Zine Dari Johor yang pertama ini membawakan definisi anarkisme sebagai tema utama, semestinya anarkisme bukan dapat difahami dengan satu definisi rasmi sahaja, sekurang-kurangnya kita dapat faham apa yang dimaksudkan oleh anarkisme dari anarkis-anarkis Johor.
Dalam muka-muka awal dipersembahkan maksud otonomi (autonomy) iaitu sebagai satu kebebasan untuk menganut nilai-nilai anarkis tanpa perlu diminta persetujuan dari kekuasaan yang lebih tinggi seperti kerajaan. Bagi mereka otonomi bukan sahaja bersifat individu, tetapi juga bersifat kolektif, ia tidak dapat dipisahkan. Perkara ini membuatkan saya berfikir, apabila ditulis "otonomi individu tidak dapat dipisahkan dengan otonomi kolektif" apakah maksudnya? Kerana saya sering melihat bahawa setiap manusia mempunyai kepentingan yang berbeza, dan seringkali bercanggah. Seperti sejarawan Howard Zinn ketika membedah apa itu maksud "kepentingan negara", kerana negara itu terdiri dari pelbagai kelas yang mempunyai kepentingan berbeza. Jadi jika ada perbezaan antara individu atau kolektif, atau kolektif bersama kolektif yang lain, dari sudut praktikalnya, siapa yang boleh membuat keputusan andai jalan perbincangan tidak menemui solusi?
Saya bersetuju dengan tuan editor bahawa terma 'anarkisme' mempunyai konotasi yang negatif dalam masyarakat, ia dipandang dengan "ganjil dan aneh". Media memainkan peranan penting dalam memaknai konotasi negatif ini, sebagai contoh, dalam siri televisyen Gotham, ketika detektif Gordon ingin membersihkan bandarnya dari cartel mafia dan korupsi, ketua mafia Don Falcone memberitahunya bahawa mereka bukanlah musuh sebenar masyarakat kerana mereka bekerjasama dan mengimbangi kerajaan, musuh sebenar kata Dol Falcone adalah anarki. Anarki dikaitkan dengan kacau bilau sedangkan bagi para anarkis maksud mereka mungkin merupakan manifestasi kebencian mereka terhadap perampasan, penindasan, penaklukan, monopoli, dari authority yang berkuasa dan zalim.
Saya faham bahawa zine ini merupakan medium santai bukan buku teks, tetapi saya kira ianya perlu diperbaiki lagi dari sudut teksnya agar mudah difahami. Saya dapati ada ayat-ayat yang tergantung, ayat yang tidak jelas dan tersusun yang menyukarkan pembacaan. Mungkin boleh diminta ia diulang-baca oleh sesiapa sebelum diterbitkan.
Saya juga tertarik dengan usaha-usaha ekonomi yang dibangunkan contohnya String Art, kolektif mereka turut menceburi pelbagai bidang seperti penerbitan, Cukong Press, percetakan pakaian, Organisasi Terlarang. Mereka bukan sahaja bersembang hal-hal idea anarkis tetapi ada sudut praktikalitinya. Mungkin satu hari nanti boleh ditulis pula sejarah dan perkembangan usaha-usaha ekonomi ini dalam zine akan datang satu persatu, ia tentunya mempunyai pelbagai kisah suka dan duka.
Dalam perbincangan perihal forum Seni dan Aktivisme ada ditakrifkan apa itu seni, iaitu seni sebagai aksi, ekspresi dan menyuarakan pendapat, seni bukan sahaja aktiviti seperti melukis, mewarna dan menyanyi kerana itu adalah perbuatan. Definisi seni ini sangat menarik kerana ia membawa makna yang lebih luas, sesiapa pun boleh melakukan kesenian. Saya teringat akan satu temuramah oleh George Carlin ketika beliau sudah tua, beliau ditanya bila hendak bersara, beliau menjawab komedinya adalah satu aksi kesenian, kita tidak akan bertanya kepada Picasso bila dia akan berhenti melukis.
Ada juga diceritakan perihal mat-mat motor yang dianggap rosak oleh masyarakat. Hakikatnya mereka bukanlah rosak kerana mereka ingin rosak, cumanya mereka tidak punya kesedaran tentang apa yang perlu dilakukan untuk memberi sumbangan pada dunia. Diceritakan perihal seorang mat motor yang mendapat kesedaran dan menggunakan circle dan hubungannya sesama mat-mat motor untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang positif. Tuan editor dalam penulisannya menekankan permasalahan ini adalah permasalahan sistem, bukan sahaja mat motor tidak punya kesedaran, tetapi ibu bapa mereka sibuk mengurus hal ekonomi dan tidak sempat untuk mendidik anak-anak.
Tulisan berkenaan dengan solidariti terhadap orang kampung yang menolak pembinaan pusat sisa buangan waste to energy di Bukit Payung turut dimuatkan didalam zine ini. Saya pertama kali memahami dengan dalam masalah ini ketika membaca buku yang ditulis oleh saudara Iltizam Iman Menolak Perintah. Sekali lagi masalahnya bukanlah pada projek ini secara khusus, tetapi masalahnya adalah sistem yang dibuat untuk tidak menyebelahi rakyat. Anarkis sedar akan hal ini, sebab itu permasalahan sistem adalah tema yang selalu diulang di dalam zine ini.
Ada satu artikel khas yang ditulis dalam zine ini oleh Ocha dalam memberi makna kepada anarkisme, walaupun bahasanya agak kasar dan ganas, maknanya saya kira elok direnungkan. Anarkisme adalah sebuah fahaman tanpa ketua, tetapi ia memahami realiti hidup, iaitu ada ketika seorang pembuat keputusan diperlukan, maka ketika itu seorang ketua boleh dilantik, tetapi apabila ketua itu bertindak membahayakan orang lain, dia perlu digugat dan diturunkan. Makna ini saya kira dekat dengan makna yang pernah diberi oleh Noam Chomsky iaitu mana-mana sistem kuasa yang tidak dapat menjustifikasikan kewujudan mereka perlulah dirobohkan.
Cuma artikel itu sedikit mengelirukan, walaupun ia ditulis oleh Ocha, ditengah-tengahnya editor masuk dan menulis "thanks Ocha". Saya kira elok kiranya setiap artikel ditulis tajuk dan penulis di permulaan untuk memudahkan pembacaan dan tidak mengelirukan, ucapan terima kasih mungkin boleh dimasukkan di penghargaan di permulaan zine. Artikel berkenaan kemudian menyambung bahawa anarkisme adalah ideologi ekonomi, bersifat alamiah, tanpa campur tangan kuasa dan kepentingan yang menindas. Anarkisme yang dituduh buruk tidak mencetuskan perang-perang dunia, sebaliknya merekalah yang melawan kuasa-kuasa yang sering berperang. Anarkisme percaya bahawa masalah utama masyarakat adalah masalah ekonomi, kerana dari ekonomi sesuatu masyarakat terbentuk.
Artikel yang ditulis oleh Grinder Kulaifornia II juga menarik minat saya, yang membawakan idea untuk menghidupkan sebuah lorong di Kulai iaitu Lorong Ismail. Ia diberikan nama istimewa sebagai Lorong Underground Art Space (LUAS). Saya begitu tertarik dengan misi untuk menjadikan LUAS sebagai "sebuah tempat yang penuh dengan keamanan dan ketenangan untuk mereka yang sukakan suasana street sambil mengopi dan menikmati aktiviti-aktiviti seni". Semoga usaha ini berjaya, dan semoga satu hari nanti saya boleh tumpang mengopi pula disana!
Selain artikel ganas perihal makna anarkisme, Ocha juga menyumbang satu lagi artikel dalam zine ini yang bertajuk "Peranan Percetakan Dalam Gerakan", mungkin ia adalah inspirasi kepada penubuhan Cukong Press. Dalam artikel itu dibawakan satu tokoh anarkis bernama Liu Shifu yang tidak begitu terkenal seperti tokoh anarkis lain seperti Proudhon, Bakunin, Stirner dan Goldman. Ia juga menceritakan bagaimana ideologi anarkis masuk ke Malaysia.
Artikel oleh Saleng Kulai yang bertajuk Kongsi Pengalaman juga menarik, terutamanya perbincangan tentang bagaimana teknologi membuatkan dunia semakin rapat. Eropah, Asia, Timur Tengah, semuanya kini mendekati antara satu sama lain, berinteraksi, belajar dan berhubung tanpa kekok. Perbincangan berkenaan dengan bagaimana teknologi mendekatkan dunia yang terpisah ini juga membuatkan saya terkenang buku yang ditulis Thomas Friedman yang bertajuk The World is Flat, idea Saleng Kulai ini menjadi teras kepada thesis buku Friedman itu.
Artikel Utopia tulisan Kulai Besar bagi saya merupakan artikel yang mempunyai nilai falsafah. Artikel ini cuba untuk menjawab tuduhan bahawa idea anarkisme adalah bersifat utopia yang tidak boleh dicapai. Ia juga membincangkan soal taktikal, ia tidak gelojoh dengan memulakan misi untuk merobohkan negara serta merta sebaliknya memulakan gerak kerja dengan keadaan yang ada, dengan sumber dan tenaga yang ada. Dalam pertahanannya, penulis mengkritik bahawa kapitalisma sendiri juga belum tertegak secara ideal seperti dalam teorinya, dalam kata lain kapitalisma juga adalah idea utopia. Saya rasa renungan ini benar, jika kita membaca buku yang ditulis ekonomis Ha-Joon Chang dalam bukunya yang sangat mudah difahami, 23 Things They Don't Tell You About Capitalism, Chang mengkritik idea free market yang diperjuangkan oleh kapitalisme. Kerana hakikatnya free market tidak wujud, contohnya kita tidak boleh menjual dadah, atau menggunakan buruh kanak-kanak, kenapa? Sekiranya pasaran itu terbuka, bukankah pasaran yang perlu menentukan apa yang hendak dijual-beli, bukan moral. Jadi jika dikatakan idea kapitalisme itu utopia, saya boleh menerimanya. Jadi persoalan yang tinggal, kenapa masyarakat menerima kapitalisme dan menolak anarkisme jika kedua-duanya idea yang utopia? Hakikatnya kita semua dalam proses menuju kepada sesuatu, idea yang utopia itu hanya memberi kita hala tuju destinasi yang hendak kita tuju.
Banyak lagi point-point yang menarik dalam zine ini untuk difikirkan, tidak muat untuk posting yang terbatas ini, elok dibaca dan diperhalusi sendiri. Saya akhiri ulasan zine ini dari kata-kata akhir editor sendiri, Redo, "tanpa diperintah dan memerintah, tanpa dimiliki dan memiliki, tanpa hieraki dan autoriti, tanpa patriaki dan matriaki, tanpa kuasa untuk menguasai!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan