Sabtu, 8 Januari 2022

Catatan Sukarelawan Banjir 2021


Malam itu (23/12/2021) aku bertolak jam 11.30 malam. Akhirnya aku sampai di Kuala Lumpur sekitar subuh. Sempat aku melelapkan mata selama dua jam sebelum melapor diri di Bilik Gerakan Banjir Selangor di Shah Alam. Pada mulanya aku agak khuatir, maklumlah aku ini sudah tua, biasanya kalau kurang tidur dan buat kerja sehingga penat, kepala biasanya akan diserang migrain. Hari ini alhamdulillah, badanku bekerjasama tanpa gagal. Walaupun tidur dua jam, penat, dan tak makan tengahari, aku dapat membantu mangsa banjir dan berkhidmat dengan selamat, dan selepasnya pulang tanpa sebarang bencana.

Pada mulanya aku ditugaskan ke Kampung Lombong, Shah Alam. Tapi kemudiannya aku ditakdirkan terpisah dari tim asal dari Kedah. Namun hal ini sebenarnya ada suratannya. Ajaib betul, setelah berpuluh-puluh tahun aku bergraduasi dari Rusia, aku masih boleh cam seorang teman berdasarkan jelingan mata dari jauh sahaja di Kampung Lombong pada ketika itu. Rezeki pagi itu berjumpa semula dengan Dr. Ariff Azfarahim Ibrahim di lapangan. Namun, sebab darurat dan keadaan huru-hara, aku hanya sempat bersalaman dengan beliau dan snap satu gambar sahaja sebelum berpisah. Tidak sempat bersembang. 

Kerana sudah terpisah, dan melihat keadaan di Hulu Langat yang lebih teruk berbanding Shah Alam, aku mengambil keputusan untuk ke Hulu Langat. Ditakdirkan, aku dapat bersama tim sukarelawan dari Perlis, yang kebanyakannya muda dan bersemangat. Kami ditugaskan membantu membersihkan rumah di Taman Dusun Nanding. Taman ini betul-betul berada di tepi Sungai Langat. Menurut penduduk tempatan, taman mereka paling awal dinaiki air, dan paling lambat air surut. Air juga naik sampai ke paras bumbung.

Ada penduduk yang berkongsi bahawa mereka hampir rasa berputus asa untuk membersihkan rumah apabila melihat kemusnahan yang berlaku. Ada yang termenung sehingga 3 hari baru mendapat semangat untuk membersih rumah. Ditambah dengan bekalan elektrik dan air yang terputus dan lambat dipulihkan menyukarkan lagi kerja pembersihan. Apa yang aku kagum, ada segelintir penduduk yang sibuk membersihkan rumah jiran, padahal rumahnya sendiri belum dibersihkan. Melihat reaksi penduduk apabila rumah mereka habis dibersihkan memang menyentuh hati. Ada yang menjerit gembira. Kata mereka "sekarang baru nampak macam rumah". Ada juga yang mengucapkan terima kasih, sebab mereka pun tak tahu macam mana nak mula membersihkan rumah, maklumlah kejadian seperti ini jarang berlaku di Hulu Langat. Cuma aku lihat, di Hulu Langat pada ketika itu, masih banyak rumah yang perlu dibantu, memang perlu banyak tenaga dan jentera untuk membersih dan mengangkut harta benda yang musnah. 

Aku sendiri rasa apa yang aku mampu tolong sedikit sangat berbanding kemusnahan yang berlaku. Aku hanya sempat membantu sehari, aku harap ada lagi tim-tim lain yang akan meneruskan bantuan kepada mereka. Tahniah juga buat semua yang bantu membantu. Bak kata kata pujangga "tak hensem takpa, janji kita saling bantu-membantu". Moga yang terkesan dengan musibah ini diberi kekuatan untuk bangkit kembali, dan semoga kita semua juga membantu dengan apa sahaja yang kita ada.

Melihat keadaan banjir dan huru-hara yang berlaku di negara tercinta ini, terdetik rasa hatiku untuk memberikan sedikit pandangan. Negara kita ini merupakan negara yang bertuah, selalu dikurniakan hujan. Air adalah sumber kehidupan dan banyak perkara yang dapat kita lakukan dengan air yang banyak. Ada negara lain yang begitu sedikit hujannya, dan mereka struggle untuk hidup dan menjana ekonomi mereka. Cuma ada kalanya, terutamanya di musim tengkujuh, negara kita akan menerima hujan yang lebih, hingga kadang jumlahnya tidak dapat ditampung oleh sungai-sungai yang ada. Ditambah pula dengan hutan-hutan yang kebanyakannya tidak mampu lagi menyerap air dengan efisien kerana kerakusan pembalakan halal dan pembalakan haram, memburukkan lagi keadaan. Longkang, parit, dan sungai yang tersumbat dipenuhi sampah sarap juga menambahkan lagi faktor berlakunya banjir yang teruk.

Fenomena banjir ini bukanlah sesuatu yang baharu. Sejak aku keluar sekolah, sudah bermacam-macam misi banjir yang aku sertai dalam negara, antara yang aku masih ingat adalah di Kuantan pada tahun 2007 dan 2013, Temerloh pada tahun 2015, Permatang Pauh pada 2017 dan yang terbaru adalah di Yan pada bulan Ogos 2021. Kini pada penghujung tahun 2021, negara kita sekali lagi menghadapi banjir di Selangor dan Pahang. Sekali lagi aku turun ke lapangan membantu apa yang termampu. Aku bukanlah hendak menulis bahawa aku ini selalu menolong orang pada musim banjir, aku cuma mahu menggambarkan bahawa banyaknya berlaku banjir seingat pengalaman hidupku.

Aku berfikir bahawa negara kita tidaklah kurang cendiakawan, pakar dan juga graduan. Masalah banjir ini aku kira merupakan masalah yang sepatutnya sudah dapat kita uruskan. Orang Melayu kata jangan jatuh lubang biawak dua kali, kita entah berapa kali terjun lubang biawak yang sama. Aku memikirkan bahawa universiti-universiti kita begitu banyak kursus kejuruteraan. Hampir semua universiti awam ada fakulti kejuruteraan. Malah kita punya pelbagai jenis graduan kejuruteraan. Kejuruteraan awam, mekanikal, elektrikal, elektronik, mekatronik, geomatik, kimia, marin, aeroangkasa, automotif, komputer hinggalah ke kejuruteraan genetik, nuklear dan kejuruteraan perniagaan. Segala macam bidang kejuruteraan yang lain, semuanya kita ada. Itu belum kira graduan kejuruteraan dari universiti swasta dan luar negara. Aku kira bakat dan sumber manusia dalam bidang ini sepatutnya telah lama kita gemblengkan untuk menyelesaikan masalah banjir.

Masalah ini mesti di selesaikan secara sistemik, maksudnya ia mesti diwajibkan dalam perancangan bandar, perancangan pembalakan, perancangan pembinaan perumahan dan juga pembinaan bangunan, bukannya kita bina dahulu kemudian baru kita fikir macam mana kita nak buat kalau berlaku banjir secara tiba-tiba.

Aku bukanlah nak menyalahkan universiti, pensyarah atau graduan. Kerana tidak adil mereka dipersalahkan, kerana tugas mereka adalah melahirkan graduan yang boleh bermanfaat untuk negara. Tugas mereka lebih kepada hal-hal eksekutif dalam mendidik dan mengeluarkan tenaga kerja negara. Sedangkan perancangan, polisi, projek, dan dasar ini terletak pada kerajaan. Mereka yang sepatutnya menyediakan projek-projek, dasar-dasar anti-banjir dan memanfaatkan tenaga kejuruteraan yang ada.

Aku kira projek kejuruteraan anti-banjir ini merupakan serampang dua mata. Dalam satu hal kita menyelesaikan masalah yang real dan praktikal. Dalam masa yang sama kita boleh memberi kerja pada graduan kejuruteraan yang asyik tiada kerja dan underpaid. Projek menyelesaikan masalah ini perlu didahulukan. Bukan hanya sibuk membuat projek pencakar langit supaya orang-orang kaya boleh hidup di atas awan, sedang rakyat biasa di bawah mati tenggelam. Harapnya dalam pengumuman Rancangan Malaysia Ke-berapa-entah (RMK) seterusnya nanti, adalah diumumkan projek mega ke, projek giga ke, yang berjumlah berbillion-billion untuk memastikan tidak berlaku banjir besar lagi di negara tercinta kita ini.

Aku tak rasa kita kekurangan tenaga mahupun teknologi. Tetapi mungkin kita kekurangan pemimpin yang berwawasan, yang berfikir dalam jangka masa yang panjang. Bukan sekadar sibuk dengan projek yang boleh memenangkan mereka dalam pilihanraya 5 tahun sekali, tetapi projek yang benar-benar menyelesaikan masalah secara sistemik. Bukan sekadar projek jangka pendek yang berbentuk tempelan-tempelan sahaja. Tugas pemerintah bukan pergi melawat mangsa banjir, berlakon membersihkan taik unggas, atau bersiar-siar menaiki bot di kawasan banjir. Sebaliknya tugas pemerintah yang berwawasan adalah memastikan tiada banjir di tempat pertama, atau orang putih kata, tiada banjir at the first place.

Ini belum kita bahaskan koordinasi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas. Rata-rata masyarakat kecewa dengan respon pihak berwajib apabila bencana melanda. Seolah-olah tiada persediaan dan perancangan, walhal duit-duit peruntukan sudah berjuta-juta diperuntukkan. Aku merasakan, dek kerana kita sudah mempunyai terlalu banyak pengalaman dengan banjir, sepatutnya kita sudah menguasainya, sudah mampu mengurus dan mengelakkannya. Banjir ini patutnya sudah menjadi sejarah, bukan lagi acara tahunan.

Tiada ulasan: