Sabtu, 3 Oktober 2020

Motivasi Untuk Menulis: Jujur

 

Antara motivasi menulis bagi saya, selain menulis untuk renungan diri seperti yang dilakukan oleh Marcus Aurelius, adalah pembaca-pembaca yang budiman. Saya dahulu gemar menulis blog, tapi saya kira penulisan saya hambar sahaja. Ada ketika saya berfikiran mahu berhenti menulis, kemudian satu hari saya ada membaca penulisan orang lain bahawa dia terkesan dengan tulisan saya. Saya tidak mengenal beliau, baru saya sedar bahawa sebenarnya penulisan ada kesannya, sebagaimana kecil pun. Jika bukan di zaman ini, di zaman akan datang. 

Jadi jika anda merasakan penulisan anda tidak penting, jangan begitu. Jika anda merasakan ia tidak berharga, jangan berhenti dari menulis dan menerbitkan penulisan. Ia akan kekal menjadi memori zaman, dan mungkin ada yang membaca tanpa pengetahuan anda. 

Baru-baru ini ada seorang saudara menghubungi saya di Instagram, walaupun saya bukan Instafamous, beliau memperkenalkan dirinya sebagai mahasiswa Universiti Teknologi Petronas yang gemar membaca perihal idealisme, beliau bertanya perihal buku yang saya pernah tulis bertahun dahulu. Saya pun sudah tidak aktif menjual atau mempromosikannya. Setelah beberapa tahun masih ada yang bertanya. Ia merupakan motivasi kepada diri untuk terus menulis. Saya masih ada beberapa naskah berbaki, yang saya sorokkan dalam almari baju - tempat paling rahsia untuk simpan stok buku. Jadi saya poskan satu untuk beliau. 

Menulis yang pertama, sememangnya perlu pada diri sendiri. Dengan menulis pada diri, penulisan menjadi penulisan yang jujur. Penulisan yang jujur melahirkan tulisan yang berkesan, malah bertahan lama. Diari Anne Frank contohnya, merupakan tulisan untuk dirinya sendiri, bukan untuk penerbitan atau pembaca. Sebab itu kebanyakannya merupakan perkara rutin biasa, kupas kentang, bersembang dengn keluarga masa makan, cuma sedikit di hujungnya Anne ada bercerita berkenaan dengan situasi perang. 

Marcus Aurelius juga menulis pesanan-pesanan pada diri dalam naskah Meditation beliau, sebab itu banyak pesanan-pesanannya berulang-ulang, kerana dia memesan pada diri, bukan pada orang lain, Marcus menulis untuk dirinya. Jadi jika anda menulis untuk diri juga, elok diterbit dan disiarkan, mungkin anda adalah Marcus atau Anneliese zaman akan datang, yang tulisannya tersebar selepas kematian mereka, tulisan mereka hidup menjangkaui umur dan zaman mereka. 

Jika anda punyai pembaca, ia adalah motivasi bonus, tapi jika tidak, ia tidak harus menjadi penghalang anda berkarya. Jika ada pembaca yang mengulas, mengkritik, atau memetik karya anda, maka itu bonus yang lebih besar. 

Ada buku yang kita boleh harapkan orang lain untuk tulis, sama ada buku mengenai politik, ekonomi, sosial dan sebagainya, tetapi ada buku yang hanya kita boleh tulis, buku perihal pengalaman kita, pendapat kita, pemikiran kita, atau sejarah hidup kita. Buku seperti ini, jika kita tidak tulis, ia akan hilang apabila kita mati, tiada siapa yang mampu menulisnya melainkan kita sendiri.

Tiada ulasan: