Demokrasi tidak semestinya liberal seperti yang dikarang
oleh Fareed Zakaria dalam bukunya The Future of Freedom, kerana demokrasi dan
nilai liberal merupakan idea yang berbeza. Zakaria menulis bahawa nilai liberal
merupakan hasil produk pemikiran Barat yang telah menjadi tradisi mereka sekian
lama. Sementara banyak negara-negara lain yang menjadi demokrasi tidak
mempunyai tradisi liberal, pemaksaan demokrasi liberal kepada masyarakat juga
tidak akan berjaya kerana ia merupakan kerajaan berdasarkan sokongan popular.
Nilai demokrasi yang berteraskan kesaksamaan juga walaupun
sering dikahwinkan dengan nilai liberalisme, mempunyai pertentangan dengan idea
kebebasan liberal apabila dilakukan dalam sudut praktis. Sebagai contoh, jika
kita ingin membentuk masyarakat yang sama rata, kita perlu menghadkan kebebasan
individu. Sebagai contoh apa yang dibuat oleh Kesatuan Soviet, dalam mengagihkan
kekayaan secara sama rata, kebebasan pemilikan harta perlu dihadkan. Jika kita
memberi kebebasan secara sepenuhnya juga, seperti di Amerika sebagai contoh,
ini akan menimbulkan masalah kerana manusia akan bebas mengumpul kekayaan dan
berbelanja sesuka hatinya, ini akan melahirkan masyarakat dengan jurang antara
yang kaya dan miskin membesar dan melebar.
Demokrasi liberal bagi Francis Fukuyama merupakan sistem
politik akhir bagi manusia, ia adalah sistem yang telah sempurna dimana tidak
akan ada lagi falsafah pemikiran politik baru yang akan menggangtikannya atau
menambahbaiknya. Walaubagaimanapun, Fukuyama sendiri mengakui bahawa sistem demokrasi
sebagai lemah, sukar mengawal manusia kerana dalam demokrasi kelemahan kecil
akan diperdebatkan, akan sentiasa ada suara yang mengkritik, menaikkan rasa
tidak puas hati masyarakat, dan menimbulkan rasa tidak percaya kepada
pemerintah.
Pengalaman di Malaysia juga merupakan satu pemerhatian yang
menarik, apabila satu kerajaan yang memegang konsep demokrasi liberal menaiki
takhta ternyata ia rebah diatas beratnya sendiri. Para pemimpin mengkritik
parti komponen sesama sendiri secara terbuka atas nama kebebasan. Perkara ini
mudah digunakan oleh pembangkang yang tidak perlu mencipta modal kerana mereka
diberi peluru sendiri oleh pihak kerajaan untuk menembak pihak kerajaan. Oleh
kerana tiada disiplin dalam hal ehwal kritikan ini, pemerintahan sangat rapuh,
malah bercakaran sesama sendiri, saling lemah melemahkan atas nama kebebasan
mengkritik. Akhirnya timbul rasa tidak senang hati sesama sendiri, berlaku
pengkhianatan sesama sendiri, dan runtuh harapan yang dibina hasil
tangan-tangan mereka sendiri.
Walaupun karangan Fukuyama sangat mengasyikkan, disulami
pemikiran falsafah dan hujah dialektik yang elegan, sukar untuk diterima thesis
beliau apabila kita memandang apa yang berlaku dari sudut praktis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan