sebahagian besar umur produktif kita, jika kita mempercayai demokrasi, mengapa sebahagian besar hidup kita ini tidak ditukarkan ke sistem demokrasi? tanya Wolff. Solusi beliau adalah mewujudkan syarikat milik pekerja (workers co-op). Apabila pekerja yang memiliki syarikat dan punya kuasa dalam membuat keputusan ekonomi, mereka akan membuat keputusan-keputusan yang memihak kepada sebahagian besar pekerja, bukan golongan elit kecil, baik elit kapitalis atau elit kerajaan. Bagi mereka yang skeptik dengan solusi ini, beliau sering mengulang-ulang kejayaan Corporacion Mondragon, sebuah syarikat milik pekerja di Basque, Sepanyol yang kini sudah berkembang menjadi konglomerat dengan 81,507 pekerja (data tahun 2019).

Saya teringat polemik saya bersama Komrad Benz Ali berkaitan dengan kebergantungan golongan kiri kepada golongan kanan. Jika kapitalis adalah sistem kanan, Richard Wolff dalam syarahannya sering menekankan kebergantungan sosialisma dengan kapitalisma, beliau menyebut bahawa "capitalism produced Karl Marx" dan dalam syarahan lain beliau menyebut "socialism is a product of capitalism". Dalam pelbagai definisi sosialisma, mungkin para sosialis bersetuju dengan satu definisi, bahawa sosialisma bermaksud lawan kepada kapitalisma, ia akan wujud selagi kapitalisma wujud, ia adalah "self-critiscm" buat kapitalisma.

Jika anda ingin cuba memahami teori ekonomi Marxis atau ingin memahami apa yang dimaksudkan dengan sosialisma tapi mendapati bahawa artikel ini tidak begitu jelas untuk memuaskan nafsu intelektual anda, saya sarankan anda mendengar sendiri syarahan Prof. Richard David Wolff, tidak perlu dengar semua yang saya telah senaraikan, satu sudah memadai kerana kesemuanya kebanyakannya mempunyai isi fundamental yang sama.