Isnin, 29 Jun 2020

Catatan Baitul Muslim 30: Novel & Memarahi Anak


Saya gemar membaca, buku yang saya baca kebanyakannya bersifat non-fiksyen, amali dan realiti. Saya kurang berminat untuk membaca novel-novel perihal perasaan dan hati kerana saya tidak memberi kepentingan yang berat pada perasaan, apa yang penting adalah fakta yang praktikal. Tetapi sampai satu ketika, saya merasakan pandangan ini silap. Novel boleh mengajar banyak perkara perihal kemanusiaan kepada manusia. Walaupun ia adalah cebisan imaginasi penulis, tetapi tentulah penulis sendiri menulis dari getusan hatinya, jadi ia tetap tidak dapat lari dari sifat-sifat kemanusiaan. Melainkan kita ada novel yang seratus peratus ditulis komputer menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Antara novel-novel yang saya minati adalah tulisan Khaled Hosseini, karyawan dari Amerika yang lahir di Afghanistan. Terutamanya karya beliau The Kite Runner dan A Thousand Splendid Suns. Ia mengangkat nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan. Dari perspektif ibubapa, novel ini memberi satu kesan tentang bagaimana kita melihat anak-anak dibawah didikan kita. Mereka bukanlah sekadar manusia kecil yang perlu diurus, didisiplinkan, dan dilengkapkan dengan pelbagai informasi. Tetapi mereka punya perasaan, sifat-sifat manusia yang perlu diraikan oleh ibu bapa.

Saya teringat satu teguran baru-baru ini yang tular di Facebook berkenaan dengan manusia yang suka membaca ini kadangkala menjadi "manusia buku", dia gagal memahami sifat kemanusiaan yang kompleks dengan emosi dan perasaan. Segalanya perlu mengikiut buku, dia menjadi "book wise" tetapi tidak "street wise". Walaupun kritik itu bagus, saya kira kesimpulannya bukanlah kita perlu kurangkan pembacaan, tetapi kita perlu juga kayakan pembacaan berkenaan ragam manusia, karya-karya yang mencemaskan perasaan, menimbulkan kesedihan, mengelegakkan kemarahan, bukan hanya karya perihal fakta-fakta yang kering dari sebarang unsur kemanusiaan. Saya berpendapat kita boleh menjadi "street wise" dengan bersosial dengan masyarakat tanpa perlu "mengorbankan" pembacaan.  

Saya minat kata-kata dalam buku tulisan Jamie Glowacki bahawa sebanyak manapun buku-buku "pakar" yang kita baca, apabila menguruskan anak kita sendiri, tiada yang lebih "pakar" berbanding kita sendiri. Kerana kitalah yang duduk 24 jam dengan mereka, kita yang main dengan mereka, makan dengan mereka, mandi dan tidur dengan mereka. Jadi jika nasihat "pakar" tidak berkesan, jangan kita terlalu rigid, sebaliknya timbangkan cara-cara lain yang berkesan dengan anak kita.

Pengalaman saya membesarkan anak, 2 tahun pertama biasanya merupakan tahun-tahun yang membahagiakan, kerana kita belum masuk ke dalam fasa mendisplinkan anak. Mereka ketika ini masih belum boleh membina ayat untuk bertutur dalam menyampaikan kehendak-kehendak mereka. Selepas tahun ini berakhir, kita mula memasuki fasa kita sering memarahi anak. Dalam fasa ini kita perlu sentiasa ingat bahawa mereka adalah manusia yang mempunyai perasaan, walaupun kita mungkin dapat apa yang kita mahu mereka lakukan dengan memarahi mereka, kita perlu ingat akan sampai satu masa kemarahan kita tidak lagi akan memberi kesan kepada mereka. Disini perlunya penerangan dan pendidikan.

Jangan salah sangka, saya berpendapat "marah" ada tempatnya dalam pendidikan. Sekiranya anak itu tidak pernah dimarahi dari kecil hingga dewasa mungkin dia tidak akan berjaya memahami apa itu baik dan buruk, mereka juga tidak dapat faham sifat-sifat manusia yang kompleks, atau mungkin dia merasakan dia boleh berbuat apa sahaja sesuka hatinya. Namun, marah itu perlu digunakan dengan berhati-hati, jangan sampai kasih sayang terpadam. Marah harus segera diikuti dengan kemaafan dan penerangan. Dan ibubapa juga perlu berani meminta maaf pada anak-anak mereka jika mereka terlebih marah, atau marah kerana nafsu dan ke-ego-an. 

Seorang ayah itu, ego-nya lebih tebal dari seorang ibu. Ibu sifatnya lebih tebal dengan kasih sayang, selalu membenarkan diri terluka untuk melihat anak dan suami bahagia. Namun saya kira, setebal manapun ego seorang bapa, selepas memarahi anaknya pasti tebit rasa kekesalan, walau sebesar zarah, pasti timbul rasa kasihan apabila melihat anaknya menangis kesedihan. Walaupun kadangkala egonya mengatasi zarah-zarah tersebut. Maka perlulah seorang bapa itu selalu bertanya pada hatinya, untuk apa ego itu? Wajarkah ia diberi kemenangan dengan mengorbankan kasih-sayang diantaranya dan anak-anak?

Mendidik anak itu satu seni yang sukar, tiada satu formula yang sesuai untuk semua anak-anak. Pasti ada kelainan, pasti ada perubahan terhadap cara untuk menghadapi anak-anak yang berbeza. Membentuk manusia ini tidak semudah membentuk tepung yang sudah diuli, kerana manusia itu kompleks dengan emosi dan perasaan. Maka ibu bapa perlu mencari jalan yang seimbang, menanam disiplin dalam masa yang sama menyiram dan memastikan kasih-sayang terus subur. Terlebih marah, anak akan merasakan seolah dia hidup dalam keluarga diktator tanpa kasih sayang, terlebih sayang menjadikan mereka manusia yang hidup tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Jalan sederhana ini juga tidak dijamin mudah dan selesa, ia dijamin penuh dengan dugaan dan airmata. Namun hasilnya, insha'Allah, bahagia.

Sabtu, 27 Jun 2020

Abang Posmen Bawa Kegembiraan



Posmen sudah datang!

Tengahari semalam sedikit menggembirakan apabila abang posmen datang dan menghadiahkan pada saya satu bundle buku yang telah dicetak. Buku Life Full of Reading: A Collection of Book Reviews ini merupakan koleksi reviu buku yang saya tulis dalam bahasa Inggeris. Saya dedikasikan buku ini buat arwah ayah yang sangat saya sayangi, Syed Mohd Khair Jiplus yang meninggalkan kami lewat Februari tahun ini. Moga Allah merahmati ayah.

Terima kasih kepada perusahaan Tukang Buku yang mencetak buku saya dengan pantas dan cergas. Hasil craftmanship mereka sangat memuaskan. Kemas dan professional. Antara buku yang sempat saya reviu dalam naskah ini adalah buku tulisan saudara Izzat Ibrahim Camp de Calais juga buku pengembaraan rockers Malaya Francis Wolf dalam naskahnya Kept In Ink.

Pada asalnya saya cetak buku berbentuk paperback ini hanya untuk simpanan peribadi dan juga simpanan Perpustakaan Negara Malaysia. Buku ini boleh didapati dalam bentuk digital di Amazon, Google Play atau E-sentral, dan saya pada asalnya tidak mahu menjualnya dalam bentuk fizikal. Jika ada yang berdegil nak baca buku dalam bentuk fizikal juga, bolehlah meminjam di Perpustakaan Negara atau datang ke rumah saya untuk membacanya sambil minum kopi.

Tetapi teman-teman menyatakan bahawa saya patut cetak naskah fizikal untuk jualan. Benz Ali menyatakan bahawa elok dicetak banyak kerana nampak menarik. Saya menyatakan bahawa saya lebih minat menulis dan menerbit dari menjual. Saya tawarkan kepada beliau sekiranya beliau ingin cetak dan jual tanpa royalti kepada saya, namun rumah penerbitan beliau lebih fokus kepada buku-buku dalam Bahasa Melayu.

Kemudian teman saya, Kiridaren Jayakumar, seorang penggiat buku yang tidak asing lagi di Malaysia, yang merupakan pengusaha kepada perusahaan The Bibliophile menghubungi saya. Beliau bersungguh-sungguh mahu saya mencetak lagi buku saya untuk dijual secara fizikal. Saya sedikit kagum dengan Kiridaren, beliau lebih yakin dengan karya saya melebihi keyakinan saya sendiri kepada karya saya. Seperti jawapan saya pada Benz, saya terangkan sekali lagi bahawa saya lebih minat menulis dari menjual. Namun beliau tidak berputus asa, beliau menawarkan diri untuk mempromosi dan menjual buku tersebut, akhirnya saya setuju. Jadi sekiranya anda ingin mendapatkan naskah fizikal, bolehlah berhubung terus dengan beliau, saya sertakan pautan The Bibliophile disini.

Sebagai penulis yang masih baru, saya tidak menganggap bahawa keuntungan itu satu yang utama buat masa ini. Benar kita perlukan sedikit keuntungan untuk makan dan terus berkarya. Tapi saya kira apa yang lebih penting bagi penulis muda adalah menghasilkan karya, semakin banyak semakin tertingkat pengalaman dan pembaca. Satu hari nanti mungkin ia boleh menjadi sumber pendapatan, tetapi buat masa ini fokusnya perlulah kepada penghasilan karya. Semoga buku kechil ini menambahkan sedikit pembendaharaan buku di negara Malaysia yang kita cintai ini.

Ahad, 21 Jun 2020

Memaknai Rumi: Siri 10



"How to cure bad water? Send it back to the river.
How to cure bad habits? Send me back to you.

Look as long as you can at the friend you love,
no matter whether that friend is moving away from you
or coming back toward you." (52)

Manusia adalah makhluk sosial. Ahli biologi ingin meletakkan manusia sekadar hanya seokor lagi binatang yang tujuannya hanya makan dan membiak. Ahli ekonomi mengatakan manusia bersikap dengan rasional. Ahli politik mengatakan sifat manusia itu selalu berkonflik. Namun semua teori-teori ini mempunyai limitasi dan terurai pada sesuatu titik sosial.

Pada titik sosial itu manusia tidak dapat ditulis secara sempurna dalam mana-mana formula. Manusia itu pentingkan diri dalam masa yang sama dia bersifat altruis. Manusia itu rasional dalam masa yang sama emosional. Manusia berperang dalam masa yang sama mereka berdamai. Manusia adalah makhluk sosial yang tidak dapat dimasukkan dalam mana-mana formula.

Apabila dikatakan manusia itu makhluk sosial, kewujudannya sentiasa bergantung pada manusia lain. Pada waktu kecilnya dia bergantung pada ibubapa. Ke sekolah dia bergantung kepada gurunya. Di liburan dia bergantung pada temannya. Di dewasa dia bergantung pada isteri dan suaminya. Di waktu tua dia bergantung pada anak dan cucunya. Dia makhluk sosial, orang disekelilingnya bukan sahaja mempengaruhi dia secara fizik, tetapi juga dalam hal-hal yang abstrak seperti kegembiraan, kebahagiaan, kesedihan, kemarahan atau kesepian.

Saya ingat ketika ayah meninggal dunia, perasaan sedih itu sangat dalam. Walaupun secara fizik saya sudah tidak bergantung pada ayah dari sudut kelangsungan kehidupan. Tetapi keterikatan sosial itu masih ada dan erat, ia mampu menyebabkan hati berasa sangat sedih, sepi, dan murung. Tidak dapat saya bayangkan apa yang akan saya perbuat tanpa sokongan keluarga dan teman sekeliling. Itulah sebabnya Rumi menintakan bahawa untuk mengubati penyakit-penyakit sedih dan sepi ini kita perlu kembalikan diri kepada manusia, kembali bersosial agar kesepian itu dapat dipadam. Jika tidak dipadam secara keseluruhan pun mungkin melupakannya buat seketika agar dapat dilalui hidup dengan sediakala.

Persahabatan manusia mungkin disebabkan talian keluarga, mungkin juga disebabkan institusi-institusi sosial yang lain yang dilalui sepanjang kehidupannya. Dalam persahabatan inilah ada penawar bagi kesunyian, penawar kepada kegilaan, penawar kepada kekosongan. Sebab itu Rumi menyuruh kita merenung sahabat dan teman yang kita sayang, pada mereka kita kutip sumber kekuatan dan kehidupan. Walaupun mereka biasa-biasa sahaja, bukan karyawan atau ilmuan, namun pertukaran kata-kata disulami gelak ketawa dengan secawan kopi sudah cukup untuk membuat kita bahagia.


Sabtu, 20 Jun 2020

Ada satu malam, dia akan meragui dirinya



Sehebat mana pun manusia
Ada satu malam dia
akan meragui dirinya.

Bertanya soalan di luar batas logika
Apakah jika
dahulu ditempuh lorong berbeza
akan membuatkan hari ini gembira?

Nasib itu satu objek misteri
Tak tertafsir oleh hakim dan juri
Tak dapat ditolak
Tidak juga dapat diselak
Ia adalah ombak
Muncul tanpa air berkocak.

Menangkap perasaan tanpa sedia
Sehebat mana pun manusia
Malam itu dia akan meragui dirinya.

Rabu, 17 Jun 2020

Mazhab Politik Realism



Bapak politik bermazhab realism, Niccolo Machiavelli menyebut "Lebih baik ditakuti dari dicintai, sekiranya anda tidak boleh menjadi kedua-duanya". Selain realism, politik se-fikrah dengan mazhab ini juga sering disebut sebagai "realpolitik" atau "power politics". Karya pengasas falsafah politik realism ini dalam naskahnya 'The Prince' dibaca oleh tokoh-tokoh politik dunia. Ia dibaca oleh Stalin, malah Hitler dikatakan menyimpan naskah beliau ditepi katil tidurnya, Bismarck dan Napoleon pula dikatakan bersumpah menggunakan naskah tersebut. Saya membacanya lama dahulu, bagi saya ia memang sebuah tulisan yang mudah difahami, ayat-ayatnya tidak diberat-beratkan, bagi saya ia adalah karya yang boleh dikatakan "dark and powerful".

Fundamental kepada idea politik realism adalah sifat manusia yang mengejar kekuasaan, konflik dan peperangan merupakan sifat asal manusia, oleh itu polisi yang didasari mazhab ini akan senantiasa bersifat antagonistik. Idea Machiavelli dianuti dan dikembangkan oleh pemikir dan pemain politik sehingga ke hari ini, ia dianuti oleh sosok seperti Henry Kissinger yang pernah menjadi setiausaha negara Amerika, polisi-polisi Kissinger banyak berbentuk militaristik sehingga ramai yang menganggapnya sebagai penjenayah perang.

Falsafah politik realism menyatakan untuk berjaya dalam politik, kita tidak seharusnya bertindak dengan mengambil kira "bagaimana sepatutnya kita berpolitik" tetapi kita seharusnya bertindak dengan mengambil kira "apa yang berlaku dalam politik". Dalam kata lain, politik tidak harus dilihat sebagai pentas moral "bagaimana sepatutnya", tetapi apa-apa strategi yang boleh menjayakan matlamat adalah sebahagian dari politik berbentuk realism.

Saya teringat satu perbahasan berkenaan dengan "Gandhian non-violence", dimana Gandhi berpendapat tidak ada gunanya jika kita memegang prinsip non-violence jika musuh kita menggunakan keganasan yang tidak mendapat liputan dunia. Sebagai contoh jika gerakan kita berada di dalam hutan dan berpegang dengan ideologi non-violence, tetapi kerajaan datang dengan tentera siap untuk membunuh kita semua, ideologi itu hanya akan menyebabkan kita semua mati dan masyarakat dunia pun tidak tahu akan kematian kita. Tetapi jika kita mengangkat senjata ketika itu untuk bertahan dan menolak serangan, gerakan kita ada peluang untuk survive dan berjaya. Disini kita melihat bentuk realism, dimana kita perlu bertindak membelakangi ideologi kita untuk berjaya. Kita harus bertindak bukan "bagaimana sepatutnya" ideologi kita katakan, tetapi "apa yang berlaku" perlu diambil kira untuk survival.

Realism juga menolak ideologi dalam pemilihan teman dan sekutu. Sebaliknya sekutu yang dipilih adalah berdasarkan pengaruh dan kekuasaan mereka. Tidak guna bergabung dengan sekutu yang selari ideologi tapi menyebabkan kita kalah perang. Sebaliknya kita perlu memilih sekutu yang kuat meskipun berbeza ideologi untuk menjamin kemenangan. Perkara ini boleh kita lihat bukan sahaja dalam suasana politik dunia, malah sering berlaku di dalam arena politik tempatan di Malaysia. Dimana sosok yang semalam dikeji sebagai diktator korup, esok bersama dalam agenda perjuangan reformasi. Parti yang dituduh sebagai kleptokrat, akhirnya bergabung bersama membentuk perikatan, semuanya jelas dari sudut pandang mazhab politik realism, apa yang penting adalah kuasa dan kemenangan. 

Dalam menilai risiko, politik realism tidak bergantung harap pada kelakuan sebaliknya kekuatan yang material. Sebagai contoh, dalam arena antarabangsa, sesuatu negara tidak dinilai sebagai mengancam hanya disebabkan oleh kelakuan dan diplomasinya, sebaliknya kekuatan ketenteraannya. Walaupun negara itu kelihatan baik dan berdiplomasi, tetapi dalam masa yang sama mereka meningkatkan keupayaan ketenteraan, menambah jet dan perisai, membangun senjata nuklear, mereka tetap harus dipandang berbahaya dan berisiko. 

Bagi mazhab realism, moral tidak mempunyai tempat dalam membuat keputusan. Moral mungkin boleh membuatkan kita berasa bangga, atau berasa senang kerana kita mengangkat ideologi, namun ia sering membawa kepada keputusan yang tidak menguntungkan dari sudut pandang kekuasaan. Bagi seorang yang realis, keputusan yang mengembangkan dan mengukuhkan kuasa adalah keputusan yang betul. Tidak guna sekiranya kita betul dari segi moral tetapi kalah dalam peperangan, tiada makna jika kita benar namun kebenaran itu mati bersama kita sedangkan kejahatan hidup dan berkuasa. Oleh sebab itu Bapak politik realism mengatakan tidak ada guna jika dicintai tetapi dikalahkan, lebih baik ditakuti dan kekal berkuasa.   

Penulisan ini membincangkan mazhab politik realism, bukan mazhab politik yang saya anuti.

Isnin, 15 Jun 2020

Teori Galah Sejengkal & Ideological Schism



Sejak dua menjak ini ahli parlimen dari sebuah persimpangan yang gagal memansuhkan tol yang dijanjikan sibuk menulis berkenaan dengan "gandingan mantap" dua sosok politik negara. Ada segelintir rakyat yang tergelak membaca tulisan itu, tidak sedikit juga yang muntah hijau, loya dan bosan. Masakan tidaknya, rakyat dari yang tadika membesar hingga bekerja, yang dara hingga sudah menjadi nenek, sudah lama menyaksikan perseteruaan mereka. Dari 1998, aksi lebam mata dan pukulan baton FRU sehinggalah tahun 2020 dimana kereta sudah terbang di udara di Malaysia, perseteruan dua sosok yang disebut "gandingan mantap" ini belum berakhir. Cubaan terakhir mereka meranapkan kerajaan, pertama kali dalam sejarah Malaysia. 

Saya membesar di Kuala Lumpur, 1998 saya berumur 8 tahun, belum mengerti apa itu politik, jika ke Markas PAS di Taman Melewar pun hanya kerana ingin beli pita kebab dari penjual yang membuka gerai ketika ceramah. Saya membesar dengan menyaksikan dinding-dinding diconteng grafiti ABU di ibukota, setelah dewasa baru saya faham ia adalah acronym "Asalkan Bukan UMNO". Sehinggalah saya sudah bekerja sekarang, drama yang sama bermain, sudah bosan, mual, dan muak. Saya tak faham bagaimana "intelektual" masih ingin menarik generasi kami ke kancah politik lama yang sudah kami saksikan sejak 22 tahun yang lalu. 

Mungkin kaca mata intelektual itu hanya berlegar untuk memastikan kelangsungan parti atau karier politik. Sementara ada rakan dan komrad yang sudah menulisnya sebagai "intelek-jual", saya masih menahan diri dari menulis menggunakan bahasa pejoratif, takut-takut dituduh tidak berakhlak Islam lagi kerana berani berkhilaf dalam politik. 

Tapi dari satu sudut saya faham kesepitan yang dialaminya. Naiknya dulu menerusi gelombang kemarahan rakyat, walaupun kemudian dia banyak men-delete status lamanya. Jadi atas dasar prinsip, atau atas dasar tidak mahu menelan ludah, tidak dapat bekerjasama dengan kerajaan lama. Meninggalkan Mahathir juga sukar, kerana naiknya dulu atas dokongan beliau, meninggalkan Anwar juga tidak boleh kerana tidak punya kerusi dan pengaruh. Jadi terpaksalah menggosok dan memuji kiri dan kanan, menjaja "teori galah" yang bukan saja tidak melambangkan jubah intelek, malah membuat rakyat muntah. 

Ya, kejatuhan kerajaan 22 bulan itu secara stuktur dan mekaniknya adalah kerana perubahan fikir (pengkhianatan adalah perkataan yang selalu digunakan penyokong mereka) beberapa parliamentarian. Tetapi mengapa mereka berbuat begitu? Secara Machiavelli-nya adalah disebabkan untuk mengekalkan kuasa. Tetapi pasti ada sesuatu penolakan yang menyebabkan mereka merasakan mereka tidak boleh berkuasa (memerintah) secara efektif dalam kerajaan lama yang mereka bina. 

Idea reformasi dan perubahan itu bagus diatas kertas dan di dalam buku-yang-bukan-kitab-suci, dan rakyat pun menerimanya, sebab itu mereka mengundi perubahan pada pengundian umum ke-14. Namun selepas ia tertegak, ternyata ia membawa sesuatu yang lain, satu ideological schism antara kelas pemerintah dan yang diperintah, yang sangat berbeza dengan identiti asal negara. Itulah yang meresahkan mufti utara yang dahulunya mereka sendiri puja. Ideologi yang dibawa tidak cocok dengan rupa asal negara, jadi kita melihat pelbagai kontradiksi dalam pakatan yang sama. Terlalu berfaksi sehingga tidak ada yang dominan, menyebabkan strukturnya goyah, runtuh sendiri apabila matlamat pendek membuang MO1 telah berjaya. Kerana ideological schism ini tidak punya rangka kerja jangka masa panjang, tidak ada konsensus dalam struktur apa yang hendak dibina. 

Lebih malang sehingga hari ini ia tidak selesai. Sangat malang bila dibaca pendapat pemegang kerusi Hulu Langat yang mengatakan ia tidak penting, sebab merasakan ia tidak pentinglah kerajaan itu gugur, kini mahu tarik negara ke permainan usang semula? Ini kerja gila. 

UMNO yang dituduh "jerung bobrok" itu pun mampu berkonsensus sehingga 60 tahun, kerana apa? Kerana mereka sudah lama selesai soal ideologi, tiada schism yang melahirkan prejudis tebal. Tetap ada kritikan dan keluhan (luka kecil dan luka besar) tetapi mereka jelas apa yang hendak dibawa, negara boleh dipandu walaupun pasti ada kelemahan. PAS yang dituduh menungang agama itu pun boleh menerima sekiranya nelayan berkain pelikat mereka tidak diangkat menjadi menteri perdana, kerana mereka berkonsensus tentang perancangan jangka panjang negara, mereka sedar ideologi itu perlu ditanam dan dipropagandakan dengan berkesan, tidak boleh dipaksa apatah lagi jika ia ingin mengubah identiti negara. 

Maka kita tunggulah kerja-kerja menyelesaikan pengiraan matematik tarik menarik ini. Dalam masa yang sama kita perlu hadapi teori-teori galah untuk memetik "buah-buah ranum". Mungkin buah rambutan itulah rakyat, sudah dimakan isinya, kulit dan bijinya akan dibuang ke dalam bakul sampah.


Khamis, 11 Jun 2020

Selalu di mimpiku, rindu



Ombak telah menghempas hatiku, 
Laman tidak lagi sama seperti dahulu,
Hatiku masih membawa rindu yang dahulu,
Namun, hanya mimpi tempat kita bertemu.

Selalu di mimpiku.

Aku masih rindu.

Isnin, 8 Jun 2020

Google Play Books vs Amazon Kindle



Saya memang pembaca buku fizikal, malah jika kawan-kawan beri buku digital dalam bentuk epub atau pdf, tak pernah satu pun yang berjaya saya habiskan. Malah saya pernah menulis artikel kenapa saya lebih gemar membaca buku fizikal (terutamanya paperback berbanding ebook). Tetapi itu tidak menafikan bahawa ebook ada tempatnya dalam masyarakat.

Ada penggemarnya sendiri. Ada kelebihannya sendiri. Kepada pembaca, mereka boleh membeli buku yang sukar didapati secara fizikal. Kepada penerbit, mereka tidak perlu membayar kos cetakan, dan tidak perlu berpening untuk menyimpan stok buku yang berlambak.

Baru-baru ini saya telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Life Full of Reading yang merupakan koleksi reviu buku yang saya tulis dalam bahasa Inggeris. Buku ini sebenarnya, saya cetak juga secara fizikal untuk simpanan peribadi. Tetapi untuk orang lain biarlah didapati secara digital. Selain itu, penerbitan buku ini juga sebagai pengalaman peribadi menerbitkan ebook. Satu sesi pembelajaran amali bagi saya. Terima kasih diucapkan kepada Tuan Rao Sharmizan, editor professional yang sudi membaca dan mengedit naskah manuskrip saya ini agar ia boleh dibaca oleh manusia. Terima kasih juga kepada illustrator berpengalaman Tuan Abdullah Afiq Nashiron yang menghasilkan karya muka depan yang sangat cantik dan kemas.

Sebenarnya saya bukan sahaja menerbitkannya di Amazon Kindle, saya juga memuat naik ebook tersebut di Google Playbook, tetapi sehingga artikel ini ditulis (sudah 3 hari), buku tersebut masih belum diterbitkan, kerana masih dalam semakan pihak Google. Malah Google memberi tahu bahawa proses review mungkin mengambil masa sehingga 12 hari. Ini jauh berbeza dengan Amazon Kindle yang hanya mengambil masa kurang 24 jam untuk buku yang diterbitkan untuk muncul dalam carian di Amazon.

Walaubagaimanapun, saya dapati proses menerbitkan buku di Google Playbook lebih simplified berbanding Amazon Kindle, perkara yang perlu di isi lebih sedikit. Amazon juga tidak mempunyai Malaysia dalam senarai negara yang mereka boleh membuat bayaran online, jadi kita perlu beri mereka alamat dan nombor cukai Malaysia bagi penghantaran cek. Kita boleh memuat naik buku dalam format pdf sekiranya ia tidak ditukar ke dalam format epub di Google Playbook. Amazon Kindle pula sebaliknya memberikan applikasi Kindle Create secara percuma bagi membantu menukar format buku dari Microsoft Word kepada Kindle Edition. Namun, jika ini sukar dilakukan, mereka menerima format Word dan pdf. 

Ada satu lagi platform ebook yang dicadangkan kepada saya, iaitu E-Sentral. Tapi belum sempat saya cuba.

Khamis, 4 Jun 2020

Kos Proofreading Manuskrip Buku di Malaysia



Baru-baru ini saya baru selesai menghabiskan penulisan buku saya yang ketiga. Buku ini agak berlainan dari buku saya sebelum ini dan ditulis dalam bahasa Inggeris. Oleh kerana bahasa Inggeris bukanlah bahasa pertama saya, saya ingin manuskrip itu disemak dan diedit sebelum saya menerbitkannya. Kos semakan atau proofreading manuskrip buku ini merupakan persoalan yang sering bermain di minda penulis, terutamanya jika penulis tersebut ingin menerbitkan buku mereka secara swaterbit (self-publication). Perkembangan teknologi hari ini membolehkan kita, melangkah dari rumah-rumah penerbitan dan penerbit utama, dan menerbitkan sendiri penulisan kita dengan kos yang rendah.

Walaupun anda adalah penulis dan anda juga adalah penerbit. Saya sangat-sangat galakkan anda menghantar penulisan tersebut kepada pihak kedua untuk semakan. Ini bagi tujuan mengelakkan anda, pertama, syok sendiri, kedua, mempunyai pandangan bebas yang menyemak manuskrip anda, dan meningkatkan keboleh-bacaan buku yang anda tulis. Dengan proofreading, ada pihak kedua yang membaca dan membetulkan kesilapan yang mungkin tidak dapat dilihat oleh penulis itu sendiri.

Saya menggunakan khidmat professional seorang editor yang saya kenali. Harga yang diberikan adalah RM20 bagi setiap 1000 perkataan. Bagi buku bersaiz A5 dengan 161 mukasurat dan 36,877 patah perkataan, ini menjadikan harga kesuluruhan sebanyak RM737.54. Saya sangat berpuas hati dengan khidmat dan pertolongan beliau. Saya tidak tahu sama ada harga ini terlalu mahal atau terlalu rendah, anda boleh nyatakan pandangan anda. Kerana ini adalah kali pertama saya menggunakan khidmat professional. Sebelum ini saya hanya meminta pertolongan kawan-kawan untuk membaca dan menyemak. 

Ahad, 31 Mei 2020

Keperluan Kepada Pendidikan Seksual



Jika siapa yang pernah membaca buku saya, mereka akan mendapati kritikan saya terhadap sistem pendidikan. Ya, saya setuju, tidak boleh kita longgokkan semua pendidikan di bahu sekolah, kerana sekolah mempunyai banyak limitasi. Jadi kritik terhadap pendidikan itu bersifat umum. Antara perkara yang saya pernah kritikkan, sesuatu yang saya rasa hilang dari sistem pendidikan kita adalah mendidik manusia menjadi ahli keluarga dan masyarakat, pendidikan kita terlalu berfokus kepada melahirkan pekerja, graduan mahu segera dipasarkan, graduan dan pasar tidak dapat dipisahkan.

Tanpa menafikan kepentingan untuk berkerja, yang merupakan inti utama dialektik materialisma Marx, iaitu manusia memerlukan keperluan-keperluan material untuk hidup, kita juga tidak dapat menafikan bahawa manusia itu bukan sekadar tercipta untuk bekerja. Selepas habis 8 jam bekerja dia akan pulang kepada keluarga dan masyarakat, dia menjadi ‘ahli masyarakat’. Marx sendiri sedar akan perkara ini, sebab itu dia menulis manusia perlu bebas bukan sekadar menjadi pekerja. Kata Marx, manusia perlu bebas “memburu di pagi hari, memancing di tengah hari, menjaga lembu sebelah petang, dan menjadi pengkritik selepas makan malam”.

Selain pendidikan menjadi ahli masyarakat, pendidikan mengurus kewangan, yang hilang dari silibus kita, pendidikan seksual juga hilang dari silibus kita. Saya bukanlah seorang advocate untuk pendidikan seksual di sekolah, tetapi bagi saya pendidikan itu perlu dilalui sebelum ahli masyarakat mendirikan rumah tangga. Ya, kita ada kursus kahwin sebelum berkahwin, tetapi setelah melaluinya saya rasa ia tidak cukup untuk mendidik ahli masyarakat kita.

Pendidikan seksual juga merupakan taboo dalam masyarakat, saya tidak dapat bayangkan ibu bapa mengajar anak mereka perihal seksual dalam masyarakat kita. Saya yakin ia perlu diajar oleh pihak ketiga. Namun jika pihak ketiga itu adalah pornografi dan bahan-bahan yang merosakkan, masyarakat kita (lebih spesifik anak muda kita) akan mendapat kefahaman yang salah tentang persoalan seksual. Membantu masyarakat mengurus konflik seksual rumah tangga dengan tertib dan mengikut lunas syariat.

Sebab itu kita memerlukan satu pendidikan yang selamat, tidak lucah, mengikut syariat Islam, bagi memenuhi keperluan ilmu baik untuk yang akan berumah tangga atau belum berumah tangga. Seorang sahabat berkongsi kepada saya salah satu bentuk pendidikan yang disediakan oleh seorang ahli kaunselor yang bertauliah dengan harga yang sangat murah. Saya merasakan usahanya sangat baik untuk mengisi salah satu kotak kosong pendidikan dalam masyarakat kita. Saya yakin dengan penerangan beliau, beliau meminta bantuan saya mempromosikannya agar lebih ramai mendapat manfaat.

Saya sertakan linknya disini bagi mereka yang memerlukan. Jangan risau, privasi anda dijamin selamat, dan kandungan pendidikannya selari dengan kajian psikologi sains moden dan bernaung di dalam syariat Islam.

Moga-moga ia membantu ahli masyarakat yang memerlukan ilmu ini agar terbina masyarakat yang aman, bahagia, dan sejahtera. Insha’Allah ameen. 

Pengalaman Merentas Negeri Semasa PKPB



Petang Khamis baru saya mendapat surat kebenaran dari syarikat mengesahkan yang saya perlu ke pejabat keesokan harinya. Sebaik sahaja isteri saya pulang dari pejabat beliau saya terus ke balai polis. Di pos kawalan saya bertanya sama ada kaunter rentas negeri masih dibuka. Abang Polis menjawab:

"Kaunter dah tutup la abang, buka sampai jam 4 petang sahaja, esok datang semula jam 8 pagi, borang kebenaran syarikat ni tak cukup untuk rentas negeri, perlu ada kebenaran polis, esok abang datang balik jam 8 pagi".

Ah, sudah. Esok giliran saya untuk masuk pejabat adalah pada jam 8. Mustahil boleh sampai tepat pada masa, jadi setelah pulang saya emel semula pengurusan untuk tukar giliran saya kepada jam 10 pagi, dan mereka benarkan. Saya sedikit lega. Selepas sarapan ke-esokan harinya saya ke balai lagi. Jam 8 saya sudah mula beratur, ketika itu masih belum ramai orang lagi, baru ada dalam 8-9 orang. Kemudian datang abang polis buat pengumuman bahawa kaunter buka jam 9.30 pagi, jadi siapa yang belum makan boleh pergi makan dahulu katanya.

Ah sudah. Kalau pukul 9.30 baru buka, mana sempat nak sampai ke Georgetown jam 10 pagi. Tak apalah, saya pasrah. Kemudian datang pakcik polis mula mengagihkan borang, borang ini sama dengan borang yang pihak PDRM bekalkan online, jadi elok anda membawa pen ke balai, jam 9 orang mula ramai, barisan beratur juga sudah panjang sehingga ke luar balai. Ada seorang abang datang dan mula menjadi agitator "depa ni tak fikir pasal orang, tengah panas macam ni nak suruh orang beratur panjang, takda akai". Saya malas masuk campur, dalam hati saya berterima kasih pada abang polis yang suruh saya datang awal jam 8 semalam.

Jam 9.30 kaunter mula dibuka di dalam dewan. Makcik polis dengan laudspeaker memanggil frontliner untuk memotong barisan, juga siapa yang sudah menghantar borang semalam diberi keutamaan. Sampai giliran saya masuk dewan abang polis yang menjaga pintu bertanya 

"Ni nak pergi mana?". 

"Kerja" jawab saya pendek. 

"Kerja apa?" tanya abang polis lagi. 

"Data analyst" jawab saya. 

Abang polis kelihatan bingung seketika, bukan abang polis sahaja, ramai kawan dan sahabat handai juga sukar mengerti nama perkejaan tersebut, kerana ia diluar norma pekerjaan tipikal biasa seperti cikgu, doktor, berniaga, dan sebagainya. Saya dibenarkan masuk dan ditunjukkan ke kaunter bagi permohonan kebenaran bekerja.

Kakak polis di kaunter pun mula menyoal siasat. 

"Ni kerja kat mana?". 

"Georgetown, Penang" jawab saya ringkas. 

"Kenapa ada kat sini? soalnya lagi.

Soalan ini menyebabkan saya bingung seketika. Adakah ini soalan falsafah kewujudan? Menurut Rene Descartes, manusia itu berfikir, kemampuan akal untuk berfikir itu menjadi bukti untuk meyakinkan diri sendiri bahawa dia wujud, kata Rene "I think, therefore I am". Adakah jawapan yang saya patut berikan pada akak polis "I think, therefore I am here". Tapi saya meneka bahawa akak ini bukan ingin berfalsafah.

"Saya duduk Sungai Petani kerja di Penang" jawab saya.

Akak tersebut pun tanpa apa-apa reaksi menandatangani dan cop lulus borang saya. Saya kemudian ke kaunter nombor siri sebelum dilepaskan.

Selesai urusan balai saya terus masuk lebuh raya Utara-Selatan. Tenyata aliran trafik ringan, tanpa kesesakan. Saya singgah di Shell Sungai Dua untuk mengisi minyak. Hanya RM40 untuk isian penuh tanki Myvi, saya terkejut dahulu sekitar RM60, ternyata harga minyak sangat rendah sekarang, hanya 138 sen seliter, jauh lebih rendah dari janji-janji manis Rafizi 150 sen seliter. Parking di depan KWSP ternyata penuh, saya ingat musim berkurung ini pejabat ini lengang, saya silap. 

Di ofis saya bertemu Vinup, abang guard dari Nepal. Beliau seperti biasa mesra dan mudah tersenyum, saya disuruh untuk scan QR code untuk mendaftar masuk dan diambil suhu bacaan. Selesai mendaftar Vinup memberi saya pass sementara untuk masuk (saya lupa bawak pass). Pejabat kelihatan lengang dan tenang. Saya terus ke meja sendiri, ahhh nostalgia. Lama rasanya dah tak ke pejabat, rindu meja sendiri (tapi tak rindu nak buat kerja). Sementara saya mengemas barang-barang yang nak di bawa pulang Umar Bhai datang menyapa. Sebelum ini dia merajuk tak mahu tegur (saya pun tak tahu merajuk sebab apa), mungkin sebab berbulan berkurung dia murung dan sepi jadi dia tegur untuk memecahkan isolasi sosial, Umar Bhai tanya bila semua orang mahu balik pejabat, saya kata mungkin bulan depan. Lepas selesai dan kembali menyerahkan pass terjumpa Zul yang sedang menyiapkan kerja-kerja persiapan pembukaan semula agar mematuhi SOP kerajaan. Dalam perjalanan pulang saya sempat singgah ke Shell Sungai Dua sekali lagi, sudah berbulan minum Nescafe Gold, hari ini saya hadiahkan tekak saya Hazelnut Latte Costa Coffee, bukan nak hipster, sekali-sekala apa salahnya, bagi melawan kemurungan PKPB.

Keluar tol Sungai Petani Selatan apabila pulang baru saya ditahan oleh sekatan jalan raya. Ternyata tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih longgar dari PKP sebelum ini, kerana ini satu sahaja sekatan yang saya temui. Kelihatan kereta didepan saya dipandu seorang amoi menghadapi kesukaran menjawab soal siasat polis. Hingga abang askar yang memegang senapang pun datang untuk melihat apa yang berlaku. Namun akhirnya dia dilepaskan. Sampai giliran saya, saya buka tingkap untuk menyerahkan borang.

"Ada borang, OK jalan" kata abang polis tanpa menyemak borang saya.

Sabtu, 30 Mei 2020

129 & Kelemahan Sistem Demokrasi

Setelah suhu politik negara kembali sejuk, dan keadaan kelihatan reda. Kini kelihatan ia kembali berkocak apabila negara menyaksikan pemecatan beberapa ahli parlimen dari sebuah parti yang menyatakan mereka 'bersatu', namun kini mereka dilihat lebih 'berpecah' dari bersatu. Juga pakatan yang telah jatuh dari takhta kini sekali lagi bangun menyatakan mereka mempunyai "angka" sebanyak 129. Krisis matematik yang kita jangka telah selesai kini mungkin menarik negara kita semula kepada krisis baru. 

Demokrasi secara definisinya memang merupakan satu bentuk kerajaan yang tidak stabil. Ini diakui sendiri oleh pemikir yang sangat totok memperjuangkan 'demokrasi liberal' seperti Francis Fukuyama yang menyatakan ia tidak stabil kerana mana-mana rakyat boleh menyuarakan rasa tidak puas hati, agitate, protes, melemahkan keyakinan rakyat pada kerajaan, hinggalah menjatuhkan kerajaan atas nama kebebasan bersuara, kebebasan media, dan kebebasan berpolitik. 

Oleh kerana ia merupakan suara popular rakyat, mana-mana ideologi popular, baik konservatif, progresif, bahkan fasis boleh memegang puncak takhta jika mereka berjaya menyebarkan propaganda dengan efektif dan mempengaruhi pemikiran dan sentimen rakyat. Proses ini diteruskan sehingga ia mencapai satu 'critical mass' atau krisis yang akan melahirkan perubahan. Seperti kata Milton Friedman, krisis, sama ada realiti, atau direka akan menatijahkan perubahan. Ini boleh berlaku sepanjang tahun, 24 jam, menjadikan mana-mana kerajaan yang memegang kuasa tidak efektif. 

Oleh kerana itu, jika kita menyaksikan wacana yang membandingkan demokrasi dengan sistem lain, demokrasi yang liberal dilihat lemah. Hal ini lebih jelas apabila perkiraan ekonomi diambil kira. China sebagai contoh, sering menggunakan hujah bahawa mereka merupakan "civilization state", mereka boleh melindungi perkembangan ekonomi dengan sistem politik yang stabil (walaupun represif dari kaca mata Barat). Oleh itu kita lihat, ketika Donald Trump yang naik atas semangat populis dan mengenakan pelbagai sekatan kepada mereka, China kelihatan tenang, kerana mereka tahu Trump akan ditukar juga dengan pilihanraya, manakala Xi Jinping masih akan kekal sekiranya ajal belum menjemput. Sistem politik China membolehkan mereka bermain "long game", membuat polisi untuk jangka masa panjang, untuk 20-30 tahun (seperti One Belt One Road), bukan polisi pendek demokrasi yang hanya bertahan 5 tahun kemudian akan bertukar dengan bertukarnya kerajaan. 

Korea Selatan yang hari ini dilihat sebagai sebuah negara Asia yang maju juga dimodenkan bukan dengan demokrasi. Kemajuan ekonomi Korea dilakukan dibawah pemerintahan diktator Park Chung-hee yang memaksa rakyatnya berubah kepada industri berat. Park tidak akan berjaya memaksa perubahan ini jika pemerintahannya tidak stabil, berjangka pendek dan sering diancam pertukaran. Begitu juga Jepun dibawah pemerintahan Meiji. Singapura dibawah pemerintahan satu parti PAP kelolaan Lee Kuan Yew. Juga Malaysia dibawah bapa permodenan negara, Tun Mahathir yang sering digelar diktator. 

Jika kita optimis, mungkin krisis-krisis yang melanda negara ini bersifat sementara, sementara menanti bentuk pemerintahan yang stabil dan bertahan lama. Jika kita pesimis, mungkin ini pengakhiran negara kita yang akan terus berada dalam "perpetual state of crisis" yang akan memadamkan kejayaan yang kita bina selama ini, atau melahirkan "political vacuum" seperti di Libya yang berakhir dengan perang saudara.


Sabtu, 23 Mei 2020

Catatan Baitul Muslim 29: Anak Menangis Malam



Menidurkan anak menangis di malam hari merupakan satu peperangan yang akan dilalui oleh ibu bapa yang membesarkan anak ketika mereka berumur 1-2 tahun. Perang ini bertambah mencabar jika anak tersebut menangis dan meraung tanpa henti hingga lewat pagi, sedangkan kedua ibu bapa akan bekerja esok pagi. Di sini biasanya hubungan suami isteri bakal teruji, apabila kesabaran sampai ke tahap breaking point.

Kadang-kadang kita juga tertanya-tanya bagaimana anak kecil ini mempunyai begitu banyak tenaga menangis dengan begitu lama. Anak menangis mungkin disebabkan pelbagai perkara, namun jika lampinnya telah disalin, dan susu telah diberi, jika dia masih konsisten menangis, ibu bapa bakal menjadi buntu. Mereka perlu meneka apa kehendak anak kecil tersebut kerana dia tidak mampu lagi bertutur. Dalam situasi ini, pendekatan kita seharusnya mencari sebab-sebab luaran, bukan terus mengambil keputusan bahawa bayi kecil itu dirasuk syaitan.

Boleh jadi perutnya sakit, atau giginya mahu tumbuh, atau mimpi buruk. Kita harus faham bahawa anak ini baru mengenal dunia, baru mengenal emosi, kemungkinan besar dia menangis tanpa henti kerana dia masih belum berjaya mengawal emosi. Seperti di awal usia di mana dia belum mahir mengawal kaki untuk berjalan.

Suami juga dalam hal ini perlu bertimbang rasa. Tidak boleh semuanya diletak di bahu isteri. Suami yang baik adalah suami yang rela berkorban untuk bangun membancuh susu, atau mengambil giliran mendodoi anak dan memberi peluang kepada isteri untuk tidur. 

Sememangnya ia waktu yang sangat mencabar. Masing-masing penat dan buntu. Keadaan genting dengan jeritan dan tangisan, mudah untuk masing-masing jatuh ke lembah amarah. Bercakap perihal sabar pada situasi ini terbukti seribu kali lebih senang dari betul-betul dapat bersabar. Waktu malam kadang-kala menjadi satu waktu yang sangat menyiksakan, menakutkan, memenatkan, dan meninggalkan perasaan trauma. Namun andai diurus bersama dengan baik, kasih sayang akan mengatasi amarah. Anak itu akan membesar dan belajar mengawal emosi, jadual tidurnya akan menjadi lebih teratur dan konsisten, keadaan akan kembali tenang.

Oleh itu, kepada ibu bapa yang masih bertarung untuk menidurkan anak di malam hari, ketahuilah bahawa ia adalah ribut sebentar yang akan berlalu pergi. Selepas berlalunya ribut ini, malam akan tenang semula disuluh cahaya bulan dan diterangi jutaan bintang. Teruskan perjuangan, satu hari nanti anda akan tersenyum bersama mengenangkannya.

Jumaat, 22 Mei 2020

Memaknai Rumi: Siri 9



Saya suka menyimpan puisi-puisi Rumi, berbanding dengan buku-buku lain, yang biasanya saya akan cuba berusaha seupaya untuk menghabiskannya secepat mungkin, puisi-puisi Rumi saya simpan dan membacanya dengan perlahan. Kadang-kadang berbulan-bulan sebelum saya berpindah dari satu puisi ke puisinya yang lain. Tentulah saya bukan seorang insan yang boleh menghadap Rumi dalam teks asal yang berbahasa Farsi, tetapi translasi ke Bahasa Inggeris juga masih mempunyai aura untuk menjentik jiwa.

We know separation so well because we've tasted the union. (47)

Perpisahan merupakan sebahagian daripada intipati kehidupan, malah mungkin ia adalah tujuan kehidupan itu sendiri. Sejak kita lahir, kehidupan kita dipenuhi perpisahan. Kita mula dengan menyusu bersama ibu kita, kemudian semakin besar kita berpisah dengan susu dan mula mengunyah makanan-makanan ruji. Kita belajar berkawan dan bermain di tadika, taska, kemudian seiring usia kita, kita tinggalkan guru dan rakan-rakan kita di tadika. Begitulah seterusnya, ke sekolah, universiti, kita bersama dengan rakan-rakan yang kita kenali sepanjang hidup, tiba masanya kita akan berpisah dengan mereka.

Ada perpisahan yang sementara, ada pula yang kekal tak mampu digugat oleh kuasa manusia. Kita akhirnya akan berpisah dengan orang yang kita sayangi, ayah kita, ibu kita, atuk nenek kita, isteri dan suami kita, anak-anak kita, walaupun mungkin pada saat ini tak tercapai dek akal kita untuk berpisah dengan mereka, tetapi apabila saatnya tiba, kita hanya ada air mata. Begitu jugalah dengan kehidupan yang kita nikmati ini, akhirnya kita akan berpisah dengannya, dan berlayar ke samudera abadi, yang hujungnya adalah takdir yang tak dapat kita singkapi.

Mungkin kita takut akan perpisahan, kita tak dapat bayangkan kesedihan yang bakal menimpa kita. Kenapa? Kata Rumi, hal ini adalah kerana kita telah menikmati kebersamaan. Kita telah merasai kemanisan kasih sayang, kita telah menyentuh kehangatan kehidupan, ia telah sebati dengan diri dan perasaan kita. Kita tak mampu untuk sedih jika kita berpisah dengan orang yang kita tidak pernah jumpa, yang kita tidak kenal nama, yang kita tidak pernah bertukar kata dengan mereka. 

Sama ada kita takut, kita sedih, kita mahu atau tidak mahu, mampu atau tidak mampu, kehidupan tidak akan pernah peduli. Kehidupan tetap akan memberikan kita perpisahan, kerana ia adalah batu bata kehidupan. Sebelum kita diberi perpisahan, masa yang kita ada sekarang adalah apa yang kita boleh genggam, boleh abaikan. Atau mungkin, boleh kita hargai.

Politik, Thymos, dan berakhirnya Ramadhan



Ramadhan tahun ini sepertinya tenang, walaupun peristiwa dan drama politik terus bermain di pentas media, kelihatannya ia tidak banyak menangkap imaginasi dan perhatian rakyat. Mungkin kerana keberkatan Ramadhan, juga keterbatasan PKP, mengalih fokus masyarakat untuk hal-hal lain seperti ibadah dan kelangsungan hidup. Pada hal itu, ada juga baiknya saya kira, kerana kita manusia perlukan rehat, maka mungkin ini peluang kita merehatkan emosi dalam masa yang sama menenggelamkan diri dalam sujud mencari ketenangan dari Pencipta, mengejar janji-janji-Nya. 

Walaupun hal-hal politik ini sentiasa dikaitkan dengan kekotoran, ketamakan dan naluri haiwani manusia mengejar kekuasaan, namun suka atau tidak suka, politik menentukan banyak perkara dalam hidup kita, dari harga makanan asas, yuran pengajian, insuran pekerjaan, semuanya sikit atau banyak berkait dengan polisi pemerintahan yang termasuk dalam kluster politik. Oleh itu, sukar untuk kita menjadi agnostik perihal politik, atau melepaskan diri sepenuhnya. Kecuali jika kita berjaya mengasingkan diri didalam hutan belantara, dan terpisah dari integrasi peradaban dunia moden. Kita perlu sentiasa menjadi pelajar kepada sejarah dan politik, dan pembelajaran itu bukan sahaja didapati dalam buku dan teks literatura, tetapi juga peristiwa dan perkembangan terkini, yang seharusnya menjadi ilmu waqi'ei (semasa) kepada kita. 

Pendedahan rakaman audio baru-baru ini yang berdurasi lebih dua jam, merupakan antara kuliah ilmu yang menarik. Disini rakyat bawahan yang tidak mengisi mana-mana borang boleh mendengar syarahan-syarahan dari pensyarah yang mempunyai pelbagai latar belakang dari pelbagai bidang pengkhususan. Ada yang datang dari latar Islam progresif, liberal demokrat, populis, oppurtunis, kroni kapitalisma, reformis, juga bidang pengkhususan kecil seperti e-sport. Kita dapat lihat perspektif mereka, juga teknik mereka berbahas dalam menyelesaikan masalah. Sesi syarahan ini, jarang-jarang dapat kita dengarkan, ia adalah sesi pelajaran yang baik. 

Kaca mata kita selalunya melihat pergelutan politik dari kaca mata Machiavelli, iaitu politik hanya sanya perihal merebut kuasa tanpa ada batasan moral. Atau dalam kata lain, untuk berjaya dalam politik, strategi dan helah lebih utama dari pertimbangan moral. Mungkin ada benarnya analisis ini. Namun manusia itu kompleks, tingkah lakunya sukar untuk diterangkan dalam satu aspek sahaja, contohnya kegagalan Darwinisma untuk menerangkan konsep altruism dan moral. 

Plato dalam usahanya menerangkan sifat manusia membawakan  'Tripartite Soul' dimana manusia itu mempunyai tiga bahagian. Yang pertama adalah Eros yang disamakan dengan kehendak yang memenuhi keperluan fizikal seperti makan dan minum, yang juga wujud dalam haiwan dan tumbuhan. Yang kedua adalah Logos, keupayaan intelek dan kemampuan untuk berfikir, dimana haiwan juga mempunyai kemampuan berfikir walaupun terbatas. Yang ketiga adalah yang hanya unik untuk manusia, iaitu Thymos. Thymos mempunyai tafsiran yang pelbagai seperti spiritedness, atau dalam tradisi Islam sering disebut sebagai kerohanian. Thymos dapat menerangkan perilaku manusia yang berlaku diluar logik kehendak dan rasional akal. Contohnya mengapa manusia berperang, ia diluar logik kehendak (kehendak untuk kekal hidup) juga rasional akal (kebolehan untuk menyelesaikan pergaduhan dengan diplomasi dan mengelakkan kesengsaraan). 

Francis Fukuyama dalam bukunya perihal berakhirnya sejarah mengaitkan Thymos dengan falsafah Hegel yang menyatakan bahawa ia adalah sifat manusia yang inginkan pengiktirafan. Peperangan sebagai contoh, merupakan usaha manusia untuk mendapatkan pengiktirafan akan kehebatan sebuah bangsa dan negara, walaupun ia tidak masuk akal dari sudut ekonomi. Fukuyama mengaplikasikan konsep ini kedalam politik, dimana jika sebelum ini kita hanya melihat ia sebagai pergelutan politik tanpa batas moral ala-Machiavelli, sebenarnya ia mempunyai lapisan lebih dalam, berkaitan sifat manusia yang mahukan pengiktirafan. Maka konsep Thymos Fukuyama ini boleh membantu kita merasionalkan gerak-geri ahli politik yang mungkin tidak masuk akal jika kita lihat dari perspektif lain. 

Yang sudah menjadi Perdana Menteri mahu diiktiraf legasinya, yang belum mahu diiktiraf pengorbanan reformasinya. Yang muda ingin diiktiraf idealimanya, begitulah seterusnya. 

Pergelutan, pertikaman, dan pergaduhan politik sudah tentu akan berterusan lagi tanpa penghujung. Tetapi Ramadhan sudah sampai kepada penghujung, dan hidup kita juga pasti akan sampai ke penghujung. Tidak salah kita belajar, dari buku, dari peristiwa, atau dari rakaman audio sulit yang didedahkan. Tetapi kita juga perlu memberi peluang kepada jiwa kita untuk berehat, bermunajat, dan merasai kemanisan-kemanisan ibadah. Semoga Ramadhan kita diterima, ibadah kita diiktiraf Pencipta, dan sujud kita berjaya menenangkan jiwa. 

Selamat beribadah dan selamat menyambut Aidilfitri. Maaf lahir dan batin.