“Ironis nya orang yang takut malaysia tergadai kerana 1MDB
tapi tidak mahu bersama/bersatu mempercepatkan kejatuhan orang yang akan
menyebabkan kejatuhan negara itu. Share pasal tu bukan main banyak. Tup tup.
Puak dia sendiri tak menyelesaikan masalah. Kesian. Kemudian cari salah dalaman
puak lain. Hummm.”
Ini merupakan contoh komentar rakyat muda marhaen yang
peduli akan nasib politik negara dan bersama dengan agenda PAN. Harus dipuji,
sebagai orang muda saya fikir kita perlu celik politik, tidak kira warna apa
yang kita pilih. Bagi saya setiap individu berhak memilih mengikut perspektif
pemikiran mereka, mereka juga berhak mengkritik dan memperbetulkan perspektif
pemikiran yang berlawanan dari mereka.
Ironisnya, di dalam komentar tersebut beliau menggunakan perkataan ‘bersama/bersatu’.
Kita semua tahu bagaimana beberapa pemimpin didalam PAS yang tidak terpilih
semasa pemilihan keluar parti, berpecah dan menubuhkan parti baru. Dalam pada
itu PR berpecah, hasil tangan-tangan pimpinan DAP mencatur pengeluaran PAS dari
PR yang merupakan antara blok terbesar dalam PR. PAS juga merupakan sebahagian
dari kerajaan Selangor yang dimandatkan oleh rakyat semasa PRU13. Perpecahan
ini kemudian melahirkan pakatan baru, dengan memasukkan PAN dan mengeluarkan
PAS. Dalam perkembangan ini saya gagal melihat perkataan ‘bersama/bersatu’.
Yang saya nampak adalah perpecahan, jika ia adalah strategi, saya melihat ia
strategi yang menguntungkan beberapa pemimpin yang tidak terpilih, kerana
mereka kini boleh menjadi presiden parti baru mereka. Tetapi untuk rakyat, ia
strategi perpecahan yang merugikan.
Saya tidak pernah merasakan pandangan saya betul. Ini adalah
perspektif saya, dan saya tidak memaksanya kepada sesiapa. Setiap orang boleh
membina perspektif mereka sendiri mengikut fahaman dan ilmu yang mereka ada.
Ironis seterusnya adalah frasa ‘mempercepatkan kejatuhan
orang yang akan menyebabkan kejatuhan negara itu’. Saya sedar saya berfikiran jumud,
saya tidak progresif seperti penyokong tegar PAN. Saya gagal memahami bagaimana
dengan berpecah belah dapat mempercepatkan ‘kejatuhan orang yang menyebabkan
kejatuhan negara’. Adakah dengan berpecah dan membuat parti baru kita akan
lebih cepat menewaskan parti yang korup? Apakah rakyat akan sokong pakatan yang
berpecah belah, saling bergaduh sesama sendiri? Ini adalah logik orang yang
tidak jumud. Saya kekal hairan.
Sekali lagi saya ulang, ini pandangan saya, ia boleh jadi
salah. Ruang perbincangan dan berfikir harus sentiasa dibuka. Tiada siapa
berhak menutup ruang untuk berfikir.
Alasan yang digunakan untuk mengeluarkan PAS adalah kerana
kesungguhan PAS untuk mengetengahkan RUU yang memartabatkan mahkamah syariah.
Dalam isu ini, saya tak terkejut jika rakan-rakan DAP tidak bersetuju. DAP
mempunyai ideologi mereka sendiri, kita dapat faham sekiranya mereka menolak
perlaksanaan polisi pro-Islam. Jika saya dilahirkan sebagai seorang bukan Islam
di Malaysia saya juga mungkin mengambil pendirian yang sama. Saya boleh
menerima penolakan ini. Tetapi untuk mengeluarkan PAS dari pakatan, adalah
sesuatu yang diluar pemahaman saya, ia menunjukkan seolah-olah, DAP ingin berkuasa
untuk menentukan halatuju pakatan mengikut cara mereka. Saya hormati pendirian
PAS untuk tidak tunduk dengan tekanan ini.
Jika kita ingin mengatakan bahawa DAP tidak tahu berkenaan
dengan pendirian ideologi PAS. Ini bukan kali pertama DAP bersatu dan berpisah
dengan PAS. DAP pernah duduk sekali dengan PAS dalam barisan Alternatif (BA)
bermula tahun 1999 dan berpecah kerana PAS teguh dengan prinsip mewujudkan
negara Islam pada 2001. Pada 2008 mereka bergabung sekali lagi dalam Pakatan
Rakyat (PR) dan berakhir pada 2015. DAP teguh dengan cita-cita Malaysia yang
sekular dan PAS teguh dengan cita-cita negara Islam. Kita dapati rakyat
menyambut baik pakatan yang bertahan selama 7 tahun itu, ia tidak sempurna tapi
ia adalah peluang terbaik untuk menggantikan parti korup yang telah lama
berkuasa. Saya tidak menyokong mana-mana parti, saya anti perpecahan.
Menggunakan terma ‘puak sendiri’ adalah salah. Saya tidak
menjadi ahli mana-mana parti. Saya juga tidak menyokong mana-mana parti secara
tegar dan membuta tuli. Dalam bahasa mudah, anda boleh label saya sebagai
lalang. Saya tidak berpaksikan parti politik tapi paksi saya adalah kepentingan
rakyat. Apabila parti memilih untuk bermain politik fitnah untuk menukar MB
Selangor sebagai contoh, kerana MB mengutamakan rakyat melebihi parti, saya
tidak buta untuk menyokong fitnah ini. Bagi saya moral corruption perlu
ditentang sama seperti material corruption. PAS juga tidak suci dan sempurna.
Ia dikendalikan manusia yang tidak maksum, mereka juga berhak di kritik.
Pendirian saya mengikut value (dengan izin tuan speaker)
bukan mengikut parti. Jadi mungkin sesetengah orang merasa ironi jika saya
mengkritik skandal 1MDB dalam masa yang sama mengkritik perbalahan dalam parti
pembangkang. Ia akan kelihatan tidak ironi jika kita tidak bias pada parti, jika
kita melihat dunia dengan warna, bukan hitam putih. Mengkritik korupsi tidak
bererti kita perlu bersetuju dengan perpecahan. Saya tak nampak langkah untuk
berpecah akan ‘menyelesaikan masalah’.
Saya juga sedar ramai yang menyokong pembangkang bukan
kerana mereka percaya kepada pembangkang, tetapi mereka tak punya pilihan lain
untuk mengundi. Ini adalah lompong dalam sistem demokrasi, dimana untuk
menjatuhkan pihak yang korup kita hanya ada satu pilihan yang lain. Tetapi,
jika kita tetap menyokong mereka ketika mereka melakukan kesalahan, apa beza
kita dengan macai di sebelah sana? Oleh itu, wajar dalam fikiran saya untuk
mengkritik semua strategi yang merugikan rakyat, biar apa pun warna bendera
mereka.
Dalam kes Selangor saya hormat dengan keputusan MB untuk
mengekalkan PAS dalam pentadbiran kerana ia merupakan mandat yang diberikan
rakyat pada pilihanraya lepas. Namun, keputusan ini memberi rasa tidak selesa kepada
parti baru sehingga ada pemimpin yang mempersoalkan tindakan MB mengamalkan
politik istana yang berbahaya.Tolong terangkan kepada saya berkenaan dengan
persoalan ini, bantu saya yang jumud ini memahami. Saya rasa PAS berhak kekal
dalam kerajaan walaupun dilabel jumud oleh sesetengah pihak, kerana mereka
diberi mandat oleh rakyat. Jika parti baru yang tidak jumud ingin mengambil
alih peranan PAS maka tunggulah pilihan raya. Sekiranya rakyat memilih, maka
sila gantikan. Pilihanraya merupakan pentas terbaik untuk menguji kebolehan
parti baru mengukur sokongan rakyat, tak perlu cuba bermain persepsi ‘politik
istana yang bahaya’.
‘Kemudian cari salah dalaman puak lain’. Baik, komen ini
agak kelakar sedikit. Saya tidak mencari apa-apa. Saya melihat kita semua
masyarakat Malaysia yang mungkin cuma mempunyai cara fikir politik yang
berbeza. Untuk pengetahuan, sekiranya seseorang itu menjadi YB, ADUN atau ahli
Parlimen, ulasan-ulasan nya akan dilaporkan media dan terpampang di portal media.
Anda tidak perlu cari pun, ia akan terpampang sendiri. Jika tak mahu ‘salah
dalaman’ ini terbongkar, logiknya senang sahaja. Jangan cari gaduh dan buat
ulasan terbuka. Boleh buat mesyuarat tertutup.
Saya tertarik dengan istilah jumud yang sering digunakan ke
atas PAS. Saya tak mahu membela PAS, bagi saya PAS perlu jawab setiap kritikan,
terutamanya berkenaan pentadbiran di Kelantan. Namun label ini kelihatan
selektif. Bila PAS cuba bawa RUU, semua menjerit jumud-jumud. Namun adakah memfitnah
bekas MB Selangor tidak jumud? Langkah Kajang yang terbukti tidak berjaya tidak
jumud? Oh tidak, ini bukan jumud, ini adalah strategi politik matang dan
progressif.
Tajuk artikel ini sebenarnya misleading, saya meniru
strategi Malaysiakini dengan meletakkan tajuk misleading untuk menarik minat
pembaca. Jika anda membaca sampai habis, terima kasih saya ucapkan. Wajarkah
kita menyokong Amanah? Ia terletak kepada kemampuan mereka sendiri membuktikan
mereka bukan parti serpihan sementara. Mereka mungkin akan berjaya mengatasi
dominasi PAS bagi mendapatkan undi melayu Islam, mereka mungkin juga gagal dan
terkubur. Politik bukan berjaya melalui ideologi semata-mata, jika gagal meraih
sokongan dan undi, segala slogan progresif tidak ada nilainya. Saya tiada
kebolehan menilik masa depan, namun saya kekal skeptik dengan perpecahan ini.
Saya ulang buat kali terakhir, pandangan dalam artikel ini
adalah pandangan peribadi saya yang jumud. Kemungkinan besar ia salah,mungkin
juga ia betul, saya serahkan kembali kepada kalian untuk berfikir dan menilai
mengikut kadar ilmu masing-masing.