Khamis, 7 Oktober 2021

Reviu Zine Memerde(he)kakan Mahasiswa


Di permulaan Oktober ini, saya sebenarnya masih tenggelam dalam pelbagai naskah. Di atas meja baca saya terdapat 6 naskah buku yang sedang saya baca, semuanya belum habis. Sebelum ini saya merupakan pembaca monogamis (membaca hanya 1 buku pada satu masa), namun perubahan zaman memaksa saya menjadi pembaca yang bersifat poligamis (membaca lebih 1 buku dari satu masa). Masalahnya adalah sukar untuk menghabiskan pembacaan apabila membaca terlalu banyak buku serentak. Seperkara lagi, pembacaan saya semakin hari semakin kompleks, sangat susah untuk membaca dengan mood leisure reading, minda saya sentiasa mempunyai impulse untuk menandakan bahan bacaan, dibuat nota dan ulasan, menjadikan pembacaan lama dan perlahan. Namun di sudut lain, walaupun perlahan, ia mengayakan.

Oleh sebab itu pada awalnya saya sedikit gementar membuka bungkusan Garaj Buku yang sampai. Terdapat 5 zine semuanya. Pembacaan sekarang pun sudah melimpah ruah, adakah mungkin ada masa untuk memulakan selakan baru? Namun saya gagahkan diri dan membuka juga bungkusan, dibelek-belek, saya mulakan pembacaan dengan zine yang paling nipis, tulisan Usaid Asmadi bertajuk "Memerde(he)kakan Mahasiswa".

Kata pengantarnya ditulis oleh Hanapi Jamaluddin, walaupun isinya bernas, namun saya kira bahasanya sedikit sukar dihadam, seperti sengaja dijargonkan walhal boleh ditulis dengan lebih mudah. Dari sudut bahasa juga agak comot bagi saya. Contohnya "pembongsaian daya kreatif", yang saya kira meminjam istilah "pembonsaian pemikiran", idea yang dipopularkan oleh Hishamuddin Rais. Namun saya kira ejaan sepatutnya adalah "pembonsaian" tanpa huruf "g". Begitu juga ayat "..mendapat hak yang layak sebagai manusiawi", kedengaran agak janggal dibaca, ayat tersebut sudah cukup maknanya jika digantikan "manusiawi" dengan "manusia". Yang terakhir mungkin ejaan "substantsif" - saya tiada masalah dengan peminjaman perkataan Inggeris, kerana saya bermazhab bahasa memang perlu sentiasa berevolusi, namun jika hendak di-Melayu-kan, sepatutnya digunakan sahaja istilah yang standard iaitu "substantif".

Baik, cukuplah omelan saya perihal gaya bahasa, lebih-lebih nanti kedengaran seperti membawang pula. Dalam pengantarnya Hanapi ada menyentuh tentang pendemokrasian pendidikan (democratization of education). Isi ini saya kira merupakan isi yang sepatutnya diangkat dan dipertingkat. Keupayaan teknologi hari ini membolehkan syarahan-syarahan di bilik kuliah disebar-luaskan kepada masyarakat menggunakan media sosial, media sosial hari ini sudah menjadi media arus perdana. Membawa wacana ilmu ke media sosial adalah membawa ilmu ke dalam masyarakat arus perdana. Ini harus diperbanyakkan oleh mahasiswa, pada isi ini mereka boleh memainkan peranan yang besar dalam pendemokrasian ilmu.

Beralih kepada isi zine, saya sangat bersetuju dengan Usaid dalam kalam awalnya, perihal perlunya mahasiswa bersifat berani, berani mencuba dan berani berkhilaf. Saya sendiri mengenang perkara ini menyesali zaman mahasiswa saya yang telah terlepas, alangkah banyaknya peluang yang boleh dikutip namun kini tidak dapat lagi diputar semula. Maka pesan ini bagi saya merupakan kalam awal yang sangat baik.

Usaid menggagaskan bahawa universiti itu lebih besar gedungnya dari putaran rutin kehidupan belajar, ia adalah masa emas yang harus digunakan untuk meneroka pelbagai perkara lain. Nasihat kepada pelajar baru ini bagi saya amat penting untuk membuka minda pelajar. Saya sendiri merasakan zaman universiti mengajar saya banyak perkara (selain akademik). Belajar berpesatuan, belajar bercakap dikhalayak, belajar menyelesaikan konflik, belajar bernegosiasi dengan universiti, dan yang paling penting belajar untuk hidup dan melihat kehidupan. Melihat kehidupan dengan lensa yang lebih besar dan luas.

Dalam perbahasan kemerdekaan, Usaid membawakan pemikiran HAMKA bahawa "kemerdekaan" itu bukanlah bermaksud kebebasan mutlak, tetapi ia bermaksud kita menerima segala yang merupakan hak kita. Dalam masa yang sama kita masih dibelenggu tanggungjawab, kita tidak hanya punya hak tetapi juga punya tanggungjawab. Kebebasan tanpa tanggungjawab bukanlah satu kemerdekaan. Saya bersetuju dengan pemikiran ini, saya kira ia mirip dengan apa yang diungkapkan oleh Jean-Jacques Rousseau dalam The Social Contract, "man is born free but everywhere is in chains". Beliau kemudian mewacanakan kemerdekaan dari lensa pendidikan budi dan pendidikan akal sebelum melanjutkannya kepada wacana bagaimana mahasiswa berperanan dalam menggugat kekuasaan apabila berlaku ketidak-adilan. Beliau kemudian menyoroti sejarah pergerakan mahasiswa di Malaysia secara ringkas.

Secara keseluruhannya, saya merasakan perbahasan beliau adalah baik, walaupun tidaklah begitu mendalam. Mungkin kerana bentuknya adalah zine, jadi ia lebih sesuai dibahaskan dengan ringan. Di hujungnya beliau sediakan senarai bacaan jika pembaca ingin menggali dengan lebih dalam secara sendiri perihal topik pergerakan dan perjuangan mahasiswa.

Mungkin ada satu dua perkara yang bagi saya hilang dalam perbahasan ini. Pertamanya perihal balance of power antara pelajar dan pensyarah. Perbahasan Usaid lebih banyak menyentuh bagaimana pentadbiran universiti dan kerajaan membataskan pergerakan mahasiswa, undang-undang dan peraturan digunakan sebagai instrumen pembatasan. Namun saya kira, adakalanya yang membataskan mahasiswa adalah golongan pensyarah sendiri, yang kadang kala mempunyai inklinasi dan pegangannya tersendiri. Dan pensyarah juga mempunyai kuasa ke atas mahasiswa kerana mereka yang memberi markah serta boleh meluluskan dan menggagalkan pelajar. Namun mungkin kuasa pensyarah ini tidak sebesar pentadbir atau kerajaan, oleh itu ia tidak mendapat perhatian yang penting.

Yang kedua, yang saya kira tidak ditinjau adalah terpadamnya idealisma sehabisnya mahasiswa itu bergraduasi. Ini merupakan fenomena yang sering berlaku di negara ini (mungkin juga di dunia ini). Ramai mahasiswa yang aktivis dan tangkas di universiti kemudian keluar menjadi economic animal apabila mereka masuk ke alam industri. Soal ke mana, dimana, dan bagaimana ingin diteruskan semangat dan idealisme pasca-universiti itu tidak ditinjau. Apakah ia hanya patut menyala di zaman kampus sahaja?

Yang terakhir, yang saya kira penting untuk ditambah dalam perbahasan ini adalah kepentingan mahasiswa sebagai generasi tajdid. Pergeseran antara kaum tua dan kaum muda pada saya akan kekal berlaku sepanjang zaman. Ia adalah proses berbentuk fitrah dimana mahasiswa merupakan kaum pemikiran baharu yang akan membuat proses re-evaluasi terhadap sistem, pemikiran, dan budaya zaman. Mereka adalah agen yang bakal menilai apa yang sudah lapuk dan perlu ditukar, dan apa pula yang sejati dan perlu dikekalkan. Perbahasan peranan mahasiswa sebagai mujaddid (pembaharu) ini mungkin ada disebut secara tidak langsung tetapi tidak ditekankan. Namun saya kira ia adalah salah satu tugas mahasiswa yang perlu diketengahkan (pendapat saya!). Mahasiswa bukan sahaja perlu belajar tetapi menilai apa yang diajar. Ini adalah peranan besar agar intelektual bangsa tidak stagnant tetapi terus mengalir segar.

Tahniah saya ucapkan pada Usaid Asmadi atas bingkisan ini, ia wajar direnung-renungkan oleh mahasiswa (terutamanya mahasiswa semester 1) agar mereka sedar akan peranan mereka dan mereka mampu berperanan. Akhir kalam, majulah mahasiswa untuk negara.

Tiada ulasan: