Sabtu, 30 April 2016

Why does the world exist?: One man's quest for the big answer



Penulis: Jim Holt
Penerbit: Profile books, 2013

Selepas membaca buku A brief history of time oleh Stephen Hawking saya mencari buku yang dapat menyambung perbahasan berkenaan dengan permulaan alam semesta. Buku tulisan Jim Holt ini menjadi pilihan saya untuk merungkai persoalan ini dengan lebih mendalam.

Namun berbeza dengan Hawking, Holt mengambil pendekatan merungkai misteri penciptaan alam dengan perbahasan falsafah. Beliau membincangkan pandangan juga kritikan ahli falsafah sepanjang zaman berkenaan dengan persoalan ini. Nama-nama seperti Plato, Decartes, Hume, Nagel, Schopenhauer, Nozick, Al-Ghazali, dan ramai lagi, merupakan nama-nama yang sering dipetik di dalam buku ini bagi membincangkan spekulasi-spekulasi berkenaan dengan kejadian alam.

Holt walaupun dibesarkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan ajaran Kristian, saya kira membincangkan tajuk ini tanpa bias atau memihak kepada mana-mana fahaman dan ideologi. Sama ada pandangan agama, atheist, agnostik, semuanya dibincangkan dengan adil, diberi penghargaan pada sumbangannya, dan di kritik pada kelemahan nya.

Terdapat juga perbahasan-perbahasan falsafah yang saya kira sangat berat untuk dihadam oleh pembaca awam. Namun, dalam masa yang sama terdapat banyak bahagian yang mudah difahami dan persoalan yang dibangkitkan boleh di capai oleh akal fikiran manusia yang tidak mendalami falsafah. Sememangnya, manusia akan terus mencari bagaimana alam ini bermula, meskipun mungkin soalan ini terkeluar dari ilmu manusia. Seolah-olah manusia ini di satu dimensi, manakala soalan ini berada dalam dimensi yang lain.

Sekiranya anda meminati falsafah serta perbahasan-perbahasan ontologikal, anda boleh cuba membaca.

Philosophy - n. A route of many roads leading from nowhere to nothing.

Tiada ulasan: