Sabtu, 23 Oktober 2021

Tujuan Menulis Bukan Untuk Menulis

Syed Hussein Alatas ada menulis tulisan yang bertajuk "Islam dan Sastera" dalam bukunya Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah. Ada satu perkara yang menarik yang beliau bahaskan dalam penulisan ini iaitu falsafah atau tujuan bagi seni dan sastera. Bagi beliau tujuan sastera bukanlah sastera itu sendiri, beliau tidak bersetuju dengan falsafah bahawa "seni untuk seni". Beliau menulis:

"Pandangan ini sebenarnya karut kerana dari segi hakikat wujud sesuatu, tujuan sesuatu itu luar dari wujudnya sendiri" (Ms. 98)

Beliau memberikan contoh dari perkara lain. Memasak misalnya, tujuan kita memasak bukan untuk memasak, tetapi untuk menyediakan makanan. Jika pun seseorang itu ingin memaknakan apa yang dikatakan "seni untuk seni" itu sebagai tidak mempunyai apa-apa tujuan, sekadar untuk kepuasan diri. Sebenarnya "kepuasan diri" itulah yang menjadi tujuan seninya dan memandu seninya. Jadi menurut Syed Hussein Alatas, seni untuk seni itu adalah mustahil.

Menulis adalah salah satu dari cabang sastera. Jadi boleh kita katakan bahawa tujuan menulis juga bukan untuk menulis, malah mustahil kita menulis untuk menulis. Setiap penulisan pasti ada maudhuk atau topiknya. Oleh itu tujuan penulisan bolehlah dikatakan adalah untuk menyampaikan sesuatu topik atau mesej. Mesej ini boleh jadi merupakan perasaan peribadi penulis, boleh jadi juga pemerhatian-pemerhatian objektif penulis yang diterjemahkan ke dalam bentuk pemikiran kemudian disusun dalam bentuk perkataan.

Jadi menulis bolehlah kita katakan, dalam falsafahnya yang paling asas adalah alat untuk menyampaikan sesuatu mesej. Seperti alat-alat lain, penulisan boleh jadi digunakan untuk kebaikan, dan boleh jadi digunakan untuk kejahatan. Seperti pisau, boleh kita gunakan untuk mengupas buah-buahan untuk dimakan, pisau yang sama boleh digunakan untuk membocorkan tayar kawan kita yang annoying yang kita benci. Sama juga dengan tulisan, boleh digunakan sebagai medium untuk menyampaikan nasihat-nasihat jujur yang mungkin boleh menghidupkan jiwa manusia, menarik mereka keluar dari lubang depresi. Penulisan yang sama juga boleh digunakan untuk memfitnah dan memaki hamun orang lain.

Oleh kerana itu, penulisan dan sastera sebenarnya tidak pernah neutral. Malah mungkin mustahil untuk bersifat neutral jika ditinjau dari pemikiran Syed Hussein Alatas. Sekuat mana pun seorang penulis untuk lari dari sebarang keterikatan, akhirnya dia tidak dapat lari dari ikatan yang mengikat kehidupannya. Ikatan ini termasuklah zaman ketika dia dilahirkan (ikatan masa), tempat geografi dia melalui kehidupannya (ikatan ruang), dan juga keadaan masyarakat yang mengelilinginya (ikatan sosial), dan seribu satu ikatan lain yang mungkin tidak tampak sebagai satu ikatan yang nyata namun mempunyai pengaruh tentang bagaimana dia berfikir, menulis dan bersastera. Kerana akhirnya tiada manusia yang bebas secara mutlak, seperti kata Jean Jacques Rousseau:
"Manusia dilahirkan bebas, tetapi dimana sahaja dia berada, dia digari"
Jika kita membaca buku bertajuk Orientalism tulisan Edward Wadie Said, ini merupakan permasaalahan yang beliau sendiri mengaku bahawa  beliau tidak mampu menyelesaikannya. Di sebelah tangan, beliau mengkritik tulisan-tulisan Orientalis Barat yang memburukkan bangsa Timur, merendahkan sifat mereka, serta mencemarkan kebaikan orang-orang Arab dan Islam. Bagi Said, perkara ini terjadi kerana Barat mempunyai kuasa politik, sosial, dan intelektual untuk menulis dan menggambarkan orang-orang Timur dengan gambaran yang reductionist dengan membuat generalisasi yang besar. Namun di sebelah tangan yang lain, Said mengakui bahawa dia tidak mempunyai solusi tentang bagaimana untuk menulis dan menggambarkan masyarakat dan tamadun lain dengan benar-benar objektif tanpa sebarang bias.
"Mungkin tugas yang paling penting adalah untuk menyediakan alternatif kontemporari untuk menggantikan Orientalisme, tentang bagaimana kita dapat mengkaji budaya dan masyarakat lain dari perspektif yang bebas, adil, dan tidak manipulatif...persoalan ini adalah persoalan yang tidak dapat saya selesaikan dalam kajian ini" (Orientalism, ms. 24)
Walaupun pemikir-pemikir seperti Rousseau dan Said merasakan bahawa manusia tidak mampu lari dari perspektifnya, saya merasakan ia bukanlah sesuatu yang binari, tetapi mempunyai spektrum. Kita mungkin tidak boleh menulis dengan seratus peratus objektiviti, tetapi kita masih boleh cuba untuk menghampirinya. Mungkin dengan 80 peratus atau 90 peratus objektiviti. Dan saya kira untuk melakukan perkara tersebut, kita perlu menanggalkan lensa-lensa ideologi yang mengaburi mata kita.

Ini bukanlah perkara yang mudah untuk dibuat, kerana boleh jadi seorang penulis itu sendiri tidak sedar bahawa dia sedang memakai lensa ideologi. Fahaman dan doktrin yang ditanam ke dalam minda manusia sejak dari lahir menyebabkan mereka tidak mampu membezakan fikirannya dengan ideologi. Malah mereka merasakan ideologi itu sebahagian dari dirinya, jika dipisahkan ia bagai memisahkan nyawa dari tubuh. Jadi penulisan yang ideologikal bagi pembaca, mungkin merupakan penulisan yang objektif dari pandangan penulis.

Selain dari menanggalkan lapisan ideologi, saya kira untuk sesuatu penulisan itu menghampiri objektiviti, ia harus kembali pada falsafah awal Alatas tadi, perihal tujuan dan niat penulis. Tentang apa yang menggerakkannya untuk menulis. Mungkin pada awalnya seseorang penulis menulis dengan lensa yang tebal dengan ideologi, namun dalam masa yang sama dia berjanji pada dirinya untuk menerima kebenaran seiring penemuan-penemuannya semasa beliau menulis dan mengkaji. Mereka berniat dan berjanji untuk mengikuti bukti, walaupun ia bertentangan dengan ideologi asalnya. Dalam kata lain, sejak dari awal dia bersedia untuk mengubah posisinya dengan kemunculan bukti dan fakta baharu. Terdapat banyak contoh penulis sebegini, mungkin jika ingin dinukil satu contoh untuk rujukan lanjut adalah kisah penulisan Joram van Klaveren.

Penulisan ini telah jauh tersimpang, bermula dari buku Syed Hussein Alatas, ia telah menceroboh ke ruang pebahasan yang lain. Saya kira elok jika kita pulang ke pangkal jalan dan membuat sedikit kesimpulan. Bagi Alatas penulisan mestilah mempunyai tujuan lain diluar kewujudannya, dan tujuan lain ini, seperti tinjauan kita tadi boleh jadi merupakan alat kepada ideologi, baik ditulis dengan sedar, separa-sedar, atau tanpa sedar. Dalam kata lain, ia bukan lagi penulisan yang objektif tetapi berubah menjadi propaganda. Tetapi kita juga telah bahaskan tadi bahawa kita tidak mampu untuk lari darinya, memang penulisan merupakan alat untuk menyampaikan sesuatu mesej. Jadi apa yang boleh kita lakukan adalah mengurangkan ketebalan lensa ideologi kita dalam masa yang sama berjanji pada diri untuk menerima bukti dan bersedia untuk mengubah posisi.

Tujuan menulis bukan untuk menulis, tetapi untuk mencari dan menyampaikan kebenaran.

Tiada ulasan: