Ahad, 13 November 2011

Orang kata



Orang kata hidup hanya sekali.Jadi kena enjoy.

Orang kata kubur lain-lain.Jadi tak payah sibuk hal orang lain.

Orang kata biar luaran terdedah janji dalam hati baik.

Orang kata couple cara Islam takpa janji tak buat maksiat.

Orang kata kalau tension try la dua tiga batang.

Orang kata kalau tak bangun solat takpa nanti boleh qada.

Orang kata kau pun sama macam aku tak payah nak tunjuk alim.

ALLAH kata?

Jumaat, 11 November 2011

Atur langkah segera



Sedih hati kadangkala.Pilu dan sayu terasa bila melihat generasi seusia yang penuh dengan potensi diri hanyut hilang di bawa arus dunia. Potensi yang ada tidak disalurkan ke jalan yang membina.Masa usia muda masa emas yang seharusnya digunakan sebaik mungkin untuk mendaki puncak tertinggi hilang dengan perkara sia-sia.

Sebagai generasi yang sedar maka harus ada pemuda dan pemudi yang berusaha membaiki keadaan ini. Atau mungkin keadaannya sudah tidak lagi dapat dibaiki , tetapi boleh di kawal agar tidak membarah dan membesar. Pemuda dan pemudi ini mungkin bukanlah terbaik dari segi akademik. Juga mereka mungkin tidak sempurna dari sudut peribadi diri.

Namun mereka seharusnya sedar bahawa mereka bukanlah yang terburuk. Harus dipupuk keberanian dan disusun langkah perubahan. Kita tidak memerlukan mereka yang sempurna untuk memulakan gelombang perubahan pada generasi muda di tempat kita. Kerana tiada manusia lahir sempurna.

Kehadiran pemuda dan pemudi ini seharusnya membawa ombak-ombak kecil perubahan yang penuh kasih sayang. Dengan keyakinan , usaha dan tawakkal Inshaallah ombak tadi akan membesar dan terus bergerak meskipun hayunan pertama yang mencetuskannya telah tiada.

Mulakanlah langkah dengan hati yang ikhlas. Kerana keikhlasan ini akan menjadi ukuran disisi ALLAH dan keikhlasan ini akan menjamin konsistensi apabila datang ujian dan cubaan. Jangan pernah takut dengan sindiran dan kata-kata. Jangan biarkan ejekan melenturkan harapan. Pohonlah kepada ALLAH akan kekuatan.

Biarlah pemuda dan pemudi ini dicampak dimana pun. Ke kolej atau ke universiti , ke dalam atau ke luar negara , biar sepekat dan sehitam mana pun masyarakat di sekelilingnya. Yakinlah pemuda dan pemudi ini mampu dan perlu memberi impak positif. Jangan di benci pelaku dosa , senyum dan selamilah hati mereka. Mereka juga seperti kita cuma mungkin tidak pernah lagi berpeluang memahami apa yang kita fahami. Merasai apa yang kita pernah rasai.Yang harus di benci adalah dosanya bukan orangnya.

Pemuda dan pemuda ini adalah mereka yang faham akan tujuan dan tanggungjawab mereka. Mereka yang akan mengembalikan keceriaan pada ummat ini.Bersih dan jujur hati mereka. Pemuda dan pemudi yang mahukan masyarakat dan komuniti mereka bertambah baik. Berusahalah untuk menjadi pemuda dan pemudi ini. Atur langkah segera kerana masa tidak menunggu kita.

Rabu, 2 November 2011

Mencari


Kadang kadang rasa seperti di puncak dunia.
Gembira , bahagia dan ketawa.
Semua kelihatan indah dan nyaman udara terasa.

Tiba tiba rasa sedih , kosong , sunyi dan sepi.
Walaupun berada ditengah orang ramai tetap rasa bersendiri.
Menangis kerana tidak difahami.

Kitaran hidup membawa kita merasai pelbagai perasaan.
Yang mungkin tidak berjaya diungkap dengan perkataan.

Jumaat, 30 September 2011

Malu



Kadang-kadang termenung sendiri di luar tingkap. Memandang ciptaan ALLAH yang maha agung. Musim berganti musim. Daun luruh dan tumbuh. Semuanya sesuai dengan aturannya.

Bila memandang diri terasa malu dan hina. Selepas mandi di lautan taubat terjun semula ke lumpur maksiat. Berulang kali berdoa memohon ampun dosa yang sama.

Sampai bila akan begini.

Nikmat tak pernah terhenti meski hati berulang kali mati. Perasaan malu makin tebal setiap hari.

Mencemar hati setiap hari. Membersih dan mengotorinya kembali.

Ya ALLAH ampunilah diri ini.

Jangan engkau tarik nyawa ini saat ianya sakit atau mati. Jangan engkau tarik hidayah yang telah diberi.

Terasa bahagia saat indah melihat salju turun buat kali pertama. Harap indah juga saat pengakhiran nanti disana.

Khamis, 22 September 2011

Satu hari nanti



Satu hari nanti anda akan sedar bahawa bangun melawan rasa mengantuk menghadap pencipta tidak sia-sia. Saat itu anda akan gembira jika dahulu anda pernah mengorbankan sedikit tidur untuk melaksanakan kewajipan.

Satu hari nanti anda akan sedar keseronokan yang anda lepaskan berbaloi. Kerana ada keseronokan berkekalan akan menanti anda disana.

Satu hari nanti akan ada kebahagiaan yang akan memadam semua kekecewaan dan kesedihan anda. Biarlah anda ditolak dan tidak diterima sekarang tetapi yakinlah akan hari itu dan teruskan usahamu.

'Satu hari nanti' itu akan tiba mesti pun anda tidak suka. Berusaha dan berdoalah sekarang agar pada hari itu anda diterima dan gembira.

Khamis, 28 Julai 2011

Taujih Ruhiyah




Judul : Taujih Ruhiyah-Pesan-pesan spiritual Penjernih hati.
Penulis: Abdul Hamid Al-Bilali.
Penerbit: An-Nadwah.
Bahasa: Indonesia.

Seperti yang kita semua sedia maklum hati itu sifatnya mudah berbolak-balik.Atau dalam kata lain mudah berubah dan mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Sifat ini sememangnya sudah terbukti. Contohnya dalam percintaan antara manusia. Mencintai seseorang hari ini tidak menjamin dia akan mencintainya esok hari.Lalu muncullah istilah-istilah seperti 'cinta beralih arah' , 'cinta tak kesampaian' dan macam-macam lagi.

Tetapi tidak dinafikan terdapat pasangan yang bercinta sehingga ke akhir usia. Sampai ke tua cinta yang disimpul masih erat terikat kuat. Rahsianya adalah cinta itu dijaga.Sentiasa diperbaharui , diingati kemanisannya. Ia sentiasa dibaja dan dijaga sehingga akhirnya ia bisa setia.

Begitu juga dengan hati yang cinta kepada akhirat. Ia perlu dijaga dan dibaja agar kekal setia. Agar cinta itu terus subur , tidak pudar dan tidak beralih arah. Bajanya adalah peringatan kepada hati tentang kemanisan cinta kepada akhirat.

Maka buku ini tampil memberi motivasi dan peringatan.Sarat dengan kisah sahabat dan tabi'n sebagai contoh bagai mana mereka dapat menjaga kesuburan cinta mereka kepada akhirat. Juga sebagai motivasi kepada kita untuk terus beramal hingga ke garisan penamat yang kita tidak tahu bila dan dimana.

Semoga bermanfaat.

Selamat menyambut Ramadhan Mubarak.

Rabu, 13 Julai 2011

Surah Yusuf Ayat 103-108


"Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat menginginkannya.Dan engkau tidak meminta balasan apa pun kepada mereka (terhadap seruanmu ini) , sebab (seruan) itu adalah pengajaran bagi seluruh alam.Dan berapa banyak tanda (kebesaran ALLAH) di langit dan di bumi yang mereka lalui namun mereka berpaling darinya.Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada ALLAH , bahkan mempersekutukan-NYA. Apakah mereka merasakan aman dari kedatangan siksa ALLAH yang meliputi mereka , atau kedatangan hari Kiamat kepada mereka secara mendadak , sedang mereka tidak menyedarinya? . Katakanlah (Muhammad) 'Inilah jalanku , aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada ALLAH dengan YAKIN , Mahasuci ALLAH dan aku tidak termasuk dalam golongan orang yang Musyrik".


(Yusuf:103-108)

Sedikit tadabbur.

Ayat-ayat ini merupakan pujukan kepada golongan pendakwah dan penyeru. Pendakwah ini bukanlah dimaksudkan mereka yang mengambil kursus sarjana atau diploma dalam bidang dakwah di kolej mahupun universiti. Juga bukanlah golongan yang telah mendapat tauliah dari badan-badan kerajaan atau jabatan agama negeri sebagai pendakwah bebas. Juga tidak terbatas kepada golongan-golongan ustaz dan ustazah sahaja.

Mungkin anda hanya pelajar biasa sahaja. Tidak menyambung pengajian dalam bidang agama. Mungkin bidang yang diceburi adalah perusahaan , undang-undang , farmasi , perubatan dan sebagainya. Atau mungkin anda hanya seorang pekerja biasa di mana-mana syarikat.

Tapi anda di beri hidayah oleh ALLAH untuk merasakan kondisi masyarakat yang semakin parah. Lalu ALLAH campakkan kesedaran di hati untuk cuba membantu melaksanakan perubahan dan pembaikan di dalam masyarakat.

Meskipun usaha anda , anda rasa kecil. Misalnya mengajak teman serumah solah berjemaah. Atau mengajak teman sekerja berpuasa sunat atau menghadiri kuliah di surau. Atau menegur perbuatan maksiat teman anda secara berhikmah. Inshaallah jika niatnya bersih kerana ALLAH dan ingin melihat lahir satu generasi yang lebih baik. Anda adalah pendakwah. Inshaallah usaha kecil itu pasti diganjari.

Jadi , ayat 103-107 ini ALLAH tujukan untuk anda. Ianya merupakan motivasi dan bekalan berharga buat anda. Kerana hati manusia mudah bersedih dan bertukar arah apabila berdepan dengan ujian. Dalam ayat-ayat ini ALLAH menekankan tugas kita hanya menyampaikan. Menyeru , memimpin dan berusaha. Sekiranya ajakan anda di tolak atau tidak berhasil , jangan bersedih kerana urusan hati adalah milik ALLAH SWT.

Di ayat 108 ALLAH mengesyorkan agar kita terus yakin akan jalan yang kita pilih ini. Sememangnya mengajak manusia kembali kepada Islam bukanlah tugas mudah.Ianya tidak semudah berkata-kata atau menulis blog . Ia memerlukan pengorbanan masa , tenaga , waktu tidur , wang ringgit dan sebagainya.Sememangnya sukar dan keyakinan adalah bekalan penting untuk memastikan kita terus kekal tanpa jemu meski berhadapan duri cubaan yang sukar ini.

Wallahualam.