Tajuk penuh buku: Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945): Manifestasi Simbolik, Retorik dan Satira Radikal. Terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), 2018.
Jika ada yang mengatakan saya seorang anglophile dalam pembacaan, tidak banyak hujah yang dapat saya kedepankan untuk melawan tuduhan tersebut. Memang saya lebih banyak membaca buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah bahasa yang mendedahkan kita kepada banyak idea-idea dunia, bahan literasi, karya, yang belum diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Namun sejak kebelakangan ini saya mula membeli dan membaca naskah-naskah karya tempatan untuk menebus 'dosa' saya ini. Kebanyakannya naskah yang ditulis oleh penulis yang saya kenali dan punyai hubungan, baik hubungan persahabatan atau hubungan persahabatan virtual.
Kitab Propaganda Visual ini saya kira merupakan naskah akademik, namun tidak bermakna ia tidak boleh difahami oleh masyarakat awam, pada saya bahasanya mudah difahami, sekiranya ada terma asing, teknikal, atau jargon digunakan, ia akan disertakan dengan penjelasan perihal apa yang dimaksudkan. Bagi saya ini merupakan satu projek yang baik, kajian-kajian akademik perlu dibukukan untuk dihidangkan sebagai 'makanan' orang awam, barulah ia menjadi kajian yang bermanfaat untuk masyarakat. Sekiranya tesis-tesis ini hanya diperap dalam almari universiti, masyarakat awam mendapat manfaat yang sedikit. Namun saya sedar itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, ia perlukan modal, pemasaran, dan usaha untuk diketengahkan kepada 'mata-mata' awam. Oleh itu saya ucapkan tahniah pada penulis dan penerbit, naskah ini berjaya sampai ke tangan masyarakat.
Buku ini mengkaji lukisan, imej, foto, yang digunakan Jepun sebagai propaganda semasa pendudukannya di Malaya lewat Perang Dunia Kedua. Banyak juga fakta-fakta sejarah yang saya pelajari dari naskah ini, ia menyedarkan saya bertapa ceteknya pengetahuan saya perihal sejarah negara sendiri. Pendeta Za'ba misalnya merupakan propagandis Melayu bagi pihak Jepun, beliau memanfaatkan bakat menulis untuk menunjukkan sokongan terhadap "tuan baharu" Malaya. (xix) Fakta ini mungkin kedengaran ofensif pada kita yang biasanya disajikan dengan sejarah yang telah 'dibersihkan' perihal tokoh-tokoh kita dahulu. Untuk menjadi kritis kita perlu berani mendepani fakta, pandangan, perspektif yang membuatkan kita tidak selesa, jika tidak setuju, hujah balas perlu dinyatakan. Selain Za'ba banyak rupanya tokoh-tokoh lain yang menjadi propagandis Jepun, terutamanya dalam penulisan majalah Semangat Asia termasuklah Ishak bin Haji Muhammad (Isako/Pak Sako), Ibrahim Yaacob, Haji Abdul Malik bin Abdul Karim (HAMKA), dan juga Ir. Soekarno. (119)
Dalam pendahuluannya, Saiful Akram membawakan polemik gambar yang merupakan larangan dalam agama Islam seperti mana yang difahami oleh masyarakat Melayu. Beliau membawakan pandangan tokoh pemikir Syed Syeikh Al-Hadi dalam akhbar Al-Ikhwan pada 1929 yang berhujah bahawa visual mempunyai peranan yang sangat penting dalam perekodan persejarahan, ia dibolehkan kerana ia bukan bertujuan untuk disembah.(1) Ini merupakan sebahagian singkapan sejarah berkenaan dengan pemikiran Islam yang lebih moderat, toleran, progresif dan bersesuaian dengan peredaran zaman.
Pembelajaran propaganda turut dijejaki penulis dari Menteri Propaganda fasis German, Joseph Goebbels, antara yang dibincangkan adalah poster Ein Volk, ein Reich, ein Fuhrer (satu bangsa, satu empayar, satu pemimpin) yang merupakan poster Adolf Hitler yang menghiasi dinding rumah, pejabat dan sekolah di seluruh Jerman.(3) Propaganda yang dikeluarkan oleh Jabatan Propaganda (Senden-Bu) tidaklah tidak berkesan, hal ini dapat dilihat dengan adanya sokongan orang Melayu misalnya dukungan dari Kesatuan Melayu Muda yang dipimpin Ibrahim Yaacob.(7) Ada juga senarai rujukan yang digunakan oleh penulis yang merupakan sosok yang saya kenali, seperti Prof. Md Sidin Ahmad Ishak yang mana saya pernah berguru dengannya semasa mengikuti kursus penulisan di DBP pada tahun 2016.
Membaca ulasan penulis berkenaan dengan kartun "Chungking Plight" yang disiarkan dalam akhbar The Syonan Sinbun pada 02 April 1943 mengingatkan saya berkenaan dengan sebuah filem yang saya tonton ketika di universiti berkenaan dengan pembunuhan besar-besaran Jepun pada tahun 1937 semasa pendudukan Jepun di Nanking, China, filem itu bertajuk The Flowers of War.(56) Chungking Plight mengambarkan sebuah wilayah China yang dikongkong oleh hegemoni anglo-americans dan untuk merdeka mereka perlu berkerjasama dengan Tentera Jepun dan Tentera Baru Republik China.
|
Filem The Flowers of War (2011)
|
Jika Chungking Plight merupakan propaganda Jepun, filem The Flowers of War mungkin merupakan propaganda China melawan naratif Jepun, mungkin juga ada unsur propaganda anglo-americans kerana watak utamanya adalah Christian Bale. Filem ini merupakan filem yang sangat tragis perihal kekejaman Jepun, sebuah filem yang menjanjikan linangan air mata. Ia mengisahkan perihal sekumpulan pelacur yang berlindung di gereja anak-anak perempuan, mereka akhirnya berkorban menggantikan anak-anak tersebut apabila tentera Jepun ingin mengambil mereka. Saya merasakan kesan filem tersebut sangat kuat, sehingga hari ini masih mewarnai fikiran saya apabila berfikir tentang pendudukan Jepun.
Selain kartunis Jepun, imej propaganda ada juga dihasilkan oleh kartunis tempatan, antaranya Abdullah Arif dari Pulau Pinang yang melukis ilustrasi perayaan "Tentyo Setsu di Syonan" ia menggambarkan sokongan orang Melayu dalam sambutan hari lahir Maharaja Hirohito. Selain orang Melayu, lukisan propaganda ini turut dimasukkan imej kaum Jawa Islam sebagai tanda penglibatan sokongan kepada pendudukan Jepun di Indonesia.
Bagi tujuan propaganda, pihak imperial Jepun mempunyai jabatan propaganda khas yang dipanggil Senden-Bu. Jika diamati imej-imej yang menjadi propaganda di zaman tersebut, ia memaparkan imej yang berlainan dari buku-buku yang ditulis perihal kesengsaraan yang dialami semasa pendudukan Jepun. Kehidupan masyarakat digambarkan dengan gambar yang harmoni. Propaganda Jepun boleh dibahagikan kepada dua, yang pertama adalah propaganda-anti, yang mengeluarkan doktrin-doktrin untuk memburukkan musuh perang Jepun iaitu Amerika dan Britain. Yang kedua adalah propaganda-pro yang memaparkan sisi kebaikan pemerintahan Jepun. Antara propaganda-pro yang kerap kali kelihatan dalam analisis Akram adalah kempen menyokong Orde Baharu juga dasar Kesejahteraan Bersama Asia Timur Raya.
Dalam membahaskan perkembangan propaganda visual, Saiful Akram membawakan wacana penyatuan antara seni dan propaganda, propaganda adalah sesuatu seni untuk mengelakkan masyarakat berfikir, tetapi masyarakat dianjurkan untuk menyerap mesej yang disampaikan tanpa berfikir panjang. Oleh itu propaganda boleh kita definisikan sebagai satu proses untuk menghalang masyarakat berfikir dan merenung jauh, ia adalah pujukan dengan penuh kesenian agar masyarakat menerima sesuatu idea dengan pantas, bersetuju dengan kesimpulan yang telah disediakan. (22)
Saya teringat akan siri perdebatan Christopher Hitchen, dalam mempertahankan kem ateis apabila diserang berkenaan beban jenayah yang dilakukan oleh rejim-rejim ateis, beliau sering membawa perspektif bahawa mereka bukan ateis, mereka merupakan rejim pseudo-teologi. Korea Utara misalnya, walaupun berfahaman komunis tetapi Supreme Leader mereka Kim Jong-un dianggap dan dilayan seperti tuhan. Begitu juga imperial Jepun, maharaja mereka merupakan tuhan secara literal. Saya merasakan bahawa jika Hitchen masih hidup, dia akan bersetuju dengan falsafah Jepun yang diungkapkan oleh Saiful Akram. Dalam analisisnya, Akram membawakan fahaman Jepun ketika itu bahawa maharaja mereka berasal dari tuhan serta mewarisi sifat tuhan. Orang Jepun percaya bahawa mereka merupakan bangsa yang terpilih, mereka lebih suci dan sejati, manakala misi pembebasan (atau penjajahan) mereka di Asia Pasifik adalah misi ketuhanan. (25)
Di dalam naskah ini, Dr. Akram menjejaki semula kartun-kartun yang disiarkan dalam akhbar dan majalah tempatan ketika pendudukan Jepun. Saya tertarik dengan ulasan berkenaan dengan kartun lukisan Kato Etsuro di dalam akhbar The Syonan Sinbun yang menggambarkan reputasi unggul jututerbang berani-mati Jepun yang digelar kamikaze, mereka diagungkan kerana sanggup mengorbankan nyawa demi ketaatan kepada mahajara Jepun. (54) Apa yang membuatkan saya berfikir adalah bagaimana propaganda membuatkan ia sebagai suatu yang unggul dan dihormati. Walhal ia tiada beza dengan pengebom berani mati Palestin sebagai contoh, yang mengorbankan diri untuk kemerdekaan tanah air mereka, namun dimata dunia mereka bukan unggul dan dihormati tetapi digelar dengan gelaran yang jelik seperti teroris di mata dunia. Disini saya memahami peranan propaganda boleh menggambarkan sesuatu perbuatan yang sama dengan persepsi yang cukup berbeza.
Propaganda yang disajikan kepada masyarakat Malai (Malaya) dan Syonan-to (Singapura) bukan sahaja perihal perkembangan peperangan di Asia, malah peperangan dan situasi di Eropah turut disajikan. Propaganda yang menyokong pasukan Paksi iaitu pihak fasis Jerman dan Itali yang merupakan sekutu Jepun turut ditanam ke dalam masyarakat Malai dan Syonan-to. Antara magsa propaganda yang sering menjadi target serangan adalah Churchill dan Roosevelt. Roosevelt digambarkan sebagai pemimpin yang lemah serta menghadapi kekalahan dalam kempen perang antarabangsa juga menghadapi tekanan dalam negara, namun hakikatnya Roosevelt merupakan antara presiden Amerika paling popular dalam sejarah, beliau memenangi pilihanraya presiden sebanyak 4 kali, malah dibawah pemerintahan beliau, reformasi sosial besar-besaran dilaksanakan yang sangat terkenal, dipanggil sebagai The New Deal yang berjaga membawa Amerika keluar dari The Great Depression. (77)
Walaupun naskah ini merupakan naskah kajian ilmiah, saya mempunyai kritik kecil, iaitu tentang bagaimana penulis menafsirkan sesebuah imej propaganda, tidak begitu jelas metodologi yang digunakan. Seolah-olah ia hanya tafsiran rawak penulis berdasarkan pemerhatian-pemerhatian luaran. Juga saya dapati banyak ulasan mempunyai kekurangan konteks, antara propaganda yang selalu kelihatan berulang-ulang adalah kempen menanam sendiri makanan, meningkatkan produktiviti pertanian, Grow More Food. Namun tidak diulas secara terperinci kena kempen ini terjadi, adakah ketika itu berlaku kekurangan makanan sehingga ia memerlukan propaganda yang berulang? Mungkin boleh dikemukakan kajian-kajian perihal stok makanan semasa pendudukan Jepun. Jika konteks ini diperincikan mungkin pemahaman tentang mengapa propaganda tertentu dikeluarkan dapat lebih difahami dari sekadar mengulas apa yang terlukis pada gambar.
Akhir kalam saya merasakan bahawa buku ini sangat informatif terutamanya kepada masyarakat awam seperti saya yang tidak mempunyai banyak pengetahuan perihal situasi negara semasa perang dunia ke-2. Makalah ini sudah tentu mempunyai perspektif dan bidang pengkajiannya yang spesifik, ia membuatkan pembaca tertanya-tanya perihal sudut-sudut lain yang boleh dilihat perihal sejarah pendudukan Jepun di Malaya ini. Semoga kita bakal menikmati pelbagai jenis karya lagi dari penulis yang prolifik ini.