Khamis, 15 Oktober 2015

Ustaz Dahlan : Dakwah, Tarbiyah Dan Fikrah


Penulis : Ghazali Saad
Penerbit: Sawahijao Enterprise
Tahun: 2014

Ustaz Dahlan merupakan nama yang tidak asing bagi mereka yang telah lama mengikuti perkembangan pergerakan dakwah Islam di Malaysia. Merupakan graduan dari Universiti Baghdad, Ustaz Dahlan mula terlibat dalam ABIM Perlis sebagai wadah untuk menyampaikan dakwah di Malaysia. Beliau seterusnya mengasaskan Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah di Beseri, Perlis yang kemudian terkenal sebagai sekolah yang banyak melahirkan golongan dae'i yang membawa kefahaman Islam pada masyarakat di Malaysia.

Bagi bekas pelajar MATRI, buku ini pasti mengusik jiwa, membawa minda kembali memutar kenangan-kenangan tarbiyah di bumi wakafan MATRI. Sememangnya jasa Ustaz Dahlan dalam membina MATRI dalam menjayakan agenda tarbiyah sangat penting, semoga usaha beliau diterima ALLAH sebagai amal soleh. Generasi kini terutamanya lepasan MATRI, perlu membaca method dan pemikiran beliau dalam rangka untuk bergerak dalam masyarakat bagi menjayakan agenda dakwah.

Selain sejarah hidup. Penulis juga membawa penceritaan-penceritaan berkenaan dengan bagaimana Ustaz Dahlan mendidik dan memberi tarbiyah menggunakan kekuatan akhlak dan peribadi. Pemikiran dan fikrah beliau turut digarap melalui sedutan dari kuliah beliau sejak dari era 80-an.

Antara pemikiran yang dibawa adalah kepentingan empat asas utama dalam memahami Islam serta berkerja untuk Islam. Asas ini termasuk keimanan yang mendalam (Al-Imanul 'Amiq), kefahaman yang sebenar (Al-Fahmu Daqiq), kerja yang berterusan ( Amal Mutawasil) serta pengurusan yang rapi (Tanzimul Daqiq).

Selain itu, Ustaz Dahlan juga menekankan pentingnya kerja-kerja dakwah ini dipikul secara bersama dalam satu jamaah. Kerana tugas Islam merupakan tugas berat, ia tidak mampu dilaksanakan dengan sempurna jika dilakukan oleh seorang insan sahaja. Namun, seseorang itu perlu menjauhkan diri dari sifat ta'asub, merasakan kumpulan nya sahaja yang betul. Organisasi Islam perlu berkerjasama dalam titik persamaan dan berlapang dada pada perkara yang mempunyai khilaf dan pandangan berbeza.

Semoga anda menikmati buku kecil ini dan mampu beramal dengan nya!

Tiada ulasan: