Memaparkan catatan dengan label Tarbiyah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tarbiyah. Papar semua catatan

Ahad, 4 April 2010

Kearah Kesedaran


"Ramai manusia yang bangga dengan nama dan status sebagai orang Islam namun Islam tiada dalam tuturkata , tindakan , mahupun hati mereka"
Assyahid Dr. Abdul Kadir Audah


Rata-rata remaja hari ini sudah pudar dalam hidup mereka warna-warna Islam. Tidak bersinar Islam dalam perjalanan harian mereka. Leka dengan arus hiburan yang melampau. Namun semua ini bukanlah kesalahan mutlak mereka semata-mata. Sistem hidup mereka yang di program sebegitu.Dari mana datangnya sistem ini?

Jatuhnya sistem khilafah di muka bumi menyaksikan kemasukan imperialisme ke negara-negara Islam lantas meracuni penduduk setempat dengan idea sekularisme. Sekularisme disanjung serta dikaitkan dengan kemodenan dan ketamadunan sehingga ia menjadi dominan dan sukar di ubah semula.

Idea ini pantas merebak ke dalam perundangan negara , pendidikan remaja dan budaya masyarakat. Masyarakat yang selama ini jernih kini keruh dengan pelbagai penyakit sosial berkat dari idea sekularisme yang kini diteruskan pimpinan tempatan yang sudah dididik oleh penjajah. Kesannya dahsyat. Bukan merosakkan satu atau dua individu. Tetapi lahir satu sistem yang mendidik generasi. Dari satu generasi ke generasi yang lain. Idea asal kini bukan lagi idea tetapi sudah berevolusi menjadi budaya dan tradisi. Timbul soalan apa itu sekularisme?


Sekularisme adalah idea yang memisahkan kehidupan seharian seperti perundangan dan pendidikan dengan keagamaan. Islam cuma hidup di masjid. Tiada Islam di waktu kerja. Tiada Islam dalam subjek-subjek sains yang di ajar di sekolah. Tiada Islam dalam sistem pentadbiran , parlimen mahupun perundangan. Undang-undang sivil mengatasi undang-undang syariah. Maka lahirlah masyarakat yang buta Al-Qur'an. Remaja yang hilang identiti. Manusia yang tiada hala tuju hidup.

Maka di mana ubat bagi generasi remaja masa kini? Disinilah timbulnya pentingnya kesedaran Islam semula. Perlu ada didikan Islam bagi menjernihkan semula hati. Disinilah titiknya dimana perlunya usrah ,halaqat atau apa saja namanya yang membawa hati-hati remaja ini mengenali semula identiti mereka. Mereka adalah remaja Islam yang sihat , cergas dan bebas merdeka. Merdeka dari semua masalah sosial. Merdeka pemikiran dan minda.

Jumaat, 28 Ogos 2009

Mengapa Berpuasa


"Kreuk" perut Kamil berbunyi. " Aduh , berbunyi la pulak perut ni, laparnya" getus hatinya. Namun dia menggagahkan diri. Mana mungkin dia berbuka. Kawan-kawannya semua berpuasa. "Mesti malu kalau orang lain tau aku tak puasa" hatinya berbisik.

Kamil melihat jam tangannya . 7.00 petang. Di sini berbuka pada pukul 9.30 petang. "Kalau di Malaysia ni mesti aku dah melantak" jerit hatinya. "Argh..baik aku online..usha2 Facebook" balas hatinya sambil melangkah ke meja. Masa yang berbaki itu dihabiskannya dengan mengadap laptop membalas-balas 'comment-comment' merapu di laman sosial serta menjawab kuiz sia-sia.

Hari ke-8 puasa Kamil sudah penat. Lama lagi rasanya bulan Ramadhan hendak melabuhkan tirai. "Semua orang puasa aku pun kena puasa" desis hatinya memotivasikan diri. Menggagahkan perut menolak semua jenis makanan dan minuman. Begitulah seterusnya hari-hari di bulan mulia dihabiskan oleh Si Kamil.

Langsung Kamil tidak sedar bahawa puasa merupakan peluang emas yang dikurniakan ALLAH bagi memberi Rahmat dan Keampunan.

Langsung Kamil tidak tahu bahawa puasanya hanya sia-sia jikalau niatnya bukan 1. Niatnya bukan kerana ALLAH. Niatnya kerana terpaksa dan malu kepada manusia.

Langsung Kamil tidak merasakan puasa merupakan satu nikmat yang dikurniakan ALLAH bagi meraih segunung kebaikan sebaliknya menjadi segunung bebanan baginya.

Langsung Kamil tidak mengerti bahawa setiap saat di bulan mulia ini jika diisi dengan amalan soleh pahala dilipatgandakan. Sebaliknya masanya disia-siakan dengan perkara-perkara yang tidak penting.

Langsung Kamil tidak menyedari bahawa dia sedang kerugian.

Khamis, 27 Ogos 2009

Ramadhan Peluang Keemasan



"Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan didalamnya Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (yang haq dan Batil) Kerana itu siapa diantara kamu yang berada di dalam bulan itu maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa) , maka (wajib menggantikannya) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. ALLAH mengkehendaki kemudahan bagi kamu dan tidak mengkehendaki kesukaran bagimu . Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan ALLAH atas petunjukNYA yang diberikan kepada kamu , agar kamu bersyukur" (Al-Baqarah:185)

Alhamdulillah kita masih diberikan peluang oleh ALLAh S.W.T untuk melalui bulan Ramadhan. Bulan penuh keberkatan dan pengampunan. Maka seharusnya kita mengunakan peluang ini sebaik-baiknya dan mengisinya dengan amal ibadah kepada ALLAH.

Adalah sia-sia jika bulan mulia ini berlalu seperti bulan-bulan lain di dalam hidup kita di mana kita langsung tidak menambah amal ibadah bagi merebut ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH.
Janganlah kita menghabiskan saat-saat yang kita perolehi di bulan ini hanya dengan tidur dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Sebaliknya isilah ia dengan tilawah Al-Qur'an.

Bulan ini juga merupakan bulan bagi menguji sejauh mana konsistensi ibadah kita. Adakah ibadah kita di permulaan bulan sama dengan di pengakhiran? Atau adakah ia meningkat atau menurun?

Kerana kita tidak mengetahui adakah kita akan sampai kepada Ramadhan yang seterusnya.Kita tidak tahu bila kita akan menemui ALLAH S.W.T. Oleh itu peluang ini harus di gunakan untuk berjihad.Jihad melawan nafsu. Jihad menahan lapar dan dahaga.


Sama-samalah kita saling memperingati antara satu sama lain mengenai peluang yang ada di bulan berkat ini. Semoga kita semua mendapat ganjaran sepenuhnya di dalam Ramadhan Al-Mubarak.

(Gambar diatas hanya hiasan semata-mata dan bukan bertujuan untuk meraih populariti)

Isnin, 15 Jun 2009

Mencari kasih yang hilang


Saya mulakan dengan sebuah cerita. Disebuah kampung terdapat seorang tua bernama Pak Min. Dia mempunyai 10 orang anak dan kesemuanya merupakan anak lelaki. Dek kerana usianya yang telah tua Pak Min selalu jatuh sakit. Pada suatu hari Pak Min telah diserang sakit kuat dan terlantar dirumahnya. Terdetik dihati kecilnya untuk menasihati anak-anaknya kerana merasakan masanya akan tiba tidak lama lagi. Pak Min mengumpulkan anaknya dan berkata "Anak-anakku yang ku kasihi kerana ALLAH pergilah kamu setiap seorang mencari dua batang ranting dan datanglah semula ke mari". Anak-anaknya pun keluar pergi mencari ranting ada yang pergi ke hutan , ke kebun , ke atas bukit dan ada juga yang ke kedai ubat mencari ranting herba. Setelah pulang semula Pak Min berkata "Patahkanlah satu ranting yang kalian pegang itu" . Maka anak-anaknya dengan mudah mematahkan ranting yang mereka cari itu. Lalu Pak Min menyambung lagi "Ikatlah ranting-ranting kalian yang masih ada dan patahkanlah ia". Maka mereka pun mengikat 10 ranting berbaki dan cuba mematahkannya. Masing-masing tidak berjaya dari anak yang sulung sehingga anak bongsu. Si Ayah berpesan " Sepeninggalanku nanti bersatulah kalian seperti ikatan kayu ini agar kamu tidak mudah dipatah-patahkan oleh pihak musuh. Janganlah kamu berbalah dan berpecah kerana itu membuatkan kamu lemah".

Ummah Islam hari ini dilihat sangat kritikal keadaannya. Mereka berpecah belah dan sangat mudah di laga-lagakan. Tidak ada penyatuan yang dapat membawa kepada kekuatan. Masing-masing dengan semangat nasionalis sehingga saudara mereka dibiarkan sahaja diserang. Kita dapat lihat bagaimana Islam diserang di Iraq , Afghanistan , Pattani dan yang terkejam dan paling lama sejarahnya adalah Palestin.

Dimanakah kekuatan Ummah? Kekuatan Ummah perlu lahir dari semangat Ukhuwwah Islamiyah. Kekuatan ukhuwwah atau kesatuan ini merupakan kekuatan kedua selepas kekuatan Iman. Imam Hasan Al Banna ada menyebut yang dinamakan ukhuwwah itu adalah hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan akidah.



Maka muda-mudi Islam harus sensitif dengan keadaan ummah hari ini dan bersatu dibawah naungan ukhuwwah Islamiyah. Asasnya perlu jelas iaitu akidah dan bukannya asas yang lain. Golongan pemuda yang bakal mencorak ummah di masa hadapan perlu mencari semangat ukhuwwah yang kian pudar di hati ummah ini bagi membina ummah yang kuat dan perkasa.
Renungilah firman ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Anfal ayat 62-63:

"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Sabtu, 18 April 2009

Hadirkan Hati Dalam Ibadah



"Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku."
(Adz Zaariyaat:56)


Setiap amalan nilainya bergantung kepada niat. Jika niat ibadah kita kerana ALLAH S.W.T insyaALLAH di Akhirat kelak amalan2 kita ini akan memberatkan timbangan kebaikan kita.

Persoalannya adakah hati kita hadir dalam beribadah? Atau pun hanya merupakan amalan fizikal yang manakala isinya kosong. Seharusnya kita semak semula kehidupan harian kita . Kerana ibadah2 ini akan menjadi saham kepada kita di akhirat. Ibadah ini akan membantu mendekatkan kita kepada ALLAH S.W.T.Ibadah2 ini akan membawa kepada hati yang sejahtera. Dimana firmannya :

"Hari dimana tiada berguna harta dan anak-anak, kecuali mereka yang datang dengan hati yang bersih."
(As-Syu'araa:88-89)

Oleh itu marilah kita sama2 menghadirkan hati dalam melaksanakan ibadah kepada ALLAH agar kita akan mendapat kasih sayang dan rahmat ALLAH di Akhirat kelak. Wallahualam.

Sabtu, 14 Februari 2009

Takkan walau sesaat..

Hari ini Salman cuti. Dia sudah pun menghabiskan peperiksaan di semester dua di universiti , dalam kepalanya cuti ini mahu dihabiskan bersama keluarga sahaja. Walaupun peperiksaannya semalam sgt sukar dia hanya bertawakkal kpd ALLAH tentang keputusannya.

Petang itu ayahnya mengajaknya ke supermaket berdekatan , dia menurut sahaja kerana dia pun mahu membeli buku nota. Sewaktu dalam perjalanan kepalanya menoleh kepada sebuah bas di bahu jalan. Ada sesuatu menarik perhatiannya. 'Hidup ini memang...,tapi esok masih ada'
"Astaghfirullahalazim" terdetik dihatinya. Hatinya bermonolog "Siapa yang buat iklan ni?
Orang Yahudi ke? Atau kristian?"



Dia mula terfikir. Perkara2 seperti inilah yang merosakkan generasi muda seusia dengannya.Media memainkan peranan penting dalam menghancurkan akhlak dan budi pekerti remaja. Iklan seperti inilah yang menjauhkan remaja dari mengingati mati sedangkan mati itu pasti. Hidup pada hari esok itu belum pasti , bahkan hidup sejam lagi pun tidak pasti.

Tidakkah mereka merenung ayat ALLAH yang mafhumnya:

Tiap-tiap jiwa akan merasai mati, dan sungguh, dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga sungguh dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan. (Ali Imran:185)

Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati ini janji ALLAH. Dan ALLAH memanggil hamba2nya bukan hanya apabila seseorang itu telah tua. Mati tidak mengenal usia. Mati tidak mengenal tempat. Apabila sudah sampai ketentuan ALLAH tidak kira bila atau dimana seseorang itu akan mengadap ALLAH. Sama ada dia sudah bersedia atau tidak.

Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam menara-menara yang dibangunkan. Jika yang baik menimpa mereka, mereka berkata, "Ini daripada Allah"; tetapi jika keburukan menimpa mereka, mereka berkata, "Ini daripada kamu." Katakanlah, "Semuanya daripada Allah."Bagaimanakah dengan kaum ini? Mereka hampir-hampir tidak memahami sebarang hadis. (An- Nisa':78)

Sepatutnya golongan muda perlu mendalami ilmu ISLAM jangan terlalu optimis kita akan mencecah usia tua. Jangan tangguhkan perubahan kearah kebaikan kerana tidak pasti kita diberikan masa pada hari akan datang untuk berubah . Saat inilah perubahan bukan esok atau nanti tetapi sekarang dan hari ini. Kerana ketahuilah kematian tak akan terlewat walaupun sesaat.

Ahad, 30 November 2008

Kembali melihat diri.

Setelah meninggalkan alam persekolahan kini tiba masanya kita melayari kehidupan tanpa kongkongan dari guru2, pengawas, warden mahupun ibubapa. Di mana kita sendiri yang perlu mengatur waktu tanpa ada laungan siren dan jeritan warden , menyusun program bagi memenuhi waktu2 senggang dan berusaha mencapai impian dengan jalan yang kita sendiri pilih.







Persoalannya , sepanjang langkah yang kita ambil selepas meninggalkan alam persekolahan sejauh mana tahap keimanan kita?? Adakah berbaloi hidup kita yang sebentar ini dihabiskan dengan mengejar diploma?? Ijazah?? Adakah masa depan akhirat berbaloi digadai dengan semua ini??Atau dihabiskan dengan keseronokan?? Kemanakah semua panduan dan pedoman yang selama ini diberikan??


Di sinilah sebenarnya kita harus bertanya kepada diri sendiri. Bertanya dengan ikhlas kepada sudut hati kita yang paling dalam sejauh mana kita menjaga hubungan kita dengan ALLAH S.W.T? Bagaimana kita ingin berhubung dengan manusia sekiranya hubungan dengan ALLAH S.W.T tidak kita jaga? Bagaimana kualiti solat kita??





Sebagai manusia kita tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Tetapi sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan adalah orang2 yang bertaubat. Ayuh kita berkira-kira semula dalam 24 jam yang ALLAH berikan berapa banyak yang kita peruntukkan bagi membeli masa depan kita di akhirat.



Tidakkah kita malu kepada ALLAH yang memberikan kita nikmat penglihatan dan kita menggunakannya bagi memuaskan hawa nafsu. Kesihatan yang dikurniakan digunakan untuk memuaskan nafsu. Masa yang diberikan diwaktu muda tidak digunakan bagi bagi membela agama. Lidah yang dikurniakan tidak basah dengan zikir dan kelu membaca firman2NYA.



Kita bersungguh-sungguh bangun awal menyiapkan diri untuk menghadiri kuliah. Tapi subuh kita dimana?? Dimanakah keberkatan ilmu sekiranya fardhu tidak dijaga?? Adakah solah berseorangan sama nilainya dengan nilai memenuhkan saff disurau?? Ketahuilah salah satu kumpulan yang akan mendapat naungan ALLAH dimana hari yang tiada naungan selain naunganNYA adalah pemuda yang hatinya terikat dengan masjid.







Marilah kita nilai kembali hari2 yang kita lalui di IPT. Marilah kita atur semula kehidupan kita ,ayuh kita jadualkan semula tilawah Al-Qur'an kita menyusun semula langkah ke surau yang selama ini tidak konsisten. Marilah kita beristiqamah dalam menjaga hubungan kita dengan Al-Khaliq agar seluruh kehidupan kita diredhai dan semoga kita akan mendapat janji syurga ALLAH di akhirat nanti. Ketahuilah bahawa ALLAH tidak pernah memungkiri janjiNYA.