Rabu, 2 November 2011

Mencari


Kadang kadang rasa seperti di puncak dunia.
Gembira , bahagia dan ketawa.
Semua kelihatan indah dan nyaman udara terasa.

Tiba tiba rasa sedih , kosong , sunyi dan sepi.
Walaupun berada ditengah orang ramai tetap rasa bersendiri.
Menangis kerana tidak difahami.

Kitaran hidup membawa kita merasai pelbagai perasaan.
Yang mungkin tidak berjaya diungkap dengan perkataan.

Jumaat, 30 September 2011

Malu



Kadang-kadang termenung sendiri di luar tingkap. Memandang ciptaan ALLAH yang maha agung. Musim berganti musim. Daun luruh dan tumbuh. Semuanya sesuai dengan aturannya.

Bila memandang diri terasa malu dan hina. Selepas mandi di lautan taubat terjun semula ke lumpur maksiat. Berulang kali berdoa memohon ampun dosa yang sama.

Sampai bila akan begini.

Nikmat tak pernah terhenti meski hati berulang kali mati. Perasaan malu makin tebal setiap hari.

Mencemar hati setiap hari. Membersih dan mengotorinya kembali.

Ya ALLAH ampunilah diri ini.

Jangan engkau tarik nyawa ini saat ianya sakit atau mati. Jangan engkau tarik hidayah yang telah diberi.

Terasa bahagia saat indah melihat salju turun buat kali pertama. Harap indah juga saat pengakhiran nanti disana.

Khamis, 22 September 2011

Satu hari nanti



Satu hari nanti anda akan sedar bahawa bangun melawan rasa mengantuk menghadap pencipta tidak sia-sia. Saat itu anda akan gembira jika dahulu anda pernah mengorbankan sedikit tidur untuk melaksanakan kewajipan.

Satu hari nanti anda akan sedar keseronokan yang anda lepaskan berbaloi. Kerana ada keseronokan berkekalan akan menanti anda disana.

Satu hari nanti akan ada kebahagiaan yang akan memadam semua kekecewaan dan kesedihan anda. Biarlah anda ditolak dan tidak diterima sekarang tetapi yakinlah akan hari itu dan teruskan usahamu.

'Satu hari nanti' itu akan tiba mesti pun anda tidak suka. Berusaha dan berdoalah sekarang agar pada hari itu anda diterima dan gembira.

Khamis, 28 Julai 2011

Taujih Ruhiyah




Judul : Taujih Ruhiyah-Pesan-pesan spiritual Penjernih hati.
Penulis: Abdul Hamid Al-Bilali.
Penerbit: An-Nadwah.
Bahasa: Indonesia.

Seperti yang kita semua sedia maklum hati itu sifatnya mudah berbolak-balik.Atau dalam kata lain mudah berubah dan mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Sifat ini sememangnya sudah terbukti. Contohnya dalam percintaan antara manusia. Mencintai seseorang hari ini tidak menjamin dia akan mencintainya esok hari.Lalu muncullah istilah-istilah seperti 'cinta beralih arah' , 'cinta tak kesampaian' dan macam-macam lagi.

Tetapi tidak dinafikan terdapat pasangan yang bercinta sehingga ke akhir usia. Sampai ke tua cinta yang disimpul masih erat terikat kuat. Rahsianya adalah cinta itu dijaga.Sentiasa diperbaharui , diingati kemanisannya. Ia sentiasa dibaja dan dijaga sehingga akhirnya ia bisa setia.

Begitu juga dengan hati yang cinta kepada akhirat. Ia perlu dijaga dan dibaja agar kekal setia. Agar cinta itu terus subur , tidak pudar dan tidak beralih arah. Bajanya adalah peringatan kepada hati tentang kemanisan cinta kepada akhirat.

Maka buku ini tampil memberi motivasi dan peringatan.Sarat dengan kisah sahabat dan tabi'n sebagai contoh bagai mana mereka dapat menjaga kesuburan cinta mereka kepada akhirat. Juga sebagai motivasi kepada kita untuk terus beramal hingga ke garisan penamat yang kita tidak tahu bila dan dimana.

Semoga bermanfaat.

Selamat menyambut Ramadhan Mubarak.

Rabu, 13 Julai 2011

Surah Yusuf Ayat 103-108


"Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat menginginkannya.Dan engkau tidak meminta balasan apa pun kepada mereka (terhadap seruanmu ini) , sebab (seruan) itu adalah pengajaran bagi seluruh alam.Dan berapa banyak tanda (kebesaran ALLAH) di langit dan di bumi yang mereka lalui namun mereka berpaling darinya.Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada ALLAH , bahkan mempersekutukan-NYA. Apakah mereka merasakan aman dari kedatangan siksa ALLAH yang meliputi mereka , atau kedatangan hari Kiamat kepada mereka secara mendadak , sedang mereka tidak menyedarinya? . Katakanlah (Muhammad) 'Inilah jalanku , aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada ALLAH dengan YAKIN , Mahasuci ALLAH dan aku tidak termasuk dalam golongan orang yang Musyrik".


(Yusuf:103-108)

Sedikit tadabbur.

Ayat-ayat ini merupakan pujukan kepada golongan pendakwah dan penyeru. Pendakwah ini bukanlah dimaksudkan mereka yang mengambil kursus sarjana atau diploma dalam bidang dakwah di kolej mahupun universiti. Juga bukanlah golongan yang telah mendapat tauliah dari badan-badan kerajaan atau jabatan agama negeri sebagai pendakwah bebas. Juga tidak terbatas kepada golongan-golongan ustaz dan ustazah sahaja.

Mungkin anda hanya pelajar biasa sahaja. Tidak menyambung pengajian dalam bidang agama. Mungkin bidang yang diceburi adalah perusahaan , undang-undang , farmasi , perubatan dan sebagainya. Atau mungkin anda hanya seorang pekerja biasa di mana-mana syarikat.

Tapi anda di beri hidayah oleh ALLAH untuk merasakan kondisi masyarakat yang semakin parah. Lalu ALLAH campakkan kesedaran di hati untuk cuba membantu melaksanakan perubahan dan pembaikan di dalam masyarakat.

Meskipun usaha anda , anda rasa kecil. Misalnya mengajak teman serumah solah berjemaah. Atau mengajak teman sekerja berpuasa sunat atau menghadiri kuliah di surau. Atau menegur perbuatan maksiat teman anda secara berhikmah. Inshaallah jika niatnya bersih kerana ALLAH dan ingin melihat lahir satu generasi yang lebih baik. Anda adalah pendakwah. Inshaallah usaha kecil itu pasti diganjari.

Jadi , ayat 103-107 ini ALLAH tujukan untuk anda. Ianya merupakan motivasi dan bekalan berharga buat anda. Kerana hati manusia mudah bersedih dan bertukar arah apabila berdepan dengan ujian. Dalam ayat-ayat ini ALLAH menekankan tugas kita hanya menyampaikan. Menyeru , memimpin dan berusaha. Sekiranya ajakan anda di tolak atau tidak berhasil , jangan bersedih kerana urusan hati adalah milik ALLAH SWT.

Di ayat 108 ALLAH mengesyorkan agar kita terus yakin akan jalan yang kita pilih ini. Sememangnya mengajak manusia kembali kepada Islam bukanlah tugas mudah.Ianya tidak semudah berkata-kata atau menulis blog . Ia memerlukan pengorbanan masa , tenaga , waktu tidur , wang ringgit dan sebagainya.Sememangnya sukar dan keyakinan adalah bekalan penting untuk memastikan kita terus kekal tanpa jemu meski berhadapan duri cubaan yang sukar ini.

Wallahualam.

Jumaat, 10 Jun 2011

Obsesi


Seorang arkitek berjalan di sebuah kotaraya.Dia melalui jalanan dan lorongan.Matanya tidak lepas memerhatikan senibina dan susun atur bangunannya.Keasyikannya kepada senibina membuatkannya berfikir akan konstruksi bangunan itu.Di perhatikan dari tiang hinggalah kepada bentuk dan rekabina dalaman bangunan tersebut.

Seorang pereka fesyen berjalan di sebuah kotaraya.Dia juga melalui jalanan dan lorongan.Lirik matanya mengikuti susuk dan penampilan warga kota.Di lihatnya remaja yang sedang berlibur di pasar besar bagi mencari idea.Jika seseorang tampil dengan gaya yang berbeza matanya dan nalurinya cepat dapat menangkap dan menganalisa.

Itulah obsesi.

Bukan sahaja arkitek dan pereka fesyen sahaja mempunyai obsesi.Mukmin juga mempunyai obsesi.Obsesinya adalah akhirat.Dia tidak pernah lupa akan hakikat penciptaannya.Segalanya dilihat dan dicerna melalui alunan obsesinya yang tersendiri.

Sekiranya dia berjalan di kotaraya dan melihat seorang tua.Ia terus teringat akan saat usianya akan berakhir dan dia perlu bersedia.

Sekiranya dia melihat orang lain berada dalam kesakitan dan kesusahan.Lantas terbayang kesengsaraan di neraka Jahannam dan pantas memotivasikan dirinya untuk beramal bagi menyelamatkan dirinya.

Sekiranya dia melalui lorong gelap pantas dia teringat akan kegelapan di alam kubur.Setiap yang ada di hadapannya terkait dengat akhirat dek kerana obsesinya.

Maka apa pula yang kita dapat dari pemandangan kehidupan kita?

Apakah obsesi kita?

Rabu, 1 Jun 2011

Bahtera penyelamat



Judul buku : Bahtera penyelamat dalam kehidupan penda'wah
Judul asal : Qawarib Al-Najat Fi Hayat Al-Du'ah
Penulis : Fathi Yakan
Penterjemah : Ustadh 'Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustadz Zawawi Hj. 'Ali
Penerbit : Dewan Pustaka Fajar.

Buku istimewa yang ditulis oleh Fathi Yakan ini secara umumnya menyentuh keperluan dan bekalan yang perlu ada pada setiap individu Muslim secara umum dan kepada setiap pendakwah secara khusus. Isinya dibahagikan kepada empat bahagian.

Bahagian pertama : Rintangan perjuangan dalam kehidupan penda'wah.
Sebagai mana yang diketahui jalan dakwah yang dipilih secara sukarela tidak pernah menjamin keselesaan , kemewahan mahupun kesenangan. Bahagian ini membahaskan secara terperinci berkenaan rintangan yang akan dihadapi dari mukmin , golongan munafiq , orang-orang kafir , syaitan dan nafsu.

Bahagian kedua : Ciri-ciri keimanan.
Membahaskan ciri-ciri yang perlu ada pada golongan yang mengaku beriman.Sifat-sifat yang perlu dijaga.

Bahagian ketiga : Bekalan para da'i.
Oleh kerana jalan yang bakal ditempuh adalah jauh , sukar , meletihkan dan memudarkan semangat . Para da'i perlukan bekalan agar sentiasa segar dan konsisten dalam jalan yang dipilihnya. Bekalan ini akan memastikan mereka tidak mudah putus asa dan tidak mudah mengalah apabila dilanda ujian yang menyakitkan.

Bahagian keempat : Bahtera penyelamat untuk para da'i.
Bahtera-bahtera yang mampu menjaga para da'i agar sentiasa selamat . Ianya meliputi Ma'rifatullah , Ibadatullah , Zikrullah , Al-Khaufu Minaallah , Muraqabatullah , Hubullah , Redha dan Hubburasul.

Sedikit huraian:
Sekiranya ingin menghuraikan semua apa yang dibahaskan didalam buku ini sememangnya panjang.Jadi lebih baik anda mendapatkannya dan membacanya sendiri.Apa yang ingin dikongsi adalah hanya cebisan sahaja dari semua isi yang dibahaskan iaitu menghulurkan sedekah sambil merahsiakannya.

Infaq (sedekah) adalah merupakan bukti bahawa hati seseorang itu sihat dan bersih dari penyakit kikir dan bakhil. Ia juga merupakan satu latihan untuk mengubat perasaan cinta dunia dan harta yang ada dalam diri kita.

Banyak ayat-ayat Al-Qur'an yang menceritakan tentang iman dikaitkan dengan infaq.Seperti ayat ketiga dari Surah Al-Baqarah. Oleh itu dapat disimpulkan bahawa dengan berinfaq kita dapat menilai tahap kesihatan iman kita.

Tangan yang dermawan ini menandakan kekayaan jiwa seseorang manakala tangan yang bakhil menggambarkan kesempitan dan kemiskinan jiwa.

Namun infaq perlulah didasari niat yang bersih suci.Bukan mencari populariti atau ingin budi disanjungi. Cukuplah apa yang diberi dirahsiakan dari orang ramai bagi menelak riya' dan diterima sebagai amal yang baik dan diredhai.