Khamis, 25 Julai 2013

Buat adik-adik ku di St Petersburg




Alhamdulillah segala puji bagi Allah , setelah empat tahun kini berakhir sudah pengajianku di bumi tarbiyah St. Petersburg ini. Tidak keterlaluan jika aku katakan antara anugerah  yang paling bermakna bagiku sepanjang tahun pengajianku disini adalah adik-adik junior yang sentiasa aku sayangi. Ku titipkan tulisan ini buat kalian sebagai tanda kasih sayang dan sebagai ucapan perpisahan.

Adik-adik ku yang aku sayangi , jadilah insan yang berguna untuk manusia lain. Hidup ini akan terasa singkat sekiranya kita hidup hanya untuk diri sendiri. Dunia ini telah dipenuhi dengan manusia yang tamak dan hanya mementingkan diri. Apa yang sangat diperlukan pada saat ini adalah manusia yang ikhlas , beriman dan sanggup berkorban untuk orang lain. 

Penyakit sekularisma , hedonisma , materialisma dan individualisma telah melumpuhkan ummat ini. Ummat Islam yang dahulunya kuat kini kehilangan identiti , dihina dan dipijak. Maka tidak ada jalan lain bagi mengubati keadaan ini selain dari membangunkan semula generasi mudanya. Kalianlah generasi yang bakal mengembalikan kegemilangan ummat ini. Maka binalah diri kalian , rakan-rakan kalian dan adik-adik yang bersama kalian. Persiapkanlah diri dengan keimanan , ilmu , dan kefahaman. Usahlah disibukkan hari-hari kalian dengan perkara-perkara kecil yang tidak memberi manfaat. Bangun dan berkerjalah!

Sentiasalah bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu. Jadi lah insan yang sentiasa dahagakan ilmu. Janganlah dihabiskan malam-malam kalian bermain dan menonton perkara yang tidak berfaedah yang menyebabkan kalian lesu untuk bangun ke kelas. Kuasai lah setiap mata pelajaran tidak kira Sosiologi, Fizkultura, Matematik, Teormekh, Sapromat dan lain-lain. Tiada subjek yang tidak penting!

Lihatlah bagaimana generasi Islam sebelum kita membina ketamadunan dengan ilmu. Tidakkah kita berasa malu bahawa generasi Islam kita hari ini merupakan generasi yang ketinggalan dalam bidang keilmuan?  Mari lah kita bersama-sama memikul tugas ini. Ummat ini tidak memerlukan insan-insan yang malas belajar, yang akhirnya memburukkan lagi imej Islam. Berubah lah, mari menjadi bangsa yang kaya dengan ilmu. Ya, menuntut ilmu bukan satu tugas mudah, hayatilah pesan Imam Syafi’e :

“Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menangung peritnya kebodohan”

Adik-adikku yang sangat aku cintai, dekatkan lah diri kalian dengan Al-Qur’an. Hidupkan hari-hari kalian dengan tilawah. Bacalah terjemahannya setiap hari atau secara mingguan. Berusahalah melancarkan bacaan. Sekiranya kalian mengatakan kalian tidak punya masa mempelajari Al-Qur’an, maka aku dan kalian serba tahu itu tidak benar, kerana kita di SMTU mempunyai masa yang berlebihan. Adalah tidak logik jika kita mampu menonton siri-siri drama dan filem hampir dua jam sehari dan tiada masa untuk membaca sehelai dua Al-Qur’an yang hanya mengambil masa 10 minit!

Ingatlah pesanan kekasih kita yang sangat kita cintai, Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi berpegang dengan keduanya, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah RasulNya" (HR Muslim)

Maka oleh itu, marilah kita berpegang dengan Al-Qur’an. Ketahuilah Al-Qur’an bukan diturunkan untuk digantung ayatnya di dinding-dinding, bukan juga tujuan di turunkan Al-Qur’an untuk dibacakan kepada air kemudian diminum. Bukan juga untuk dilagukan dan dipertandingkan sahaja. Tetapi ALLAH menurunkan nya untuk kita fahami dan amalkan dalam kehidupan kita, seperti dalam firman nya Surah Al-Baqarah ayat 185:

“Dia menurunkan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan, sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan-penjelasan kepada petunjuk itu dan pembeza antara yang haq dan batil” 

Hayatilah kehidupan para sahabat yang mengamalkan Al-Qur’an dalam hidup mereka. Mereka menjadi satu generasi yang unik, Al-Qur’an mengubah mereka menjadi insan-insan yang sangat dikagumi dalam sejarah peradaban manusia. Itulah formula nya jika kita hendak membangunkan semula generasi ini. Kita perlu menghidupkan Al-Qur’an dalam hidup kita.

Khas buat adik-adikku yang perempuan, sungguh aku berbangga dengan kalian yang terus istiqamah mengenakan hijab dan menjaga kehormatan walaupun berada di negara sekular ini. Kalian menonjolkan Islam tanpa perlu berbicara dan berkata-kata. Oleh kerana kalian berbeza dan berada dalam masyarakat yang tidak memahami tuntutan Islam, sentiasa lah menjaga diri. Elakkan diri berjalan berseorangan walaupun mungkin ke tempat yang dekat dan elakkan melalui jalan yang sunyi. Semoga Allah juga yang menganjari segala amal baik kalian dan sentiasa melindungi kalian.

Adik-adikku ketahuilah bahawa hidup ini adalah satu persinggahan. Kita akan meninggalkan nya satu hari nanti sama ada kita mahu atau tidak. Oleh itu berbekal lah secukupnya. Kejarlah dunia kalian namun jangan dilupakan akhirat. Kejarlah harta kekayaan, Islam tidak menyuruh penganutnya menjadi miskin. Kejarlah pangkat dan kedudukan, Islam tidak menyuruh penganutnya hanya menjadi khadam dan budak suruhan. Kejarlah ijazah dan ilmu, Islam tidak menyuruh penganutnya menjadi bodoh. Namun ingatlah bahawa dunia ini bukan matlamat, ianya hanya alat bantuan agar kita sampai ke destinasi akhir kita dengan selamat.

“Dunia adalah tempat kesenangan yang sementara, sedangkan kampung akhirat adalah tempat kesenangan dan kebahagiaan yang kekal” (Surah Ankabut : 64 )

Di kesempatan ini juga aku ingin memohon maaf atas segala kekurangan ku sepanjang 3 tahun , 2 tahun , 1 tahun dan 1 bulan kita bersama. Aku memohon maaf andai ada berbahasa kasar atau ada membuat lawak-lawak hambar yang mengguris hati . Aku sangat mengharapkan sekiranya ada kebaikan yang aku lakukan kalian dapat mencontohinya, agar aku dapat berkongsi pahalanya dan sekiranya ada keburukan yang aku lakukan kalian dapat memaafkan ku dan meninggalkannya, agar aku tidak mewarisi dosanya.

Terima kasih atas semua memori bersama. Aku akan merindui futsal bersama, main bola petang-petang, pergi gym,  usrah-usrah kita, shoping di galeriya, snowboard di ohta park, BBQ, sambut birthday bersama, tengok bola bersama. Aku akan merindui kalian. Terima kasih juga diucapkan kepada semua yang memberi hadiah dan surat perpisahan. Ia sangat menyentuh hati dan aku menghargainya. Jazakallah. Moga Allah pertemukan kita lagi. Selamat tinggal.

Abangmu dalam Islam,
Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair
Saint Petersburg 16 Ramadhan 1434H.

2 ulasan:

Mohamad fakhrullah berkata...

Jazakallah abang. Semoga berjaya dunia akhirat.

Azizan Azfar berkata...

Jazakallah abg.. moga dipermudahkn urusan di medan yg baru.