Selasa, 21 Januari 2025

MATRI: Bersama Kuntuman Baru Yang Subur


Dalam kotak hati saya ada satu ruangan khas di mana saya menyimpan kenangan dan memori saya di MATRI. 5 tahun saya dikandungkan dalam rahim tarbiyah ini, sejauh mana pun saya pergi, tiada tempat yang lebih istimewa dari MATRI. Setiap kali saya pulang kepadanya, seolah-olah MATRI tidak pernah jemu menyambut saya, 22 tahun yang lalu seperti semalam. Setiap kali saya pulang, saya sentiasa merasakan saya pulang sebagai pelajar, pelajar kecil yang sama yang memakai baju raihan hijau 22 tahun yang lalu. Saya tidak pernah masuk dengan merasakan saya adalah "bekas pelajar". Apabila mendapat jemputan untuk kembali ke MATRI, hati saya berbunga, menolak tidak ada dalam pilihan saya.

Peluang untuk berkongsi hati dengan adik-adik MATRI merupakan peluang yang lebih berat dari timbangan emas, satu peluang yang sentiasa saya harapkan. Walaupun saya dijemput atas tajuk forum tertentu, saya sebenarnya datang dengan agenda saya tersendiri. Saya tidak mahu bersyarah atau memberi huraian akademik kepada adik-adik saya. Tetapi saya mahu kongsikan perasaan cinta dan sayang saya pada mereka. Mereka adalah kuntuman-kuntuman subur yang baharu, generasi yang bakal menyinari alam.

Saya melihat ramai senior dan abang-abang sering mengulang bahawa "MATRI sekarang tidak seperti dulu", generasi baharu dikatakan sebagai generasi lembik, generasi tiktok yang tidak tahan lasak seperti generasi dahulu. Saya mahu adik-adik di MATRI meninggalkan pemikiran ini. Bagi saya ia adalah pemikiran lapuk dari generasi yang lapuk. Yang masanya sudah di berlalu dan mereka sudah tidak relevan.

Bagi saya setiap generasi hebat sesuai dengan zamannya. Mereka tidak perlu mandi air telaga atau mandi di Tasik Melati untuk menjadi hebat. Generasi baharu akan menempuh cabaran baharu, jadi mereka perlu ditarbiyah dengan cara baharu, sesuai dengan kehendak zamannya. Bagi saya generasi baharu MATRI akan menjadi generasi yang hebat, lebih hebat dari generasi saya sendiri. Saya mahukan adik-adik MATRI bercita-cita tinggi, menjadi bukti bahawa sekolah kecil ini mampu melahirkan generasi yang mampu menyinari zaman, membawa dunia yang gelap ini kepada masa depan baharu yang lebih cerah.

Saya juga kagum dengan soalan-soalan yang ditanyakan. Ini menguatkan lagi perasaan saya bahawa generasi baru MATRI ini lebih istimewa. Lebih berani berfikir dan ber-idea. Saya yakin, mereka semua akan menjadi insan-insan yang penting di masa hadapan. Aset besar buat Islam. Terima kasih diucapkan kepada para guru, murobbi, dan murobbiah yang terus setia mengasuh adik-adik kami di MATRI. Kami terhutang budi, kerana kalian melakukan tanggungjawab yang kami lepasan MATRI sendiri tidak mampu laksanakan. Harap kalian terus sabar dengan mereka, melihat mereka dengan kasih sayang. Ketahuilah, sekelip mata sahaja mereka akan keluar dan menjadi sebahagian dari masyarakat. Kesabaran mendidik akan menjadi asset besar bagi masyarakat pada masa akan datang.

Maka teruslah berkuntum adik-adik MATRI.
Simpanlah cita-cita yang paling besar.
Dakilah gunung yang paling tinggi.
Hiduplah dengan tarbiyah yang membakar di jiwa.
Jadilah manusia berguna di bumi.
Kutiplah ilmu hingga ke celahan bumi yang paling tersembunyi.

Ada pun aku, 
abang jauhmu, 
tidak menyimpan apa-apa buat kalian,
kecuali cinta dan harapan.

Terima kasih MATRI yang memberi saya sedikit ruang untuk berkongsi hati dan rasa bersama adik-adik yang disayangi. Ampun maaf andai ada tersalah kata, atau ada lawak hambar yang dikongsikan bersama. Apa pun orang kata, MATRI tetap di hati. 

Penulisan ini merupakan catatan getusan hati saya dalam forum bertajuk "Nafiun Lighairihi" dalam Program Khas Tamrin Selamat Pulang 2024 bersama Hazmin Zolkapli dan Suhaib Shapiee (Moderator) pada 06 Januari 2025 bertempat di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah, Perlis.

Tiada ulasan: