Penulis: Khurram Murad
Penerbit: Revival Publications , United Kingdom
Kedengaran pintu besi asrama di ketuk oleh pengawas. Pelajar lain telah pun mengosongkan asrama, kemas berbaju sekolah. Saya seperti biasa, menjadi orang yang terakhir turun. Sementara orang lain sudah bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran, saya turun bertuala, membawa barangan mandi, dan baju sekolah yang masih pada penyangkut baju. Tahun itu adalah tahun 2006, dan saya sudah di tingkatan 4. Pengawas asrama melihat saya dengan muka menyampah, saya bersahaja, maklumlah sekarang sudah senior.
Sementara pelajar lain sudah menunggu di kelas saya masih di bilik air untuk mandi. Namun saya kebiasaan nya sempat sampai sebelum guru tiba untuk masa pertama. Hari itu adalah hari rabu, subjek pertama adalah pendidikan jiwa, subjek yang saya kira tidak diajar di sekolah kebiasaan. Guru kami adalah Tuan Hj. Rosdi Baharom, trainer yang sudah tidak asing lagi di Malaysia. Walaupun saya dikelaskan sebagai pelajar bermasalah, subjek itu antara yang sangat membekas dihati.
Lapan tahun selepas saya melangkah keluar dari sekolah saya masih ingat akan subjek tersebut, hingga akhirnya saya dapat membeli sendiri buku yang sering dijadikan rujukan oleh guru kami itu iaitu buku 'In the early hours : Reflections on spiritual and self development' yang merupakan koleksi kuliah Khurram Murad di Leicester, United Kingdom.
Saya mula membaca buku ini empat hari selepas kelahiran putri pertama, saya kini sudah berkahwin dan bukan lagi pelajar sekolah. Terkejar-kejar antara tugas menjaga anak, berkerja, buku ini dibaca agak perlahan dan lambat dihabiskan meskipun nipis sahaja.
Buku ini sedikit sebanyak menyedarkan saya, setelah sekian lama membaca buku worldview Barat, alignment pemikiran saya sedikit lari. Peringatan dalam buku ini terutamanya ketika membahaskan sudut pandang kehidupan sedikit sebanyak menyedarkan saya mengenai perlunya melihat kehidupan dunia dengan kacamata akhirat. Ustadh Khurram Murad juga memperingatkan kita bahawa pentingnya sikap optimistik dalam memohon apa jua daripada Allah. Beliau memetik kata-kata Sufyan ibn Uyayna, "Meskipun seseorang tahu akan hal dirinya, hendaklah dia sentiasa meminta dari Allah, kerana Allah menjawab hatta kepada permintaan iblis yang merupakan sejahat-jahat makhluk seperti yang diungkapkan dalam Surah Al-Araf ayat ke-14."
Kita juga hendaklah sentiasa menjaga niat kerana ia merupakan jiwa kepada badan, umpama benih. Kebanyakan biji benih kelihatan sama, tetapi apa yang ada di dalamnya yang akan membezakan apa yang akan tumbuh, dan buah apa yang akan dihasilkan. Begitu juga dengan niat, andai niat jahat yang tertanam, buah buahan kejahatan lah yang akan dihasilkan.
Banyak lagi nasihat-nasihat yang saya kira sangat mengesankan hati. Sekiranya anda sudah lelah mengharungi kehidupan ini, mari duduk termenung sebentar sambil menyelak halaman tulisan Ustadh Khurram Murad ini!