Selasa, 17 Februari 2026

Sebuah Makalah Yang Istimewa

Beberapa hari sebelum berlangsungnya pembentangan viva voce pengajian sarjana saya, saya sempat menghabiskan sebuah makalah kecil bertajuk Pesan Seorang Murabbi yang merupakan himpunan penyampaian oleh Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain terbitan Tamkin Store. Buku ini walaupun ringkas sahaja, namun bagi saya tetap mempunyai nilai yang sangat tinggi. Saya baru sahaja menyiapkan makalah ringkas bertajuk Risalah Untuk Kaum Yang Berfikir, alangkah bagusnya jika buku ini sampai lebih awal dan dapat saya muatkan idea-ideanya yang menarik ke dalam risalah saya tersebut, namun apakah daya, mungkin ini adalah aturan Allah untuk saya hadamkan ia ke dalam tulisan saya di zaman seterusnya.

Bahagian awal buku ini menjelaskan idea Ustaz Dahlan tentang konsep “syaksiyyah Islamiyah” yang digarap dari tulisan Dr. Muhammad Ali al-Hasyimi. Di dalam konsep ini diterangkan akan keperluan sifat “yaqiz” dalam diri mukmin. Sifat ini bermakna seorang mukmin itu perlu sentiasa sedar akan tindak tanduknya, sedar bahawa apa sahaja yang dilakukannya adalah dalam pengawasan Allah.  Dengan adanya sifat ini, dia dapat memastikan akhlak dan tingkah lakunya sentiasa selari dengan Islam.

Saya juga tertarik dengan huraian Ustaz Dahlan perihal keperluan bekerja dalam satu organisasi. Selain kepatuhan, dihuraikan juga perihal konsep “ibda’ie” iaitu kemampuan untuk mencipta. Dalam organisasi, seseorang itu bukan hanya berguna jika dia mampu patuh pada arahan, tetapi dihargai apabila dia mampu merancang, mencipta, dan menghasilkan sesuatu yang baharu.  Pada pandangan saya, perkara ini seharusnya diberikan penekanan oleh gerakan Islam hari ini sekiranya mereka ingin kekal malar segar. Perlu kepada kebolehan untuk menerima ahli-ahli yang cergas mencipta ruang-ruang baharu agar programnya sentiasa bervariasi dan menepati keperluan generasi muda. Kerana sebarang organisasi yang gagal menarik orang muda akan cepat mengalami proses kepupusan dan ketandusan.

Apabila membaca buku kecil ini, bagi saya ia juga agak sentimental, terutamanya dalam penggunaan istilah dan termanya. Misalnya penggunaan istilah “malakah” yang bermaksud darah daging.  Istilah ini sering digunakan oleh arwah ayah saya dahulu dalam nasihat-nasihatnya kepada anak-anak. Selalu diulang-ulang bahawa perkara yang baik itu perlu dilakukan berulang-ulang kali sehingga menjadi “malakah” di dalam diri.

Buku ini juga mengupas perspektif Ustaz Dahlan berkenaan dengan ilmu yang bagi saya sangat mengesani hati.  Bagi saya tradisi Islam yang wajar diberi penekanan adalah tradisi ilmunya. Bagi Ustaz Dahlan, tradisi inilah yang dapat mengangkat darjat umat manusia. Bagi saya pencarian ilmu itu satu nikmat yang sangat mengasyikkan. Jika boleh, saya mahu larut di dalamnya hingga ke akhir hayat. Ustaz Dahlan dalam konsepnya perihal ilmu membawakan kalam Imam al-Syafi’e tentang keperluan untuk menyerahkan diri kepada ilmu.  “Menyerah diri” ini bermaksud sedia bersusah payah untuk mencari ilmu, tekun dengan disiplinnya, dan tidak bermudah-mudahan. Bagi saya di situlah letaknya kelazatan ilmu. Apabila kita berjaya memahami sesuatu perkara selepas bersusah payah. 

Buku kecil ini juga menelusuri Ustaz Dahlan melalui perspektif anak muridnya iaitu Hilal Asyraf. Bagi Hilal, Ustaz Dahlan itu merupakan seorang seniman.  Cuma seninya bukan dalam bentuk lukisan atau tulisan, tetapi kesenian itu dipraktikkan dalam kehidupan harian terutamanya dalam akhlak untuk menambat hati manusia kepada Islam. Mungkin disebabkan melihat Ustaz Dahlan sebagai seorang seniman itulah yang akhirnya menjadikan Hilal itu sebagai seorang novelis. Sifat kesenian dalam peribadi Ustaz Dahlan itu bukanlah sesuatu yang aneh kerana beliau merupakan graduan dalam bidang Syariah dan Sastera Arab dari Universiti Baghdad, Iraq.  Maka seni itu sememangnya forte beliau. Di akhir buku ini dimuatkan syarah Ustaz Dahlan berkenaan dengan syair al-Allamah Dr. Muhammad Iqbal. Ustaz Dahlan menganalogikan Muslim itu sebagai ombak, yang tidak akan putus-putus. Analogi ini diungkapkan bagi menghuraikan maksud syair Iqbal bahawa Muslim itu tidak akan pupus di alam ini. Ustaz Dahlan menyatakan:

“Diibaratkan seperti ombak;
pergi ombak,
datang ombak.
Tidak akan putus lautan
dan tidak akan berhenti ombak.
Tetap,
ombak tetap ada
dan lautan tetap bergelora.”

Tiada ulasan: