Isnin, 27 Januari 2025

Catatan Baitul Muslim 71: Sepuluh Tahun Nan Berchenta

 

Tahun lepas merupakan tahun ulang tahun kesepuluh perkahwinan saya, namun disebabkan keadaan kesihatan yang merosot ditambah dengan kesibukan urusan duniawi, saya tidak sempat melakukan apa-apa refleksi terhadap perjalanan sepuluh tahun ini.

Saya merasakan saya berkahwin di usia yang agak muda, sebenarnya saya bercadang untuk berkahwin di usia 25 tahun, bagi mengikuti sunnah Nabi. Ternyata jodoh terlalu laju mengejar saya, setahun lebih awal saya selamat bernikah.

Bernikah bukanlah sesuatu yang mudah, selain perut, banyak perkara lain yang turut berubah. Saya struggle juga menyesuaikan diri. Berkahwin tidak semudah teori-teori indah seperti yang diungkapkan dalam “forum cinta” yang diadakan di universiti. Walaupun diwajibkan mengikuti kursus kahwin, banyak perkara dalam perkahwinan adalah seperti aspek kehidupan yang lain, ia perlu dilalui untuk dipelajari. Tidak boleh dibaca atau mendengar kuliah sahaja.

Alhamdulillah, isteri saya sudi menerima saya seadanya. Dia sedar saya tiada pengalaman berkahwin, jadi dia memaafkan saya. Saya juga sedar isteri saya tiada pengalaman berkahwin dan saya memaafkannya. Aspek kemaafan di dalam rumah tangga merupakan satu aspek yang besar, tidak mudah dijaga, sentiasa dalam hati akan terdetik rasa-rasa mahu mengungkit itu-ini. Saya dan isteri bukan pasangan sempurna, ada juga masa-masa kami bergaduh dan berbeza pandangan, itu asam garam dalam perkahwinan. Selagi kita mampu memaafkan, insha’Allah ikatan akan bertautan. Tetapi tidaklah bererti pasangan tidak perlu berubah, setiap perselisihan sebenarnya merupakan satu kuliah untuk kita belajar sesuatu.

Di awal-awal perkahwinan, saya masih ingat saya berazam pada diri untuk memberi wang pada isteri walaupun ketika itu gajinya lebih banyak dari saya. Semasa saya berkahwin saya masih belajar di peringkat pasca-siswazah. Ada juga bulan-bulan yang baki bank tinggal RM20 sahaja. Ada bulan yang saya korek duit simpanan tabung haji untuk memastikan azam ini dapat ditunaikan. Disebabkan masalah wang dan juga masalah-masalah kehidupan yang lain, akhirnya saya tinggalkan pengajian pasca-siswazah saya. Namun saya teringat pesanan murobbi saya, Ustaz Abdul Hadi Osman. Kata beliau, jangan disebabkan miskin kita berhenti belajar. Ustaz Hadi berkata bahawa beliau hanya ustaz kampung sahaja, namun beliau tidak pernah berhenti belajar. Di tepi bantal tidurnya akan ada sebuah buku yang sedang dibacanya. Beliau menceritakan keseronokannya tentang bagaimana walaupun tidak mempunyai harta yang banyak, kembara ilmu membawa beliau hingga ke rumah Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Bagi beliau, boleh makan nasi di rumah Dr. al-Qaradhawi merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Alhamdulillah, setelah bekerja beberapa ketika, saya diberi rezeki untuk menyambung kembali pengajian pasca-siswazah.

Hidup berkeluarga sememangnya bukan satu pelayaran yang mudah, keributannya akan bertambah berkali ganda dengan kehadiran anak-anak kecil. Anak-anak merupakan racun dan juga penawar. Mereka juga adalah amanah Allah yang berat kepada ibu bapa. Walaupun ada kalanya anak-anak menjadikan hidup terasa begitu berat, mereka jugalah yang menjadikan hidup begitu indah dan bermakna. Ada ketika dalam kehidupan saya menghadapi tekanan dan depresi, anak-anak yang menjadi pengubat bagi hati saya. Mereka menjadi teduh kepada jiwa saya meski pun mereka tidak menyedarinya. Ada kalanya kita merasakan kita ini loser dan tidak berguna dalam hidup, tetapi apabila ada anak-anak kecil yang sentiasa melihat kita sebagai insan hebat dan hero bagi kehidupan mereka, kita akan merasakan bahawa hidup ini merupakan hidup yang bermakna. 

Perjalanan sepuluh tahun ini merupakan nikmat besar kurniaan Allah kepada saya, hamba yang kecil dan hina. Moga saya belajar sesuatu darinya, dan dapat menjadi suami dan abi yang lebih baik pada hari esok dan seterusnya. Itu pun jika esok saya masih direzekikan dengan nyawa.

Tiada ulasan: