Selasa, 17 Februari 2026

Buku Sebagai Arkib Idea Dan Pemikiran

Sebenarnya menulis tidak semestinya kena dalam bentuk buku, kita berada di zaman yang boleh dikatakan bertuah. Selain pelepah tamar, batu bersurat, clay tablet, kita punyai banyak platform lain untuk menulis seperti di blog, media sosial, diari dan sebagainya. Mahu atau tidak sahaja yang menjadi penghalang untuk kita menulis hari ini.

Tapi kenapa pilih buku?

Sebenarnya penulis dan penerbit ada sebab yang berbeza dalam menghasilkan buku. Bagi penerbit pastilah ada dimensi perniagaan, buku dapat dijual dan menjana pendapatan. Dalam masa yang sama, ada juga penerbit yang benar-benar mahu membina ekosistem pembacaan watan. Tapi bagi saya, selaku penulis, membukukan penulisan itu sebenarnya kaedah saya mengarkibkan idea dan pemikiran.

Ada ketikanya, bila menulis, saya perlu mencari dan merujuk idea-idea lama saya sendiri. Apabila ia wujud dalam bentuk buku, mudah dicari semula dan dibuat rujukan dan citation. Disamping itu, jika dibaca dan dikritik orang, dapat juga saya tahu kekuatan dan kelemahan idea dan pemikiran tersebut. Tapi yang lebih penting bagi saya adalah sebagai katalog dan arkib pemikiran. Bagi saya, lebih senang jika rekod tersebut ada dalam bentuk fizikal. Boleh diselak sahaja bila perlu. 

Penulisan dalam bentuk buku juga sebenarnya merupakan usaha memelihara idea. Untuk memastikan idea itu kekal ia perlu wujud di dua-dua dunia. Dunia fana dan juga dunia digital. Salah satu rules dalam memastikan idea dapat bertahan dan sampai ke generasi seterusnya adalah “make copies”. Jadi jika penulisan kita wujud di dua-dua dunia, lebih banyak copies, lebih cerah ia untuk kekal dirujuk di masa hadapan.

Tiada ulasan: