Memaparkan catatan dengan label Getusan Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Getusan Hati. Papar semua catatan

Ahad, 4 Disember 2011

Monolog

Aku lahir dan tumbuh dikalangan jutaan manusia.
Hidupnya mereka mengejar dunia.

Ku cuba mencari diri cuba mengenali jiwa.
Kemana hendak dituju arah mana hendak dibawa .
Patutkah aku mengikut arus manusia.

Mungkinkah ia akan membawaku kepada bahagia.
Ku cuba menghayati helaian kisah lama.
Saat manusia hidup tanpa dunia sebagai  tujuannya.
Hanya rasul dan tuhan dihati mereka.

Terdetik di hatiku inilah jalannya.
Jasad mereka telah tiada kisah mereka tinggal cerita.

Dan aku.
Aku kini dipentas dunia.
Aku sedar jalan mana perlu ditempa.

Menghidupkan cerita yang wataknya mungkin kini berbeza.
Cerita yang pasti hujungnya bahagia.
Ini jalanku anda bagaimana?

Versi video.

Rabu, 2 November 2011

Mencari


Kadang kadang rasa seperti di puncak dunia.
Gembira , bahagia dan ketawa.
Semua kelihatan indah dan nyaman udara terasa.

Tiba tiba rasa sedih , kosong , sunyi dan sepi.
Walaupun berada ditengah orang ramai tetap rasa bersendiri.
Menangis kerana tidak difahami.

Kitaran hidup membawa kita merasai pelbagai perasaan.
Yang mungkin tidak berjaya diungkap dengan perkataan.

Jumaat, 30 September 2011

Malu



Kadang-kadang termenung sendiri di luar tingkap. Memandang ciptaan ALLAH yang maha agung. Musim berganti musim. Daun luruh dan tumbuh. Semuanya sesuai dengan aturannya.

Bila memandang diri terasa malu dan hina. Selepas mandi di lautan taubat terjun semula ke lumpur maksiat. Berulang kali berdoa memohon ampun dosa yang sama.

Sampai bila akan begini.

Nikmat tak pernah terhenti meski hati berulang kali mati. Perasaan malu makin tebal setiap hari.

Mencemar hati setiap hari. Membersih dan mengotorinya kembali.

Ya ALLAH ampunilah diri ini.

Jangan engkau tarik nyawa ini saat ianya sakit atau mati. Jangan engkau tarik hidayah yang telah diberi.

Terasa bahagia saat indah melihat salju turun buat kali pertama. Harap indah juga saat pengakhiran nanti disana.

Khamis, 22 September 2011

Satu hari nanti



Satu hari nanti anda akan sedar bahawa bangun melawan rasa mengantuk menghadap pencipta tidak sia-sia. Saat itu anda akan gembira jika dahulu anda pernah mengorbankan sedikit tidur untuk melaksanakan kewajipan.

Satu hari nanti anda akan sedar keseronokan yang anda lepaskan berbaloi. Kerana ada keseronokan berkekalan akan menanti anda disana.

Satu hari nanti akan ada kebahagiaan yang akan memadam semua kekecewaan dan kesedihan anda. Biarlah anda ditolak dan tidak diterima sekarang tetapi yakinlah akan hari itu dan teruskan usahamu.

'Satu hari nanti' itu akan tiba mesti pun anda tidak suka. Berusaha dan berdoalah sekarang agar pada hari itu anda diterima dan gembira.

Selasa, 29 Mac 2011

Aku juga pernah menangis



Aku tidak selalu kuat , itu aku akui.
Aku juga pernah menangis saat aku bersendiri.

Aku ingin sekali jika kita bersama melangkah ke syurga.
Aku ingin memaksa dan menarik mu bersama.
Namun soal hati bukan aku yang punya.

Juga saat aku lemah.
Aku mengharap kau bisa memangku ku semula ,
keluar dari lembah yang hina.

Saat dirimu melakukan kemungkaran di depanku.
Hanya DIA yang tahu perasaanku.
Lebih pedih dari besi yang menusuk dan menembusi jasadku.

Alangkah indahnya jika kita semua dapat bersama.
Berjuang di bawah satu panji yang sama.
Sungguh aku ingin engkau disisi ku dalam satu barisan.
Dengan cinta sebagai ikatan.

Selasa, 15 Februari 2011

Rindu




Andai lenaku terlalu panjang hingga tak sedar mentari bersinar.
Aku mengharap ikhlas mu menggoncang tubuhku agar kembali sedar.

Andai lorong yang ku pilih menuju kelam gelita.
Harap diri mu sudi memimpin tanganku bak cahaya pelita.

Aku tahu diri ini tak gagah laksana perwira di medan perang.
Juga bukan menteri yang bijak bersuara lantang.

Cukup aku insan biasa.
Mengharap teguran setiap masa.

Jangan engkau lepaskan tanganku membiar aku terjatuh.
Saat daku degil tidak menerima nasihat kerana angkuh.

Saat aku sudah buta tak mampu berbicara.
Harap ada yang sudi membisik harapan sebagai saudara.

Ingatkan aku kecilnya nilai sejuta harta.
Andai dahi tidak melekat di tanah menyembah pencipta.

Ingatkan aku gelak tawa dan hiburan akan terhenti.
Kerna akhir kita ke kubur juga nanti.

Ku rindu dakapanmu semua erat.
Ku rindu kalian wahai sahabat.

Sabtu, 8 Januari 2011

Agar tidak menjadi debu.


Andai engkau telah sampai ke peluh yang terakhir.
Lengkapilah titisan-titisan peluh itu dengan tawakkal dan harapan.

Andai di hujung jalanmu adalah kekecewaan.
Ketahuilah bahawa setiap peluh yang terhasil tidak sia-sia.
Andai tulus niat di permulaan.

Andai esok engkau di takdirkan gagal.
Teruskanlah usahamu pada hari lusa dan seterusnya.

Andai kata engkau merasakan putus asa.
Sedarlah semula bahawa DIA sentiasa ada.

Andai dihujung jalanmu adalah kegembiraan.
Ketahuilah bahawa ia bukan dari peluh-peluh mu itu.
Tapi dari rahmat dan kasih sayang NYA.

Andai esok engkau ditakdirkan berjaya.
Jangan engkau lupa jasa mereka yang membantumu.

Moga segala yang engkau korbankan disimpul bersama ikhlas.
Kerana tanpa simpulan ikhlas usahamu bak debu.

Moga segala keputusan dapat diterima dengan simpulan redha.
Kerana simpulan redha adalah tanda keimananmu.






Jumaat, 22 Oktober 2010

Langkah kecil


Mari dengar cerita buat sesiapa yang ada kelapangan.

Ada seorang budak. Dia belajar di Malaysia oleh itu dia terpaksa mengikuti sistem pembelajaran di Malaysia. Kerana dia sudah berumur 17 tahun maka terpaksalah dia mengambil peperiksaan bertulis iaitu SPM.

Budak bukanlah seorang murid yang pandai. Dia tidak bijak. Tidak selalu di puji guru-guru. Tidak menjadi murid kesayangan cikgu. Apatah lagi menjadi pelajar harapan sekolah. Akhlaknya pon boleh dikatakan biasa sahaja. Nakal pun ada. Senang kata budak sekolah biasa.

Tapi kerana dia takut akan peperiksaan yang bakal dialami di penghujung tahun. Dia mengambil satu langkah positif kecil . Setiap kali kelas dia akan bertanya kepada cikgu 1 soalan. Walaupun dia faham semua yang di ajar dia akan cuba juga sedaya upaya bertanya 1 soalan. Dan mendapatkan penerangan.

Nak dipendekkan cerita sejak dia memulakan langkah kecil itu. Dengan izin ALLAH budak tersebut lebih mudah faham apa yang cikgu-cikgu ajar. Dan nak jadikan lagi pendek budak tersebut berjaya dengan cemerlang dalam SPM dan ditawarkan untuk menyambung pembelajaran di universiti. Di universiti budak tersebut masih meneruskan langkah kecil yang di mulakanya di bangku sekolah.

Dengan izin ALLAH budak tersebut terus mendapat tawaran kerja di salah sebuah syarikat automotif di eropah selepas menamatkan pengajian tingginya dengan cemerlang.

Angin menghembus laju. Budak tersebut kini bukan lagi seorang budak. Sudah menjadi seorang lelaki dewasa. Dia menutup tingkap dan merenung ke luar. Musim sejuk kini makin hampir. Namun dia terus merenung sambil fikirannya melayang ke zaman sekolah.

Dia tersenyum. Dahulu dia selalu di ejek kawan-kawan kerana terlalu banyak bertanya dan membuatkan dia sakit hati. Namun kini semuanya manis malah dia merindui rakan-rakan yang selalu menyakatnya. Dia tak pernah menyangka langkah kecilnya dulu sudah membawanya jauh beribu-ribu batu. Tanpa disedari ketulan salji kecil mula jatuh hinggap ke tingkap.

.............................

Sudut renungan . Beberapa peribahasa :

1. Make that small step. You'll never know where it will take you.
2. A million miles journey start with a single step.
3. Orang hanya boleh berkata-kata kamu yang bertindak dan membuat keputusan.




Selasa, 4 Mei 2010

Sebab kenapa


Ada ketika dalam melayari bahtera kehidupan kita kehilangan sebab atau tujuan. Atau dengan kata lain mengapa kita lakukan sesuatu.

Kalau kita mencintai seseorang kerana kecantikannya satu hari kecantikan itu akan hilang. Jika kita menyukai seseorang kerana hartanya satu hari nanti hartanya akan habis dan kita tidak lagi menyukainya.

Andai kita belajar dan menuntut ilmu dengan tujuan semata-mata mahu kerja yang bagus dan gaji yang besar jika diakhir pembelajaran itu semua tidak kita kecapi kita akan menyesal dan mula hilang sebab dan tertanya pada diri "Mengapa lah aku bersungguh-sungguh belajar".

Dan jika kita sentiasa bersenam dan membina badan. Dengan harapan mendapat bentuk badan idaman serta kesihatan yang berpanjangan tapi di akhirnya kita jatuh sakit kita akan mula mengeluh hilang sebab dan tertanya pada diri "Sia-sia lah usaha aku selama ini".

Bila kita bersahabat dengan harapan kita akan mendapat keuntungan atau apa-apa faedah atas persahabatan yang dijalinkan dan akhirnya kita di khianati . Kita mula menyalahkan sahabat kita hilang sebab dan tertanya pada diri "Buat apa lah aku kawan dengan dia nih".

Pergi ke kedai kita memilih barang yang paling berkualiti tidak kira mahal harganya asal dapat bertahan lama dan cantik luarannya . Tapi di akhirnya barang tersebut rosak juga akhirnya. Kita mula hilang sebab dan tertanya pada diri "Baik aku beli yang murah je tadi , sia-sia betul".

Tetapi jika kita lakukan semua perkara itu kerana ALLAH. Dengan niat yang suci dan tidak dicemari insyaALLAH sebab itu tidak akan hilang walau bagaimana pun akhirnya. Mencintai seseorang kerana ALLAH , maka ALLAH ada selama-lamanya maka tidak akan hilang sebab itu.


Selasa, 19 Januari 2010

Hari-hari penuh senyuman


Ambil roti dalam peti
Makan roti sambil cicah kaya
Jangan menangis walaupun gagal hari ini
Kerana gagal adalah langkah untuk berjaya


Pandulah kereta menepati had laju
Kerana terlalu laju sangat bahaya
Jangan sedih dengan perkara lalu
Kerana tidak ada yang boleh mengubahnya


Pergi bercuti di Bangkok
Singgah sebentar di Pattani
Siaplah untuk esok
Kerana semua orang boleh mencorak esok hari


Jangan suka bertangguh
Nanti menyesal kemudian
Berusahalah bersungguh-sungguh
Kemudian bertawakkal bagi kejayaan

Adik main kejar-kejar
Berhenti sebentar makan gula-gula
Kalau penat belajar
Berehat sebentar sebelum bermula semula


Amin seorang pelajar yang kreatif
Dia juga pelajar aktif
Selalulah fikir positif
Walaupun suasana tidak kondusif

Ahad, 13 Disember 2009

Melaksanakan sabar


"Weh rilek sudah . Sabar je la nak wat camne lagi"

"Sabarlah..sabar kan sebahagian dari iman"

"Jangan dikenang yang pergi ..relakanlah"

Antara kata-kata yang akan kita beri apabila seseorang sahabat atau kenalan kita mengalami sesuatu musibah atau kehilangan. Ungkapan itu diharap dapat meringankan atau mengurangkan tekanan dan kesedihan yang dialaminya.

Namun melaksanakan kesabaran adalah satu yang betul-betul berbeza dibandingkan dengan ungkapan-ungkapan itu. Dalam kata lain tak semudah yang diungkapkan.

Tapi apa yang pasti akan ada gembira di balik luka. Langit tak akan selamanya gelap , nanti akan tiba matahari menyinari semula alam ini.Teringat kertas yang kakak ku berikan di kala aku menangis di sekolah. Di disitu ada tertulis :

"Kadang-kadang ALLAH menghilangkan Matahari dan menggantikannya dengan hujan dan guruh , kita mencari-cari Matahari yang hilang. Rupa-rupanya ALLAH gantikan dengan Pelangi yang indah"

Mungkin kadang kala kita sedih kehilangan sesuatu , namun dalam masa yang sama kita masih mempunyai pelbagai benda dan nikmat yang masih boleh dihargai dan disyukuri. Ingatlah ALLAH bersama orang yang bersabar.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : 'Kami telah beriman' , sedang mereka tidak lagi di uji?" (Al-Ankabut:2)

"Dan taatlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah , yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah . Sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar" (Al-Anfaal:46)

Jumaat, 26 Jun 2009

Ku Bermonolog


Sudah melepasi 12.00 a.m maksudnya mengikut kiraan jam sudah masuk hari Jumaat. Dan hari Jumaat bermakna esok jika umurku masih ada aku akan memasuki hari Sabtu.Dan pada hari Sabtu jika umurku masih ada aku akan menaiki 'flight' ke luar negara bagi menyambung pelajaran.

Banyak perkara bermain di kotak fikiranku. Kadang-kadang terasa macam tak mahu ke sana. Dan kadang-kadang terasa teruja mahu melihat negeri orang.

Tidak kurang juga banyak perasaan takut dalam diriku. Takut tidak dapat menjaga iman , takut tidak dapat belajar dengan baik , dan bermacam-macam lagi. Tapi aku sering menenangkan hatiku bahawa tarikh untuk ku pergi masih lambat. Namun ternyata masa pantas berlalu meninggalkanku.

Persediaanku biasa sahaja barangan yang dibawa pun cukup ala kadar sekadar yang perlu.Namun persediaan rohaniku terasa masih belum begitu kuat. Dengan suasana baru yang masih tidak aku ketahui. Aku bermohon kepada ALLAH yang maha perkasa untuk memberiku kekuatan. Tapi dengan kemudahan internet rasanya tidak sukar untuk mencari pengisian.

Banyak nasihat yang aku terima. Ibu Bapa , Saudara Mara , Sahabat Handai, Guru dan juga Ustaz-Ustaz. Teringat pesanan Ustaz Hadi semasa aku melawat sekolah buat kali terakhir sebelum aku berangkat " Kita yakin bahawa dunia akan berakhir dengan ISLAM mendapat kemenangan dan kita berharap kita akan tergolong dalam golongan orang yang memperjuangkan ISLAM pada ketika itu." Ustaz juga berpesan agar aku sentiasa menjaga Al-Qur'an dan sentiasa mendampingi sahabat-sahabat yang soleh.Pesan ustaz solat Jumaat adalah wajib meskipun hanya terdapat 5 orang. InsyaALLAH Ustaz segala pesanan akan ku simpan sebagai panduan menyuluh jalan kehidupanku.

Ibuku merupakan orang yang paling banyak memberi nasihat. Sampai di dalam kereta pun Ibu masih menasihatiku dengan panjang lebar. Dari nasihatnya aku tahu bertapa besarnya kasih ibu. Ku berdoa agar ibuku di beri kesihatan selalu sepanjang pemergian ku nanti. Antara nasihat ibuku adalah pentingnya menjaga kejernihan fikrah. Pesan ibu masalah jangan dipendamkan dan selalu meminta bantuan dari pakcik-pakcik atau sahabat-sahabat sekiranya terdapat sebarang kesulitan. Dalam banyak-banyak pesanan yang ku terima pesanan dari ibulah yang aku rasa paling menusuk hati. Semoga aku dapat kekal tabah nanti berkat doa ibuku.

Pening juga aku memikirkan tentang bagaimana hendak menentukan waktu solat sepanjang perjalanan nanti. Pantas ayah menunjukkan cara menentukan waktu solat. Aku melihat bagaimana ayah mengira-ngira masa kerana masa di setiap negara tidak sama. Alhamdulillah ALLAH beri sedikit kefahaman kepadaku berkat usaha ayah mengajarku.

Beberapa hari lepas sewaktu aku tidur ditengah hari aku ada menerima bungkusan pos laju dari sahabatku. Terkejut juga mula-mula. Rupa-rupanya Radhi yang mengirim buku kepadaku. Seingat aku tajuknya 'Taujih Ruhiyah'. Selepas aku menerimanya terus saja aku memasukkan didalam beg tidak sempat hendak membaca segera. Terima kasih Radhi insyaALLAH usaha ikhlas anta akan diganjari pahala besar. Membaca surat yang dikepilkan bersama hati ku tertawa. Teringat zaman-zaman sewaktu bersekolah bersama.

Hatiku sedikit tenang setelah menerima panggilan dari Jordan . Pada mulanya tak cam suara. Setelah memperkenalkan diri barulah aku tahu bahawa Sang Penulis Muda yang menalifonku. Hatiku terasa begitu selesa setelah berbual dengannya.Lama rasanya sudah tidak bebual dengan Hilal. Banyak juga nasihat-nasihat dari Hilal kepadaku. InsyaALLAH aku akan ingat. Terasa begitu bertuah ALLAH mengurniakan sahabat yang begitu perihatin seperti Hilal. InsyaALLAH ana tak akan segan bincang dengan anta kalau ana ada masaalah dengan kaum Hawa nanti Hilal!

Dalam masa yang sama banyak juga 'messages' yang aku terima dari pakcik , makcik , guru dan sahabat yang memberi motivasi dorongan dan sokongan. Antaranya:

"Semoga menjadi mujahid di mana kita berada" -Abg Hairey

"Selamat berjuang sahabatku" -Iqbal Harun

"Semoga Selamat pergi dan pulang dengan ilmu untuk membangun UMMAH" -Cikgu Asmah

"Selamat bermusafir sabilillaha , ingati ALLAH di waktu ramai dan keseorangan insyaALLAH DIA akan memelihara kita di masa susah dan senang ketika di perantauan" -Cikgu Rahman

"Semoga di berkati ALLAH banyakkan berdoa kerana doa orang bermusafir ALLAH kabulkan, Selamat berjuang wahai Syabab!" - Ibu kepada Abu Asri

"Semoga penerbangan yang dirahmati ALLAH. Jaga Hati , jaga diri , dan jaga peribadi sewaktu di perantauan. Semoga berjaya." -Makcik Supini

"Cikgu sekeluarga mendoakan kesejahteraan anta di dunia dan akhirat . Penuhi jiwa dengan bekalan iman dan takwa untuk teruskan jihad di medan ilmu. Maafkan kami disini" - Cikgu Norizan

"Makcik mendoakan Fathi sentiasa kerana kita adalah sesama Islam dan lebih lebih lagi Fathi adalah sahabat baik Anas. Semoga ALLAH memberkati Fathi dan memudahkan segala urusan" - Ibu kepada Anas Norkefli

"Semoga dalam pemeliharaan ALLAH dan diberi Jiddiyah untuk membina kepakaran bagi menguatkan Islam" -Pakcik Rosdi Baharom

"Semoga ALLAH permudah dan berkati semua urusan" -Cikgu Azmi Bahari

"Moga beroleh ilmu yang berguna untuk Islam" -Ustaz Mahadzir

"Ang belajaq rajin-rajin na , jaga diri leklok " -Astaibillah

Baru-baru ini juga aku menerima panggilan dari sahabat baikku dari Syria. Muhammad Rijaluddin. Katanya dia ada mengirim buah tangan dari Syria yang dikirim melalui Abu Bakr. Aku masih tidak berkesempatan mengambil buah tangannya moga ALLAH permudahkan.
Buah tangan dari Hanif Ismail kepadaku juga masih belum berbuka. Cuma kopiah yang diberinya sekembali dari umrah telah ku pakai beberapa kali.

Tidak pernah lagi rasanya aku menulis post yang panjang lebar. Kerana aku adalah golongan yang tidak suka membaca post yang panjang. Jadi post-post ku dibiarkan tiga ke empat perenggan sahaja. Tapi kali ini biarlah. Sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati.

"Ya ALLAH selamatkanlah aku dalam perjalananku nanti , aku memohon pertolongan dari ENGKAU bagi menjaga kebersihan niatku agar ia dapat kekal bersih dan jauh dari penyakit-penyakit seperti riya' , ujub dan takabbur. Engkau terimalah perjalanan ku ini sebagai jihad bagi menguatkan agamaMU. ENGKAU lindunglah aku dari kemurkaanMU dan dari segala ujian yang tidak dapat aku tanggungi. ENGKAU berikanlah aku hati yang bersih , lembut serta dipenuhi cahaya hidayahmu. Engkau kurniakanlah aku petunjuk andai aku sesat atau jauh dariMU. Andai aku mati nanti ENGKAU masukkanlah aku kedalam golongan hambaMU yang mendapat keampunan dan nikmatMU yang tidak putus-putus."