Khamis, 30 Januari 2025

Oncu Ali (Tok Ali) Kembali ke Rahmatullah


Pada 29 Januari 2025 sekitar jam 9 malam saya mendapat berita bahawa Atuk Ali telah meninggal dunia di Hospital Manjung, Perak pada usia 72 tahun. Nama penuh beliau adalah Mohd Ali Mustawi bin Mohd Sidin juga dikenali sebagai Oncu Ali di kalangan anak saudaranya. Beliau merupakan adik beradik Wo (nenek) saya yang ketiga meninggal dunia selepas Wo Odang dan Atuk Ho (Sahar bin Sidin meninggal pada 23 Januari 2022). Atuk Ali disolatkan jenazahnya di Masjid Salahuddin, Taman Desa Bayu, Manjung, Perak pada 20 Januari 2025 jam 10 pagi sebelum dikebumikan. Semoga Allah merahmati dan menerima segala amal soleh Atuk Ali dan mengampunkan dosa-dosanya. Allahumaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fuanhu. 

Isnin, 27 Januari 2025

Catatan Baitul Muslim 71: Sepuluh Tahun Nan Berchenta

 

Tahun lepas merupakan tahun ulang tahun kesepuluh perkahwinan saya, namun disebabkan keadaan kesihatan yang merosot ditambah dengan kesibukan urusan duniawi, saya tidak sempat melakukan apa-apa refleksi terhadap perjalanan sepuluh tahun ini.

Saya merasakan saya berkahwin di usia yang agak muda, sebenarnya saya bercadang untuk berkahwin di usia 25 tahun, bagi mengikuti sunnah Nabi. Ternyata jodoh terlalu laju mengejar saya, setahun lebih awal saya selamat bernikah.

Bernikah bukanlah sesuatu yang mudah, selain perut, banyak perkara lain yang turut berubah. Saya struggle juga menyesuaikan diri. Berkahwin tidak semudah teori-teori indah seperti yang diungkapkan dalam “forum cinta” yang diadakan di universiti. Walaupun diwajibkan mengikuti kursus kahwin, banyak perkara dalam perkahwinan adalah seperti aspek kehidupan yang lain, ia perlu dilalui untuk dipelajari. Tidak boleh dibaca atau mendengar kuliah sahaja.

Alhamdulillah, isteri saya sudi menerima saya seadanya. Dia sedar saya tiada pengalaman berkahwin, jadi dia memaafkan saya. Saya juga sedar isteri saya tiada pengalaman berkahwin dan saya memaafkannya. Aspek kemaafan di dalam rumah tangga merupakan satu aspek yang besar, tidak mudah dijaga, sentiasa dalam hati akan terdetik rasa-rasa mahu mengungkit itu-ini. Saya dan isteri bukan pasangan sempurna, ada juga masa-masa kami bergaduh dan berbeza pandangan, itu asam garam dalam perkahwinan. Selagi kita mampu memaafkan, insha’Allah ikatan akan bertautan. Tetapi tidaklah bererti pasangan tidak perlu berubah, setiap perselisihan sebenarnya merupakan satu kuliah untuk kita belajar sesuatu.

Di awal-awal perkahwinan, saya masih ingat saya berazam pada diri untuk memberi wang pada isteri walaupun ketika itu gajinya lebih banyak dari saya. Semasa saya berkahwin saya masih belajar di peringkat pasca-siswazah. Ada juga bulan-bulan yang baki bank tinggal RM20 sahaja. Ada bulan yang saya korek duit simpanan tabung haji untuk memastikan azam ini dapat ditunaikan. Disebabkan masalah wang dan juga masalah-masalah kehidupan yang lain, akhirnya saya tinggalkan pengajian pasca-siswazah saya. Namun saya teringat pesanan murobbi saya, Ustaz Abdul Hadi Osman. Kata beliau, jangan disebabkan miskin kita berhenti belajar. Ustaz Hadi berkata bahawa beliau hanya ustaz kampung sahaja, namun beliau tidak pernah berhenti belajar. Di tepi bantal tidurnya akan ada sebuah buku yang sedang dibacanya. Beliau menceritakan keseronokannya tentang bagaimana walaupun tidak mempunyai harta yang banyak, kembara ilmu membawa beliau hingga ke rumah Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Bagi beliau, boleh makan nasi di rumah Dr. al-Qaradhawi merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan. Alhamdulillah, setelah bekerja beberapa ketika, saya diberi rezeki untuk menyambung kembali pengajian pasca-siswazah.

Hidup berkeluarga sememangnya bukan satu pelayaran yang mudah, keributannya akan bertambah berkali ganda dengan kehadiran anak-anak kecil. Anak-anak merupakan racun dan juga penawar. Mereka juga adalah amanah Allah yang berat kepada ibu bapa. Walaupun ada kalanya anak-anak menjadikan hidup terasa begitu berat, mereka jugalah yang menjadikan hidup begitu indah dan bermakna. Ada ketika dalam kehidupan saya menghadapi tekanan dan depresi, anak-anak yang menjadi pengubat bagi hati saya. Mereka menjadi teduh kepada jiwa saya meski pun mereka tidak menyedarinya. Ada kalanya kita merasakan kita ini loser dan tidak berguna dalam hidup, tetapi apabila ada anak-anak kecil yang sentiasa melihat kita sebagai insan hebat dan hero bagi kehidupan mereka, kita akan merasakan bahawa hidup ini merupakan hidup yang bermakna. 

Perjalanan sepuluh tahun ini merupakan nikmat besar kurniaan Allah kepada saya, hamba yang kecil dan hina. Moga saya belajar sesuatu darinya, dan dapat menjadi suami dan abi yang lebih baik pada hari esok dan seterusnya. Itu pun jika esok saya masih direzekikan dengan nyawa.

Selasa, 21 Januari 2025

Takut Menjadi Penulis? Lompat Dahulu


Ada ketika-ketika, saya akan mendapat soalan dari penulis pemula yang takut mahu keluarkan penulisan mereka. Kalau tanya saya, saya akan jawab, terbitkan dulu, takut kemudian. Antara soalan yang menggari pemerikan mereka adalah "Kalau penerbit tolak macam mana?".

Jawab saya, cari penerbit lain, penerbit bukan satu sahaja dalam dunia ini. Kalau semua penerbit tidak mahu menerbitkan karya kita, maka kita boleh terbitkannya sendiri. Yang penting jangan berhenti. Mereka kemudian bertanya lagi, "bagaimana kalau karya tak best dan dikritik oleh orang?".

Jawapan saya, bagus, orang yang berjaya adalah orang yang boleh terus menulis walaupun menerima seribu kritikan. Penulis yang gagal pula adalah yang berhenti selepas mendapat kritikan pertama. Oleh itu, jika anda mahu menjadi penulis tetapi takut, maka saranan saya lompat dahulu dalam bidang penulisan, simpan dahulu perasaan takut itu di dalam kotak.

Curriculum Vitae


Tahun 2025 ini, antara projek yang saya usahakan adalah untuk membina senarai bibliografi lengkap perihal penulisan, wacana, dan juga diskusi yang pernah saya sertai dan hasilkan. Ia akan menyenaraikan penulisan saya di dalam buku, jurnal, zine, laman web, dan juga penulisan di media elektronik. Halaman curriculum vitae ini cuba mengumpulkan bibliografi rekod penulisan dan wacana saya sepanjang beberapa tahun ke belakangan ini. Rekod ini akan menyenaraikan tulisan saya berbentuk buku, jurnal, artikel zine, nota, transliterasi dan lain-lain. Selain itu dikumpulkan juga program-program yang saya sertai sepanjang beberapa tahun termasuk seminar, ucapan, bengkel, diskusi, perbahasan, wacana, dan lain-lain. Walaupun rekod bibliografi ini cuba menjadi rekod yang paling lengkap, ada lagi beberapa penulisan yang masih belum disenaraikan termasuklah artikel di laman web, majalah, dan lain-lain. Juga rekod-rekod audiosiar belum sempat juga dimuatkan. Jika ada daya dan upaya, akan dikemaskini lagi di masa hadapan. Laman curriculum vitae saya boleh diakses di sini.

MATRI: Bersama Kuntuman Baru Yang Subur


Dalam kotak hati saya ada satu ruangan khas di mana saya menyimpan kenangan dan memori saya di MATRI. 5 tahun saya dikandungkan dalam rahim tarbiyah ini, sejauh mana pun saya pergi, tiada tempat yang lebih istimewa dari MATRI. Setiap kali saya pulang kepadanya, seolah-olah MATRI tidak pernah jemu menyambut saya, 22 tahun yang lalu seperti semalam. Setiap kali saya pulang, saya sentiasa merasakan saya pulang sebagai pelajar, pelajar kecil yang sama yang memakai baju raihan hijau 22 tahun yang lalu. Saya tidak pernah masuk dengan merasakan saya adalah "bekas pelajar". Apabila mendapat jemputan untuk kembali ke MATRI, hati saya berbunga, menolak tidak ada dalam pilihan saya.

Peluang untuk berkongsi hati dengan adik-adik MATRI merupakan peluang yang lebih berat dari timbangan emas, satu peluang yang sentiasa saya harapkan. Walaupun saya dijemput atas tajuk forum tertentu, saya sebenarnya datang dengan agenda saya tersendiri. Saya tidak mahu bersyarah atau memberi huraian akademik kepada adik-adik saya. Tetapi saya mahu kongsikan perasaan cinta dan sayang saya pada mereka. Mereka adalah kuntuman-kuntuman subur yang baharu, generasi yang bakal menyinari alam.

Saya melihat ramai senior dan abang-abang sering mengulang bahawa "MATRI sekarang tidak seperti dulu", generasi baharu dikatakan sebagai generasi lembik, generasi tiktok yang tidak tahan lasak seperti generasi dahulu. Saya mahu adik-adik di MATRI meninggalkan pemikiran ini. Bagi saya ia adalah pemikiran lapuk dari generasi yang lapuk. Yang masanya sudah di berlalu dan mereka sudah tidak relevan.

Bagi saya setiap generasi hebat sesuai dengan zamannya. Mereka tidak perlu mandi air telaga atau mandi di Tasik Melati untuk menjadi hebat. Generasi baharu akan menempuh cabaran baharu, jadi mereka perlu ditarbiyah dengan cara baharu, sesuai dengan kehendak zamannya. Bagi saya generasi baharu MATRI akan menjadi generasi yang hebat, lebih hebat dari generasi saya sendiri. Saya mahukan adik-adik MATRI bercita-cita tinggi, menjadi bukti bahawa sekolah kecil ini mampu melahirkan generasi yang mampu menyinari zaman, membawa dunia yang gelap ini kepada masa depan baharu yang lebih cerah.

Saya juga kagum dengan soalan-soalan yang ditanyakan. Ini menguatkan lagi perasaan saya bahawa generasi baru MATRI ini lebih istimewa. Lebih berani berfikir dan ber-idea. Saya yakin, mereka semua akan menjadi insan-insan yang penting di masa hadapan. Aset besar buat Islam. Terima kasih diucapkan kepada para guru, murobbi, dan murobbiah yang terus setia mengasuh adik-adik kami di MATRI. Kami terhutang budi, kerana kalian melakukan tanggungjawab yang kami lepasan MATRI sendiri tidak mampu laksanakan. Harap kalian terus sabar dengan mereka, melihat mereka dengan kasih sayang. Ketahuilah, sekelip mata sahaja mereka akan keluar dan menjadi sebahagian dari masyarakat. Kesabaran mendidik akan menjadi asset besar bagi masyarakat pada masa akan datang.

Maka teruslah berkuntum adik-adik MATRI.
Simpanlah cita-cita yang paling besar.
Dakilah gunung yang paling tinggi.
Hiduplah dengan tarbiyah yang membakar di jiwa.
Jadilah manusia berguna di bumi.
Kutiplah ilmu hingga ke celahan bumi yang paling tersembunyi.

Ada pun aku, 
abang jauhmu, 
tidak menyimpan apa-apa buat kalian,
kecuali cinta dan harapan.

Terima kasih MATRI yang memberi saya sedikit ruang untuk berkongsi hati dan rasa bersama adik-adik yang disayangi. Ampun maaf andai ada tersalah kata, atau ada lawak hambar yang dikongsikan bersama. Apa pun orang kata, MATRI tetap di hati. 

Penulisan ini merupakan catatan getusan hati saya dalam forum bertajuk "Nafiun Lighairihi" dalam Program Khas Tamrin Selamat Pulang 2024 bersama Hazmin Zolkapli dan Suhaib Shapiee (Moderator) pada 06 Januari 2025 bertempat di Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah, Perlis.