Hampir 2 tahun kita terkurung akibat dari pandemik Covid-19. Hidup yang selama ini teratur menjadi caca merba, kita tidak tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, pergerakan terbatas dan kita tidak bebas. Ada manusia yang nasibnya lebih baik dari yang lain. Banyak juga yang dihempas ombak lain selain ombak pandemik, ada yang kehilangan mata pencarian, hilang pendidikan, malah ramai juga yang hilang nyawa dan kehidupan. Apabila graf dilihat semakin melandai, kita mula merasakan ada harapan di hujung terowong. Dengan pengumuman kebebasan rentas negeri, kita akhirnya boleh menarik sedikit nafas setelah ditahan oleh kesesakan yang berpanjangan.
Antara kegusaran
saya, dan mungkin juga ibu bapa lain diluar sana adalah pertumbuhan anak-anak
mereka. Dengan sekolah yang tergendala, pembelajaran atas talian bukanlah
solusi magik yang dapat mengembalikan suasana pendidikan sebenar. Pembelajaran
itu bukan hanya proses mengetahui dan menghafal, ia juga adalah proses merasai,
mendengar dan melihat sendiri di depan mata, juga melihat contoh dan perilaku
pendidik. Semua ini begitu terhad untuk dinikmati anak-anak yang terkurung
dalam norma baharu. Semuanya berlegar di belakang skrin. Jika sebelum ini hanya
hiburan didapati dibalik skrin, kini pendidikan juga dibalik skrin. Adakah
mungkin mereka mampu menjadi manusia sosial yang baik dengan keadaan ini?
Persoalan ini menghantui saya.
Saya kira
sekolah berfungsi lebih dari kelas. Sekolah juga merupakan tapak semaian
anak-anak berjumpa manusia-manusia kecil lain seperti mereka. Tempat untuk
belajar bersahabat, belajar berkongsi duka dan gembira bersama kawan-kawan,
juga belajar bersosial melalui permainan. Aspek ini hampir semuanya hilang pada
sesi pembelajaran skrin.
Kesan kurungan
di rumah juga menghadkan aktiviti eksplorasi anak-anak. Anak saya yang pertama
dahulu zaman kecilnya dipenuhi aktiviti-aktiviti luar ketika hujung minggu.
Pergi memanjat bukit, menaiki bot, melihat pusat pemuliharaan penyu, mandi
pantai, bermain di taman permainan, melawat perpustakaan, berkenalan dengan
sanak-saudara, namun nikmat ini tidak dirasai oleh adiknya yang mana pengalaman
membesarnya hanya berlegar dirumah, skrin, dan barang permainan. Adakah ini
akan mempunyai kesan berkekalan pada wataknya kelak? Saya tertanya-tanya.
Semasa berkurung
di rumah, anak-anak selalunya mengulang lihat gambar-gambar mereka mandi di
pantai di Pulau Sayak, tempat paling dekat untuk mandi pantai dari Sungai
Petani. Pantainya juga lebih bersih dan sesuai untuk bermandi manda jika dibandingkan
dengan Pantai Merdeka. Dan setiap kali mereka akan bertanya, bila lagi boleh
pergi mandi pantai, dan setiap kali saya perlu menerangkan akan situasi semasa
yang tidak mengizinkan. Pengumuman perdana menteri pada Oktober 2020 perihal
kebenaran untuk melintas negeri juga sebelumnya perihal kebenaran merentas
daerah membolehkan saya menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dalam jangka
masa pendek boleh ke Pulau Sayak untuk berlibur.
Anak-anak
sememangnya teruja apabila diberi tahu sudah boleh ke pantai. Hampir setiap
hari ditanya bila mahu pergi. Dua tiga hari sebelum pergi mereka sudah
mengumpulkan barang-barang ke dalam beg untuk dibawa. Bercerita baju apa yang
mereka mahu pakai untuk mandi. Apabila tiba masanya untuk pergi, dan kami semua
sudah di dalam kereta, anak pertama akan sentiasa mengulang soalan “dah sampai
ke abi?”. Walaupun kereta baru berjalan 2 minit dan baru nak masuk simpang
pertama ke jalan besar!
Tetapi apabila
sampai, ternyata ia adalah satu percutian sebentar yang bermakna. Melihat kegembiraan
anak-anak bermain pantai sedikit melegakan. Mungkin kegembiraan mereka adalah
manefestasi pelepasan perasaan setelah terkurung di dalam rumah hampir dua
tahun, merasai sendiri ombak yang menghempas badan pastinya tidak sama dengan
apa sahaja video di depan skrin. Anak-anak berlari, melompat, berbaring di
dalam air, mengutip kulit kerang, main pasir, cuba berenang, akhirnya mereka
berjaya melepaskan emosi yang sekian lama terpendam dengan kegembiraan. Saya
pula hanya masuk separuh kaki ke dalam pantai, pada mulanya mahu mandi, tetapi
melihat ombak yang agak kuat, lebih baik saya menjadi pemerhati melihat
anak-anak, takut-takut terhanyut. Di tengah-tengah kegembiraan bermandi-manda
ini, ada satu soalan yang dilontarkan oleh anak saya yang pertama, Amni.
“Abi, are you
having fun?”
Saya kira dia
bukanlah mahu bertanya kepada saya sama ada saya seronok atau tidak, kerana
belum sempat saya jawab dia telah berlari semula masuk ke dalam air. Mungkin
soalan itu lebih kepada caranya untuk memberi tahu bahawa dia gembira dapat
bermain di tepi pantai bersama adiknya. Kegembiraan itu terungkap dengan
persoalan. Namun soalan ini meekat di kepala saya, saya cuba memikirkannya dan
memberikannya jawapan dari pelbagai sudut.
Sudut pertama
yang saya fikirkan adalah pendekatan saya dengan anak-anak. Sering kali di
rumah semuanya berbentuk arahan, tiada “fun” yang keluar dari mulut saya. Cepat
bangun, cepat mandi, cepat pakai baju, cepat makan, cepat kemas, cepat baca
iqra’, cepat tidur, semuanya arahan suruh cepat. Saya terfikir sangat kurang
ruang untuk memberi keseronokan pada anak-anak. Padahal usia ini adalah usia
untuk bermain, belajar melalui permainan. Soalan anak ini sedikit sebanyak
menyoal diri saya yang ada kalanya mahu senang, mahu suasana senyap dan aman, dan
mahu semuanya bersih dan tersusun. Walhal anak-anak mahu bermain, bermain
pastilah bising, berselerak, dan sering kali comot. Mungkin mereka perlukan
lebih banyak ruang keseronokan, rumah tidak sepatutnya menjadi kem tentera.
Sudut kedua
mungkin lebih dalam, walaupun mungkin anak saya tidak bermaksud soalannya untuk
bertanya sedalam itu, namun bagi saya ia menusuk begitu dalam. Soalan ini masuk
menziarahi minda saya, ia duduk di ruang tamu dan tidak mahu berganjak. Mungkin
menyuruh saya memikirkannya dengan serious. Sudut kedua ini membawa kepada
persoalan kehidupan saya secara keseluruhannya, adakah saya telah mencapai
keseronokan dan kebahagiaan? Atau, jika pun belum dicapai, adalah jalan hidup
saya kini berada di landasan yang betul menuju kebahagiaan? Ia membuat saya
termenung, lama, panjang, dan dalam. Siang dan malam. Mungkin saya memerlukan
satu muhasabah yang baharu, untuk memperbaharui hidup.
Bila saya fikir-fikirkan, kata-kata dan soalan anak-anak ini kadangkala mempunyai makna yang sangat dalam, meskipun mereka sendiri tidak sedar akan kekuatan soalan mereka. Jadi saya kira penting untuk kita sentiasa menghidupkan komunikasi dengan anak. Bukan sekadar untuk manfaat kepada mereka, tetapi juga untuk kita. Ada sudut-sudut kehidupan yang sudah terhijab dek kedewasaan, namun tersergam luas buat jiwa-jiwa yang masih segar dan suci. Atau mungkin, saya yang terlebih fikir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan