Penulisan ini merupakan nota
program Cinta Rasul yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom pada hari
Selasa, 19 Oktober 2021 di mana saya dijemput menjadi panel bersama Ustazah
Fatimah Syarha dan Ustaz Adni Abd Razak sebagai rakan panelis. Ustaz Abd Hadi
Abu Kassim menjadi moderator pada program ini. Program ini merupakan anjuran
Biro Pembangunan Keluarga HALUAN Negeri Kedah bersama Sekolah Rendah Islam Ummi
(SeRU).
Pengenalan
Setiap tahun kita menyambut
kelahiran Nabi Muhammad dalam sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini
tidak seharusnya dijadikan acara tahunan bagi bergaduh sesama kita perihal
persoalan sama ada ia adalah sambutan yang baik atau pun merupakan bid’ah.
Sebaliknya ia perlu digunakan sebagai wadah untuk kita memperingati kekasih
agung kita, membaca kisah-kisah baginda serta memperbaharui kecintaan kita
kepada Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam. Pada penulisan ringkas
ini, kita akan melihat semula sebahagian dari kisah kehidupan baginda serta
akhlak dan peribadi baginda.
Biodata Ringkas Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam
Nabi Muhammad Sallallahu-alaihi-wasallam
adalah Nabi yang paling hebat dalam sejarah. Mengapa kita mengatakan Nabi
Muhammad paling hebat?
Allah berfirman:
“Rasul-rasul
Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan
kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah
berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada mereka
beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa
keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus
(Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian
daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka
bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang
yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak
berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.” (Surah Al-Baqarah 2: 253) [1]
Jadi dari ayat ini kita fahami
bahawa nabi-nabi ini mempunyai martabat dan darjat yang berbeza disisi Allah.
Ada nabi yang kisahnya diceritakan di dalam Al-Qur’an dan ada juga yang tidak
diceritakan. Setiap dari mereka diuji dengan tribulasi yang berbeza untuk
mengangkat darjat mereka ke tahap yang lebih tinggi. Dan Nabi Muhammad
merupakan Nabi yang diuji dengan ujian yang paling berat. Menurut Mufti Ismail
ibn Musa Menk, Nabi Muhammad merupakan insan yang paling disayangi Allah,
tetapi Allah tidak memberi segala kesenangan dunia kepada baginda. [2] Oleh itu kita dapat fahami bahawa, jika Allah tidak memberi kesenangan dunia
kepada kita, itu tidak bererti Allah tidak sayang kepada kita. Sedangkan
Rasulullah sendiri tidak hidup dalam kesenangan, tetapi Allah memberi pada
baginda ketenangan hati.
Ayah baginda wafat sebelum kelahiran
baginda. Baginda lahir pada zaman ketika mana manusia belum lagi mempunyai
teknologi seperti elektrik, kereta, smart phone, atau roket, tetapi
beliau merupakan insan yang dipilih Allah untuk menjadi Rasul. Rasulullah yatim
sejak lahir. Mengapa Allah memilih seorang yang yatim sebagai insan yang paling
mulia? Ini kerana Allah ingin memberi ketenangan kepada anak-anak yatim lain di
dunia. Seorang yatim itu bukan menjadi yatim kerana tidak disukai Allah, tetapi
mungkin kerana Allah lebi sayang pada mereka jadi Allah menjadikan mereka yatim
seperti yatimnya Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad kemudian disusukan
oleh Halimatus Sa’diyah, pada ketika dalam jagaan Halimatus Sa’diyah ini Allah
menghantar malaikat Jibril untuk membersihkan hati baginda. Beliau kemudian
pulang ke pangkuan ibunya pada umur 5 tahun, dan dalam sesetengah riwayat,
ibunya meninggal dunia ketika dia berumur 6 tahun. Hari ini umur 6 tahun ini adalah
umur tadika, belum masuk darjah 1. Segala kesusahan ini tidak bermakna Allah
tidak mencintai baginda Rasul, oleh itu jika kita menghadapi cabaran dan
kesusahan dalam hidup, itu tidak bermakna Allah tidak sayang kita, tetapi Allah
mahu kita lebih dekat dengan-Nya. Kita kena sentiasa mensyukuri apa yang kita
ada, dan mengetahui bahawa setiap orang diuji dengan masalah. Semakin berat
ujian itu semakin Allah mahu kita mendekati-Nya.
Selepas itu Nabi dijaga oleh
datuknya, namun selepas 2 tahun, datuknya pula meninggal. Bayangkan pada umur 8
tahun (darjah 2), kita sudah kehilangan 3 orang yang kita cintai, orang yang
membesarkan dan menjaga kita. Saya sendiri kehilangan ayah pada umur 30-tahun,
perasaan sedihnya itu tak mampu diungkapkan. Kemudian Nabi dijaga oleh bapa
saudaranya, Abu Thalib. Abu Thalib merupakan ayah kepada Ali Radiallahu-anhu,
tetapi Ali pada ketika itu belum lagi lahir.
Apabila Rasulullah semakin
membesar dan semakin dewasa, baginda dikenali oleh masyarakat pada ketika itu
sebagai orang yang boleh dipercayai “Al-Ameen”. Jadi kita pula
bagaimana? Adakah ibu, ayah, guru, cikgu kita merasakan kita ini seorang yang
jujur dan boleh dipercayai. Adakah orang kampung kita kenal kita sebagai
seorang yang baik? Hatta sebelum baginda dilantik menjadi Nabi, masyarakat
merujuk kepada beliau untuk menyelesaikan perbalahan yang ada. Sebagai contoh,
pada ketika kaum-kaum di Mekah berbalah siapa yang lebih layak meletakkan Hajar-ul-Aswad,
Nabi Muhammad dirujuk dan setiap kaum menerima resolusi yang diberikan oleh
baginda.
Sosok Peribadi Rasulullah Sallallahu-alaihi-wasallam
Keperibadian Rasulullah ini
sangat tinggi dan boleh kita lihat dari pelbagai sudut. Dan banyak penulis yang
menulis tentang peribadi Rasul dari pelbagai sudut. Ada yang menulis peribadi
Rasulullah ketika perang, bagaimana berinteraksi dengan musuh. Ada yang menulis
peribadi Rasulullah dalam menjadi pemimpin masyarakat. Ada juga yang menulis
bagaimana Rasulullah mendidik anak-anak, contohnya buku Children Around The
Prophet tulisan Dr. Hesham Al-Wadi. Di kesempatan yang singkat ini saya
ingin berkongsi peribadi Rasulullah berurusan dan berinteraksi dengan manusia.
Sheikh Abi Khalid Aiman bin
Abdul Aziz menulis berkenaan “Syamail Rasul” (penampilan atau keperibadian
Rasul) bahawa Rasulullah adalah orang yang paling baik wajahnya dan paling baik
perangainya. [3] Rasulullah ini bukanlah seorang yang suka berkata “fahisyan”
– perkataan-perkataan kotor. Sedangkan dalam kalangan kita ada sesetengah orang
yang fahisyan ini menjadi sifat mereka. Gurauan mereka penuh dengan
kata-kata kotor, carutan, dan maki hamun, malah hari ini sosial media mereka
penuh dengan perkataan-perkataan kotor. Kata-kata kotor ini seolah-olah menjadi
zikir mereka. Dan nabi bukan “mutafahish” – iaitu orang yang apabila dia
marah dia mengeluarkan kata-kata yang kotor. Jadi kita juga kena berhati-hati,
menjaga perkataan ketika marah, sebaik-baiknya kita diam dan tunggu lepas
kemarahan reda. Jangan apabila bergaduh kita menengking kawan kita.
Nabi juga bukan seorang yang
suka menjerit-jerit suaranya, seperti orang-orang di pasar. Nabi bukan seorang
yang suka jerkah-jerkah orang ketika berkata-kata. Rasulullah juga sangat
pemaaf orangnya, baginda tidak pernah membalas sesuatu kejahatan dengan
kejahatan. Beliau juga tidak pernah membalas kezaliman yang dilakukan kepada
dirinya kecuali perkara yang dilakukan itu melanggar suruhan Allah. Jika
seseorang itu melanggar perintah Allah baru kita lihat Rasulullah marah. Jadi
inilah peribadi Rasul yang kita kena contohi, mendahulukan kepentingan Allah
dari kepentingan diri sendiri.
Rasulullah juga sifatnya
memudahkan urusan manusia. Jika diberi pilihan, Rasulullah sentiasa memilih
yang senang selagi mana ia tidak berdosa. Dalam Islam ini ada perkara-perkara
yang bersifat usul (tsawabit) seperti ke-Esa-an Allah dan ada perkara
yang furu’ (mutaghaiyirat) – perkara yang ada pelbagai pandangan mazhab
seperti dalam fiqh dan muamalah. Jadi dalam hal-hal pilihan ini kita boleh
memilih yang lebih mudah. Jadi kita juga perlu begitu, perlu ada toleransi, dan
sifat memahami seperti Nabi, kita memudahkan urusan orang lain.
Selain itu sifat peribadi
Rasulullah adalah beliau tidak pernah memukul dengan tangan baginda. Baginda
tidak pernah memukul hamba, perempuan, atau khadam melainkan ketika jihad fi
sabilillah. Kata Anas Radiallahu-anhu “Aku berkhidmat kepada
Rasululullah 10 tahun (ashara sinin), tak pernah baginda katakan
kepadaku uff (hei), tak pernah juga baginda bertanya kenapa akan perbuatanku,
iaitu kenapa kau berbuat begitu? tidak pernah juga akan perkara yang aku
tertinggal, baginda bertanya kenapa tidak kau lakukan?”.
Rasulullah sangat menjaga
hubungan sesama manusia. Jika baginda berjabat tangan (bersalaman) dengan
seseorang, baginda tidak akan mengangkat tangannya melainkan orang yang
bersalam dengannya telah mengangkat tangan. Jika bercakap dengan seseorang,
baginda akan menghalakan wajahnya dan perkataannya kepada orang itu, sehingga
orang itu merasa dia adalah orang yang dekat dengan nabi, dan dia rasa bahawa
Nabi sayang padanya. Seperti kata Amru Bin Asr, apabila beliau masuk Islam dan
bercakap dengan Nabi, dia rasakan seolah-olah Nabi paling sayang pada dirinya.
Setiap sahabat Nabi rasa mereka disayangi, mereka rasa mereka paling dekat
dengan Nabi. Tapi apabila ditanya Nabi, siapa yang dia paling sayang, jawapan
baginda adalah Abu Bakr.
Kata Jarir Ibni Abdillah
Radiallahu-anhu “Rasulullah tak pernah tengok aku selepas aku Islam, (illa
tabassum) melainkan bila dia tengok aku dia senyum”. Kata Abdullah bin
Harith “Aku tidak pernah melihat orang yang paling banyak senyum lebih dari
Rasulullah”.
Kesimpulan
Semoga dengan penulisan ini kita
dapat memperbaharui semula kecintaan kita pada baginda nabi. Dari kisah awal
kehidupan baginda kita dapat fahami bahawa segala ujian dan cabaran itu
bukanlah bermakna Allah tidak sayang akan seseorang tetapi sebaliknya, dari
perjalanan hidup baginda kita dapat fahami bahawa Allah sentiasa menguji
hamba-hambanya yang dia kasihi. Kita juga telah melihat keperibadian baginda
termasuklah tidak berkata kotor, pemaaf, memudahkan manusia, bercakap baik
dengan manusia serta selalu menghadiahkan senyuman. Ini semua adalah
sifat-sifat yang perlu kita contohi dan amalkan atas dasar kecintaan kita pada
baginda.
Rujukan:
[1] Al-Qur’an. Surah Al-Baqarah. (2:253)