Jumaat, 22 Mei 2020

Politik, Thymos, dan berakhirnya Ramadhan



Ramadhan tahun ini sepertinya tenang, walaupun peristiwa dan drama politik terus bermain di pentas media, kelihatannya ia tidak banyak menangkap imaginasi dan perhatian rakyat. Mungkin kerana keberkatan Ramadhan, juga keterbatasan PKP, mengalih fokus masyarakat untuk hal-hal lain seperti ibadah dan kelangsungan hidup. Pada hal itu, ada juga baiknya saya kira, kerana kita manusia perlukan rehat, maka mungkin ini peluang kita merehatkan emosi dalam masa yang sama menenggelamkan diri dalam sujud mencari ketenangan dari Pencipta, mengejar janji-janji-Nya. 

Walaupun hal-hal politik ini sentiasa dikaitkan dengan kekotoran, ketamakan dan naluri haiwani manusia mengejar kekuasaan, namun suka atau tidak suka, politik menentukan banyak perkara dalam hidup kita, dari harga makanan asas, yuran pengajian, insuran pekerjaan, semuanya sikit atau banyak berkait dengan polisi pemerintahan yang termasuk dalam kluster politik. Oleh itu, sukar untuk kita menjadi agnostik perihal politik, atau melepaskan diri sepenuhnya. Kecuali jika kita berjaya mengasingkan diri didalam hutan belantara, dan terpisah dari integrasi peradaban dunia moden. Kita perlu sentiasa menjadi pelajar kepada sejarah dan politik, dan pembelajaran itu bukan sahaja didapati dalam buku dan teks literatura, tetapi juga peristiwa dan perkembangan terkini, yang seharusnya menjadi ilmu waqi'ei (semasa) kepada kita. 

Pendedahan rakaman audio baru-baru ini yang berdurasi lebih dua jam, merupakan antara kuliah ilmu yang menarik. Disini rakyat bawahan yang tidak mengisi mana-mana borang boleh mendengar syarahan-syarahan dari pensyarah yang mempunyai pelbagai latar belakang dari pelbagai bidang pengkhususan. Ada yang datang dari latar Islam progresif, liberal demokrat, populis, oppurtunis, kroni kapitalisma, reformis, juga bidang pengkhususan kecil seperti e-sport. Kita dapat lihat perspektif mereka, juga teknik mereka berbahas dalam menyelesaikan masalah. Sesi syarahan ini, jarang-jarang dapat kita dengarkan, ia adalah sesi pelajaran yang baik. 

Kaca mata kita selalunya melihat pergelutan politik dari kaca mata Machiavelli, iaitu politik hanya sanya perihal merebut kuasa tanpa ada batasan moral. Atau dalam kata lain, untuk berjaya dalam politik, strategi dan helah lebih utama dari pertimbangan moral. Mungkin ada benarnya analisis ini. Namun manusia itu kompleks, tingkah lakunya sukar untuk diterangkan dalam satu aspek sahaja, contohnya kegagalan Darwinisma untuk menerangkan konsep altruism dan moral. 

Plato dalam usahanya menerangkan sifat manusia membawakan  'Tripartite Soul' dimana manusia itu mempunyai tiga bahagian. Yang pertama adalah Eros yang disamakan dengan kehendak yang memenuhi keperluan fizikal seperti makan dan minum, yang juga wujud dalam haiwan dan tumbuhan. Yang kedua adalah Logos, keupayaan intelek dan kemampuan untuk berfikir, dimana haiwan juga mempunyai kemampuan berfikir walaupun terbatas. Yang ketiga adalah yang hanya unik untuk manusia, iaitu Thymos. Thymos mempunyai tafsiran yang pelbagai seperti spiritedness, atau dalam tradisi Islam sering disebut sebagai kerohanian. Thymos dapat menerangkan perilaku manusia yang berlaku diluar logik kehendak dan rasional akal. Contohnya mengapa manusia berperang, ia diluar logik kehendak (kehendak untuk kekal hidup) juga rasional akal (kebolehan untuk menyelesaikan pergaduhan dengan diplomasi dan mengelakkan kesengsaraan). 

Francis Fukuyama dalam bukunya perihal berakhirnya sejarah mengaitkan Thymos dengan falsafah Hegel yang menyatakan bahawa ia adalah sifat manusia yang inginkan pengiktirafan. Peperangan sebagai contoh, merupakan usaha manusia untuk mendapatkan pengiktirafan akan kehebatan sebuah bangsa dan negara, walaupun ia tidak masuk akal dari sudut ekonomi. Fukuyama mengaplikasikan konsep ini kedalam politik, dimana jika sebelum ini kita hanya melihat ia sebagai pergelutan politik tanpa batas moral ala-Machiavelli, sebenarnya ia mempunyai lapisan lebih dalam, berkaitan sifat manusia yang mahukan pengiktirafan. Maka konsep Thymos Fukuyama ini boleh membantu kita merasionalkan gerak-geri ahli politik yang mungkin tidak masuk akal jika kita lihat dari perspektif lain. 

Yang sudah menjadi Perdana Menteri mahu diiktiraf legasinya, yang belum mahu diiktiraf pengorbanan reformasinya. Yang muda ingin diiktiraf idealimanya, begitulah seterusnya. 

Pergelutan, pertikaman, dan pergaduhan politik sudah tentu akan berterusan lagi tanpa penghujung. Tetapi Ramadhan sudah sampai kepada penghujung, dan hidup kita juga pasti akan sampai ke penghujung. Tidak salah kita belajar, dari buku, dari peristiwa, atau dari rakaman audio sulit yang didedahkan. Tetapi kita juga perlu memberi peluang kepada jiwa kita untuk berehat, bermunajat, dan merasai kemanisan-kemanisan ibadah. Semoga Ramadhan kita diterima, ibadah kita diiktiraf Pencipta, dan sujud kita berjaya menenangkan jiwa. 

Selamat beribadah dan selamat menyambut Aidilfitri. Maaf lahir dan batin.


Tiada ulasan: