Semalam entah mengapa saya teringat dan termenung jauh
tentang kematian. Satu perasaan gerun tiba-tiba menyusup menggegarkan jiwa.
Akan tiba satu masa, saya tidak mampu lagi merasa apa yang saya rasa, membuat
apa yang saya mahu, memegang, mencinta, membenci, atau dalam kata lain tidak
lagi hidup. Berfikir tentang mati adalah perkara biasa, ia datang dan pergi, kadang
kita terfikir tentangnya tanpa apa-apa perasaan, adakalanya saya juga berasa
mahu hilang dari dunia ini, tetapi semalam terasa lain. Perasaannya terasa
sangat dalam. Apabila difikir secara benar, diguna minda untuk membayanginya,
kegerunan yang dibawa mati menyentakkan jiwa.
Banyak kematian disekeliling saya yang sangat mengesani
jiwa. Yang paling pertama menggugat jiwa adalah arwah Azri (Muhammad Azri bin Aminuddin, 18 Disember 1991 - 4 April 2016) yang merupakan teman yang sangat
saya kasihi. Kami bertemu di Rusia sewaktu belajar dan beliau merupakan junior
setahun dari saya. Banyak kenangan dan memori bersama, pernah bersama kembara
ke Scandinavia semasa cuti musim panas. Tamat pengajian juga kami sangat rapat
bersama, beliau sering berjumpa saya dan berbincang perihal masalah-masalah
kehidupannya. Sayang saya terhadap Azri sehingga saya pernah bertanya padanya
jika dia sudi bernikah dengan seorang ahli keluarga saya. Gambar profile
picture beliau di Facebook yang terakhir adalah gambar ketika beliau datang
beraya di rumah saya bersama Rauff, bila saya buka semula ia sangat mengesani
hati. Beliau dipanggil pulang Tuhan dalam satu kemalangan, pada ketika itu saya
baru mula berkerja di tempat baru, beberapa hari saya murung dibilik sewa.
Sampai hari ini saya masih terkilan kerana tidak dapat hadir memberi
penghormatan terakhir.
Pemergian arwah Farizul Firdaus (Mohamad Farizul Firdaus Bin Shafie, 02 Mei 1990 - 25 Julai 2019) juga sangat membekas di hati. Kami panggil
beliau Pejo, beliau merupakan rakan sebilik saya ketika dalam pengajian di
Petersburg. Selain sebilik, beliau juga merupakan rakan sepasukan dalam pasukan
bola dan futsal universiti. Teman sebilik dan sepermainan. Alhamdulillah sempat
bersama mencandat sotong beberapa minggu sebelum beliau pergi, walaupun pada
ketika itu beliau sibuk dengan urusan kerja dan tidak dapat bersembang lama.
Saya bersyukur kerana sempat hadir menziarahi keluarganya meskipun tidak sempat
bersama menguruskan jenazah beliau kerana jarak Pulau Pinang-Terengganu yang
agak jauh, dan kami tiba ketika semuanya telah selesai.
Antara sahabat yang kehilangannya memberi kesan yang sangat
mendalam juga adalah arwah Abu (Abu Asri bin Zailani, 9 September 1990 – 22 Ogos 2016). Abu merupakan teman sepermainan di sekolah menengah di MATRI.
Walaupun kelas berbeza hampir setiap masa lain saya menghabiskan masa dengan
Abu. Masing teringat perjalanan jauh dari Perlis ke KL Sentral, kami menaiki
tren KTM, membuka pintu gerabak tengah sambil duduk, bersama menikmati
permandangan bendang sambil merasakan angin yang berderu-deru kerana tren
bergerak pantas. Saya masih ingat kata-kata beliau satu malam selepas SPM
bahawa tidak mahu berjumpa kecuali selepas 10 tahun, beliau mahu melihat
perubahan pada diri kami, namun kami sering juga bertemu selepas habis sekolah.
Semasa saya menyambung pengajian di Johor, saya sering ke restorannya di
Sempang Renggam, selalunya saya akan tidur di sana dalam perjalanan ke Skudai. Pagi-pagi
beliau akan membawa saya menaiki motor meneroka ladang kelapa sawit sebelum
mencari kedai roti canai. Hampir semua masalah hidupnya, dari keluarga hingga
ke percintaan akan beliau luahkan pada saya. Malah beliau sanggup turun ke KL
untuk meluahkan perasaan. Pemergian teman sepermainan seperti Abu begitu
membekas dihati, seluruh album gambar tidak mampu mengubati rinduku padanya.
Kematian terbaru yang meragut separuh jiwa saya adalah
pemergian arwah ayah (Syed Mohd Khair bin Syed Mohd Jiplus, 30 April 1959 – 29 Febuari 2020) pada hujung Februari tahun ini. Secara jujur saya tidak ada rasa
ada perkara yang masih 'tertinggal' untuk saya ucapkan pada ayah. Segalanya
telah cukup bagi saya, ayah telah menyempurnakan tugasnya di dunia.
Anak-anaknya sudah besar, dan dari aspek kerjaya pun ayah telah berpencen. Cuma
mungkin saya tidak sempat menyalin sejarah keluarga dari ayah, ayah memang
menjaga rapat hubungan keluarga. Hampir semua keluarga sepupu sepapat dia
jejaki semula, kenduri anak-anak mereka dia cuba hadir. Kadang kala ayah cerita
letak duduk seseorang dalam salah silah keluarga yang saya sendiri tak mampu
ingat. Walaupun telah sempurna tugasnya, pemergian ayah membuatkan rasa
kehilangan itu cukup nyata. Mengucup wajahnya yang telah sejuk mengalirkan air
mata yang tak pernah cukup untuk dicurahkan.
Mungkin benar kematian itu satu tazkirah buat insan,
kematian sepatutnya menghidupkan hati yang masih bernyawa agar dia tidak
terlupa untuk "hidup" dalam masa yang sama mengumpul bekal untuk
berangkat ke kampung abadi.
Dari Allah kita datang, dan kepadanya jua lah kita akhirnya
akan kembali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan