Ahad, 9 Ogos 2015

Keberanian dan survival



Teringat pada suatu pagi saya sampai ke pejabat sedikit awal, kerana saya tiada kunci jadi terpaksa tunggu seketika didalam kereta. Tiba-tiba datang abang despatch untuk mengambil cheque dari pejabat.

"Eh awalnya brader ni datang" getus hati saya. Saya perasan cam mukanya kerana bebarapa kali dia datang ke pejabat, dia antara despatch yang peramah (kebanyakan despatch semua peramah), tapi belum pernah bersembang panjang. Pada awalnya saya berlakon macho dan layan perasaan dalam kereta, tapi apabila dia angkat tangan, terpaksa juga saya keluar dan bersembang dengan nya.

Banyak juga benda yang kami bersembang. Saya bertanya kepadanya, berapa lama sudah bekerja.

"Takde la lama, baru 7 tahun" jawabnya serious. Kami gelak bersama.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah kisah ayahnya. Ayahnya orang Banjar, datang merantau ke Malaysia (mungkin waktu itu masih Malaya) ketika berumur 13 tahun. Ayahnya merantau bersendirian sehinggalah akhirnya mendapat kerja di pelabuhan Klang sebagai tukang bersih teritip yang melekat pada kapal yang berlabuh. Akhirnya ayahnya berkahwin dengan orang tempatan dan menetap di Klang. Saya kagum.

Setelah rakan kerja yang lain tiba, saya cepat-cepat memberikan cheque yang ingin dia ambil agar tidak membuat dia tertunggu. Saya teliti dokumen yang dia bawa, nama nya Nizam.

Saya kagum dengan keberanian warga seberang merantau mencari rezeki, mereka berani dan kuat usaha. Terma 'warga seberang' bagi saya agak kabur, kerana kebanyakan orang yang kita termakan sebagai 'Melayu' pada hari ini jika ditelusuri salasilah akan sampai juga ke tanah seberang. Salasilah ibu saya sendiri juga dari Banjar. Zaman dahulu dunia tiada sempadan dan manusia bebas bergerak dan inter-married, hari ini kita cipta banyak sempadan, kita cipta passport tetapi kita mengatakan dunia kita hari ini 'dunia tanpa sempadan' , sangat paradoxical.

Salasilah kita merupakan bangsa pelayar, perantau dan bangsa yang kuat survival. Entah dimana silapnya kita akhirnya settle down dan lebih selesa dengan kerja makan gaji.

Jika kita berteman dan bersembang dengan kebanyakan anak muda yang baru berkerja, baru berumah tangga, isu yang menjadi tumpuan fokus akal kebanyakan nya merupakan bagaimana untuk survive keadaan ekonomi mencabar hari ini dalam masa yang sama menyara keluarga. Tetapi saya percaya, jika kita kuat usaha, kuat daya tahan kita dapat melaluinya.

Rasanya sudah tiba masanya saya menguji daya tahan diri.


Tiada ulasan: