Isnin, 15 Jun 2009

Mencari kasih yang hilang


Saya mulakan dengan sebuah cerita. Disebuah kampung terdapat seorang tua bernama Pak Min. Dia mempunyai 10 orang anak dan kesemuanya merupakan anak lelaki. Dek kerana usianya yang telah tua Pak Min selalu jatuh sakit. Pada suatu hari Pak Min telah diserang sakit kuat dan terlantar dirumahnya. Terdetik dihati kecilnya untuk menasihati anak-anaknya kerana merasakan masanya akan tiba tidak lama lagi. Pak Min mengumpulkan anaknya dan berkata "Anak-anakku yang ku kasihi kerana ALLAH pergilah kamu setiap seorang mencari dua batang ranting dan datanglah semula ke mari". Anak-anaknya pun keluar pergi mencari ranting ada yang pergi ke hutan , ke kebun , ke atas bukit dan ada juga yang ke kedai ubat mencari ranting herba. Setelah pulang semula Pak Min berkata "Patahkanlah satu ranting yang kalian pegang itu" . Maka anak-anaknya dengan mudah mematahkan ranting yang mereka cari itu. Lalu Pak Min menyambung lagi "Ikatlah ranting-ranting kalian yang masih ada dan patahkanlah ia". Maka mereka pun mengikat 10 ranting berbaki dan cuba mematahkannya. Masing-masing tidak berjaya dari anak yang sulung sehingga anak bongsu. Si Ayah berpesan " Sepeninggalanku nanti bersatulah kalian seperti ikatan kayu ini agar kamu tidak mudah dipatah-patahkan oleh pihak musuh. Janganlah kamu berbalah dan berpecah kerana itu membuatkan kamu lemah".

Ummah Islam hari ini dilihat sangat kritikal keadaannya. Mereka berpecah belah dan sangat mudah di laga-lagakan. Tidak ada penyatuan yang dapat membawa kepada kekuatan. Masing-masing dengan semangat nasionalis sehingga saudara mereka dibiarkan sahaja diserang. Kita dapat lihat bagaimana Islam diserang di Iraq , Afghanistan , Pattani dan yang terkejam dan paling lama sejarahnya adalah Palestin.

Dimanakah kekuatan Ummah? Kekuatan Ummah perlu lahir dari semangat Ukhuwwah Islamiyah. Kekuatan ukhuwwah atau kesatuan ini merupakan kekuatan kedua selepas kekuatan Iman. Imam Hasan Al Banna ada menyebut yang dinamakan ukhuwwah itu adalah hati dan jiwa yang terikat dengan ikatan akidah.



Maka muda-mudi Islam harus sensitif dengan keadaan ummah hari ini dan bersatu dibawah naungan ukhuwwah Islamiyah. Asasnya perlu jelas iaitu akidah dan bukannya asas yang lain. Golongan pemuda yang bakal mencorak ummah di masa hadapan perlu mencari semangat ukhuwwah yang kian pudar di hati ummah ini bagi membina ummah yang kuat dan perkasa.
Renungilah firman ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Anfal ayat 62-63:

"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

4 ulasan:

Fawwaz Saleh berkata...

terdiam ana bila cakap pasal ummah...

Syed Ahmad Fathi berkata...

kita tak boleh berdiam diri

Unknown berkata...

teruskan perjuangan selagi terdaya

Syed Ahmad Fathi berkata...

insyaALLAH.