Memaparkan catatan dengan label As life goes on. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label As life goes on. Papar semua catatan

Selasa, 14 Julai 2020

Belajar Sepanjang Hayat


Dalam buku tulisan Iltizam Iman yang bertajuk 'Menolak Perintah' ada diperbahaskan soal-soal pendidikan. Saya sangat gemar perbahasan tersebut. Terutamanya persoalan-persoalan falsafah pendidikan, seperti mengapa kita belajar? Adakah belajar sekadar menghafal? Adakah ijazah sekadar tiket untuk masuk ke alam pekerjaan?

Ya, betul. Banyak yang kita boleh kritik tentang sistem pendidikan, malah kritik itu boleh pergi ke dasar, fundamental pendidikan, bukan sekadar cabang atau teknik mendidik. Dan kita juga boleh buat kesimpulan yang berbeza. Ada yang menyimpulkan bahawa pendidikan formal itu memandulkan potensi berfikir secara kritis, lalu meninggalkannya dan mencuba pendidikan alternatif sendiri seperti homeschooling. Ada juga yang menyimpulkan bahawa, ya, memang bermasalah, oleh itu pendidikan perlu diteruskan dirumah sesudah sekolah dan universiti, sekolah tidak boleh di harap penuh, ia perlu disambung oleh ibubapa di rumah.

Terserah kepada kita untuk membuat kesimpulan berdasarkan kefahaman dan gaya fikir kita. Ya teknologi hari ini telah merevolusikan tentang cara kita memandang pendidikan. Jimmy Wales pengasas Wikipedia dalam wawancara oleh Aljazeera, dalam hujahnya mempertahankan kegunaan Wikipedia yang dituduh tidak akademik, membawakan kisah Jack Andraka yang mencipta idea diagnosis test untuk pancreatic cancer hanya dengan menggunakan Google dan Wikipedia. 

Teknologi membolehkan kita belajar apa sahaja yang kita mahu dalam beberapa saat sahaja. Ingin tahu apa itu Kalam Cosmological Argument yang dipelopori semula oleh William Lane Craig? Kita boleh tonton sahaja di Youtube. Ingin belajar tentang konsep fundamental breach dalam undang-undang yang sekarang dianggap telah outdated, kita boleh baca kes mahkamah Photo Production v Securicor dengan mencari di Google.

Dalam erti kata lain, teknologi memberikan kita cara untuk belajar apa yang kita mahu belajar. Bukan kita belajar apa yang kita disuruh untuk tahu, apa yang disuruh kita untuk belajar. Namun saya secara peribadi beranggapan, institusi formal masih ada nilainya, dan masih ada pentingnya. Terutamanya dalam mengabsahkan pengetahuan seseorang dalam sesuatu bidang. Walaupun tidak bererti takpa pengabsahan itu bermaksud seseorang itu tidak tahu.

Selepas habis sarjana muda dahulu, saya menyambung pengajian pasca-siswazah. Ternyata ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Kita bukan sahaja belajar tentang metodologi untuk belajar, metodologi untuk bertanya, saya juga dapat fahami bahawa belajar itu satu proses masa yang panjang. Walaupun dalam institusi formal kita diberi masa untuk melengkapkan pengajian, ada bidang-bidang yang memerlukan masa untuk ditekuni. Dan saya tidak berjaya menghabiskan pengajian.

Memasuki alam pekerjaan, belajar secara formal merupakan satu cabaran besar. Kita bukan sahaja perlu mencari titik keseimbangan untuk masa bersama keluarga, isteri dan anak-anak. Kita juga perlu mencari keseimbangan terhadap masa kita untuk pekerjaan, masyarakat, diri sendiri, hobi, dan seribu satu perkara yang lain. Namun walaupun kini telah tua, saya harap perasaan untuk menuntut ilmu itu kekal muda.

Antara sebab saya bekerja di syarikat saya adalah falsafahnya yang mendorong pekerja melanjutkan pengajian. Pada mulanya dahulu, pekerja yang menyambung pengajian di bayar yuran mereka, ini bagi saya merupakan satu insentif yang baik. Walaupun sudah jauh dari institusi akademik, kita boleh meneroka ilmu di institusi-institusi professional. Walaupun sijilnya tidaklah setaraf dengan sijil akademik, tetapi ilmunya tetap dihargai di dalam bidang industri. Ilmu itu bukan milik institusi akademik sahaja. Namun jauh disudut hati saya, jika berjaya menyelesaikan pengajian professional, saya ingin menyambung pengajian yang tertangguh, menjadi murid semula walaupun telah tua.

Biarlah mati ketika sedang menuntut ilmu, barulah perpatah "tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad" itu terlaksana.

Isnin, 30 Mac 2020

Mimpi-mimpi yang takkan bisa terulang



Saya selalu menulis kerana banyak sebab. Ada kalanya menulis adalah terapi diri, saat dihimpit kesedihan, atau perasaan-perasaaan datang, menulis adalah instrumen saya untuk mengalirkan emosi keluar, untuk kembali tenang dan hidup semula. Banyak ketika, menulis datang kerana hasil membaca, apabila membaca, terkadang ada idea yang seolah-olah mahu keluar tetapi tersekat di dalam minda, ia akan terus berlegar-legar di dalam minda selama beberapa hari, kadang beberapa minggu, hingga menyebabkan saya sukar untuk memikirkan perkara lain, dengan menulis, idea ini keluar dan minda kembali segar. Sedia menerima idea-idea baru.

Menulis juga merupakan peluang, satu peluang untuk berinteraksi dengan generasi yang akan datang, yang mungkin saya tidak kenal, tidak pernah tahu namanya, tidak pernah menatap wajahnya, jiwa-jiwa yang tak pernah muncul dalam mimpi-mimpi saya, tapi jika tulisan saya saya tulis tidak terpadam, mereka boleh mendengar suara saya pada satu hari nanti. Mungkin sebahagiannya akan tersimpan di perpustakaan, atau jika alam maya masih belum menemui akhiratnya, mungkin mereka akan terjumpa saya di laman blog ini.

Hari ini saya ingin menulis tanpa fokus, seperti daun layu yang jatuh di atas arus sungai, biarlah sungai minda mengalirkan penulisan ini sendiri. Setia dalam alirannya, mendamaikan dalam alunannya, mendinginkan dalam sentuhannya.

Musim berkurung akibat wabak corona ini bagi saya merupakan satu anugerah. Selama ini roda kehidupan berjalan tanpa henti, tanpa sedar anak saya yang baru semalam lahir kini sudah mempunyai lapan gigi. Pengurungan ini memberi ruang untuk saya duduk bersama keluarga, melihat anak-anak makan, membiarkan mereka memanjat belakang badan, membiarkan tangan-tangan halus menampar muka dan mendengar alunan tangisan mereka. Saat-saat ini akan berlalu cepat, esok mereka akan masuk ke menara gading, tidak mahu lagi dikendong atau didukung, tidak mahu lagi digomol pipi-pipi bersih dan gebu mereka. 

Dunia ini memang aneh. Dalam sekelip mata ia bertukar, kerana sekecil wabak yang tidak terlihat dunia terhenti, kedai-kedai di tutup, kereta dan motor sejuk di rumah, seolah-olah ia merupakan waktu rehat kepada bumi yang telah tua ini, yang sudah penat menghidu karbon dioksida kilang manusia, yang sudah penat mengorbankan hutan belantara, yang sudah penat memberi segala galiannya, kini tiba masa semuanya terhenti. Bumi tua ini akhirnya mampu duduk tenang seketika diatas kerusi tuanya, tidak lagi hirau akan jerit pekik manusia.

Semalam genap satu bulan pemergian ayahku, terasa begitu cepat 30 tahun ini berlalu, ibarat mimpi, yang aku tahu tak mungkin bisa diulang, ia mimpi yang telah pergi ke alam abadi, tidak tersentuh lagi oleh tangan-tangan manusiawi. Jika ayah menjadi ukuran usiaku, maka aku telah menghabiskan separuh umurku, hanya ada 30 tahun berbaki. Walaupun aku tahu, umur itu rahsia tuhan, disimpan disebalik tabir yang tak mampu diintai insan, namun hatiku seolah hampir pasti, bahawa umurku hanya berbaki sedikit, tiga puluh paling lama, mungkin kurang daripada itu. 

Mati bagi saya satu kejadian yang menakutkan, bila difikirkan secara mendalam, difikir secara sebenar dan secara sedar. Apa yang akan menanti selepas itu? Soalan ini ditanya oleh setiap manusia, setiap agama dan bangsa. Namun ada kalanya aku rindu untuk mati, aku mahu hilang dari dunia ini. Mahu aman, tiada fikiran, tiada emosi, tiada kegelisahan atau kenikmatan, hilang, diam, tenang, kosong.

Rahsia-rahsia ini tidak mungkin akan kita tahu, walau kita membaca seribu buku. Takkan tersirat walau kita digelar professor atau pak doktor. Namun masa-masa yang masih disisakan oleh tuhan kepada manusia ini elok digunakan. Dinikmati dengan menghirup secawan kopi, ditemani senaskah manuskrip ilmu, sambil dimenung alam buana indah hingga ke hujung fatamorgana yang paling jauh.

Khamis, 5 Mac 2020

Belajar Hidup Dari Ayah

Kami bersama ayah sewaktu kecil. dari kiri Syed Ahmad Islami, dalam dukungan Syed Ihsan, dan yang paling kanan Syed Ahmad Fathi. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah, Syed Mohd Khair merupakan anak kelahiran Changkat Tin, Tanjung Tualang, Perak. Ibunya bernama Andak Jijah dan ayahnya bernama Syed Mohd Jiplus. Beliau bersekolah di Sultan Yusuf School (SYS) dan kemudian menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam jurusan kejuruteraan awam. Beliau dipanggil pulang oleh Allah pada umur 61 tahun pada 29 Februari 2020 di rumah kami di Gombak.

Pulang ke Sungai Petani selesai pengebumian ayah berseorangan sememangnya merupakan masa yang sangat subur untuk mengimbau memori. Kemana sahaja saya lihat, akan terkenang ayah. Bila lalu di kawasan Tapah dan terlampak air terjun Lata Kinjang, teringat ayah selalu sebut berkenaan dengan Lata Kinjang dan pernah bawa kami mandi disana. Bila teringat anak-anak teringat ayah selalu menyanyi bila jumpa cucu-cucunya "Oh Amni, budak solehah. Oh Idlan budak yang soleh", malah mainan anak-anak kebanyakannya ayah yang beli, saya jarang hingga hampir tak pernah beli mainan untuk anak-anak.

Masa balik kampung dan ketika baru mula belajar bercakap dahulu saya masih ingat saya dengar ayah sebut perkataan "berbaloi", saya tak faham dan ayah terangkan apa maksud perkataan berbaloi. Kereta kami tak ada radio, biasanya kami akan dengar ayah menyanyi nasyid lagu Raihan, Rabbani, dan Hijaz sampai kami tertidur. Semasa kecil saya masih ingat saya pernah dibawa ayah ke pejabatnya, Pejabat JKR di Menara UMNO Kuala Lumpur, saya tidak pasti kenapa ayah bawa saya hari itu.

Saya juga masih ingat ayah mengajar saya matematik masa kecil. Yang paling saya ingat adalah ayah ajar saya cara bundarkan nombor, senang sahaja saya jawab soalan-soalan ayah. Kemudian ayah tanya soalan trick question, cuba bundarkan nombor 10, saya fikir tak dapat-dapat, ayah tak mahu beri jawapan dan terus tanya saya hingga akhirnya saya menangis. Itu metodologi ayah mengajar, dia mahu anak-anaknya berfikir sampai limit pemikiran, kemudian baru dia bantu. Tapi ia berkesan, saya ingat sehingga ke hari ini.

Masa kecil juga, ayah belikan kami akuarium. Macam-macam ikan kami pernah bela, ada ikan yang kami beli di kedai ikan seperti ikan flowerhorn, ada ikan yang kami tangkap sendiri di Ulu Yam, di dalam longkang di Taman Melewar seperti ikan Talapia. Juga ikan yang kami tangkap di parit kampung seperti ikan Haruan, Puyu, Sepat, Ikan Mata Tiga. Balik kampung biasanya di bahagian kaki tempat duduk belakang ada baldi berisi air dan ikan yang kami tangkap di kampung. Ayah ajar macam mana nak keluarkan air dari akuarium guna paip air, isi air dalam paip, tutup, satu hujung bubuh dalam aquarium dan hujung satu lagi lepas dibawah, air akan turun sendiri hasil tekanan udara. Kami belajar fizik secara amali sebelum masuk sekolah menengah!

Zaman dahulu tengok cerita guna tape, video tape ini zaman sebelum ada Video CD. Antara cerita yang ayah kerap kali ulang pada kami ialah filem 'Lion of the Desert' yang mengisahkan perjuangan Umar Mukhtar di Libya menentang penjajahan Fasis Itali. Sampai hari ini ia merupakan cerita kegemaran saya. Ketika di universiti saya download semula, memang betul-betul memori. Apabila teknologi VCD muncul ayah banyak membeli VCD tentang teknik bermain bola, juga VCD berkenaan dengan 'Golden Goals' Liga Inggeris. Melalui VCD ini saya mula melihat gol-gol hasil permainan Thierry Henry, Patrick Vieira, Fredrik Ljungberg, dan yang saya paling minat adalah gol Dennis Berkamp melawan Newcastle. Sejak itu saya menjadi menyokong kelab Arsenal dibawah kelolaan Arsene Wenger, dan memupuk minat saya bermain bola. Ayah selalu membawa kami ke padang di hujung minggu berlatih dan bermain bola.

Ayah juga gemar bermain badminton. Saya masih ingat raket Yonex ayah yang mempunyai pemegang berbulu-bulu berwarna hitam. Kadang-kadang di pagi hujung minggu ayah membawa kami berlatih di court terbuka Taman Melewar, ayah ajar posisi bermain, satu kaki kena selalu ditengah gelanggang, badan yang bergerak kiri kanan depan belakang, ayah ajar macam mana nak pukul back-hand. Kadang kala ayah bawa kami bermain di dewan Parlimen bersama sahabat-sahabatnya. Tapi minat saya lebih kepada bola dari badminton.

Kami 5 beradik, dari kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Ihsan, Syarifah Nabihah, Syed Zulfaqar, dan Syed Ahmad Islami. Sumber: Album Lama Keluarga.
Apabila teknologi komputer mula muncul, ayah bersemangat mengajar kami perisian-perisian komputer. Walaupun kami ketika itu lebih berminat bermain game seperti Age of Empire dan Pokemon Yellow. Ayah ajar macam mana nak guna Microsoft Excel sebagai kalkulator, cara buat slide guna Powerpoint dan cara guna Microsoft Word. Saya masih ingat semasa satu halaqah keluarga, ayah akan tunjuk pengajaran hidup dari hidup seekor rama-rama, ayah gunakan Powerpoint untuk cerita kepada kami.

Ayah juga selalu mengeluarkan saya dari zon selesa, saya masih ingat ketika cuti sekolah menengah berlaku banjir besar di Pahang. Ayah hantar kami ke Pahang mengikuti sahabat beliau, Pakcik Kamarudin Putih, saya sangat segan ketika itu kerana tak kenal, ayah tak ikut sekali, tapi saya tak berani melawan, saya mengikuti miri bantuan banjir membersihkan lumpur di kampung, sekolah, dan rumah-rumah penduduk yang terjejas. Di ketika lain, semasa cuti sekolah, ayah akan menyuruh saya balik kampung sendiri menaiki bas, zaman itu belum ada talifon bimbit, saya pun tak pasti macam mana saya berjaya sampai ke kampung sendiri.

Ayah juga minat berkebun, masa kecil ketika di kampung kami akan bermain dengan pokok keembung, ayah tunjuk macam mana nak picit buah keembung supaya dia meletup keluarkan biji. Ayah akan kumpul benih-benih dari kampung dan tanam dirumah. Bila kami kerumah yang ada pokok keembung dengan warna bunga yang kami belum ada ayah akan minta benih. Di rumah pada suatu ketika penuh pokok keembung dengan bermacam warna bunga. Saya paling suka picit bagi meletup buah keembung. Kami belajar biologi secara amali di rumah! Kami juga selalu mengambil buah Kelapa Pandan bila menziarahi rumah Arwah Pak Andak, kemudian ayah akan bawa kami tanam di tanahnya di Changkat Tin.

Ayah juga minat camping. Dirumah kami ada khemah, sleeping bag, binokular, kompas, beliau selalu camping dengan sahabat semasa muda, kadang ayah membawa kami. Saya masih ingat ayah ada beli satu buku bertajuk "Ikhtiar Hidup", buku itu merupakan manual survival di hutan bila bersendirian. Ayah akan tunjuk pada kami dan bercerita bagaimana nak potong akar pokok untuk mendapatkan air, cara memasang perangkap haiwan, cara memasak dengan menanam dan menyalakan api di atas tanah.

Ayah juga minat bertukang. Dari toolbox ayah kami belajar cara menggunakan tukul, cara memaku, cara menggunakan gergaji. Ayah mengajar kami cara menggunakan kertas pasir untuk meratakan permukaan kayu dan bagaimana nak sapu syelek pada kayu. Cara guna thinner untuk bersihkan cat yang melekat di tangan. Semuanya skil-skil kehidupan yang saya masih guna hingga ke hari ini. Ayah juga pandai berenang, dan selalu ajar kami berenang di Teluk Batik, Perak. Ketika saya di sekolah menengah ayah selalu membawa adik-adik berenang di kolam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Semasa di sekolah rendah kami memang tidak dibenarkan menonton televisyen pada waktu malam. Nak tengok kartun Doremon dan Crayon Shin Chan pun selalu dimarah kerana sudah dekat maghrib. Apabila di sekolah kawan-kawan bersembang berkenaan dengan lawak Senario yang mereka tonton semalam, saya langsung tidak ada clue sebab saya tak diajar tengok TV pada waktu malam. Sampai sekarang saya jenis yang tak suka tengok TV. Sekarang mungkin TV semakin sudah tidak relevan sebab sekarang ada YouTube.

Ayah juga sangat teliti bab duit. Setiap anak mempunyai tabung. Dari duit belanja RM2 yang diberi setiap hari, 20 sen perlu dimasukkan ke dalam tabung. Saya ingat pada satu hari saya tercicir duit 2 ringgit saya, bila ke sekolah tak boleh beli apa-apa makanan, balik saya cerita pada ayah ingatkan ayah nak beri 2 ringgit baru, sebaliknya kena marah dan diperingatkan untuk jaga duit elok-elok. Begitu ayah mendisiplinkan kami. Duit raya kami hampir semua dimasukkan ke dalam Tabung Haji, tidak dibenarkan beli mercun. Cuma selepas dah besar sikit kami pernah membeli mercun guna duit raya, itu pun sedikit sahaja.

Selepas habis sekolah rendah, ayah beri saya dua pilihan sahaja untuk sekolah menengah, sama ada ke Ibnu Khaldun di Klang atau Ma'had At-Tarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Perlis. Saya memilih Perlis kerana kakak saya ada di MATRI. Saya dan kakak sahaja yang bersekolah di MATRI penuh dari tingkatan satu hingga lima, adik-adik lain bercampur dua-dua sekolah. Kami tidak pernah dihantar di sekolah kebangsaan. Ayah sangat pentingkan pendidikan agama, walaupun kami tak kaya ayah sanggup berkorban dan bayar yuran kami. Di MATRI saya diajar berdikari, saya belajar guna kad bank dan guna ATM.

Ketika di MATRI saya diberitahu pakcik-pakcik disana bahawa rumah pam air berdekatan musolla MATRI adalah hasil tangan ayah. Tapi ayah tidak pernah bercerita kepada saya tentang hal ini. Semasa saya kecil saya sudah pernah ke MATRI mengikut ayah bermusafir dengan Ustaz Mudrikah, saya masih ingat kami melawat gua, dah besar baru saya tahu nama gua tersebut adalah Gua Kelam, saya masih ingat ayah belikan saya jagung bakar ketika itu. Kami tidur di musolla.

Habis sekolah saya mendapat tawaran ke asasi kejuruteraan UIAM dan biasiswa MARA dibawah skim pelajar cemerlang (SPC) ke Rusia. Ayah tak berapa berkenan saya ke Rusia, tapi beliau hormati keputusan saya dan benarkan saya pergi. Beliau membawa saya mendaftar di UniKL-MIAT untuk program foundation. Namun hari kedua, beliau tidak menghantar saya semula sebaliknya menyuruh saya menumpang ayah kawan saya Haziq Husni, pada ketika itu. Lepas sekolah memang ayah suruh saya berdikari, apa-apa borang ayah tak akan isi, ayah suruh isi sendiri, dia hanya akan isi bahagian dia  sahaja seperti gaji. Semasa saya menyambung sarjana di UTM dia langsung tak hantar, sebaliknya dia suruh saya naik bas sendiri. Ayah nak anak-anaknya belajar berdikari.

Kami diwaktu kecil bersama ibu, Norizan Mohamad Noh. Dari Kanan Syed Ahmad Fathi, Syed Zulfaqar, Syed Ahmad Islami, Syed Ihsan (dalam dukungan), Syarifah Nabihah dan Kakak Pembantu Rumah yang menjaga kami dahulu. Sumber: Album Lama Keluarga.
Ayah juga seorang yang sangat meraikan keluarga dan sahabat. Hampir setiap jemputan kenduri akan cuba dihadirinya. Betul kata adikku Zulfaqar, bahawa banyak sifat kami merupakan copy paste sifat ayah, saya sehingga ke hari ini sukar menolak perlawaan kenduri dan jamuan, mesti pergi melainkan ada perkara yang tak dapat dielakkan. Begitulah sifat ayah mencorak hidup saya.

Begitulah sedikit sebanyak sifat-sifat ayah yang saya masih ingati hingga ke hari ini. Tentu banyak lagi kisah-kisah yang ada berkenaan ayah dari kawan-kawannya dan sedara mara. Saya harap saya diberi kesempatan untuk jumpa sahabat lama ayah, juga sedara mara ayah yang saya tak berapa kenal untuk menggali lagi kisah perwatakan ayah. Biarlah coretan-coretan ini menjadi kenangan saya dengan ayah.

Al-Fatihah untuk ayah.

Isnin, 2 Mac 2020

Ayah: Hari Separuh Jiwaku Mati

Gambar ayah, Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus ketika beliau masih muda. - Dari Album Keluarga.

Sewaktu kecil, banyak program motivasi, program muhasabah diri yang aku ikuti. Yang banyak berkisar tentang kematian ibu ayah, untuk menggetarkan rasa, diceritakam suasana bagaimana sebagai anak, kita pulang ke rumah, mendapati rumah sudah dikerumuni keluarga dan jiran tertangga, dan ditengah-tengah ruang tamu terbujur badan yang kaku diselimuti kain. Semua program-program itu tidak dapat menyiapkan perasaanku untuk menghadapi hari ini.

Petang itu ayah kelihatan juga seperti penat, aku tanya keadaannya, dia kata dia okay sahaja. Kami pun bersiap seperti biasa, ayah keluar rumah melambai kami pulang ke Sungai Petani selepas berhujung minggu di Kuala Lumpur.

Sekitar jam sembilan, Zulfaqar menalifon saat kami sudah hampir melepasi Perak, aku pada mulanya tidak dapat mengangkat kerana sedang memandu, namun aku berkali-kali cuba menalifon semula, akhirnya dapat, katanya ayah muntah-muntah dan tak boleh bangun. Aku bertanya adakah ayah sedar? Katanya ayah sedar dan sedang menunggu ambulance. Aku ambil keputusan untuk teruskan perjalanan. Tidak lama kemudian Ihsan menalifon sambil menangis katanya ayah telah tiada, diikuti dengan panggilan dari Islami. Aku keluar di Exit Changkat Jering, dan berpatah semula ke Gombak. Kakak juga dalam perjalanan ke Gombak dari Kelantan.

Aku tidak menangis ketika itu, aku menjawab dengan tenang kesemua panggilan, dan memberitahu bahawa aku dalam perjalanan pulang. Perasaan aku terlalu kebas ketika itu, seperti aku dapat menerima kenyataan bahawa kini aku sudah tidak lagi punya insan untuk dipanggil ayah. Namun apabila mesej mula berpusu-pusu masuk, emosi yang ku sangka kukuh mula retak, empangan emosiku pecah, air mata mula mengalir dipipi. Terasa separuh jiwaku telah mati.

Sebagai anak, tentulah banyak kenangan bersama ayah, ada yang masih kukuh dalam ingatan, ada yang sudah samar-samar, ada yang sudah pudar dan hanya nyata dalam album-album gambar. Aku harap ini semua hanya mimpi buruk, yang akan hilang apabila aku bangun semula. Aku merasakan ingin untuk hidup dihari semalam, hari yang tenang, bukan hari ini yang menyakitkan dan panjang, bukan hari esok yang melukakan. Namun tidak mampu tangan insan menolak qada' Tuhan.

Apabila sampai dirumah sekitar jam 12 malam baru aku sedar perihal realiti yang sedang aku hidupi, ini memang bukan mimpi ngeri. Aku duduk disisi tubuh ayah yang telah kaku, mengambil naskah surah Yasin, cuba membaca tanpa menangis walau aku tahu aku tak mampu. Dalam serak aku berdoa, ya Allah ampunilah ayahku. Selesai bacaan aku selak kain muka ayah, wajahnya kini pucat kerana darah sudah berhenti mengalir. Aku tekap wajahku pada pipi ayah, mungkin ini yang terakhir, aku bisikkan pada telinga ayah "Ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal Ayah, Assalamualaikum".

Sekitar jam 3 pagi, apabila tetamu mula surut, kami sudah selesai berbincang dengan nazir berkenaan dengan butiran pengurusan jenazah esok pagi, aku membawa anak-anak ke hotel berdekatan untuk berehat sebentar. Mencari ketenangan sebelum mengharungi ribut esok hari.

Pagi esoknya, jenazah dibawa ke Masjid Ar-Rahimah untuk dimandikan. Aku bersyukur, kami semua 5 beradik bersama ibu diberi kesempatan untuk memandikan ayah. "Inilah bakti terakhir kita buat ayah" kata ibu kepada kami sambil meratakan air ke badan ayah yang kini sudah mengeras. Ibu tidak henti berselawat, kami adik beradik tidak berhenti menangis. Aku cuba mengangkat tangan ayah, namun sudah keras, pengurus jenazah mula mengurut-ngurut tangan ayah untuk mengendurkan otot yang mengeras. Hanya wajah ayah yang seperti tersenyum, memberi kami sedikit perlindungan dari kesedihan yang menjiwai emosi. Inilah tubuh yang berkerja bertahun-tahun menyara kami sekeluarga, yang membawa motor menghantar kami ke sekolah setiap pagi dengan wang saku 2 ringgit, di tubuh ini kami mencari kasih, mencari sayang, hari ini kami menghantarnya pulang.

Ketika sudah selesai dikafan, pengurus jenazah bertanya adakah masih ada yang nak melihat wajah arwah ayah buat kali terakhir. Tak mampu aku untuk mengatakan tidak. Lalu beliau buka bahagian muka, aku menekapkan wajahku di pipi ayah. Ya, kali ini betul-betul terakhir, sebelum aku hanya boleh melihat wajahnya pada gambar-gambar lama. "Ahmad sayang ayah, Ahmad sayang ayah, selamat tinggal ayah, jumpa disana, assalamualaikum" aku bisikkan ke telinga ayah kali terakhir di dunia ini. Satu persatu adik beradik ayah masuk mengucup wajahnya buat kali terakhir, Mak Kecik, Pak Oteh, Mak Yang, Mak Chu, Pak Ngah bergilir-gilir mengucup pipi saudara seibu seayah mereka.

Kubur ayah di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak ditandai dengan batu bernombor 1128.

Selepas selesai solat, jenazah ditanam dan talkin dibaca, tubuhku terasa sangat penat, kepalaku sangat pening, dan emosiku telah habis kering. Terasa kekok bila masuk semula ke rumah selepas perkemubian. Rumah ini terasa asing, terasa tidak sama, terasa tidak lengkap, terasa seperti ada yang hilang tanpa kelibat ayah.

Aku tidak tahu bila aku akan merasa normal semula. Adakah perasaan sedih ini akan hilang, atau ia akan kekal memaruti hatiku selama-lamanya. Namun aku sedar, kematian ini adalah hakikat insan, ia merupakan tazkirah bagi yang masih bernyawa. Peluang bagi mereka yang masih bernafas. Semoga Allah terima ruh ayah sebagai orang yang soleh, kami redha dengan pemergian ayah. Terima kasih ya Allah kerana meminjamkan kepada kami seorang ayah. Semoga Allah merahmati ayah.

Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus.
30 April 1959 – 29 Febuari 2020.

Ahad, 6 Oktober 2019

Hari Lahir 20-an Yang Terakhir



Saya bergegas ke pejabat pagi itu, hasratnya mahu bertolak jam 5 pagi, supaya boleh keluar sedikit awal petang nanti untuk mengambil Amni dari tadikanya. Tapi nampaknya tidak sempat kerana terlebih tidur. Semasa bergegas masuk ke dalam kereta dan mahu memulakan perjalanan sekitar jam 6 pagi, ada kotak hadiah bersama kad ucapan ditinggalkan di tempat duduk kiri oleh isteri tercinta. Oh, hari ini hari lahir 20-an saya yang terakhir.

Bukankah hari ini dibenarkan untuk ber-nostalgia?

Kehidupan - Perjalanan mencari diri

Glowacki menulis didalam bukunya bagaimana kanak-kanak melalui proses 'pengindividuan' apabila dia mula sedar bahawa dia merupakan makhluk unik dan mempunyai diri sendiri. Anak-anak mula membuat keputusan sendiri, walaupun dari kaca mata ibubapa ia adalah sesuatu yang remeh-temeh. Contohnya mahu makan nasi di tengah malam ketika semua orang sudah mahu tidur, atau mahu pakai baju tidur bercorak dinosaur untuk pergi ke kenduri-kendara.

Merenung ke belakang, saya tidak ingat apa-apa secara jelas usia awal saya membesar. Tetapi kadang-kala ketika menyelak album lama, melihat gambar kecil saya makan aiskrim dengan comot di tepi kolam Masjid Negara, saya boleh mengimbas sedikit, meski pun tidak begitu jelas.

Saya masih ingat arwah Opah bercerita tentang pengalamannya hidup di zaman penjajahan Jepun, bagaimana beliau menceritakan beliau bersama keluarga masuk menyorok di dalam parit ketika pesawat Jepun mengebom Malaya. Opah banyak menyimpan duit lama, pada suatu hari raya Opah mengeluarkan plastik berisi duit 50 sen lama, setiap cucu diberi dua keping sebagai duit raya. Pada ketika itu di Changkat Tin masih terdapat nasi lemak yang berharga 30 sen, tetapi perlu dibeli pada awal pagi.

Saya membesar di Kuala Lumpur dimana 12 tahun awal kehidupan saya dihabiskan di Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara, Taman Tasik Titiwangsa, merupakan tempat-tempat biasa yang ibu bawa kami lawati. Walaupun tidak ber-ideologi politik ketika kecil saya duduk berdekatan dengan Markas PAS Taman Melewar dan selalu membeli belah di kedai-kedai yang dibuka bersempena dengan acara atau ceramah yang diadakan. Ketika mereka membuat rumah terbuka, saya juga sering beratur bersama anak-anak lain bersalaman dengan ustaz-ustaz PAS, seingat saya, saya pernah bersalaman dengan Ustaz Fadzil Noor. Saya juga selalu melihat perkataan 'ABU' di-spray dimerata tempat di sekitar KL, namun saya tidak tahu maksudnya, hinggalah saya dewasa, baru saya ketahui ia adalah acronym untuk Asalkan-Bukan-UMNO.

Hidup dalam perjalanan

Apabila saya melangkah ke tingkatan satu, ia merupakan satu anjakan besar, ia adalah titik masa yang menandakan bahawa saya tidak lagi hidup di rumah, tetapi hidup dalam perjalanan. Saya masih ingat ketika kali pertama dihantar oleh ibu dan ayah ke asrama di Perlis, saya duduk di kantin - tidak menangis - merenung jauh ke tanah di bawah, permandangan padang, dewan makan, blok aspura dan aspuri, rumah sampah. Entah apa yang saya fikirkan ketika itu, hari pertama saya memulakan persekolahan di asrama MATRI.

Selepas itu hidup saya bersama rakan-rakan, yang kebanyakannya menjadi sahamat akrab hingga ke hari ini. Cuti-cuti singkat biasanya saya habiskan di rumah sahabat-sahabat di Sungai Petani, Alor Setar, Perlis, cuma cuti panjang saya menaiki bas Transnasional balik ke Kuala Lumpur. Saya masih ingat kali pertama menaiki bas pulang, saya tidak dapat tidur, dari malam itu di Kangar sehinggalah sampai di Hentian Pudu. Balik ke KL pun saya akan keluar bersama kawan-kawan, atau ke program dan perkhemahan bersama sahabat-sahabat.

Kali terakhir pulang ke Kuala Lumpur dari Arau setelah tamat SPM , saya menaiki kereta api, walaupun kereta api memakan masa yang lebih lama, 12 jam berbanding 8 jam menaiki bas, tetapi kereta apai mempunyai nostalgianya sendiri. Saya masih ingat antara gerabak terdapat ruang kecil yang mempunyai pintu, perjalanan pulang kali terakhir, saya duduk di tepi pintu yang kami buka, bersama sahabat karibku Abu Asri. Di kala kereta api bergerak, kami menikmati permandangan sawah padi dari Perlis hingga ke Kedah. Kadang kala perasaan rindu hinggap di hujung hati ku, Abu kini sudah tiada, sudah dipanggil Tuhan.

Merenung tingkap bersalji

Tingkap asrama Stachek 111 merupakan tempat kegemaran saya merenung salji yang menyimbah bumi Leningrad. Tidak pernah ke sekolah kebangsaan atau asrama elit, saya merupakan antara pelajar yang bertuah diterima melanjutkan pelajaran dengan biasiswa di bumi revolusi Russia. Saya selalu menaiki keretapi ke Moscow setiap bulan bagi menghadiri program pelajar, program persatuan, dan program kedutaan. Pernah satu ketika saya menulis "terasa seluruh hidupku dihabiskan diatas kereta api".

Tingkap di dalam kereta api di Russia juga cantik dan menggamit jiwa, ketika musim salji kita boleh melihat kawasan perdalaman yang dipanggil Dacha, dengan rumah-rumah kampung yang dilitupi salji. Russia nampak bersih ketika musim sejuk, dengan semua manusia menutup aurat. Apabila salji mula cair, puntung-puntung rokok yang menyorok dibawah timbunan salji mula keluar.

Sehingga ke hari ini

Mungkin disebabkan jiwaku yang suka merenung tingkap dari kecil, sehingga hari ini aku masih berharian menaiki bas. Dahulu untuk belajar, hari ini untuk bekerja. Namun sekarang perenungan aku lebih cantik, hendak ke Pulau Pinang perlu menyeberangi laut, jadi setiap hari Tuhan memberi aku peluang untuk termenung melihat ombak, burung, juga kapal-kapal berlabuh. 

Hari ini aku sudah tiada lagi Opah dan Abu, tapi aku masih punya ayah dan ibu, kini aku punya isteri dan dua anak kecil. Pastinya merenung nostalgia merupakan sesuatu yang manis, sepedih mana pun memori lalu kita boleh melihatnya semula dan tersenyum. Tiba masa untuk kita tinggalkan nostalgia dan memori, untuk hidup pada hari ini. Menyayangi orang yang kita masih ada, menikmati kurnia Tuhan Maha Mulia. 

Walaupun aku bakal meninggalkan hidupku di zaman 20-an, aku gamit nostalgia dan kenangannya. Atas kehidupan, aku bersyukur, oh Tuhan.

Jumaat, 13 September 2019

Bagi semua, tidak aku tembak!


Pagi itu seperti pagi-pagi biasa, tiada apa yang mencurigakan jiwa. Aku bangun jam 5.30 pagi seperti biasa dan bersiap-siap. Setelah siap, aku pun berjalan kaki ke masjid yang jaraknya lebih kurang 200 meter sahaja dari rumah. Subuh pada pagi itu jam 5.53 pagi, selepas azan sahaja aku terus menunaikan solat Subuh. Selesai solat ada pakcik kampung menegur.

"Anak sapa tak tau?" soalnya. Saya beritahu nama mak dan arwah bapa mertua padanya.

"Ooo, duk rumah mana satu tak tau?" soalnya lagi. Saya beritahu rumah yang sebelah rumah Pakwan.

"Ooo, Pakwan sakit noh la nih, sakit cam tu payoh nak elok" tambah pakcik tersebut. Saya mengiyakan, kemudian pakcik tersebut beredar masuk ke dewan solat utama. Aku pun keluar mendapatkan kasut untuk pergi menunggu bas.

Kelihatan makcik pakcik kampung mula tiba ke masjid. Ada yang menaiki motor, ada yang menaiki kereta, dan banyak juga yang menaiki basikal. "Mereka ini pemburu Subuh" gumam hati ku. Di awal pagi mereka telah bangun mencari tuhan, menceritakan masalah mereka di dunia pada Sang Pencipta. Melihat mereka asyik dengan ibadah dan solat mereka, hati ku sedikit sebanyak diruntun tenang.

Aku pun menyeberang jalan, menunggu bas sambil membelek telefon bimbit. Ada berita seorang wanita mati dibunuh dan dibalut di dalam selimut di Damansara pagi itu, aku menekan link tersebut namun berita itu tidak dapat dibaca kerana data Celcom aku telah habis. Mungkin disebabkan hanya satu cahaya telefon bimbit yang bersinar di dalam gelap pagi di depan hentian bas tersebut, menarik perhatian sebuah motor yang ditunggangi dua lelaki Melayu. Mereka berhenti di depanku.

Pembonceng motor itu turun dan mula menjerit kepadaku "Bagi handphone tidak aku tembak!". Belum sempat aku ingin mengatur strategi dia telah mara dan merampas telefon bimbit di tanganku. Aku tersentak dan baru sedar sekarang aku sedang dirompak. "Bagi dompet tidak aku tembak!" jeritnya sekali lagi sambil tangan kanannya dimasukkan ke dalam sebuah beg seolah-olah ada senjata di dalamnya.

Aku terfikir banyak urusan yang aku perlu lakukan jika aku serahkan dompet. Kena ke JPN, JPJ, dan telefon setiap bank-bank yang aku punyai kad debit dan kredit. Itu belum kira IC anak-anak yang ada di dalam dompet. "Kalau bagi duit je boleh?" soal ku pada perompak. Bila difikirkan balik, rasa kelakar pula mahu cuba nego dengan perompak. "Bagi semua tidak aku tembak!" jeritnya berulang kali sambil menggagau beg seperti ada pistol atau senjata di dalam. Oleh kerana dia masih tidak keluarkan apa-apa senjata, aku nekad, dan terus lari. Melihat aku lari, pembonceng tadi bergegas semula mendapatkan motor dan mereka memecut laju. Aku pun kembali ke hentian bas, menunggu.

Kali ini sebuah kereta Kelisa pula berhenti, seorang lelaki keluar dan cuba menghampiriku dalam keadaan yang mencurigakan. "Masih belum habis rupanya" gumam hatiku. Ketika itu juga bas tiba, aku terus pantas menaiki bas. Melihat aku sudah menaiki bas lelaki tersebut bergegas masuk semula ke dalam kereta. 

"Sapa tu, diorang nak apa" tanya abang bas kepadaku, dia juga curiga. Entah, jawabku sambil terus masuk dan mencari tempat duduk.

Petang itu, selepas kerja, baru aku sempat ke IPD Kuala Muda untuk membuat laporan polis. Lama juga aku disoal siasat oleh inspektor bertugas. Sekitar jam 9.30 malam baru selesai semuanya.

Jumaat, 31 Ogos 2018

Mencari bahagia: Manusia dan dualiti



Langit bertukar dari hitam ke jingga. Perlahan-lahan warna jingga beralih ke biru muda, malam bertukar pagi. Kelihatan burung-burung keluar dalam kawanan, terbang bebas memulakan hari baru. Mindaku juga terbang melayang, sambil memandu kereta menyusuri banjaran Titiwangsa, jalan yang menghubungkan Gerik ke Jeli. Kabus tebal masih menyelimuti kawasan banjaran, anak dan isteri masih lena di buai mimpi. Fikiranku terbang semakin tinggi, semakin jauh. 

Ketenangan dan kebahagiaan mungkin merupakan sesuatu yang sering di kejar manusia. Dua perkara ini merupakan sesuatu perkara yang abstrak, emosi yang subjektif yang tidak wujud dalam bentuk fizik. Ianya bukan objek seperti poligon yang mempunyai sisi atau bucu, juga bukan elips yang mempunyai radius atau diameter. Oleh sebab itu manusia selalu gagal menemuinya apabila ia dicari dari sudut perspektif materialistik. Segala bentuk kebendaan, mungkin boleh mendatangkan kepuasan sementara, namun masih meninggalkan kekosongan besar dalam hakikat kehidupan insan. Dia akan terus mencari, melompat dari satu material ke material lain, dari basikal kepada kereta, dari rumah flat kepada kondominium mewah, tetap tidak dapat melegakan dahaga, hingga akhirnya insan tiba ke hujung usia.

Manusia hidup dalam dualiti. Dua unsur yang membuatkan dia merasakan dirinya hidup. Yang pertama adalah unsur utama, dalam tradisi Islam ia dipanggil roh. Eckhart Tolle dalam bukunya ‘The Power of Now’ menyebutnya sebagai the essence of being atau sekadar being. Unsur yang kedua bukanlah unsur utama ia lebih kepada alat untuk kita gunakan untuk terus hidup, ia dipanggil minda. Rene Descartes menulis bahawa manusia merasa wujud apabila mindanya boleh berfikir, beliau menulis "I think therefore I am".

Benarkah ada dualiti roh dan minda?

Antara bukti mudah dualiti roh dan minda ini adalah monolog yang wujud dalam hidup kita. Kita sering bersembang dengan diri kita sendiri, kadang-kadang ia berlaku dalam sedar, dan dalam banyak situasi ia berlaku dalam keadaan separa sedar atau tidak sedar. Minda adalah alat untuk kita gunakan untuk berfikir dan menyelesaikan masalah, jika kita berehat tidak memikirkan apa-apa, minda kita akan kosong tetapi kita masih hidup. Ada ketika minda menguasai diri, kita melihat orang yang bercakap seorang diri dan dimasukkan ke dalam pusat rawatan mental kerana dia tidak lagi dapat mengawal mindanya.

Bagaimana kita mahu merasai kewujudan roh dalam diri?

Eckhart Tolle membawa teori bahawa kita akan merasai kewujudan roh ini dengan mengosongkan minda, cuba berada ditempat yang sunyi dan hening. Pada ketika itu kita akan lebih merasa sedar akan perkara yang berlaku disekeliling kita, kita juga dapat melihat minda kita sebagai entiti yang berbeza. Teori ini tidak asing dalam tradisi Islam. Sebab itu dalam Islam dianjurkan untuk bangun bertahajud diawal pagi yang hening, kerana dalam keadaan sunyi ini, dengan minda yang kosong, kita dapat bermunajat pada tuhan dan mengecapi ketenangan dan kebahagiaan.

Akhirnya aku tiba di Kelantan, selesai berurusan dengan resepsi dan masuk ke dalam bilik. Petang itu aku duduk di tepi pantai sambil dihembus ombak yang datang dan pergi. Anakku duduk di pangkuanku gembira bermain dengan ombak. Langit berubah kembali jingga, menandakan satu lagi hari dalam hidupku bakal berakhir. Bertemankan ombak dan langit jingga yang hening, fikiranku kosong, aku merasa hidup. Tenang. Bahagia.


Sabtu, 10 Mac 2018

Syair duka gurka




Ada kalanya aku ingin berbisik pada awan,
Mengadu tentang keresahan ku dalam kehidupan,
Aku ingin berkongsi curahan air mata dengan sang lautan,
Moga-moga dapat sedikit meringankan beban.

Kadang hidup terasa sesak,
Ibarat pasu seribu retak,
Bagai awan mengandung penuh,
Ke bumi juga air mata jatuh.

Sesekali terasa hidup ini tidak ada yang tersisa lagi,
Yang ada cuma lorong-lorong hati yang sunyi,
Kota ini tiada lagi tawa dan gembira,
Yang ada cuma perahan tenaga manusia.

Perahan tenaga bagi menyambung talian nyawa,
Terpaksa jiwa dan tiada rela yang dibawa.

Esok mentari pagi kan muncul lagi.

Jumaat, 10 Mac 2017

2016 - A personal reflection

Photo by: Michael Juliano

I always thought of writing this blog as something others can relate, so this article will not collate all my past events for this year, but what I gain and learn from them, so it can be a beneficial lesson for you and me.

On Reading 

I've read 14 out of 20 books that I targeted this year, although I ended below my target, I am unapologetic about it. The practical reason for this under-achievement was time-constraint. My time is divided for family, day job, volunteer works, exercise, part time job, ICS and dozen more things. But this under achievement is not so bad, because books differ in length, if my reading this year is measured by pages, its surpassed pages I've read in 2015. My longest read this year was a lifetime's work of Adam Smith, The Wealth of Nation which is 1264 pages long and equal to 4 typical paperback books. It took me 8 months to finish.

Well, there is also a moral reason behind this under-achievement. As Noam Chomsky put it in his book, Power System (I'm paraphrasing): "that reading should be an intellectual exercise, we should think about it, go back and reflect and try not to forget what we read". So, after that encounter, I've changed my approach when it come to reading. Instead of racing to finish more books, I am more concern now on analyzing the content, to critically reflect on the ideas presented. 

Out of my 2016's book. 5 were on politics, 2 on economics, 4 novels, other 3 were on women and work, the future of human in space, and on the philosophy of existence. I'm thinking of writing my recommendation on reading for this year (I'll try). So, looking forward, I'll keep 20 books as my target for 2017.

On Family

My daughter became 1 year old this year. Flashing back, she grew up very fast. I watched her learn how to stand on her own feet, making her own baby steps, now she can run already. From just feeding on milk, now she already have her own teeth and can eat durian with me. Sometimes it feel magical watching a baby grow. Of course raising a child is hardwork, I learn how to shoulder the financial commitments, making time for her. During the early months, having a child made me appreciate a good sleep, something seems so precious during those period.

I also very grateful that my daughter and my wife sleeps very early. At night, when I boiled water to brew my coffee, they usually already fast asleep. This would give me extra time to flip through pages of my piling-to-read books, also gave me some space to type some of my thought.

On writing

I find it harder now to write in Malay. Not that I am not proud of my mother-tongue, or not patriotic, its just my surrounding was totally different now. Most of the book I read is in English, I also have to converse in English in the office, I speak Malay now only at home, or with my old friends. This changes has changed the language inside my head. I had thought in Malay previously, now they speak English. As I write what I think, its very hard to resist on writing in English.

On happiness 

I discovered 1 good book in my office's pantry, written by Michael Gill Gates. On his reflection, he once wrote of his French friend who take life on much more easier way. The idea that life is not a game or examination, you cannot fail in life. Its true sometimes bad thing happen in life, you lost your job, divorced, fail an exam, infected with disease, but these were not failure. Its just life in action, happening. Life has it twist and turns.

When I was a young kid, I remember once, I made a promise to myself. That I want to be a happy person, I will never get sad and will make sure that people around me always happy, I will help them to be happy. This is true, I don't make this up. Its a naive childhood dream, but as I getting older, I realized that maybe I should try make that dream of mine come true. I should try to be happy and not taking life very seriously. I was not competing against anyone, I have nothing to lose.

Final words

To be honest, I started writing this piece on the eve of the new year early this year. It should be published on 1st January as my new year resolution and reflection. But then, life happens. I was drown with work. I then realized its better that this piece come out incomplete, rather stuck in the draft folder forever. Although by society's standard this is very late, I'm still happy to announce that for 2017, my resolution is to be thankful and live happily.    

Ahad, 5 Februari 2017

Your book is as important as your pillow when you want to sleep


Sometimes I do encounter with some question which a little more sound like this "Hey, how come you can read so may books, what is your secret?"

I love joking, so most of the time I will pick one joke out of my pocket to entertain the questioner, but in the end I did not answer the question. So, this piece of writing should be my attempt to answer the question, while trying my best to keep my bad lame joke inside my pocket.

First of all I want to disappoint all of you who read this piece of mine, that there is no secret. Every each of us learn how to read as early as our life begins. Almost all adult in our country can read. If you can read, than that is enough, you already have the key to read books, lot of books. The only thing that is lacking, is your will. So the hardest part is to pick one book and start reading. Which sound like a simple physical act, but strangely many of us reluctant to do so. How can you read lots of book if you don't start pick one and read?

The second fact I want to introduce to disappoint you further, is the fact that I am a normal, average slow-reader. I does not hold any super power to finish one book in an hour. It took me 8 months to finish Adam Smith's Wealth of Nations. But even if you are slow like me, you can still read many books, as long as you continue reading. Reading should not be a burden, it should be something fun to do. Like solving a puzzle, you can always pause for a while and continue at later time. As long as you continue, you will finally be turning the last page of the book.

Okay, now that you have already disappointed with my no-secret secret, I should offer you an apology and gave some tips to help you along the way. Its not really a tips, it is more about strange habit, which different people may accustomed to different reading habit of their own. While I don't usually share this publicly, I think its about time to embarrass myself for the benefit of a larger community. You may find some of this habit strange, its okay, do excuse me.

1. Give the book the same status as your handphone. Bring everywhere, even to a place which you know you can't actually read them. For example I always bring my book, when I went to kenduri, although I know that I will met people and compelled to chat with them. You will find that even at first you think you can never read them if you brought them, you will find that actually there is some small interval of time between the events that you actually can read 1 or 2 page.

2. Your book is as important as your pillow when you want to sleep. Read before you sleep. Make a habit to sleep with your book, and make a habit for your wife (or husband) to help remove a book on your face when you are asleep while reading it.

3. Never wait for anything without a book in your hand. I hate waiting, honestly. Be it at government offices, post office, bus stop, clinic or at restaurant waiting for a friend which always 'on the way' everytime you call them for their location. I even read in toilet when I have to wait for my processed food to come out of my body.

4. Every place should be equipped with book aside from fire extinguisher. I have books everywhere, in my home, office, even in my car. If I travel anywhere and suddenly I remember that I did not bring along the book which I currently read, there is always a spare in my car. You should also put one of your book in your wife's car, in case you switch your car with them regularly.

Of course there are others trick which can be utilized to read more. But for now this should be suffice. As long as you took the first step, pick a book and read. Then continue reading, you should be in good shape.

As Noam Chomsky once said "reading is a mental exercise". So reading should be like playing football for your mind as it is to your body. You may not remember everything you read, but you will find a lot of things, lots of them. So please. Read.

Jumaat, 20 Januari 2017

Tuesdays With Morrie



Penulis: Mitch Albom
Penerbit: Broadway Books, 1997

Buku ini merupakan kisah benar mengenai seorang pelajar, Mitch Albom yang melawat semula professor, Morrie Schwartz yang mengajarnya di kolej yang sedang menghidap penyakit ALS (penyakit yang sama dengan Stephen Hawking). Di saat-saat akhir mereka bersama, mereka berbincang berkenaan dengan kerjaya, keluarga, anak-anak, cinta dan apa yang penting dalam kehidupan.

Saya secara peribadi sangat tersentuh dengan kisah ini. Di mukasurat-mukasurat yang terakhir saya tidak dapat dari teringat akan seorang yang sangat akrab dengan saya pada ketika dahulu. Kami banyak bersembang berkenaan dengan kehidupan. Saya menganggap beliau seperti adik saya sendiri. Setiap kali ada perkara yang mengganggu fikiran nya pasti dia akan mencari saya. Dia pergi pada tahun 2016 meninggalkan saya apabila terlibat dengan kemalangan. Hingga hari ini saya masih merinduinya, rindu jenaka dan senyuman nya.

Ok kembali kepada buku ini.

Dalam conversation mereka, Morrie sedar bahawa masa yang ada padanya hanya sedikit, namun ia tidak merendahkan semangatnya untuk terus hidup dan menikmati setiap saat yang berbaki. Morrie tidak memilih untuk memendam diri, malah beliau keluar dari kesedihan dan menjadi seorang yang ceria, dia memilih untuk menghargai orang sekelilingnya dan memastikan bahawa setiap kata diucapkan kepadanya ketika dia masih hidup. Bagi nya tidak guna kita menyatakan kita sayang akan seseorang hanya apabila dia telah mati. Morrie mengumpulkan keluarganya dan mengadakan pre-funeral, seolah-olah raptai sebelum pengebumian sebenar, agar setiap ucapan dapat didengarinya ketika dia masih hidup.

Mitch dalam refleksinya hasil perbualan dengan Morrie menyatakan bahawa budaya hari ini menyibukkan kita dengan perkara-perkara yang tiada kena mengena dengan hidup kita. Kita sibuk dan ambil berat berkenaan dengan artis, supermodel, ahli-ahli sukan yang sebenarnya tiada impak dalam hidup. Malah ada yang beremosi dan menangis melihat drama yang di lakonkan oleh orang yang dia tidak kenal, seharusnya kita mengambil berat dan fokus terhadap orang-orang sekeliling kita, ibu ayah, isteri, anak-anak, adik beradik. Mereka sepatutnya menjadi tumpuan fokus kita, kerena mereka ada impak dalam hidup kita.

Morrie yang merupakan seorang agnostic kini merasakan bahawa manusia sebenarnya mempunyai unsur yang lebih dalam, unsur spiritual. Manusia sering menfokuskan diri terhadap perkara-perkara material yang akhirnya tidak memuaskan diri. Kita mengutamakan material lebih dari memerhatikan alam dan menghargainya. Morrie mengatakan, menikmati cahaya matahari juga merupakan satu anugerah yang perlu dihargai. Saya teringat akan diari yang ditulis Anne Frank ketika bersembunyi dari tentera Nazi, bertapa beliau merindui melihat cahaya matahari dan merasai kehangatannya.

Ramai pasangan moden hari ini memilih untuk berkeluarga kecil, satu anak sudah mencukupi, malah ada yang menumpukan sepenuh kehidupan pada kerjaya dan memilih untuk tidak mempunyai anak. Ini adalah resepi kepada kehidupan yang tidak gembira, kerana akhirnya kita akan menyedari bahawa di hujung usia wang yang dikumpul tidak dapat memberi kasih sayang seperti anak-anak. Walaupun membesarkan anak-anak diawal kerjaya merupakan satu perkara yang sukar, namun kesukaran itu akan berakhir, ia akan menjadi kenangan yang membahagiakan.

Untuk bahagia, kita juga perlu belajar untuk melepaskan, untuk redha. Apabila kita dilanda kesedihan, kesusahan, adalah perkara normal untuk berasa sedih, risau. Tetapi setelah selesai menangis kita perlu kembali berdiri, meneruskan kehidupan dan melepaskan perasaan tersebut. Membicarakan soal keluarga Morrie mengutarakan bahawa ia memerlukan banyak pengorbanan, perlu difahami apa yang diperlukan oleh pasangan, bukan hanya memikirkan apa yang kita perlukan. Yang paling penting, adalah kita perlu belajar menghormati pasangan kita, menerima kelemahan nya dan sedar kita juga tidak sempurna.

Banyak lagi refleksi-refleksi yang saya kira sangat mendalam dan berharga dalam buku ini. Helaian-helaian akhir buku ini pasti akan meninggalkan kesan pada anda, bahkan mungkin anda bakal menitiskan air mata.

'No, you don't understand. You're not a wave, you're part of the ocean..part of the ocean.'


Jumaat, 13 Januari 2017

Catatan Baitul Muslim 13



"Kadang-kadang seorang suami bukan lah seorang yang kaya. Namun apabila ada keperluan dan keinginan isteri dan anak-anak dia akan cuba tunaikan. Walaupun mungkin di pejabat dia terpaksa menolak pelawaan rakan-rakan untuk makan di restoran luar. Kerana dia sedar itu tanggungjawabnya."

"Sering kali orang tidak nampak pengorbanan seorang ayah. Apa yang orang nampak adalah seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah beberapa hari. Pengorbanan seorang ibu mungkin lebih mudah dilihat, mudah ditafsir tanpa perlu berfikir panjang."

Begitu monolog ku beberapa hari di pejabat akhir-akhir ini. Aku sendiri tidak pasti apa yang membuatkan ku berfikiran sedemikian. Jika hendak dibandingkan dengan ramai orang lain rasanya aku masih bertuah. Mempunyai badan yang sihat, dapat berkerja, punyai isteri dan anak yang sihat. Cukup makan dan pakai, tidur masih beratap. Cuma mungkin kebelakangan ini aku kerap memerhati buruh-buruh yang bekerja dibawah terik mentari di sekitar pejabat, berapa banyak peluh yang mereka titiskan untuk memastikan ada nasi untuk disuap kedalam mulut anak-anak mereka.

Anak ku kini sudah berumur hampir 14 bulan. Dahulu hanya minum susu kini sudah boleh mengunyah goreng pisang. Dahulu hanya boleh bergolek kini sudah boleh berlari memanjat tangga. Sedikit sebanyak sudah boleh memahami arahan-arahan mudah. Mulut juga sudah mengeluarkan bunyi seolah-olah menyebut sesuatu perkataan.

Aku sedang membaca sebuah buku, bertajuk 'Tuesdays With Morrie' yang mengisahkan pengalaman seorang professor, Morrie yang menghayati saat-saat akhir dalam kehidupannya dengan berbicara bersama bekas pelajarnya berkenaan dengan apa yang penting dalam kehidupan. Apabila berbicara berkenaan dengan keluarga, Morrie mengungkapkan bahawa pengalaman membesarkan anak-anak merupakan antara pengalaman yang paling berharga dalam hidupnya.

Kehidupan moden sering menolak kita untuk mengejar perkara material. Gaji yang lebih besar, rumah yang lebih tingkat, kereta yang lebih laju, untuk itu kita melihat ramai yang tidak berkahwin dan menumpukan hidup mereka pada kerja. Masyarakat moden mempunyai keluarga yang kecil. Anak-anak dilihat sebagai penghalang kerjaya kepada ibu bapa. Bagi Morrie, ini adalah kehidupan yang salah, diakhirnya mereka akan sedar segala material yang dikejar tidak dapat mengisi kekosongan hidup mereka. Mereka akan menghabiskan sisa-sia hari tua mereka bersendirian, dan dalam kesedihan.

Ya, membesarkan anak merupakan satu kerja yang sukar. Sering kali ketika tiba giliranku menjaga anak sendirian, akan ku pastikan dia dimandikan, disuap sarapan diteman bermain dan menonton siri video belajar bahasa inggeris. Apabila dia tidur ditengah hari, barulah tiba giliranku untuk mandi dan makan. Suatu hari segala kesusahan ini akan berlalu, apa yang tinggal adalah anak-anak yang telah dewasa. Setiap perkara yang baik memerlukan kesabaran. "Good things come to those who wait."

Sering kali apabila melihat anak kecil tersenyum, atau apabila mereka mendepakan tangan untuk didukung, segala penat lelah hilang dari ingatan. Apabila anak kecil meletakkan pipinya di tangan kita kemudian terlelap, kita merasa bahagia. Melihat wajah anak kecil tidur, kita merasa aman.

Khamis, 17 November 2016

Catatan Baitul Muslim 12



Kita selalu berkongsi sisi-sisi kebahagiaan dalam hidup kita, manakala masalah, kepahitan, dan kesakitan kita simpan buat diri kita sendiri.

Setelah tiga hari bekerja, dan berjauhan dari zaujah dan anak, terasa rindu. Tambahan minggu ini merupakan minggu yang sibuk, bangun awal pagi, hampir setiap hari meeting back-to-back, kerja sehingga lah pagi semula. Saya tak mahu mengeluh tentang kerja, bagi saya sibuk lebih baik dari tidak sibuk, kita meningkatkan diri. Mendapat pengalaman baru. Tiada perkara yang berharga yang murah harganya. Semuanya perlu pengorbanan dan masa.

Saya mengambil anak agak awal hari ini, mungkin kerana tidak dapat menahan rindu. Seperti biasa saya di sambut dengan senyuman-nya. Tiap kali selepas 3 hari saya bersyukur dia masih mengingati muka saya. Masuk saja kereta anak berumur satu tahun ini diam sahaja, melihat wajah saya tanpa berkelip, seolah-olah dia sudah dewasa dan ada perkara yang ingin diberi tahu. Setiap minggu saya lihat anak perempuan saya membesar dengan begitu pantas. Ada sahaja perkembangan baru. Hari ini gigi nya sudah bertambah menjadi enam berbanding hanya empat tiga hari yang lalu.

Petang itu dia tidur nyaman. Setelah penat bermain bersama atuknya yang datang sebentar dari Kuala Lumpur. Sejam itu lah masa saya untuk mandi dan menyiapkan kerja-kerja rumah seperti membasuh baju dan pinggan. Hujan turun petang itu, dia akhirnya terjaga. Menangis.

Saya mengambil dan memeluknya, mungkin mimpi buruk saya kira. Saya gosok belakang badan nya sambil mendukungnya keluar rumah. Kami berdua bersama melihat hujan petang itu. Saya hendak bersembang dengan nya, tetapi dia baru berumur satu tahun, masih belum boleh bercakap. Namun, tanpa percakapan dan suara, kami masing-masing merenung melihat hujan. Saya terasa nyaman, seolah-olah kami umpama teman lama. Saya hulurkan tangan untuk merasa hujan yang menitik dari tepi atap, dia melihat kemudian mengeluarkan juga tangan nya. Seolah-olah saya dan dia sama-sama baru belajar mengenali hujan.

Kadang saya termenung sendiri, dikala kesibukan, dan anak yang pantas membesar. Apa yang sempat saya isikan ke dalam dirinya?