Penulis:
Mohammad Kamil B. Hj. Ab. Majid
Penerbit:
Pekan Ilmu, 2012
Pertamanya saya ingin mengupas
berkenaan dengan konsep buku dan juga susun atur. Buku ini saya kira
berkonsepkan ilmiah, dan kadang kala terlalu ilmiah dan tidak berapa sesuai
dengan pembacaan awam. Susunan ayat dipenuhi dengan perkataan jargon yang
kadang kala tidak di definisikan dan tidak difahami oleh audiens. Jika kita
membaca bab dua pula, kita akan dapati ia dipersembahkan dalam bentuk point,
dan ada point mempunyai sub-point, dan sub-point pula mempunyai sub-sub-point.
Ini menyebabkan pembacaan begitu sukar untuk menjadi satu gagasan kefahaman
yang bersambung.
Kemudian proses penerbitan juga
dilakukan dengan tergesa-gesa. Proses proofreading dan editing mungkin tidak
dilakukan atau mungkin dilakukan dengan tidak teliti. Hasilnya naskah akhir
dipenuhi dengan pelbagai kesalahan ejaan. Lebih kritikal saya kira sebagai
contoh, pada muka surat 66 dan 67 terdapat perkataan dalam kurungan (masukkan
hadis ibadat / contoh). Ini merupakan perkara yang tidak sepatutnya ada dalam
manuskrip yang sudah diterbitkan!
Kemudian pada bab-bab seterusnya
ada yang ditulis sebahagian nya dalam bahasa Indonesia. Perkara ini lebih
menjadikan buku ini apabila dibaca, sangat berceramuk. Walaupun mungkin
penulisan ini merupakan gabungan penulis-penulis, seharusnya dari sudut bahasa
ia diharmonikan, dan dipilih satu bahasa. Saya rasa cukup sebanyak ini kritikan
berkenaan dengan teknikaliti buku ini, saya ingin berbicara berkenaan dengan
idea dan isi buku.
Saya merasakan bahawa buku ini
mempunyai isi yang baik. Pada bab-bab seterusnya apabila ia ditulis dengan
garapan pada perenggan dan bukan dalam bentuk point, ia sangat memudahkan
pembacaan dan pemahaman terhadap isi. Saya petik beberapa isi yang saya kira
relevan untuk dibincangkan.
Apabila membicarakan konsep
wasatiyyah (pg. 55), buku ini mengetengahkan
bahawa Islam mementingkan kepentingan bermasyarakat (societal). Perkara
yang dilakukan bersama dinilai lebih baik dalam Islam, sebagai contoh solat
diganjari lebih besar apabila dilakukan berjemaah. Perkara ini antara topik
yang perlu diperhatikan apabila kita melihat perjuangan yang ditaja oleh barat
berkenaan dengan kebebasan individu atau human right. Adakah kebebasan yang
diperjuangkan itu baik meskipun apabila ia merosakkan apabila dilihat dalam
sudut pandang kemasyarakatan?
Berkenaan soal hudud, pendekatan
wasatiyyah seharusnya tidak hanya memfokuskan kepada perlaksanaan hukuman
sahaja (pg. 67). Kefahaman berkenaan hukum itu juga penting bagi mengharmonikan
nya dalam opinion masyarakat. Usaha untuk menerangkan nya dengan baik perlu
dilaksanakan terlebih dahulu bagi menandingi opinion barat bahawa ia satu
hukuman primitif dan kejam. Kita perlu menjawab kritikan media barat ini dengan
rasional dan logikal, agar dapat diterima baik dan menjadi persepsi baik bagi
masyarakat. Juga berkenaan prosedur dan tatacara perlaksanaan harus
dihuraikan.
Dalam konsep wasatiyyah juga
beliau mengutarakan bahawa tidak semua perkara tradisi atau amalan lama itu
perlu dianggap buruk dan out of date
(pg. 91). Perkara-perkara yang merupakan kalam ulama silam dan bukan ketetapan
qat’i boleh dinilai semula dengan kritis. Agar pengamalan Islam sentiasa segar
dan seiring dengan peredaran zaman. Hal ini bertentangan dengan konsep barat
yang membuang semua perkara tradisi sebagai tidak lagi berguna serta menghalang
kemodenan.
Dalam membincangkan fahaman
konservatif beliau menyatakan antara kelemahan fahaman ini adalah kurang
menggunakan akal dan metologi ilmiah. Akal dianggap sebagai sumber sekunder
yang tidak dapat menyaingi pendapat ulama silam (pg. 105). Mereka membertahankan semua amalan warisan
serta menentang semua agenda permodenan. Perkara ini bertentangan dengan konsep
wasatiyyah, dimana ummat Islam seharusnya menerima kebaikan yang ada dalam arus
kemodenan secara selektif dan di harmonikan dengan suasana setempat.
Penulis juga berpendapat bahawa
demokrasi boleh diterima selagi tidak bertentangan dengan Al-Qur’an dan Hadis.
Beliau memetik kenyataan Yusuf Qardhawi yang menyatakan demokrasi adalah
gambaran daripada agama Islam dan tidak bercanggah dengan Al-Qur’an dan Hadis
(pg. 148).
Ketika membahaskan berkenaan
dengan tokoh liberal di Mesir, pandangan Hassan Al-Masyat telah dipetik yang
mengatakan liberal tidak bertentangan dengan Islam (pg. 175). Namun liberal
yang dimaksudkan adalah berfikiran bebas, bukan liberal tanpa batasan acuan
barat. Tokoh liberal di Mesir seperti Hamed Tahir menyeru agar perkara yang
harus diperjuangkan dalam ummat Islam hari ini adalah isu-isu besar seperti
keadilan, persamaan dan syura (pg. 191). Hamed Tahir merasakan bahawa Al-Azhar
menghalang idea-idea pembaharuan ini. Akibatnya ummat masih membincangkan
perkara-perkara kecil yang telah pun dibincangkan zaman-berzaman. Kesyumulan
Islam seharusnya diperlihat dari segi praktik, mampu mengupas isu-isu realiti
kehidupan, harus keluar dari sekadar menentukan halal dan haram, serta
perkara-perkara furuiyyah.
Dalam kesimpulan buku ini,
terdapat satu petikan yang menarik perhatian saya:
“Kelas professional Melayu baru
yang dilahirkan melalui dasar permodenan dan DEB ini tidak menunjukkan
paradigma pemikiran yang bersifat rasionalisme, objektivisme dan saintisme
seperti yang diharapkan oleh Mahathirisme.” (pg. 289)
Saya tidak bersetuju dengan
kesimpulan ini kerana ia merupakan generalisasi yang tidak berpijak di bumi
nyata. Sekiranya kita lihat bidang industri hari ini golongan professional
Melayu memainkan peranan yang sangat besar. Malahan kebanyakan GLC hari ini
ditadbir oleh golongan professional Melayu. Ia adalah kesimpulan pra matang.
Secara keseluruhan buku ini dari
segi teknikal dan editing merupakan buku yang amat menghampakan. Bermula dengan
persembahan dalam bentuk point yang sangat mengelirukan, kesalahan ejaan yang
begitu banyak, penggunaan istilah yang tidak konsisten, serta percampuran
bahasa Melayu dan Indonesia yang menjadikan ia buku yang caca merba. Namun dari
segi isi, terdapat perbahasan-perbahasan yang baik seperti perbahasan sejarah
liberalisme di barat dalam bab 4. Saya berharap buku ini dapat diperbaiki
sekiranya cetakan seterusnya ingin dilakukan.