Jumaat, 14 Februari 2025

Membaca Dengan Lebih Bebas


Selepas tamatnya peperiksaan HST504 pada 04 Februari 2025, akhirnya saya punya lebih banyak masa untuk membaca dengan lebih bebas. Dalam belenggu peperiksaan, otak saya akan rasa bersalah jika saya membaca buku yang tiada kena mengena dengan subjek peperiksaan. Selepas tamat peperiksaan, mungkin saya akan terbelenggu dengan bacaan dissertasi pula. Namun, sebelum belenggu itu belum bermula, saya punya masa.

E.H. Carr menulis bahawa membaca akan membuatkan tangan kita gatal untuk menulis walaupun bacaan belum tamat. Buku Isrā’īliyyāt, Ḥadīth Mawḍū‘ & Fitnah Sīrah di Alam Melayu tulisan Zahiruddin Zabidi yang sedang saya baca, bagi saya sangat menggatalkan tangan. Pada mulanya, saya berpandangan buku ini mungkin bosan, kerana akan membahaskan persoalan teologi siapa sesat siapa tidak sesat.

Namun alhamdulillah, semakin dalam pembacaan, daerah perbincangannya semakin menarik. Saya sekarang membaca bahagian perkembangan penulisan apabila berkembangnya tulisan Jawi (bagi sesetengah penulis, Jawi adalah bahasa bukan tulisan). Kita sering disogokkan bahawa Alam Melayu kita mempunyai perkembangan khazanah penulisan yang agak lambat, malah dalam penulisan sejarah, sumber yang sering diulang adalah seperti Winstedt, Wilkinson, Andaya dan lain-lain.

Membaca buku ini, apabila dilampirkan manuskrip-manuskrip melayu kuno dan klasik. Saya tersedar sebenarnya khazanah penulisan kita sebenarnya kaya, cuma kita tidak sibuk mengkajinya, mengembangkannya, merumikannya, menterjemah, mengasingkan sastera-sejarah dan mengekstrak nilai sejarah darinya. Kenapa kita perlu bersusah payah? Kan lebih senang memetik apa yang sudah ditulis Winstedt et. al. Maka jadilah naratif dan kefahaman kita yang senget. Bukan sangat kolonial itu rajin menulis, tapi kita yang malas mengkaji dan menghasilkan ilmu kita sendiri. 

Melihat perkembangan khazanah tulisan Jawi ini juga mengingatkan saya tentang tokoh-tokoh pemikiran Arab seperti Bustani dan Yazeji. Apabila mereka menjumpai khazanah manuskrip Arab yang merupakan warisan bangsa mereka, mereka terpesona dan mengabdikan diri di lapangan ilmu dan mengembangkan khazanah persuratan mereka.

Cuma saya merasakan buku tulisan Zahiruddin Zabidi ini memberi terlalu banyak fokus kepada kajian bibliografi dan pemaparan kajian-kajian lalu sedangkan isi-isi utamanya tidak begitu panjang diwacanakan dan mendalam dikembangkan. Untuk penambah baikan, saya sarankan fokus yang lebih diberikan kepada isi-isi utamanya berbanding melampirkan kajian-kajian lalu.

Kesilapan Usia Perak Man oleh Ismail Ali Dalam Buku Diaspora Manusia Purba


Dalam buku bertajuk Diaspora Manusia Purba & Pensejarahan Maritim Kepulauan Asia Tenggara tulisan Ismail Ali yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia Sabah dan Cendekia pada tahun 2024, terdapat kesalahan fakta yang serius pada halaman 42 di mana ditulis "Perak Man yang dianggarkan berusia 74,000 tahun". Jika kita baca penulisan Prof. Zuraina Majid yang menjumpai Perak Man, dan juga jurnal-jurnal arkeologi, usia Perak Man dianggarkan hanya sekitar 10,000-11,000 tahun. Nilai yang dinyatakan oleh Ismail Ali sangat jauh tersasar dengan perbezaan sekitar 60,000 lebih tahun. Nama professor yang menjumpai Perak Man juga dieja dengan salah, bukan Zurina, tetapi sebenarnya Zuraina.

Patria O Muerte (Merdeka Atau Mati) - Membaca Buku "Suara-Suara Orang Melawan" Tulisan Ilham Mazlan


Di dalam buku Suara-Suara Orang Melawan tulisan Ilham Mazlan, ada dimuatkan ucapan sang revolusioner iaitu Che Guevara. Menurut Che Guevara, Cuba merupakan benteng pertama kebebasan dunia dari imperialisme Amerika Syarikat kerana dekatnya kedudukan negara mereka. Cuba merupakan bukti bahawa manusia mampu mempertahankan kebebasannya dari kuasa besar dunia. Che memetik kata-kata Castro bahawa masalah dunia adalah masalah perompakan oleh negara imperialis ke atas negara yang lain, oleh itu falsafah perompak ini harus ditentang. Apabila ia hilang, peperangan akan hilang. Kita melihat apa yang disuarakan oleh Che ini masih berlaku, negara-negara imperialis masih merompak negara-negara kecil. Amerika Syarikat dan Israel misalnya, secara terang-terangan membunuh dan merampas tanah milik orang Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Negara-negara kecil hancur dimusnahkan. Oleh itu, kita melihat perjuangan melawan imperialisme ini masih berterusan. Meski pun sang revolusioner seperti Che dan Castro sudah tiada.