Ahad, 8 November 2015

Catatan Baitul Muslim 9



Erti hidup pada menerima.

Dalam sebuah baitul muslim, seperti mana rumahtangga yang lain ia memerlukan kepada kedua-dua belah pihak saling memberi dan menerima. Sekiranya satu daripada dua itu hanya memberi dan satu lagi hanya menerima, keadaan ini tidak stabil. Mungkin nampak stabil pada seketika, namun lama kelamaan ketidakstabilan akan tersirna semula.

Ya, kita sering disogokkan dengan frasa 'erti hidup pada memberi'. Perkataan 'disogok' mungkin terlalu negatif. Mungkin yang lebih sesuai 'diperingatkan'. Namun peringatan ini sering sahaja terlalu satu sudut, tidak wasatiah. Kita jarang diperingatkan akan pentingnya penerimaan dalam satu hubungan yang sihat.

Seseorang mungkin hanya mahu memberi sahaja pada zauj/zaujah nya, ketika dia diberi, dia menolak dek teringatkan bahawa tugas utamanya adalah memberi, jarang dia diperingatkan bahawa dia perlu juga menerima.

Menerima bukan sahaja memberi kenyamanan pada si penerima. Si penerima mungkin berasa dihargai, diingati dan disayangi, tetapi pemberi juga mendapat kenyamanan perasaan sekiranya pemberiannya diterima, dia juga akan merasa puas kerana dapat membahagiakan orang lain, merasa usahanya tidak sia-sia dan dihargai.

Begitu juga dalam baitul muslim, berhati-hati dalam menolak, keengganan menerima boleh memberi signal negatif pada pasangan. Misalnya, zaujah menawarkan diri untuk membuat air, namun zauj tidak dahaga dan merasakan tidak mahu menyusahkan pasangan nya. Lalu dia menolak. Signal yang diterima oleh zaujah mungkin bukan "Oh dia tidak mahu menyusahkan saya, dia sangat penyayang". Sebaliknya apa yang dirasakan adalah "Ermm nampaknya dia tidak menghargai keinginan saya untuk menawarkan kasih sayang kepadanya".

Lelaki terutamanya mempunyai fitrah suka menolak. Pertama mungkin kerana faktor ego, dengan menerima dia merasakan dirinya dibawah dan perlukan bantuan. Atau mungkin juga faktor suka berdikari dan melakukan kerja sendiri. Atau mungkin kerana dia sudah dibesarkan begitu, sebagai seorang yang independent. Namun, perlu ingat, untuk menjamin baitul muslim yang sihat, zauj perlu belajar menerima. Malah seharusnya penerimaan itu dengan senyuman dan ucapan penghargaan. Sekiranya sukar untuk melafazkan terima kasih, tulis sahaja di whatsapp, atau conteng pada kertas.

Perempuan juga mempunyai tendency untuk menolak. Terutamanya dalam bab makanan dan pakaian, biasanya perempuan lebih cerewet, lelaki mempunyai mindset 'asalkan kenyang' jadi mereka kurang memilih terutamanya bab makanan. Perlu bagi zaujah juga belajar menerima, sekiranya ditawarkan makanan yang tidak digemari, jangan terus menolak sebaliknya cuba makan sedikit, sekiranya kita dapati makanan itu tidaklah terlalu teruk dan rasa nak termuntah, eloklah kita makan perlahan-lahan, belajar untuk memakan nya. Jika selepas kita makan sedikit, sudah nak termuntah, tolak lah dengan baik tanpa melukakan hati zauj.

Apa sahaja yang diberikan oleh zauj/zaujah seharusnya kita terima dengan redha, hargai dengan ucapan penghargaan, kerana itulah kasih sayang, pemberian dan penerimaan. Hilang salah satu, ia bukan lagi kasih sayang. Moga Allah beri kita baitul muslim yang mawaddah dan sakinah. Uhibbukifillah.

Tiada ulasan: