Sabtu, 28 Januari 2012

Dari Andalusia ke Kota Melaka



Anak-anak di Malaysia hari ini mula mengenali sejarah rata-ratanya bermula diumur 13 tahun. Satu subjek yang penuh dengan penulisan yang panjang dan kadang kala membosankan. Hal ini merupakan suatu yang aneh. Kerana sepatutnya sejarah menjadi satu pembelajaran yang bukan saja menarik tetapi membina anak itu menjadi orang yang berprinsip . Anak itu akan terus hidup atas prinsip itu di kemudian hari.

Kegagalan subjek sejarah hari ini di sekolah melahirkan pelajar yang tidak berprinsip. Tiada pegangan , tidak tahu apa yang patut dipertahankan dan tidak tahu apa itu perjuangan. Maka lahir satu generasi yang lemah. Generasi yang kalah sebelum berjuang. Tidak perlu lagi mempersiapkan 100 ribu tentera , tidak perlu 100 ribu armada kapal , tidak perlu senapang mahupun peluru untuk dilumpuhkan. Cukuplah dengan menjual Dunhill dan Marlboro sahaja.

Maka dimana silapnya? Adakah salah guru yang gagal mengajar atau silibus yang tidak lengkap?

Kita mulakan dengan cerita.

Jatuhnya Andalusia pada 1492 menyaksikan tentera salib memperolehi satu bandar yang begitu berharga. Penaklukan Isabella dan Ferdinand ini bukan sahaja menyaksikan perubahan politik setempat di Andalusia . Mereka bukan sahaja berjaya menakluki bandar tetapi mereka berjaya menakluk kekayaan ilmu ummat Islam disitu. Maka dunia menyaksikan kemunculan dua kuasa kolonial maritim iaitu Portugis dan Sepanyol. Mereka membahagikan dunia kepada dua bahagian untuk meneruskan agenda perang salib.

Perancangan awalnya adalah menghantar Pedro Alvares Cabral ke kepulauan Melayu. Namun berlaku beberapa pertukaran menyebabkan Pedro dihantar ke Brazil dan Afonso de Albuquerque ditugaskan menakluk kepulauan melayu.

Kuasa Allah menetapkan Islam telah dahulu sampai ke tanah melayu sebelum Afonso dilahirkan. Satu sistem hidup yang bakal menyelamatkan mereka dari penjajahan Afonso. Kegigihan dan kesungguhan para du'at ( Pendakwah Islam ) menyaksikan Islam berkembang pesat. Sehinggalah pada 1402 Sultan kerajaan Hindhu bernama Parameswara memeluk agama Islam.

Kedatangan Islam membawa perubahan baru kepada lanskap nusantara. Kerajaan-kerajaan hindhu nusantara yang sebelum ini berperang sesama sendiri ratusan tahun menjadi satu dibawah Islam. Lawan bertukar kawan. Ibarat adik dan abang bersatu di bawah Islam. Tiada Malaysia tiada Indonesia. Islam menjadi kebanggaan mereka bukan negara bangsa.

Afonso berjaya menakluk  Melaka dari Sultan Mahmud Shah pada 1511. Kerajaan Islam Acheh cuba untuk merampas semula Kota Melaka dengan bantuan Kerajaan Turki Uthmaniah tetapi gagal.

Habis cerita.

Adakah itu sejarah kita? Sejarah kegagalan? Kita menyaksikan selepas itu lenyap sultan di Melaka. Malah Istana sultan Melaka turut dibakar lenyap terus dari muka bumi. Adakah ini sejarah kita?

Tidak sama sekali. Kedatangan Islam telah menyaksikan bahawa ummat kita bukanlah ummat yang gagal. Islam menjadikan kita ummat yang kuat. Tahan berjuang . Jiwa terus bebas merdeka biarpun tanah dijajah mereka.

Pedro yang ditugaskan untuk menakluk Brazil berjaya menguasai penuh tanah , emas dan penduduknya. Tamadun Inca , Aztec dan Maya hilang lenyap bersama bahasa , budaya dan khazanahnya selepas ditakluk Sepanyol dan Portugal. Brazil hilang bahasanya dan penduduknya berjaya di kristiankan.

Tapi nenek moyang kita terus kekal berjuang mempertahankan ke Islaman mereka . Bahasa Melayu yang menjadi bahasa ilmu terus dipertahankan. Kitab-kitab dalam bahasa melayu jawi terus disimpan untuk dibaca oleh anak generasi sesudah mereka. Mereka terus berjuang tak pernah jemu. Dari generasi ke generasi. Dari Sultan Mahmud Shah hingga Tok Janggut mereka berjuang dengan darah dan air mata agar Islam sampai ke tangan kita.

Walaupun kita telah kehilangan tulisan jawi yang merupakan kehilangan besar untuk ummat ini. Namun bahasa kita masih terpelihara dan perlu dijaga dan diperjuangkan. Biarlah bahasa ini berkembang bukan sahaja sasteranya tapi dalam bidang bidang lain seperti sains dan matematik. Jika kita masih menggunakan tulisan jawi mungkin saudara cina dan india di negara kita ramai yang mudah membaca Al-Qur'an dan sudah memeluk Islam.

Adakah mereka berjaya?

Ya mereka berjaya. Islam sampai ke tangan kita. Inilah yang perlu difahami dari sejarah. Inilah warisan yang dipertahankan oleh atuk nenek kita sejak 600 tahun yang lalu. Sejarah ini yang patut diajar dan difahami. Sejarah perjuangan ummat Islam yang menang.

Selasa, 20 Disember 2011

Mencarut sebagai jalan penyelesaian

Fitrah manusia mahu menegakkan apa yang dirasakan mereka benar. Apa yang dirasakan adil dan apa yang mereka rasakan perlu . Apatah lagi bagi seorang manusia yang beriman. Manusia yang iman mendasari hati mereka. Sudah semestinya dorongan iman tidak akan pernah membenarkan kezaliman dan pendustaan .

Tegakkanlah sesuatu kebenaran kerana ianya benar. Bukan kerana kita mempunyai kepentingan peribadi disebalik perjuangan menegakkan kebenaran itu.

Setuju dengan ungkapan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil :
"Mahasiswa tanpa mengira bangsa apa yang berpolitik secara bodoh macam mana sekali pun, adalah jauh lebih baik daripada mahasiswa yang hidup seperti binatang ternak pada memikirkan makan, minum, kuliah, rehat, kahwin. Sikap peduli kepada kezaliman dan salah laku pentadbiran perlu untuk melakar sempadan hidup iman."
 
Cuma dalam memperjuangkan apa yang dirasakan adil dan benar perlulah menggunakan cara yang benar juga. Jika makan mempunyai adab dan cara yang betul , berjuang dan berhujah juga mempunyai adab dan cara yang betul. 
 
Jika pihak lawan menggunakan kata-kata kesat , carutan dan makian dan anda menggunakan cara yang sama. Maka apakah bezanya? Dimanakah kebenarannya?
 
Mungkin anda merasakan carutan itu menegaskan hujah anda. Anda merasakan makian itu menandakan anda begitu serious dengan apa yang anda pegang. Carutan itu dirasakan dapat merendahkan pihak lawan seterusnya menaikkan suara anda.
 
Namun di mata masyarakat yang matang , sihat dan mampu berfikir dengan baik. Carutan ini sebenarnya merendahkan martabat pencarut tersebut. Masyarakat melihat anda sebagai penghujah mentaliti kelas bawahan.
 
Tidak salah berpolitik. Tidak salah berbeza pendapat. Tidak salah berhujah. Tidak salah menegakkan apa yang anda rasa betul. Tidak salah juga menghormati pihak lawan anda.

Ahad, 4 Disember 2011

Monolog

Aku lahir dan tumbuh dikalangan jutaan manusia.
Hidupnya mereka mengejar dunia.

Ku cuba mencari diri cuba mengenali jiwa.
Kemana hendak dituju arah mana hendak dibawa .
Patutkah aku mengikut arus manusia.

Mungkinkah ia akan membawaku kepada bahagia.
Ku cuba menghayati helaian kisah lama.
Saat manusia hidup tanpa dunia sebagai  tujuannya.
Hanya rasul dan tuhan dihati mereka.

Terdetik di hatiku inilah jalannya.
Jasad mereka telah tiada kisah mereka tinggal cerita.

Dan aku.
Aku kini dipentas dunia.
Aku sedar jalan mana perlu ditempa.

Menghidupkan cerita yang wataknya mungkin kini berbeza.
Cerita yang pasti hujungnya bahagia.
Ini jalanku anda bagaimana?

Versi video.

Ahad, 13 November 2011

Orang kata



Orang kata hidup hanya sekali.Jadi kena enjoy.

Orang kata kubur lain-lain.Jadi tak payah sibuk hal orang lain.

Orang kata biar luaran terdedah janji dalam hati baik.

Orang kata couple cara Islam takpa janji tak buat maksiat.

Orang kata kalau tension try la dua tiga batang.

Orang kata kalau tak bangun solat takpa nanti boleh qada.

Orang kata kau pun sama macam aku tak payah nak tunjuk alim.

ALLAH kata?

Jumaat, 11 November 2011

Atur langkah segera



Sedih hati kadangkala.Pilu dan sayu terasa bila melihat generasi seusia yang penuh dengan potensi diri hanyut hilang di bawa arus dunia. Potensi yang ada tidak disalurkan ke jalan yang membina.Masa usia muda masa emas yang seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mendaki puncak tertinggi hilang dengan perkara sia-sia.

Sebagai generasi yang sedar maka harus ada pemuda dan pemudi yang berusaha membaiki keadaan ini. Atau mungkin keadaannya sudah tidak lagi dapat dibaiki , tetapi boleh di kawal agar tidak membarah dan membesar. Pemuda dan pemudi ini mungkin bukanlah terbaik dari segi akademik. Juga mereka mungkin tidak sempurna dari sudut peribadi diri.

Namun mereka seharusnya sedar bahawa mereka bukanlah yang terburuk. Harus dipupuk keberanian dan disusun langkah perubahan. Kita tidak memerlukan mereka yang sempurna untuk memulakan gelombang perubahan pada generasi muda di tempat kita. Kerana tiada manusia lahir sempurna.

Kehadiran pemuda dan pemudi ini seharusnya membawa ombak-ombak kecil perubahan yang penuh kasih sayang. Dengan keyakinan , usaha dan tawakkal Inshaallah ombak tadi akan membesar dan terus bergerak meskipun hayunan pertama yang mencetuskannya telah tiada.

Mulakanlah langkah dengan hati yang ikhlas. Kerana keikhlasan ini akan menjadi ukuran disisi ALLAH dan keikhlasan ini akan menjamin konsistensi apabila datang ujian dan cubaan. Jangan pernah takut dengan sindiran dan kata-kata. Jangan biarkan ejekan melenturkan harapan. Pohonlah kepada ALLAH akan kekuatan.

Biarlah pemuda dan pemudi ini dicampak dimana pun. Ke kolej atau ke universiti , ke dalam atau ke luar negara , biar sepekat dan sehitam mana pun masyarakat di sekelilingnya. Yakinlah pemuda dan pemudi ini mampu dan perlu memberi impak positif. Jangan di benci pelaku dosa , senyum dan selamilah hati mereka. Mereka juga seperti kita cuma mungkin tidak pernah lagi berpeluang memahami apa yang kita fahami. Merasai apa yang kita pernah rasai.Yang harus di benci adalah dosanya bukan orangnya.

Pemuda dan pemuda ini adalah mereka yang faham akan tujuan dan tanggungjawab mereka. Mereka yang akan mengembalikan keceriaan pada ummat ini.Bersih dan jujur hati mereka. Pemuda dan pemudi yang mahukan masyarakat dan komuniti mereka bertambah baik. Berusahalah untuk menjadi pemuda dan pemudi ini. Atur langkah segera kerana masa tidak menunggu kita.

Rabu, 2 November 2011

Mencari


Kadang kadang rasa seperti di puncak dunia.
Gembira , bahagia dan ketawa.
Semua kelihatan indah dan nyaman udara terasa.

Tiba tiba rasa sedih , kosong , sunyi dan sepi.
Walaupun berada ditengah orang ramai tetap rasa bersendiri.
Menangis kerana tidak difahami.

Kitaran hidup membawa kita merasai pelbagai perasaan.
Yang mungkin tidak berjaya diungkap dengan perkataan.

Jumaat, 30 September 2011

Malu



Kadang-kadang termenung sendiri di luar tingkap. Memandang ciptaan ALLAH yang maha agung. Musim berganti musim. Daun luruh dan tumbuh. Semuanya sesuai dengan aturannya.

Bila memandang diri terasa malu dan hina. Selepas mandi di lautan taubat terjun semula ke lumpur maksiat. Berulang kali berdoa memohon ampun dosa yang sama.

Sampai bila akan begini.

Nikmat tak pernah terhenti meski hati berulang kali mati. Perasaan malu makin tebal setiap hari.

Mencemar hati setiap hari. Membersih dan mengotorinya kembali.

Ya ALLAH ampunilah diri ini.

Jangan engkau tarik nyawa ini saat ianya sakit atau mati. Jangan engkau tarik hidayah yang telah diberi.

Terasa bahagia saat indah melihat salju turun buat kali pertama. Harap indah juga saat pengakhiran nanti disana.