Ahad, 21 Disember 2025

Catatan Baitul Muslim 73: Kemarahan Tidak Memadamkan Tanggungjawab

Hakikat manusia sifatnya lemah, walaupun mungkin badannya sasa dan gagah, kadang kala dia akan tewas juga pada emosinya. Sifat sedih, marah, kecewa, itu semua adalah sebahagian dari manusia. Walaupun kita kadang tidak suka pada emosi-emosi ini, tanpanya kita tidak boleh menjadi manusia, kita akan menjadi robot biologi. Secanggih mana teknologi yang cuba melahirkan robot biologi untuk bekerja di kilang, akademia dan industri, tetap juga tidak akan berjaya, kerana emosi akan terus mengekorinya. Emosi itu akan memberontak, menggerakkan revolusi proletar yang memanggil semula pengiktirafan manusia sebagai manusia, bukan haiwan ekonomi untuk menjadi robot di perusahaan.

Emosi ada tempatnya, namun tidak boleh dibiarkan menjadi pemandu kehidupan. Ada kalanya kita perlu berusaha mengawal emosi itu agar kita setia berjalan di atas batas rasional. Walaupun kita sedih atau kecewa dalam kehidupan misalnya, itu tidak sepatutnya membuatkan kita meninggalkan tanggungjawab kita kepada Tuhan dan manusia.

Rasulullah SAW sentiasa memberi pesan kepada kita tentang keperluan menjaga marah. Ini dapat difahami dari beberapa hadis. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, seorang lelaki datang meminta nasihat dari Rasulullah. Beliau bersabda:

"Jangan marah". Baginda mengulanginya beberapa kali dan baginda bersabda lagi "jangan marah". (Bukhari No. 6116)

Dalam sebuah hadis yang lain baginda bersabda:

"Bukanlah dikatakan orang kuat kerana dapat menumbangkan lawannya, tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya pada waktu marah." (Bukhari No. 6114)

Maka jelas, walaupun emosi itu diiktiraf, kita perlu berusaha mengawalnya. Dalam rumahtangga misalnya, kita sudah bersetuju untuk memikul tanggungjawab, sama ada dalam suka atau duka. Maka para suami, jika pun bergaduh atau merajuk dengan isteri, tidak boleh meninggalkan tanggungjawab-tanggungjawab wajibnya. Kerana rasa marah atau sedihnya bukan pembatal kepada tanggungjawab yang sudah dia persetujui dalam janji nikahnya. Jika perasaan marah boleh membatalkan tanggungjawab, maka tiada keluarga akan kekal, semuanya akan terbubar.

Begitu juga dengan anak-anak. Asam garam menjadi ibu bapa adalah dilukai oleh perangai anak-anak. Anak-anak yang sedang membesar itu pastilah banyak salah dan tidak tahunya. Kadang kelakuannya mengecewakan. Jadi tugas ibu bapa adalah berulangkali memaafkannya. Berulang kali menegurnya, menasihatinya, mengasuhnya. Jika marah itu memadamkan tanggungjawab, maka sukarlah kita mahu membesarkan anak-anak. Kerana fitrah sifat anak-anak itu melakukan kesilapan (berulang kali), tugas ibubapa adalah mengurus kesilapan mereka. Memastikan mereka belajar dari kesilapan tersebut. Bukan meninggalkan mereka. 

Tiada ulasan: