Khamis, 17 Disember 2020

Aku Ingin Mencuri Hati Suri



Aku ingin mencuri hati suri,
rupanya didalamnya ada ribut,
yang merenggut hatiku sendiri,
dihanyut arus tenggelam ke dasar laut.

Semua dosa sudah aku ampuni,
tapi bekasnya masih meracuni,
aku lemparkan ego bersilih-silih,
namun yang datang secangkir pedih.

Mungkin harga mahar bahagia,
tidak dapat dibayar dengan setia,
mungkin layar ini takdirnya duka.

Jika kalbu mu masih tertanya,
Jawapannya adalah "iya".

Isnin, 14 Disember 2020

The Translator: Sebuah Memoir Oleh Daoud Hari


Begitu menyedihkan membaca memoir ini, yang ditulis menceritakan konflik pembersihan etnik di Darfur oleh kerajaan Sudan pimpinan diktator Omar Al-Bashir, tak mampu membacanya tanpa menangis. Tak terfikir dek akal kekejaman manusia ke atas manusia yang lain. Ia akan menyebabkan anda kemurungan memikirkan perihal kekejaman yang terjadi.

Daoud Hari merupakan seorang berbangsa Zaghawa, beliau tinggal bersama keluarganya di Darfur sehinggalah kampungnya diserang oleh militia kerajaan Sudan. Memoir ini beliau tulis untuk menceritakan kepada dunia apa yang berlaku di Darfur dengan harapan masyarakat dunia dapat membantu warga Darfur untuk kembali hidup aman di kampung halaman mereka.

Daoud tidak seperti adik-beradiknya yang lain yang tinggal di kampung, beliau bersekolah di bandar dan mempunyai penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, skil ini membantu beliau dikemudian hari. Beliau keluar dari Sudan ke Mesir untuk mencari pekerjaan, kemudian cuba menyeludup masuk ke Israel namun gagal. Akhirnya beliau pulang ke kampung halaman ketika perang sedang memuncak di Darfur.

Apabila kampung diserang, suasana yang sangat menyayat hati berlaku, kerana kampung-kampung ini adalah kampung terpencil, mereka tidak mempunyai apa-apa fasiliti perubatan, bagi yang tercedera teruk, mereka hanya boleh berdoa agar kematian segera menjemput dan mengakhiri penderitaan mereka. Sedangkan yang lain hanya mendapat secawan teh untuk melawan rasa sakit akibat tangan dan kaki yang terputus akibat letupan. (44) Satu suasana yang tidak dapat dibayangkan dalam masyarakat moden hari ini.

Daoud sempat sampai ke kampungnya sebelum ia diserang, dan membantu keluarganya melarikan diri, tetapi abangnya Ahmed merupakan antara sukarelawan kampung yang menjadi barisan pertahanan, apabila serangan sudah tamat, beliau pulang semula ke kampung selepas beberapa hari untuk menyempurnakan pengebumian mayat-mayat barisan pertahanan kampung. Pada ketika itu dia menjumpai mayat abangnya yang tersayang, hampir tidak boleh dicam kerana letupan bom. Beliau mengebumikan abangnya dan mengucapkan selamat tinggal. (60)

Orang kampung yang terselamat dari serangan menjadi pelarian, mereka berjalan kaki menuju ke kem pelarian di Chad, dalam masa yang sama menandakan perjalanan mereka dengan kubur-kubur wanita dan kanak-kanak yang mati ketika dalam perjalanan. Walaupun ketika saat genting seperti ini, Daoud menulis perihal kebaikan, bagaimana mereka bantu membantu, berkongsi air dan makanan untuk kekal hidup. (63)

Mungkin antara kisah yang paling merenggut hati adalah kisah seorang wanita yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak kecil lelaki. Apabila kampungnya diserang oleh militia Janjaweed (pasukan berkuda Arab), wanita tersebut ditangkap dan diperkosa selama seminggu. Beliau kemudian ditinggalkan ditengah padang pasir jauh dari sebarang kampung tanpa makanan dan minuman. Beliau berjalan selama 5 hari sehinggalah beliau tidak lagi mampu membawa anak-anaknya, dan berehat dibawah sebatang pohon berdekatan dengan sempadan Chad. Beliau melihat dua anaknya mati disitu. Kemudian mengambil keputusan untuk menggantung dirinya di pohon itu. Anak kecil beliau mati didalam dakapan Daoud yang tiba disitu, beberapa jam lewat. Kekejaman ini membuatkan saya termenung dalam, perihal kekejaman manusia sesama mereka. (65-66)

Kisah kekejaman kedua yang dikongsikan Daoud adalah perihal seorang lelaki yang ditangkap oleh militia Janjaweed dan diseksa, anak perempuannya tidak sanggup melihat ayahnya diseksa keluar dari persembunyian sambil berlari kearahnya dan memanggilnya "Abba Abba!". Anak perempuan ini kemudian ditusuk oleh militia Janjaweed dengan bayonet. Beliau melihat anaknya mati sambil memanggil namanya sehingga anaknya terkulai, manakala militia tersebut menari-nari dengan mayat anaknya. (83)

Kekejaman ini merubah minda lelaki tersebut. Dia tidak dapat memikirkan apa dosa anaknya, kenapa anaknya harus mati begitu. Setelah membaca hal ini, ia seolah menyentak jiwa saya. Kadang kita merasakan bahawa pengebom berani mati merupakan orang yang gila dan kejam, apa yang kita tidak ambil kira adalah kekejaman yang telah dilakukan pada mereka. Mereka melihat sesuatu yang merubah minda mereka, merasakan nyawa mereka tidak ada nilainya lagi, dari mati dikala tua, mereka lebih rela memberikan nyawa mereka untuk mengalahkan musuh mereka. Lelaki ini kemudian terselamat dan bersatu semula dengan isteri dan anak lelakinya, tetapi imej yang dilihat telah mengubah mindanya. Dia meninggalkan isteri dan anaknya untuk bertarung.

Apabila tiba di kem pelarian di Chad, Daoud menjadi penterjemah untuk delegasi Amerika yang menyiasat penghapusan etnik (genocide) yang dilakukan oleh kerajaan Sudan dibawah Omar Bashir. Selain penyiasatan ini, Daoud menyatakan kerajaan Amerika tidak menolong banyak, ini berbeza dengan rakyat Amerika dan juga Eropah yang menjalankan begitu banyak kerja-kerja kemanusiaan membantu warga Darfur. Bagi Daoud bukti sesuatu kerajaan itu demokrasi atau tidak adalah sama ada ia mencerminkan hati dan perasaan rakyatnya. (85)

Daoud juga menjadi penterjemah bagi wartawan yang ingin memasuki Darfur, beliau mencoretkan bahawa wartawan juga mempunyai sisi kemanusiaan yang kuat. Mereka sering menangis melihat kekejaman yang berlaku. Sering kali mereka membantu menguburkan mayat-mayat yang dijumpai, terutamanya kanak-kanak, dan mereka akan duduk dan berdoa di kubur-kubur ini. (112) Membaca akan hal ini, saya teringat akan Robert Fisk. Tentang bagaimana melihat kekejaman menjadikannya seorang wartawan yang berbeza, menulis dengan penuh amarah tanpa berselindung untuk melaporkan kepada dunia siapa penjenayah sebenarnya.

Pada bab-bab akhir, Daoud menceritakan bagaimana beliau akhirnya berjaya ditangkap oleh kerajaan Sudan. Antara topik yang mendapat perhatian saya adalah bagaimana anak-anak remaja dijadikan askar paksaan. Mereka berumur sekitar 14 tahun sahaja (tingkatan 2 jika di Malaysia). Kadangkala remaja yang bernasib baik akan melarikan diri ketika disuruh menyerang kampung-kampung. Daoud menulis tentang harapannya jika tentera kanak-kanak ini ditawan, supaya mereka tidak dibunuh sebaliknya dihantar bersekolah. Ada ketika Daoud cuba bercakap dengan anak-anak ini, menerangkan keadaan agar mereka sedar apa yang mereka lakukan adalah kesalahan, dan beliau nampak sinar-sinar harapan dimata anak-anak ini. (138)

Buku ini berakhir dengan kisah bagaimana akhirnya Daoud dilepaskan dari tahanan hasil tekanan dari rakan-rakan wartawan beliau, juga kerajaan-kerajaan Eropah (spoiler!). Dihujungnya beliau memberi perspektif tentang sebab berlakunya konflik ini. Saya tidak dapat menolak dari berfikir bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan Sudan dan Omar Bashir tidak ada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh Israel kepada bangsa Palestin. Mereka mahukan tanah tanpa penduduk, jadi mereka melakukan pembunuhan, menghapuskan kampung-kampung, jika Israel mahu meng-Hebrew-kan Palestin, Omar Bashir mahu meng-Arab-kan Darfur dan Sudan dengan memadam etnik-etnik Afrika yang ada. Buku ini ditulis Daoud agar cita-cita seperti ini tidak berjaya.

Rabu, 9 Disember 2020

Menulis Sebagai Pengembara Bukan Ideolog


Baru-baru ini saya ada menulis perihal kritik saya terhadap pemikiran Bakunin, seorang teman, yang merupakan komrad anarkis menghantar mesej kepada saya, kata beliau, hatinya sedikit kecewa kerana kritik saya itu tidak cukup panjang. Walaupun beliau seorang anarkis, beliau punya persoalan yang sama dengan saya perihal pemikiran anarkis Bakunin, beliau juga ada menulis manuskrip namun tidak disiapkan, dan beliau berharap saya dapat mengembangkan kritik saya menjadi sebuah buku. Idea beliau itu bagi saya sangat menarik, kerana banyak perkara dalam pemikiran Bakunin boleh dibahaskan, diteliti, dan yang problematik boleh diperhalusi dan dikritik.

Namun, walaupun saya merasakan ia satu idea dan projek yang menarik untuk dilakukan, saya merasakan saya tidak mampu melakukannya, kerana saya sendiri terikat dengan pelbagai projek penulisan. Sebahagiannya aktif diusahakan, manakala banyak darinya tergendala.

Saya memberitahu beliau bahawa saya mengkritik Bakunin bukan sebagai seorang ideolog, saya tidak punya apa-apa tujuan untuk merendahkan anarkisme kemudian mengetengahkan ideologi saya. Tidak. Tetapi saya menulis kritik-kritik itu sebagai seorang pengembara, saya sedang berjalan, berjalan dalam kehidupan. Satu hari saya berehat sebentar dibawah pokok, ketika itu saya terjumpa naskah pemikiran Bakunin, saya pun baca dan coretkan sedikit pandangan saya. Kemudian saya letakkan semula makalah itu ditempatnya, lalu saya menyambung semula perjalanan saya.

Saya jarang membaca buku-buku yang telah saya terbitkan, kerana saya telah mengulang baca berkali-kali semasa menyuntingnya sebelum penerbitan. Tapi kadang kala saya selak-selak juga melangkau-langkau, kadang saya tertanya juga "apalah yang aku tulis dahulu?". Dan bila saya baca, ya, saya menulis dahulu sebagai seorang yang idealis, sebagai seorang ideolog. Saya bukan hendak mengatakan tidak boleh berideologi, tapi saya perpendapat sekarang (qaul jadid) bahawa menulis sebagai pengembara lebih menenangkan, lebih objektif, lebih terang pemikiran dalam menulis, dan yang lebih penting, saya kira ia jalan yang lebih adil dalam membahas sesuatu idea.

Ketika mengkritik Bakunin itu, pada mulanya saya terbitkan mukaddimahnya sahaja di Facebook, kerana pada ketika itu saya sedang bekerja, dan menyelit sebentar menulis waktu rehat makan tengahari. Bak kata Shakespeare, manusia itu mempunyai banyak topeng. Begitu jugalah saya, ada ketika saya memakai topeng suami, topeng sebagai ayah, topeng sebagai anak, topeng sebagai seorang pekerja, juga topeng sebagai seorang penulis di waktu senggang. Oleh kerana banyak topeng, saya punya masa yang terhad untuk setiap topeng.

Ada netizen yang meninggalkan komen "Bersambung pulak dah? Kau ingat kau superstar nak orang tunggu-tunggu kau? Habiskan je lah bro!". Saya tidaklah terasa atau mengambil hati, mungkin sebab sudah tua, masa zaman darah panas muda-muda dahulu mungkin saya akan bergaduh terus. Cuma komen itu buat saya terfikir soal menulis.

Bagi saya menulis bukanlah proses yang boleh dibuat secara tergesa-gesa, terutamanya jika mahu mengkritik pemikiran orang lain. Kita kena baca dahulu pemikiran mereka, duduk termenung cuba untuk faham, kemudian berfikir bagaimana untuk mempersembahkan hujah-hujah yang rasional. Jika ini tidak dilakukan, kritikan akan tersasar, malah kita sendiri akan kelihatan lebih bodoh dari orang yang kita ingin kritik. Jadi itu juga merupakan salah satu faktor penulisan saya sedikit perlahan dan bertahap. Pembaca mungkin tidak dapat menghargai perkara ini, kerana mereka hanya membaca, tidak terlibat dalam proses pembacaan sumber primer, proses berfikir, dan proses untuk mensintesiskan hujah-hujah.

Saya merasakan dalam perjalanan kehidupan ini, meniti jambatan masa menuju alam seberang sana, semakin banyak saya membaca dan menulis, semakin saya merasakan banyak perkara yang saya belum tahu, hikmah yang belum tersingkap di fikiran. Oleh itu saya semakin lama semakin kurang ideolog, saya mahu menjadi pelajar dan pemerhati, dalam masa yang sama menjadi perekod sejarah, menulis apa yang saya temui sepanjang perjalanan singkat ini.

Selasa, 8 Disember 2020

Membaca Pamplet Gagasan Dasar Pemikiran Bakunin


Buku kecil ini merupakan pamplet yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1993 oleh Paterson Anarchist Collective, ia dialih bahasa ke dalam Bahasa Indonesia pada tahun 2019 dan boleh didapati di anarkis.org. Naskah yang saya terima merupakan bentuk cetakan yang dihadiahkan oleh komrad Benz Ali ketika saya membeli bukunya. Makalah ini cuba untuk membela pemikiran seorang tokoh anarkis tersohor, Mikhail Alexandrovich Bakunin yang pemikirannya banyak diperolok dan dipermain-mainkan. (2) Saya secara peribadi merasakan ia tidaklah begitu berjaya untuk menyampaikan objektif tersebut, sekurang-kurangnya pada pandangan peribadi saya, ada perkara yang saya setuju, dan ada juga perkara yang akan saya persoalkan dan kritikkan. Mungkin ada komrad dan teman anarkis yang tidak bersetuju dengan kritikan dan tafsiran saya, maka terpulanglah ia untuk dikritik balas, dijawab, dan dipanjangkan perdebatan.

Saya banyak mendapat pendedahan idea-idea anarkis melalui pembacaan dan syarahan Chomsky dan Zinn, namun setiap kali saya memikirkan perihal ideologi kiri, sama ada dalam bentuk anarkis, sosialis, atau komunis, saya sering terpanggil semula ke perbincangan saya bersama Francis di tepi Sungai Gombak pada tahun 2019. Ideologi dan pemikiran lahir pada zamannya, pada keadaan politik dan sosialnya, kita boleh menerima sesuatu ideologi pada peringkat teori, namun apabila sampai kepada peringkat praktis dan praxis ia perlu disesuaikan dengan keadaan dan zaman terkini. Perkara ini dipersetujui oleh sarjana Marxis tersohor seperti Prof. Richard Wolff, pada beliau sosialis perlu berkembang, belajar dari eksperimen sosialis yang gagal, tidak mengulanginya, dan berubah kepada sosialis-sosialis baru yang sesuai dengan norma masyarakat kini. 

Pada awal kajian, bacaan, dan penelitian saya, saya mempunyai perspektif yang khilaf, saya cuba untuk mendapatkan satu definisi kepada terma-terma seperti komunis, sosialis, dan anarkis, namun apabila saya bertemu syarahan-syarahan Prof. Richard Wolff baru saya sedar ia tidak mempunyai definisi yang statik, ia punya banyak tafsiran dan banyak bentuk. Idea-idea Bakunin mungkin tidak sama dengan idea anarkis Chomsky, ia tidak bermaksud bahawa Chomsky kurang anarkis dari Bakunin, tidak. Ia bermaksud bahawa idologi anarkis berubah secara dialektik seiring perubahan keadaan dan zaman. Mungkin ini bacaan asli anarkis kedua yang saya baca selepas membaca Zine Dari Johor yang diterbitkan oleh Kolektif Naratif, sebuah kolektif tempatan. Baik, selepas 3 perenggan mukaddimah, bolehlah kita perbahaskan beberapa intinya.

Oleh kerana makalah ini ingin mempertahankan Bakunin, ia sejak awal mengishtiharkan bahawa pandangan-pandangan rasisme Bakunin tidak akan dibincangkan. Ya, Bakunin yang internasionalis dan anarkis juga punya sisi ideologi bercorak bangsa. Yang pertama adalah Slavik Nasionalisma beliau ketika muda, yang kedua adalah sikap anti-semitism beliau yang cukup benci dengan Bangsa Yahudi yang beliau sering gelar sebagai parasit. Tidak salah untuk membenci Zionis kerana Zionis merupakan ideologi kolonial yang besifat rasis, bahkan banyak bangsa Yahudi yang anti-zionis. Tetapi anti-Yahudi atau anti-semitism dalam pemikiran Bakunin bermasalah kerana Yahudi merupakan bangsa, kita tidak dapat memilih dan menukar bangsa yang kita dilahirkan. Jadi saya sedikit sukar untuk merasionalkan sifat internasionalis Bakunin dengan sikap anti-semitism beliau. (2)

Makalah ini mendefinisikan Anarkisme dengan dua sifat utama. Pertama sebagai sistem ekonomi dan politik yang menghapuskan eksploitasi dan penindasan termasuklah kapitalisme dan negara. Anarkis berpegang bahawa negara adalah sinonim kepada penindasan, hal ini akan kita tinjau dengan lebih lanjut. Yang kedua adalah pemabangunan masyarakat yang mana semua ahli terlibat dalam membuat keputusan yang mempengaruhi hidup mereka. Bahagian kedua ini mungkin kedengaran dekat dengan demokrasi tetapi ia mempunyai perbezaan, dalam demokrasi masyarakat tidak terlibat dalam pembuatan polisi, mereka hanya terlibat dalam memilih siapa yang akan membuat polisi. (3)

Penolakan kepada negara oleh anarkis adalah kerana negara memonopoli kekerasan, hanya negara yang boleh melakukan kekerasan dengan menangkap, menghukum, dan membunuh atas nama undang-undang. Negara juga menggunakan hukum untuk memelihara sistem ekonomi kapitalis serta borjuis yang mendapat manfaat darinya. (5) Negara menghasilkan kelas minoriti yang menindas, ini perlu dihancurkan menurut Bakunin oleh kelas majoriti yang ditindas. Untuk mencapai matlamat ini, kelas majoriti perlu disedarkan akan keadaan penindasan yang ada, kerana kelas penindas sentiasa sedar akan penindasan yang mereka lakukan dan sentiasa berusaha mengekalkannya. (6-7) Kesedaran ini perlu dilakukan kerana kemiskinan tidak semestinya menghasilkan revolusi atau perubahan, jika masyarakat tidak percaya ada alternatif lain untuk menyusun kekayaan dan ekonomi, mereka akan berubah kepada kepasrahan. (8) Bagi anarkis negara adalah mesin anti-sosial, alat kelas kapitalis dan elit, negara bagi anarkis adalah secara fitrahnya adalah sesuatu kekerasan. (11)

Pasti ada yang akan berhujah bahawa tidak semua negara menindas? Negara berbentuk demokrasi liberal sebagai contoh akan cuba menjaga kesejahteraan sosial. Bakunin berpendapat bahawa ini adalah satu bentuk penyamaran, ketika mereka merasa terancam, kita dapat lihat bagaimana negara demokrasi liberal memperlihatkan sifat ganasnya. (12) Disini mungkin saya bersetuju dengan Bakunin, bahawa demokrasi liberal tidak menjamin sesuatu nergara itu menjadi ganas. Hari ini kita dapat lihat bagaimana negara-negara demokrasi liberal menyerang dan mengebom negara-negara lain, bersekongkol dengan kolonial Zionis, menyokong tirani di negara lain, malah menggagalkan demokrasi di negara lain melalui jalan asasinasi juga kudeta. Bagi Bakunin negara demokrasi merupakan percanggahan istilah kerana negara pada hakikatnya adalah authoriti, paksaan dan dominasi. (17)

Bakunin pergi lebih jauh dalam mengkritik demokrasi liberal (yang dipanggilnya demokrasi borjuis) bukan sekadar polisi luarnya, tetapi sifat pilihanraya itu sendiri. Sistem pilihanraya, perwakilan berasaskan parti politik melahirkan segelintir populasi sahaja yang celik politik. Golongan minoriti ini mempunyai akses kepada kekayaan, pendidikan, dan masa lapang untuk digunakan untuk berpolitik, sementara golongan majoriti yang terpaksa bekerja kerana tidak punya kekayaan tidak punya masa lapang untuk berpartisipasi dalam politik. (14) Bakunin juga mengkritik demokrasi langsung, apa yang sering disebut sebagai referendum. (16) Hal ini kerana rakyat tidak punya upaya untuk mengetahui masalah yang kompleks dalam refendum. Referendum Brexit sebagai contoh mempunyai implikasi sosial dan ekonomi yang kompleks untuk ditentukan dalam referendum binari "yes or no". Ahli politik elit malah mengawal diskusi dan apa yang hendak direferendumkan yang akhirnya memberikan mereka legitimasi dalam membentuk demokrasi borjuis. (16)

Bakunin sangat konsisten dengan prinsip anti-negara beliau, beliau mengkritik konsep dictatorship of proletariat Marx, bagi Marx diktator proletariat adalah negara transisi menuju komunisma tanpa negara, (19) namun bagi Bakunin tiada bezanya jika sosialis berkuasa dalam negara, mereka akan menempatkan diri mereka diatas masyarakat, dan pandangan mereka terhadap dunia akan berubah, seperti mana yang telah dibuktikan oleh sejarah, dimana sosialis yang duduk di parlimen dalam sejarah merupakan sejarah pengingkaran janji yang dibuat mereka. (14-15) Bakunin menjangkakan bahawa jika sosialis berkuasa mereka akan menjadi lebih ganas dan brutal dari kerajaan sedia ada. Chomsky bersetuju dengan pendapat Bakunin ini, bagi Chomsky jangkaan Bakunin ini tepat dan dapat dilihat apabila Bolshevik naik takhta. Lenin dan Trotsky, kemudian disambung oleh Stalin menyaksikan satu pemerintahan yang brutal, yang memberikan satu nama yang buruk pada terma sosialis, kerana setelah itu sosialis sering dikaitkan dengan totalitarian.

Bagi Bakunin idea Marx hanya akan menggantikan penindasan kapitalis dengan penindasan sosialis. (17) Bakunin juga mengkritik pemikiran economic determinism dalam pemikiran Marx, yang beranggapan bahawa situasi dan nasib mereka ditentukan oleh keadaan ekonomi sahaja. (18) Pada pandangan saya persoalan ini merupakan sebahagian dari perdebatan antropologi, ada cendiakawan berpendapat manusia tidak punya sifat semulajadi, mereka hanya punya sejarah, manakala sebahagian lain berpendapat manusia punya sifat semulajadi. Bakunin mengambil posisi bahawa manusia punya daya kretif dalam menentukan nasib mereka. (18) Mungkin pembela-pembela sosialis Bolshevik mengatakan bahawa sistem yang mereka gunapakai adalah hasil keadaan semasa yang tidak ideal, namun Bakunin melihat metod mereka akan tetap memberikan hasil yang sama. (22)

Bagi Bakunin, hiraki yang dibentuk negara akan melahirkan pemimpin, tidak kira pemimpin itu dari parti buruh atau seorang sosialis, yang mempunyai sifat delusional bahawa mereka mempunyai superioriti. Ini juga dapat dilihat dalam kepimpinan kesatuan pekerja, oleh itu bagi Bakunin, setiap anggota harus sentiasa terlibat secara langsung. (23)

Dalam soal ekonomi, idea Bakunin punya persamaan dengan idea sosialis, yang menyatakan bahawa untung hasil dari pekerjaan kolektif perlulah dibahagikan secara kolektif, apa yang sering disebut oleh sosialis sebagai "socialization of production and profits". (7) Namun berbeza dengan sosialis, Bakunin menolak pemusatan kuasa, bagi beliau penyusunan ekonomi berpusat tidak dapat menyelesaikan keperluan manusia yang kompleks. (20)

Idea berkenaan dengan revolusi dalam pemikiran Bakunin pada saya agak membingungkan, dan punya kontradiksi, dalam satu sudut beliau percaya revolusi perlukan oraganisasi agar ia benar-benar membebaskan, (8) di sudut yang lain beliau mengharamkan mana-mana individu mengambil alih revolusi, anarkis bagi beliau perlu membantu revolusi bukan memimpin. Elit revolusi tiada tempat dalam pemikiran Bakunin, mereka perlu membantu revolusi bukan menggantikannya. (28) Ini menimbulkan tanda tanya, jika anarkis tidak memimpin bukankan golongan ideologi lain yang bakal mengambil kepimpinan? Seperti yang dilakukan Bolshevik? Juga adakah revolusi tidak terpimpin mampu berjaya? Bakunin juga sedar bahawa revolusi bermaksud pertumpahan darah dan kehancuran harta benda, bagaimana ini dapat dijustifikasikan dalam mencapai keadilan? (9)

Bakunin percaya aksi kolektif diperlukan untuk mencapai masyarakat anarki, dengan satu gerakan revolusioner tang terkoordinasi. Bagi Bakunin organisasi semasa revolusi bukan dibuat untuk kelangsungan organisasi, tetapi untuk membantu revolusi. Namun persoalannya, apa yang akan menghalang organisasi ini menjadi pemimpin revolusi dan naik ke kuasa? Dan jika mereka tidak memimpin bagaimana kolektif-kolektif dapat tahu arahan mana yang harus diikuti semasa revolusi? (27)

Apakah yang ditawarkan Bakunin untuk menggantikan negara?

Beliau menawarkan konsep federalisme. Iaitu gabungan kelompok-kelompok atau kolektif masyarakat kemudian membentuk federasi. (21) Kolektif ini diberi kebebasan untuk bergabung atau keluar dari federasi sesuai dengan keperluannya. 

Baik, sekarang saya ingin bentangkan inti kritikan saya, serta masalah-masalah yang saya kira tidak dapat dijawab dalam pemikiran anarkis Bakunin (sekurang-kurangnya tidak dijawab dalam makalah ini).

Yang pertama adalah visi masyarakat anarkis yang digambarkan Bakunin berasaskan prinsip kebebasan. (31) Disini saya merasakan ia adalah pemikiran yang naif untuk mengatakan semua manusia mampu bersetuju untuk hidup dengan prinsip kebebasan. Seperti yang pernah dikatakan Zinn, adalah satu kesilapan untuk mengatakan semua manusia mempunyai common interest yang sama, Zinn sendiri merupakan seorang anarkis, hujah beliau semasa muda dalam menentang Perang Vietnam dan menggalakkan civil disobedience pada tahun 1971 melawan hujah Prof. Roger D. Fisher merupakan antara hujah yang sangat saya gemari untuk diulang dengar.

Selain negara, Bakunin juga menganjuran penghapusan gereja, mahkamah, dan bank. (31) Adakah ini selari dengan prinsip kebebasan? Bagaimana dengan kebebasan beragama? Penghapusan mahkamah saya kira antara pemikiran Bakunin yang paling bermasalah. Bakunin menganjurkan bahawa setiap masyarakat mempunyai konsensus dalam pemilihan undang-undang masing-masing, ini akan menghasilkan pelbagai percanggahan. (32) Penjahat menurut Bakunin boleh keluar dari satu masyarakat untuk melarikan diri dari hukuman dan tidak menerima keuntungan dari masyarakat tersebut. (33) Hal ini saya kira sangat problematik, kerana ramai penjenayah akan terlepas dari hukuman hanya dengan keluar dari masyarakat yang didiami. Bagaimana pula jika satu masyarakat menzalimi masyarakat lain, siapakah yang akan menjadi arbiter untuk menyelesaikan pertelingkahan mereka dengan ketiadaan mahkamah dan undang-undang yang berbeza? Hal ini membingungkan.

Bakunin juga berpendapat tidak boleh diadakan tentera tetap, tetapi gerakan pertahanan berbentuk militer dibentuk pada peringkat lokal. (32) Baik, ini mungkin merupakan solusi yang kedengaran ideal, tetapi tidak praktikal. Saya berpendapat ini merupakan kelemahan anarkis dari sudut survival, sosialis walaupun sering dikatakan utopia pernah membentuk negara dan dapat dilihat dari sudut praktik. Yuval Noah Harari dalam bukunya ada mengisahkan tentang bagaimana manusia berubah dari masyarakat memburu kepada masyarakat agrarian, ia adalah perkara survival, kerana masyarakat agrarian dapat mengumpul surplus dan lebih berdaya tahan berbanding masyarakat berburu. Hal ini juga kita dapat lihat dalam situasi ini, masyarakat anarkis akan sentiasa kalah dengan masyarakat negara kerana dalam negara mereka mampu mengumpulkan surplus, membina persenjataan yang kompleks dan besar, oleh itu masyarakat anarkis versi Bakunin akan sentiasa tewas dalam pergelutan survival. Begitu juga dari sudut ekonomi, sistem kolektif yang terpisah-pisah tidak akan dapat mengalahkan sistem kapitalis yang berintegrasi.

Anarkis dan masa depan.

Saya berfikiran bahawa anarkis masih relevan, namun bukan dalam bentuk yang digambarkan Bakunin, falsafah-falsafah kebebasan menurut Bakunin untuk melawan keganasan negara bagi saya merupakan idea yang bernas. Cuma solusinya tidak praktikal. Bagi saya anarkis akan sentiasa wujud dalam mana-mana negara, mereka mungkin tidak kelihatan kerana memang sifatnya yang tidak pro-hiraki. Dan anarkis bagi saya mempunyai fungsi dalam negara, sebagai agitator apabila timbul ketidak-adilan, sebagai agen perubahan, juga sebagai suara-suara yang akan melawan hegemoni negara. Saya lebih dekat dengan pandangan Chomsky yang mendefinisikan anarkis sebagai pemansuhan mana-mana institusi yang tidak dapat mewajarkan kewujudannya, juga aksi Zinn untuk tidak patuh pada negara ketika mereka melakukan keganasan dan kekejaman.

Maka jika didepan kita adalah kezaliman, kita semua perlu menjadi anarkis.

Ahad, 6 Disember 2020

Buku Berfikir Tentang Pemikiran Edisi Baharu

 

Alhamdulillah. Setelah sekian lama mendapat pengkhabaran dari alam maya sahaja, hari ini abang frontliner posmen mengirim naskah edisi baharu buku Berfikir Tentang Pemikiran yang diterbitkan semula oleh The Biblio Press dan dipasarkan secara meluas oleh The Bibliophile Bookshop. Saya secara peribadi sangat berpuas hati dengan naskah terbaru, lebih kemas, lebih professional, dan lebih mesra pembaca berbanding naskah asal yang saya terbitkan 2 tahun yang lalu. Setelah disusun semula, ketebalan juga menjadi dua kali ganda.

Mungkin pada penulisan Ahad ini saya hendak merakam sedikit sejarah dan kisah-kisah disebalik buku ini, kerana saya melihat ramai juga yang bertanya "buku ini pasal apa?".

Sebelum saya pergi jauh ke halaman itu. Saya hendak merakamkan jutaan terima kasih kepada penerbit yang memberi peluang dan kepercayaan kepada penulisan saya untuk diterbitkan semula dan menemui pembaca baharu. Terima kasih juga kepada Aktivis Buku Negara, Puan Emmy Hermina Nathasia yang sudi menukil sedikit kata pengantar buat edisi baharu ini, tentulah saya sebagai penulis tersentuh dan berterima kasih atas kesudian ini. Mungkin cadangan saya pada penerbit jika mahu dicetak lagi dituliskan "Kata Pengantar Oleh" di muka hadapan untuk cetakan seterusnya sebagai penghargaan pada Puan Emmy.

Baik. Sedikit sejarah dan latar belakang. Saya merupakan seorang yang mengikuti gerakan Islam di Malaysia. Saya mengikuti pelbagai program dakwah dan tarbiyah dari kecil hinggalah ke usia saya hari ini. Dan dalam proses tersebut saya mengenali ramai manusia, ada yang manis, ada yang kurang, ada yang bersemangat, ada yang berfikiran jauh, ada yang akhirnya menjadi isteri (ops!), dan saya merasakan ia satu pengalaman yang sangat berharga. Saya merasakan ia satu kerugian sekiranya apa yang saya kutip ini hilang seiring hilangnya memori saya apabila saya menutupkan kelipan mata terakhir.

Maka saya mula menulis, menulis, dan menulis. Ia adalah pandangan dan pemikiran jujur saya, meski bagi sesetengah pengkritik merasakan ia berbentuk didaktik atau terlalu pekat usrah. Kadangkala saya menulis di bilik, di rumah, di universiti, di atas bas, di surau hentian bas. Saya menulis semua pengalaman, perasaan dan pemikiran saya. Proses penulisan ini bukan sehari, seminggu, atau sebulan, hampir empat ke lima tahun. Dihujungnya saya juga rasa sukar hendak berhenti, kerana ada sahaja benda baharu yang ingin dimasukkan. Sepanjang penulisan itu saya juga banyak membaca buku-buku lain, membuatkan saya berfikir tentang perkara-perkara lain, idea yang saya kira sangat menarik, dan saya masukkan, ulaskan, dan tuliskan ke dalam buku tersebut. Oleh kerana itu buku itu berevolusi, kerana pemikiran saya juga sedang berevolusi pada ketika menulis itu seiring pengalaman dan pembacaan saya.

Dalam proses evolusi ini, buku ini saya berikan banyak nama, ia saling bertukar-tukar. Pada ketika itu saya sedar memberi nama kepada buku ini merupakan satu perkara yang sukar, lebih sukar dari menamakan anak. Saya tidak boleh memberi nama yang eksklusif kedengaran Islamik kerana terlalu banyak perkara lain yang turut saya bincangkan. Jadi saya mengambil keputusan, hasil dari bacaan saya dalam buku "Langkah Bermula" oleh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid (atau mungkin ulasan berkenaan buku tersebut, saya tidak berapa pasti), iaitu menggunakan metodologi Al-Qur'an dalam menamakan surah. Surah Al-Baqarah sebagai contoh dinamakan bersempena kisah lembu Bani Israel, meskipun surah tersebut berkisar tentang banyak perkara lain selain kisah tersebut. Jadi saya memilih satu daripada bab untuk dijadikan tajuk buku iaitu bab "Berfikir Tentang Pemikiran". Bab itu saya pilih kerana ia bersifat umum, dapat merangkumi semua penulisan saya.

Saya tiada tujuan untuk menjadikan buku ini kedengaran seperti buku falsafah, dan buku ini bukanlah buku berkenaan dengan falsafah - walaupun Puan Emmy menulis dalam sidang pengantar ia adalah buku ini bersifat "berat dan ilmiah". Ia adalah buku yang bagi saya memuatkan kisah-kisah peribadi. Bagi saya buku ini mempunyai personal effect yang kuat dengan diri saya sendiri, sebab itu saya ada juga menolak tawaran untuk diterbitkan bersama dengan penulis lain yang sudah ada nama dalam industri buku, bukan kerana sombong atau besar diri, tetapi saya merasakan ia adalah rakaman pengalaman peribadi dan lebih selesa diterbitkan sendiri meski mungkin tidak dapat pergi jauh. Saya juga ada menolak penerbitan dari penerbit yang saya rasa tidak sesuai, alasannya adalah sekali lagi kerana ia adalah refleksi pemikiran-pemikiran peribadi.

Saya secara peribadi ingin mengamalkan nasihat Howard Zinn yang tidak membaca buku sendiri, namun atas nasihat teman yang dikasihi Akmal Sabri yang membaca buku saya awalnya sebanyak dua kali dan mengkritik panjang buku ini, mungkin saya akan baca semula, dan menilai semula pemikiran lama saya. Naskah yang disusun secara kemas ini juga menjadi pemangkin untuk saya menyelaknya semula.

Terima kasih kepada penerbit, penulis kata pengantar, pereka kulit, teman-teman pembaca, rakan-rakan yang sudi membeli, membaca, mengkritik dan menulis ulasan, kalian semua adalah permata yang sangat berharga buat diri saya secara peribadi. Membuatkan saya ingin menulis lagi dan menyambung projek-projek penulisan yang sekian lama tergendala di dalam folder draft.

Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah.

Catatan Baitul Muslim 39: Surat-Surat Bergaduh Dengan Isteri


Seorang teman baik zaman persekolahan saya, Afifi mengucapkan tahniah pada gambar lama pernikahan saya, rupa-rupanya hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan saya yang ke-6. Beliau adalah diantara sahabat yang bersusah payah untuk hadir ke majlis akad nikah saya dan masih menyimpan gambar tersebut di dalam laman sosial medianya. Saya katakan bahawa saya sendiri terlupa akan hari ulang tahun perkahwinan saya sendiri, masih sempat untuk berbuat sesuatu ujarnya.

Petang itu saya dan isteri membawa anak-anak ke padang, asyik terpuruk di rumah, biarlah mereka berlari-lari menghirup udara segar. Dalam perjalanan isteri saya berkata, oh hari ini 5 Disember, mungkin memberi hint, atau ingin menguji minda saya. 

"Anniversary?" tanya saya. 

"Tahun lepas abang ada mesej beri ucapan masa saya bekerja" ujar isteri. 

"Dah berapa lama kita kahwin?" tanya saya. 

"6 tahun" jawab isteri.

Lama juga, rupanya sudah enam tahun saya berumahtangga, sungguh tahun ini saya terlupa. Pada waktu malam, setelah isteri dan anak-anak tidur baru saya hantar mesej mengucapkan penghargaan sepanjang 6 tahun bersama, juga memohon ampun dan maaf sepanjang perkahwinan atas segala kekurangan sebagai suami.

Saya tidak pernah keluar dating dengan isteri sebelum berkahwin, kami tidak pernah berkenalan secara dekat apatah lagi bersemuka, saya tidak punya pengalaman bercinta sebelum berkahwin. Saya berkahwin dengan pasangan atas pilihan keluarga. Masih ingat rakan-rakan sekerja yang terkejut dengan kisah perkahwinan saya, Peng Lim dan Sue Deng mengatakan mereka tidak dapat membayangkan bagaimana saya boleh menerima arranged marriage, yang bagi mereka merupakan satu amalan tradisional yang sudah tidak diamalkan pada hari ini.

Saya selesa dengan pilihan keluarga, kerana bagi saya perkahwinan bukan hanya soal saya, tapi ia adalah penyatuan dua keluarga yang lebih besar, pilihan keluarga menjadi pilihan saya kemudiannya. Saya tidak mempercayai cinta pandang pertama seperti yang dipasarkan kepada masyarakat oleh Disney dan Hollywood, bagi saya cinta itu harus diusahakan bersama pasangan. Pilihan keluarga tidak bermaksud saya tidak boleh mencintai atau dicintai. 

Tentulah perkahwinan punyai asam garamnya, punya ketawa dan air mata, kerana perkahwinan adalah penyatuan dua insan yang tidak sempurna, dan mereka perlu berusaha bersama untuk mencipta bahagia. Saya masih ingat, di awal perkahwinan ada juga masa-masanya saya bergaduh dengan isteri, ada ketika kami juga bermasam muka, merajuk sesama sendiri. Ada ketika saya berfikir untuk lari dari rumah, namun saya sedar itu akan menjadi tindakan yang tidak matang, setiap masalah harus didepani dengan berani, dimusyawarah bersama, bertolak ansur dan bertoleransi.

Kerana tidak pernah saling mengenali dan bercinta sebelum berkahwin, saya punya masalah komunikasi diawal perkahwinan, ditambah dengan tidak banyak pengalaman berkawan dengan perempuan. Tetapi sebenarnya komunikasi bukan sekadar bercakap bersama, mungkin ada perkataan yang susah nak dikeluarkan semasa bersemuka. Oleh itu diawal perkahwinan saya banyak menulis surat buat isteri, bila bergaduh saya akan menulis surat, menerangkan situasi, perasaan, dan emosi saya. Kemudian senyap-senyap masukkan dalam handbag isteri supaya dia boleh membacanya di pejabat. Surat membolehkan saya meluahkan perasaan dengan panjang lebar, membolehkan saya menyusun ayat dengan selamat, dan yang paling penting pembaca boleh membaca dengan intonasi mereka sendiri. Maka jika saya menulis sambil menjerit pun, pembaca tidak mendengar jeritan saya, yang ada cuma perkataan untuk dibaca dalam intonasi mereka sendiri. Dengan itu perjanjian damai lebih mudah dimeterai di masa-masa perperangan.

Lama kelamaan komunikasi saya dengan isteri bertambah baik (sekurang-kurangnya saya rasa begitu, pihak isteri kena tulis sendiri pendapat beliau), banyak perkara-perkara yang mungkin dahulu kami tidak selesa berbincang kini dapat dibincangkan dengan bersahaja. Ada topik yang dahulunya pasti menjadi dialog bersulam air mata kini dapat dimediasi dengan lebih tenang. Namun teknologi kini sudah semakin maju, jika tidak mahu bersurat pun masih banyak medium komunikasi digital lain yang ada seperti whatsapp, instagram, tiktok, dan lain-lain. Namun saya lebih gemar bersuratan, mungkin saya sedikit tradisionalis dan sentimental.

Tiada dua manusia yang seratus peratus serupa pemikiran dan perasaannya, sekuat mana pun cinta, setebal mana pun sayang. Berkahwin bererti kita rela menerima hakikat ini. Jika kita mahu berkahwin dengan orang yang betul-betul sama dengan diri kita, kita perlu berkahwin dengan diri sendiri. Dalam soal mengurus anak misalnya, saya dan isteri mempunyai pendekatan yang berbeza. Dahulu, kami berselisih juga tentang soal ini, namun lama kelamaan kami menerima hakikat bahawa setiap manusia mempunyai cara mereka yang berbeza, dan itu merupakan sesuatu yang sihat.

Sebagai contoh, sekiranya saya berjanji dengan anak-anak akan sesuatu perkara, saya tidak berjanji kosong, janji saya sentiasa bersyarat. Contohnya saya berjanji mahu membawa anak-anak ke taman di sebelah petang, syaratnya tidak bergaduh sesama sendiri. Jika syarat ini tidak dipenuhi saya tidak akan menunaikan janji saya, walaupun ada ketika saya beri kelonggaran namun anak-anak faham syaratnya, dan dia tahu itu garisan yang mereka perlu berhati-hati untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. Isteri saya punya pendekatan yang berbeza, baginya janji perlu ditunaikan kepada anak-anak, dan selalunya janjinya tidak bersyarat. Kami berlapang dada dengan cara masing-masing.

Perkahwinan modalnya bukan cinta sahaja seperti dalam filem dan cerekarama, tetapi ia adalah tangungjawab, komitmen dan usaha. Perlu ada matlamat yang sama untuk diusahakan seperti sabda nabi yang menekankan pilihan utamanya adalah agama, kerana perkahwinan bukan sahaja untuk kebahagiaan sementara didunia, atau mengejar kenikmatan-kenikmatan sementara, tetapi ia juga adalah satu pilihan, memilih seorang teman yang sanggup berusaha bersama-sama untuk ke syurga.

Semoga Allah merahmati perkahwinan saya dan mengekalkannya hingga ke syurga.

Terima kasih pada isteri yang sudi berkongsi hidup bersama (kalau-kalau isteri baca blog ini), insha'Allah susah senang sama-sama kita kongsi sebagai bekalan ke syurga.

Khamis, 3 Disember 2020

Usah Tewas Pada Sayap Dan Pucuk Itu


Malam itu aku bercakap,

Kemudian nota ku tulis perihal rangkap,

Anak-anak kecil dari tawa sudah hanyut,

Diulit mimpi di malam larut.

 

Pagi itu berat mataku,

Mungkin semalam sudah menyedut daku,

Dengan segala tenaga yang mampu.

 

Saat pulang mengantar kecil permata,

Ke asuhan mengumpul ilmu dan tinta,

Ku terpandang semangat burung kuning,

Yang terapung diatas kening.

 

Begitu tangkas dengan semangat tegap,

Keluar mengayuh sayap,

Mungkin itu hantaran Tuhan,

Untuk mengubat mata kuyu keletihan.

 

Tiba di rumah aku melihat tersergam,

Timbunan tanah hitam semalam,

Pagi itu tumbuh pucuk baru dicelah,

Dikambus tetap tidak mahu mengalah,

Tiada timbunan yang mampu memenjarai,

Pucuk hijau mencium mentari.

 

Ku bisik pada hati,

Ayuh, kini giliran mu,

Usah tewas pada sayap dan pucuk itu!

Isnin, 30 November 2020

Nota Dari Perkongsian di Al-Aqsa Book Review


Alhamdulillah, baru-baru ini diberi kesempatan untuk berganding dengan adinda tersayang, Syed Zulfaqar dalam slot perbincangan buku-buku Palestin di Al-Aqsa Book Review: Ulat atau Ulas? Ini adalah nota dari penyampaian saya, yang ditulis andai ada peserta yang mahu merujuk tentang bahan-bahan yang saya sentuh.

Apakah sebenarnya yang diperlukan untuk melayakkan seseorang membuat ulasan buku?

Bagi saya secara teknikalnya, ada dua syarat utama seseorang itu layak membuat ulasan buku. Syarat yang pertama adalah seseorang itu boleh membaca, jika dia pernah belajar membaca di tadika atau sekolah, maka, dia sudah memenuhi syarat ini. Yang kedua dia pandai menulis, menulis hari ini tidak memerlukan kita untuk pegang pen atau pensil, tetapi lebih kepada menaip, jadi jika sesorang itu boleh menaip dia sudah cukup syarat kedua.

Ulasan buku ini dia ada pelbagai jenis. Yang pertama kita tulis pandangan kita membaca buku tersebut, contohnya sesuatu buku itu mudah dibaca, atau buku tersebut terlalu berulang-ulang isinya, atau kita rasa buku itu membosankan, ini bagi saya level pertama ulasan buku. Yang kedua, kita tulis semula isi-isi utama sesuatu buku, ini lebih berbentuk diskriptif, kita faham isi penting buku, dan kita ulas semula menggunakan ayat dan gaya tulis kita. Yang ketiga adalah komparatif, yang ini mungkin level tinggi sedikit, kita bandingkan buku yang kita baca dengan idea atau pandangan penulis lain. Yang ke-empat adalah kritik buku, yang ini bukan sahaja kita ulas semula atau buat perbandingan, tapi kita kritik isinya, yang ini mungkin memerlukan sedikit ilmu perihal subjek yang kita nak kritik.

Pandangan perihal suasana membaca dikalangan masyarakat

Suasana membaca dalam masyarakat saya lihat positif, terutamanya anak-anak muda yang banyak membaca buku-buku yang dianggap berat satu ketika dahulu. Dahulu ada yang meramalkan bahawa buku fizikal akan mati diganti dengan e-book, namun nampaknya ramalan tersebut tidak benar.

Buku-buku tentang konflik Palestin yang pernah dibaca

Buku yang betul-betul berkenaan dengan Palestin yang pernah saya baca rasanya 4 buah. Yang pertama sekali adalah The Holocaust Industry tulisan sejarawan Yahudi, Norman G. Finkelstein yang saya baca pada tahun 2015, ia adalah jawapan Prof. Finkelstein untuk propaganda Israel yang mengaitkan orang Arab dengan Nazi sebagai justifikasi kepada dunia untuk menjajah Palestin. Kedua juga adalah pengarang yang sama, bertajuk Beyond Chutzpah (dibaca pada tahun 2017) dimana Prof. Finkelstein menjawab serangan Israel kepada pengkritiknya yang dilabel anti-semitism, beliau juga menjawab penipuan apologis Israel Alan Dershowitz, Finkelstein mengkritik buku Dershowitz, The Case for Israel sebagai “spectacular academic frauds ever published”. Tahun 2018, saya membaca buku The Ethnic Cleansing of Palestine yang juga ditulis oleh sejarawan Yahudi, namanya Ilan Pappe, beliau berhujah bahawa peristiwa 1948 bukan Nakba atau kemerdekaan Israel, tetapi merupakan satu jenayah perang terancang. Buku ni memang menyedihkan, dan saya memang menangis baca. Saya ada tulis sedikit berkenaan dengan buku ini dalam posting “Village Files”. Boleh baca perancangan Zionis untuk menghalau bangsa Palestin keluar. Walaupun mereka ini berbangsa Yahudi, mereka menentang Zionis, ini kena kita bezakan, bukan semua Yahudi adalah Zionis. Banyak persatuan Yahudi yang menentang Zionis, contohnya mazhab ortodoks seperti Neturei Karta, pergerakan Yahudi liberal seperti Jewish Voice for Peace, dan gerakan muda progresif seperti IfNotNow. Buku yang ke-4 adalah tulisan Ang Swee Chai bertajuk From Beirut to Jerusalem, yang ini pun sedih, setiap muka surat sebaldi air mata, Dr. Ang adalah seorang Kristian Zionis lahir di Pulau Pinang, warga Singapura dan menjadi pelarian dan surgeon di United Kingdom. Alhamdulillah pernah berkesempatan berjumpa beliau pada Februari 2020 secara peribadi semasa UN konferens di Kuala Lumpur dan bertukar-tukar buku. Beliau menjadi aktivis Palestin selepas menjadi doktor sukarela di kem pelarian Shabra & Shatilla, beliau merupakan antara saksi Sabra Shatila Massacre dan testify dalam Kahan Comission di Israel. Buku lain perihal Palestin seperti Power & Terror oleh Noam Chomsky, yang mengkritik bantuan Amerika terhadap jenayah perang Israel.

Panduan pemilihan buku dan cara menikmati pembacaan

Panduan yang paling mudah memilih buku adalah baca ulasan perihal buku oleh orang lain. Goodreads contohnya ada review section, kita boleh baca dua-dua side, ulasan yang memuji dan ulasan yang mengeji. Tapi jangan 100% percaya review sebab setiap orang berbeza kefahaman, perasaan, kesukaan dan lain-lain. Untuk merasai nikmat baca buku jangan speedreading, bagi saya speedreading antara kaedah yang saya paling tak suka. Saya suka baca perlahan-lahan, tanda idea yang menarik, tuliskan sedikit nota bacaan, kongsi review, itu cara saya nikmati bacaan.

Apa yang ingin dicari dalam sesebuah ulasan buku?

Ada dua perkara biasa saya nak tengok dalam reviu buku, pertama apa idea-idea asas buku itu ataupun yang dikatakan tema utama, yang kedua pandangan pembaca perihal buku tersebut.

Pandangan perihal buku tempatan

Secara jujur saya tak meragui kebolehan penulis tempatan, walaupun baru-baru ini timbul isu buku copy paste menang anugerah buku di Malaysia, saya lebih gemar buku-buku yang ada unsur pengalaman peribadi contohnya memoir insiden serangan ke atas kapal Mavi Marmara, tapi secara jujur saya belum pernah membacanya. Mungkin ia diterbitkan sendiri atau penerbit kecil yang pasarannya tidak besar jadi tidak sampai kepada saya. Namun jika ada cara saya akan cuba mendapatkannya. Buku-buku mengenai sejarah Yahudi tempatan saya tak berapa minat, terutamanya yang bercampur antara fakta dan konspirasi. Secara jujur saya belum pernah baca buku tempatan perihal persoalan Palestin. Mungkin saya lebih minat baca hujahan scholar luar kerana saya rasa isu ini isu global, dan bila kita berdebat perihalnya kita kena mahir dalam argumen international, banyak fakta konspirasi tak boleh guna bila kita argue dengan orang luar.

Kualiti buku sama ada recomended atau tidak bagi saya, saya kena baca dahulu, baru saya boleh bari tahu dengan yakin sama ada ia bagus atau tidak. Tetapi rujuk review juga salah satu cara kita nak tahu buku tersebut bagus atau tidak, sebab itu penting kita tulis review.

Saya faham, kadangkala kita tak nak bazirkan masa untuk baca buku yang tak bagus, sebab itu kita perlu pandangan orang lain, reviu sebagai contoh. Tapi sebenarnya membaca buku yang tak baik atau yang tak bagus itu juga sebenarnya baik, dari situ kita belajar dari pengalaman, kita ada pengalaman baca buku yang tak menarik, itu berharga. Pengalaman dalam pembacaan tak bermaksud kita baca buku yang bagus sahaja. Saya secara peribadi pernah beli buku yang ditulis pensyarah tempatan, buku itu sangat teruk, dalam buku itu tiba-tiba ada ayat (masukkan hadis ibadat / contoh), menunjukkan ia adalah kerja yang diberi kepada pelajarnya, tidak diedit dan dibuang. Itu adalah pengalaman pembacaan, jika kita tak jumpa yang buruk kita tak tahu apa yang baik. Walaupun buku itu teruk, ia tetap menjadi pengalaman yang berharga buat kita. Kita boleh cerita, cerita kita lebih menarik, ada baik dan buruk.

Buku yang perlu dielakkan adalah buku-buku propaganda dah disahkan tidak benar oleh pengkaji dan ahli akademik, contohnya buku Alan Dershowitz tadi, seperti buku The Painted Bird tulisan Jerzy Koskinski, juga contohnya buku Fragments tulisan Binjamin Wilkomirski, ditulis dan dipopularkan walaupun tidak sahih. Wilkomirski ini menulis tentang pengalamannya semasa di kem Nazi akhirnya terbukti bahawa dia bukanlah seorang Yahudi malah semasa peperangan dia berada di Switzerland sepanjang masa! 

Harapan saya sebagai konklusi

Saya harap lebih ramai lagi orang yang menulis ulasan buku, kita suburkan budaya membaca, mengkritik teks. Nasihat saya untuk mulakan ulasan, bila baca buku, sampai di tempat yang menarik atau idea yang bagus, berhenti tulis sedikit nota, kemudian sambung balik baca, jumpa berhenti lagi tulis. Jangan tunggu habis baca baru tulis. Kemudian akhirnya kumpul semula nota-nota itu jadikan satu review. Bila dah banyak review, kumpulkan pula untuk jadikan sebuah buku. Ulasan buku ini penting, ia gedung kefahaman bacaan kita, persediaan talk ini sendiri saya rujuk kembali pada review-review lama saya.


Ahad, 29 November 2020

Kultura Podcast #8 : Review Goodreads Tahun 2020

 


Baru-baru ini sempat bersiaran bersama saudara Mel Van Dyk dalam podcast beliau, Kultura Podcast dalam episod ke-8 dengan tajuk Goodreads: Year End Review untuk bersembang perihal pembacaan. Tajuk tersebut memang secara peribadinya dekat dengan hati saya. Tahun ini saya memang target membaca dalam 10 buah buku sahaja, namun ketika podcast itu dirakamkan, saya telah membaca 14 buah buku untuk tahun 2020, dan ada 3 buah buku yang masih dalam pembacaan. Buku yang saya baca juga kebanyakannya non-fiksyen, perlu dibaca perlahan-lahan, difikirkan dan dinotakan.

Corak pembacaan saya juga sebenarnya tidaklah terancang secara rigid, saya tidak punya senarai buku apa yang saya hendak baca pada tahun tersebut, cuma yang dirancang dan dipilih adalah buku yang hendak dibeli, selepas dibeli dan disusun dalam rak, saya akan merenungnya saban hari, berfikir, dan memilihnya secara rawak untuk dibaca.

Buku pertama yang saya baca tahun ini adalah buku Port Agency oleh Institute of Chartered Shipbrokers, buku ini saya baca kerana ia adalah silibus pengajian professional saya. Buku ke-2 adalah buku tulisan Jamie Glowacki bertajuk Oh Crap! I Have a Toddler: Tackling These Crazy Awesome Years—No Time-outs Needed, buku ini berbeza dengan buku parenting lain. Buku ini lebih blunt dan praktikal. Saya suka kesimpulannya, orang yang paling expert pasal anak anda adalah anda sendiri. Buku ke-3 adalah satu-satunya novel yang saya baca pada tahun ini, And the Mountains Echoed tulisan Khaled Hosseini, buku ini saya kira tidak dapat menandingi dua novel Hosseini sebelum ini dari segi emosi yang dibangkitkan atau tema besar yang dibawakan, ia lebih kepada konflik keluarga.

Buku ke-4 adalah sebuah zine kecil NutMag Volume 4 yang bertemakan Transition oleh MYWriters Penang, ia merupakan antologi cerpen, artikel, dan juga puisi, ada yang menarik, ada juga penulisan yang tidak menarik didalamnya. Buku ke-5 adalah Sapiens: A Brief History of Humankind oleh Yuval Noah Harari ia adalah cubaan beliau untuk memuatkan seluruh sejarah manusia dalam satu buku, satu cubaan yang mustahil namun harus dipuji atas cubaannya. Namun saya tak rasa ia sebuah buku saintifik tulen seperti yang dipasarkan sebagai popular science kerana ia ada juga membincangkan persoalan falsafah, metafizik, agama dan perkara-perkara non-emperikal.

Buku ke-6 adalah Menolak Perintah tulisan Iltizam Iman tulisan anak jati Johor. Saya meminati perbahasan-perbahasan beliau perihal pendidikan dan home-schooling, juga aktivisma mempertahankan Bukit Payong dari projek tempat pembuangan sisa kerana menjejaskan kehidupan penduduk juga disebabkan lokasi tersebut yang mempunyai tinggalan warisan sejarah yang belum habis dikaji. Buku ke-7 adalah Kept in Ink tulisan Francis Wolf, buku ini saya kira kreatif kerana bukan sahaja merakamkan pengalaman berkelana di Thailand, tetapi juga memuatkan lukisan-lukisan tangan beliau disana.

Buku ke-8 adalah One Child: The Story of China’s Most Radical Experiment tulisan Mei Fong. Saya minat kritikan-kritikan Mei Fong terhadap polisi ini, namun kadang kala saya merasakan beliau begitu antagonistik terhadap China, mungkin kerana latar belakang pendidikan dan kerjaya beliau. Buku ke-9 adalah buku yang diharamkan KDN, Antithesis tulisan Benz Ali. Bagi saya, banyak kritikan-kritikan Benz terhadap institusi Islam mempunyai merit, cuma mungkin bahasanya sedikit ganas menyebabkan ia diharamkan. Buku ke-10 adalah The End of History and The Last Man oleh Francis Fukuyama, walaupun ada perkara yang saya tidak setuju dengan perbahasan Fukuyama, tetapi perbahasan-perbahasan beliau perihal falsafah sains politik sangat membuatkan ia sebagai pembacaan yang sangat kaya.

Empat buku lain yang sempat saya baca tahun ini juga adalah Meruntuhkan Mitos Superman oleh Benz Ali, Educated sebuah memoir oleh Tara Westover, zine Dari Johor oleh Kolektif Naratif dan akhir sekali buku Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-1945) tulisan Dr. Saiful Akram Che Cob. Ada juga tiga buku lain yang saya masih baca pada tahun ini, jika tidak sempat dihabiskan akan masuk ke senarai bacaan tahun hadapan.

Manakala dalam senarai Mel Van Dyk adalah buku House of Wisdom oleh Jonathan Lyons, Letter to a Young Muslim oleh Omar Saif Ghobash, A Gentleman in Moscow oleh Amor Towles, Into the Wild oleh Jon Krakauer, Sapiens oleh Yuval Noah Harari, Fiqh Islam Mazhab Syafie oleh Sheikh Ahmad bin Hussain Al-Isfahani dan Surat Buat Mufti Johor oleh Hamka.

Untuk tahun depan saya ingin mendedikasikan pembacaan saya hanya pada satu buku iaitu The Great War for Civilization: The Conquest of The Middle East oleh Robert Fisk, sebuah buku besar setebal 1,136 mukasurat. Manakala Mel Van Dyk merancang untuk membaca tiga buku iaitu The Fall of the Ottomans oleh Eugene Rogan, Nothing to Envy: Ordinary Lives in North Korea oleh Barbara Demick, dan yang terakhir adalah How to Think Like a Roman Emperor: The Stoic Philosophy of Marcus Aurelius oleh Donald Robertson.

Podcast penuh boleh di dengari di Spotify, Google Podcast, dan iTunes.

Sabtu, 21 November 2020

L'Egypte Resplendit des Feux de Son Aurore


Petanda bagi menentukan sesuatu buku itu sangat menarik, pada hemat saya, salah satunya adalah kemampuannya menyebabkan pembaca terhenti, dan merasa terdesak untuk menuliskan apa yang dia dapati dari pembacaan. Inilah yang berlaku semasa saya menelaah buku hasil penelitian dan kajian Prof. Edward Said yang bertajuk Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Selepas menuliskan pendahuluan, rasional kajian, sebab kajian, skop, juga huraian definisi. Said membedah sejarah permulaan Orientalis moden, iaitu ekspedisi Napoleon Bonaparte ke Mesir.

Napoleon mempunyai cita-cita yang tinggi, beliau mahu menakluki keseluruhan Mesir. Untuk itu beliau membuat perancangan yang sangat rapi, perancangan yang sangat skematik, saintifik, methodikal dan tekstual. Tiga sebab membuatkan Napoleon mengambil keputusan untuk menawan Mesir. Pertama, kejayaan ketenteraannya menyebabkan tiada lagi kawasan untuk dikembangkan keagungannya melainkan ke Timur. Kedua, Napoleon sejak mudanya memang meminati Orient, beliau melihatnya sebagai satu tempat yang mampu memberinya keagungan seperti apa yang dicapai oleh Alexander. Ketiga, beliau berpendapat bahawa Mesir merupakan kawasan yang sudah difahami dan dipelajari dari sudut strategi dan sejarah - jadi ia mudah ditawan. Ekspedisi Napoleon bukan merupakan ekspedisi ketenteraan biasa, beliau membawa bersamanya sekumpulan 167 saintis. Bagi Said, ia adalah ekspedisi pertama keilmuan dalam bidang Orientalis digunakan bagi tujuan kolonial. (80)

Pengetahuan Napoleon perihal Mesir banyak bergantung dari tulisan pengembaraan Comte de Volney. Bagi Napoleon yang membaca Volney, ada tiga halangan utama hegemoni Perancis keatas dunia Orient, iaitu England, Ottoman, dan yang ketiga, yang paling sukar adalah Muslim. (81) Penulis Arab awal perihal ekspedisi ini, Abd-al-Rahman al-Jabarti kagum dengan kelicikan strategi Napoleon, beliau mengagumi taktik Napoleon yang menggunakan para cendiakawan untuk menguruskan masyarakat peribumi, beliau sentiasa meletakkan dirinya dalam posisi yang kelihatan seperti berjuang untuk Islam, dan setiap ucapan beliau diterjemah ke Bahasa Arab Al-Qur'an. Beliau sentiasa memperingatkan tenteranya untuk menjaga sensitiviti umat Islam. (82)

Apabila terbukti bilangan tenteranya tidak dapat menandingi tentera Mesir, beliau menggunakan imam tempatan, qadhi, mufti, dan ulama' untuk menafsirkan Al-Qur'an untuk kepentingannya. Seramai 60 ulama' Al-Azhar diundang dan diberi pangkat ketenteraan, Napoleon diperlihatkan dirinya sebagai insan yang menghargai Islam dan Nabi Muhammad, juga faham selok belok Al-Qur'an. Beliau memberikan arahan yang spesifik kepada pembantunya Kleber agar sentiasa mentadbir Mesir melalui cendiakawan Orientalis dan juga pemimpin agama tempatan. Strategi ini berkesan, ia membuatkan masyarakat peribumi percaya kepada penjajah yang menjajahnya. (82) Strategi ini dipuji oleh Hugo dalam puisinya Lui:

L'Egypte resplendit des feux de son aurore...
Sublime, il apparut aux tribus eblouies,
Comme un Mahomet d'occident.

(Egypt shines with the fire of his dawn...
Sublime, he appeared to the dazzled tribes
Like a Mahomet of the Occident.) (82-83)

Hampir serta merta selepas penaklukannya di Mesir, golongan saintis yang dibawa yang merupakan sebahagian dari Institut d'Egypte yang diasaskan oleh Napoleon yang terdiri daripada ahli kimia, sejarawan, biologis, arkeologis memulakan eksperimen dan kajian mereka. Semua yang dikaji, didengar, dan dilihat direkodkan, hasilnya adalah penerbitan Description de l'Egypte yang begitu besar dan tebal sebanyak 23 jilid. Napoleon bukan sahaja mahu menawan Mesir, termasuk dalam perancangan dominasinya adalah untuk membukanya sebagai objek kajian Eropah, Mesir menjadi sebuah jabatan untuk dipelajari oleh orang Perancis. (83-84)

Dalam bab pendahuluan Description yang ditulis oleh Jean-Baptiste-Joseph Fourier, setiausaha institut, Fourier memberi justifikasi akan projek penjajahan dan kolonial Perancis ini, menurutnya Mesir yang agung telah jatuh kepada barbarism, oleh itu ia memerlukan penyelamat. Penjajah dipotretkan sebagai hero penyelamat, yang akan memberikan mereka kehidupan yang lebih baik, juga menghadiahkan mereka kelebihan peradaban. (85)

Pembacaan saya perihal sejarah ekspedisi Napoleon Bonaparte ini belum lagi dihabisi, ini merupakan nota awal bacaan saya, yang membuatkan saya teruja untuk menulis dan berkongsi perihalnya. Perihal bagaimana ekspedisi kolonial dirancang dengan begitu saintifik, ilmu orientalis perihal masyarakat peribumi digunakan untuk menakluk mereka sendiri, dan bagaimana dengan kekuatan intelektual dan ketenteraan kolonial, sejarah ditulis untuk membersihkan kerja-kerja mereka, menjadikan mereka hero di dalam helaian sejarah.

Isnin, 16 November 2020

Gerimis Malam: Mengapa Masih Disini?



Malam itu hujan renyai-renyai, hujan lebat telah berlalu, kini yang tinggal hanya gerimis di malam hari. Kedai makan tempat dijanjikan untuk berjumpa sudah tutup, mungkin kerana tempat yang agak tersorok menyebabkan lokasi kedai ini tidak strategik. Saya menunggu di dalam kereta sambil dilimpahi lampu neon jalan. Kelihatan sebuah kereta tiba, kemudian berpusing, dan datang lagi. Ahh mungkin mereka merasakan mereka sesat kerana kedai yang dilihat di alam maya tidak ada. Saya mengeluarkan talifon, memberitahu bahawa kedai makan yang dijanjikan itu telah berpindah, dan mencadangkan tempat perjumpaan diubah ke kedai ikan bakar bersebelahan kedai tersebut, di sebelah sungai. Mereka setuju.

Kelihatan dua anak muda keluar dari kereta dan bergegas ke kedai ikan bakar, seorang darinya memegang senaskah buku di tangannya. Saya pun keluar dan mengekori mereka. Malam itu kami bersembang panjang, perihal masalah-masalah pemikiran yang ada dalam pergerakan Islam. Perihal retorik yang tidak sesuai dengan waqi'e setempat, peromantikan sejarah lampau, kebekuan dalam cara program-program diatur. Panjang diskusi itu, melarut seiring larutnya malam.

"Lantas, melihatkan permasalahan-permasalahan ini, relevankah lagi kita berada dalam pergerakan ini?" soal salah seorang dari anak muda tersebut. Soalannya ikhlas, dari riak wajahnya saya dapati mungkin dia sekarang dalam transisi pergelutan idea di dalam minda, dalam proses membentuk pemikiran. Saya memberi jawapan bahawa faktor keluarga merupakan faktor mengapa saya masih setia dalam pergerakan, kerana bagi saya pergerakan ini sudah sebati menjadi keluarga saya. Ia adalah lanjutan apa yang dibina oleh ibu ayah saya, dan tidak pantas bagi saya untuk meninggalkan mereka, mengecewakan mereka, meski saya kira ada percanggahan pemikiran dalam gerakan ini.

Setelah perjumpaan tersebut tamat, dan kami masing-masing membelah malam pulang ke rumah masing-masing, soalan tersebut tetap bermain-main dalam fikiran saya. Seolah-olah jawapan yang saya berikan itu tidak benar-benar memuaskan hati saya sendiri. Saya berfikir tentang soalan itu dengan dalam, dengan lama, dengan mendasar. Dan tinta saya kali ini adalah untuk merakamkan sambungan pemikiran saya, jawapan terhadap soalan tersebut.

Bagi saya gerakan ini masih relevan. Kerana meski pun saya merasakan ada beberapa pemikiran yang tidak saya persetujui, tetapi bagi saya ia tidak cukup kuat untuk mengeluarkan saya. Kerana pada hemat saya tidak semua perkara boleh dipelajari dari buku atau melalui kiat-kiat pemikiran intelektual sahaja. Tetapi pengalaman berada dalam pergerakan itu merupakan satu ilmu yang juga berharga, ia tidak boleh didapati di helaian-helaian muka surat. Pergelutan dengan manusia dalam organisasi mengajar kematangan, mengajar kita cara mengurus manusia, mengajar kita soal keragaman manusia, cara berdiplomasi, juga cara bergerak dalam organisasi. Semua ini adalah ilmu praktikal yang tidak bisa didapati dalam arena intelektual.

Saya juga selesa berada dalam pergerakan ini. Saya sedar saya boleh menyertai pergerakan lain atau memulakan pergerakan sendiri, tetapi saya juga sedar bahawa saya tidak akan merasai perasaan yang sama. Ibarat kita pergi berjaulah, kita tinggal di hotel, semuanya kemas dan indah, namun kita tetap tidak merasakan bahawa kita di rumah kita sendiri. Apabila kita pulang kita berasa lega, rasa selamat, rasa disinilah tempat kita, this is where we belong. Dalam kehidupan ini, semakin tua semakin sedikit kawan baharu yang akan kita temui, sahabat yang saya sudah menjalinkan ukhuwwah dalam gerakan ini terlalu ramai, terlalu mesra, terlalu akrab, saya tidak fikir saya akan mampu menjumpai permata seperti mereka di tempat lain.

Tulisan ini diharap tidak dilihat sebagai didaktik, atau merupakan satu ancaman untuk tidak mencuba pergerakan baru, bukan kongkongan untuk bebas meneroka, sebaliknya ia adalah jawapan-jawapan peribadi saya, alasan-alasan saya sendiri. Tentu sahaja orang lain boleh membuat pilihan mereka sendiri berdasarkan kefahaman mereka, perasaan mereka, juga pemikiran mereka.

Antara sebab lain saya masih disini adalah kerana saya merasakan gerakan ini, meskipun ada cacat celanya, ia sudah mempunyai pengalaman yang lama, sekurang-kurangnya lebih lama dari umur saya sendiri. Jadi untuk berpecah dan bermula semula sendiri merupakan satu kerugian. Ia sudah matang dalam beberapa perkara yang membolehkan kita menyumbang tenaga pada masyarakat. Sumbangan yang tak bisa kita lakukan andai kita bergerak sendiri.

Saya ada menyaksikan sepanjang hayat saya, anak-anak muda yang bersemangat, mereka pantas meninggalkan pergerakan yang tidak mampu mengikuti kelajuan semangat mereka, namun setelah sekian lama semangat mereka pudar, mereka sedar bahawa dengan semangat yang idealistik itu tak mampu mengubah dunia yang realistik, namun untuk berpatah semua mereka terasa segan. Ya, kita punya semangat yang membara, banyak benda yang kita rasa tidak betul, tetapi semangat tanpa strategi adalah sebilah pedang yang tumpul.

Apabila keluar, nasihat dan pandangan kita terhadap ahli gerakan akan dianggap sebagai pandangan luar, biar pun kita punya semangat, idea kita tidak akan disambut. Jadi ia adalah strategi yang salah. Saya merasakan kita perlu melakukannya dari dalam, bertahap, dan berstrategi. Perubahan dari dalam secara perlahan-lahan adalah perubahan organik yang bernafas panjang, ia lebih baik dari revolusi yang menatijahkan kejayaan singkat namun tidak bertahan lama, roboh kerana tiadanya foundasi organik.

Akhir sekali saya merasakan bahawa setiap pergerakan mempunyai masalah-masalahnya. Kita mungkin nampak pergerakan lain sempurna kerana kita tidak duduk didalamnya, jadi kita tidak tahu masalah mereka. Jadi meninggalkan pergerakan yang ada untuk mencari pergerakan yang sempurna bagi saya adalah seperti mengejar fatamorgana, akhirnya kita penat tanpa dapat mencapai apa-apa. Pergerakan Islam bukan milik mana-mana individu secara peribadi, ia adalah milik ummat, dan selagi kita tergolong dalam ummat ini kita adalah sebahagian dari pemiliknya. Sudah pasti manusia mempunyai cara fikir yang berbeza-beza, untuk menjadikan pemikiran semua ahli seratus peratus sama adalah satu kemustahilan, oleh itu perbezaan pemikiran hendaklah difahami sebagai sesuatu yang natural, sunnatullah dalam mana-mana pergerakan manusia.

Akhirnya kita akan pulang bertemu Tuhan. Mahu atau tidak mahu, percaya atau tidak percaya, kita semua akan binasa. Oleh itu masa yang kita ada perlulah diisi dengan amalan-amalan, sebagai bekal untuk ke alam seberang. Tidak salah berfikir atau berbeza pemikiran, yang salah mungkin jika kita tinggalkan medan amalan.

Isnin, 9 November 2020

Menuju Lautan: Evolusi Pembacaan


Kehidupan ini kadangkala rasanya seperti sungai, pada mulanya laju, ada air terjun, kemudian semakin perlahan, mendatar, sehinggalah bertemu lautan, akhirnya larut, hilang. Membaca merupakan satu aspek kehidupan yang saya kira berevolusi sepanjang kehidupan saya. Saya masih ingat semasa sekolah rendah banyak dilaksanakan kempen-kempen membaca. Antara yang paling melekat adalah lagu "Membaca Gaya Wawasan", bila lihat semula video lagu tersebut di Youtube memang nostalgia, penyanyi-penyanyinya Siti Nurhaliza, Nazri Johani, Sarimah Ibrahim, Afdlin Shauki, semuanya masih muda-muda. Lagu ini selalu diputar di televisyen, sejauh mana ia mempengaruhi masyarakat saya tak pasti. Tapi bagi saya, sehingga kini masih ingat.

Saya mula membaca dengan membaca buku-buku fikrah Islam. Buku-buku Fathi Yakan, Syed Qutb, Muhammad Ahmad Ar-Rasyid, Ramadhan Al-Buti kerana ia merupakan buku-buku yang dianjurkan untuk dibaca oleh ibu, ayah, guru, dan murobbi saya. Semasa saya habis sekolah, membuat pengajian persediaan saya meminjam buku dari seorang rakan dari Terengganu, beliau merupakan peminat Tuan Guru Nik Aziz, jadi dari beliau saya membaca buku 'Kemuncup Dalam Perjuangan' dan 'Insan Ingatlah! Sebuah Panduan Menuju Hati Yang Tenang'. Pada peringkat permulaan, pembacaan adalah satu instrumen spiritual pada saya, satu proses menguatkan ruhi dalam diri.

Saya hanya meneroka buku-buku selain buku fikrah Islam semasa pengajian pasca-siswazah saya di Johor (pengajian yang tidak dihabiskan). Saya masih ingat dalam kelas research methodology, pensyarah saya ada berbincang panjang lebar sebuah buku tulisan Thomas L. Friedman. Saya tertarik dan mula membacanya. Selepas saya tamat membaca buku tersebut, saya seolah-olah dirasuk. Seperti ada awakening dalam diri saya bahawa membaca begitu menyeronokkan, begitu mengubah cara saya melihat dunia, memahami bahawa dunia ini lebih luas dari apa yang saya imaginasikan. Saya kemudian membaca buku tulisan agen CIA, Graham Fuller bertajuk 'A World Without Islam' dan sejak itu saya membaca pelbagai jenis buku lagi. Bagi saya ketika itu, saya mahu membaca sebanyak mungkin buku sebelum mati. 

Dari satu buku ke satu buku, saya baca semua, dari buku Mufti Perlis 'Aku Ingin Kembara Lagi' sehinggalah buku militant atheist Richard Dawkins 'The God Delusion' semuanya saya baca untuk memuaskan kehendak membaca dalam diri. Malah buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1231 mukasurat juga saya baca dari kulit ke kulit, buku ini pertama kalinya diperkenalkan oleh pensyarah ekonomi saya di Russia, V.I. Radchenko, dalam bahasa Rusia berjudul Bogatstva Norodov, saya mencari frasa "the invisible hand" yang disyarahkan oleh guru saya dahulu. Saya kemudian bertemu dengan buku-buku Noam Chomsky. Banyak bukunya yang saya baca termasuklah Power and Terror, Power System, Manufacturing Consent, saya begitu tertarik dengan pemikiran Chomsky perihal hegemoni Amerika dan American Exceptionalism, malah ketika saya tidak membaca pun saya akan dengar syarahan-syarahan beliau di Youtube. Hingga satu hari saya terdengar beliau membicarakan soal pembacaan, katanya "there is no use to read, but forget 5 minutes later". Kata-kata Chomsky ini begitu menusuk minda saya, ia mengubah paradigma saya tentang membaca. Buku Adam Smith contohnya, saya ingat dan faham akan bab-bab awal perihal division of labour, tetapi banyak bab-bab lain hilang tanpa ada sebarang ibrah dan pengajaran yang boleh diambil.

Selepas itu paradigma membaca saya berubah. Saya bukan lagi mahu membaca sebanyak mungkin buku. Tetapi saya membaca untuk faham. Saya bahagikan pembacaan kepada dua. Yang pertama adalah leisure reading, bacaan perihal cerita, memoir, novel yang boleh dibaca dengan mudah dan sekali lalu.  Buku seperti Educated oleh Tara Westover dan The Translator oleh Daoud Hari adalah dalam kategori ini, ia boleh dibaca tanpa perlu banyak berfikir. Tetapi tetap saya akan tuliskan sedikit dapatan, apa yang saya dapat dari buku tersebut. Yang kedua adalah serious reading, buku-buku dalam kategori ini bukan sahaja saya baca, malah saya tanda, saya tuliskan nota, ulang baca, dan tuliskan nota yang panjang perihalnya. Saya lebih belajar darinya dari membaca tentangya. Bagi saya amalan ini lebih memuaskan hati, lebih bermanfaat untuk saya walaupun ia melambatkan pembacaan. Dari 20 buku setahun, kini mungkin saya membaca sekitar 10 buku setahun.

Kebelakangan ini saya tersedar akan sesuatu, saya kurang membaca buku-buku karya penulis tempatan. Entah kenapa saya lebih gemar membaca buku dalam bahasa Inggeris, mungkin ada sifat penjajah Anglophile sedikit dalam diri. Bagi saya buku bahasa Inggeris seronok kerana ia membolehkan kita membaca idea-idea lain di dalam dunia yang tiada dalam Bahasa Melayu. Apa-apa pun kini saya bertatih, sedikit demi sedikit membaca buku tulisan anak tempatan, yang bagi saya tidak kurang hebatnya dengan karya antarabangsa.

Begitulah evolusi saya dalam membaca, mungkin ia akan berevolusi lagi saya tidak tahu. Tetapi dalam hati setiap hari saya merasakan saya semakin hampir dengan lautan. Kehidupan ini sememangnya sementara, saya bersyukur pada Allah, tuhan yang memberikan saya nikmat membaca, nikmat memahami. Terima kasih juga kepada guru-guru tadika dan sekolah saya kerana mengajar saya membaca, ibu yang dahulu sering membawa kami adik beradik ketika kecil ke Perpustakaan Negara, juga arwah ayah yang memberi buku-buku fikrah untuk saya baca. Sememangnya membaca merupakan nikmat, anugerah Tuhan sebelum tiada.