Sabtu, 18 Jun 2022

Menangkap Idea Sebelum ia Terbang Hilang


Salah satu benda yang menyeronokkan berada di pesta buku adalah bersembang dengan anak muda terutamanya mahasiswa. Pemikiran mereka masih segar. Mereka masih menimbang dan masih meneroka. Ada yang pernah bertanya kepada saya apa yang dimaksudkan dengan muda? Bagi saya orang muda adalah orang yang mindanya masih terbuka kepada idea. Jika umurnya 80-an sekali pun, jika dia masih membuka mindanya untuk menerima idea baru, maka bagi saya dia masih muda. Sebaliknya jika perasaan ingin tahunya telah terpadam, bagi saya dia telah tua, boleh jadi dia tua walaupun bilangan umurnya masih muda.

Antara soalan yang saya kira menarik juga ditanya oleh mahasiswa adalah bagaimana untuk menangkap idea. Bagi saya idea itu boleh diikat dengan dua cara. Pertama jadilah orang yang kuat ingatan dan tidak mudah lupa. Jika tidak mampu, jadilah yang kedua, sentiasa menulis nota. Saya adalah golongan kedua, golongan yang tidak begitu tajam ingatan. Dalam keadaan ini, banjirkan kelilingmu bukan sahaja dengan buku untuk dibaca, tetapi juga buku-buku nota untuk ditulis.

Idea ini datang dalam situasi-situasi yang kadangkala tidak dapat kita jangka. Oleh itu kita perlu sentiasa bersedia dengan sesuatu untuk kita dapat mengambil nota. Jika tidak buku, nota digital dalam peranti elektronik seperti talifon. Saya sendiri, kadang kala idea datang ketika saya sedang memandu. Dalam keadaan ini saya akan berhenti di tepi jalan dan membuat nota. Selepas puas baru saya akan jalan semula. Nota-nota inilah yang menjadi naskah-naskah buku, nota ini saya simpan kemudian diolah dan disusun.

Jika anda membeli buku saya, banyak kandungannya sebenarnya saya tulis ketika saya di dalam bas, ketika menaiki feri, semasa duduk berehat di surau dalam permusafiran, juga kadangkala ketika di atas katil kerana tak boleh tidur. Notakan. Nota tak semestinya cantik dan sempurna. Tumpahkan sahaja semuanya. Biarkan idea itu mengalir tanpa perlu dihalangi dengan apa-apa. Apabila ribut kehidupan telah tenang. Ziarah semula nota itu, duduk dan fikirkan lagi. Tambahkan isi dan kembangkan dengan bahan bacaan lain. Sambungkan menjadi naratif. Begitulah seterusnya sehingga ia menjadi sebuah bahan bacaan yang bermakna.

Jumaat, 17 Jun 2022

Catatan Baitul Muslim 54: Aku Telah Memaafkanmu Selamanya


Petang itu aku bermain-main dengan Idlan yang ketika itu berumur 4 tahun di ruang tamu. Kakaknya Amni juga di ruang tamu, sedang menyiapkan kerja sekolahnya. Entah apa yang aku sembangkan dengan Idlan akhirnya sampai ke topik kematian.

"Nanti Abi pun mati, Umi pun mati, Adik dengan Kakak pun mati, semua orang akan mati" aku memberitahunya.

Amni yang sedang membuat kerja sekolah melihat, dia senyum dan mengangguk kepala. Idlan pula berubah mukanya. Dari riak wajahnya aku nampak ketakutan dan kesedihan. Ketakutan dan kesedihan dari wajahnya meresap masuk ke dalam hatiku. Mungkin belum masanya bercakap tentang kematian bagi kanak-kanak yang baru hendak memulakan kehidupan. Namun dalam masa yang sama, kematian itu satu kepastian yang tidak mengira sesiapa pun tua atau muda. Idlan menyorok dan mengatakan "Tak nak".

Aku cuba memujuk "Sebab itu kita kena taat pada Allah, dengar cakap Umi Abi, solat, berkelakuan soleh. Nanti kalau kita soleh kita boleh jumpa semula selepas mati di dalam syurga". Selepas itu wajah Idlan kelihatan ceria semula. Alhamdulillah.

Sebenarnya persoalan kematian ini selalu sahaja mengekori fikiranku. Aku terfikir juga bagaimana keluarga kecilku nanti speninggalan aku dari dunia yang fana dan sementara ini. Aku tidak berapa risau perihal harta, kerana pada fikirku, Tuhan akan memberi rezeki kepada hamba-hambanya. Tapi aku lebih memikirkan soal perasaan, soal emosi, soal kerinduan. Aku sendiri merasakan kekosongan yang begitu mendalam apabila ayah meninggalkan kami beberapa tahun yang lalu. Kerinduan itu begitu dalam menusuk dan membekas.

Kadang-kadang ruang kerinduan itu mendalam bukan kerana ada kata-kata yang belum kita ucapkan, tetapi kerana kita ingin tahu, adakah orang yang kita sayang yang telah pergi itu sudah meredhai kita, berpisah dengan kita dengan aman tanpa ada sebarang rasa-rasa yang belum selesai. Lumrah dalam keluarga dan dalam rumah tangga akan ada perselisihan. Dua manusia yang berbeza pasti punya rasa yang berbeza. Oleh sebab itu, aku akan sentiasa berpesan pada isteriku, tiap kali kami berdamai semula selepas adanya apa-apa konflik bahawa aku telah memaafkannya selama-lamanya. Pasti ada masa dan ketika aku terguris dan terasa hati, begitu juga isteriku terguris dengan sikapku, tetapi aku tidak akan menyimpan rasa marah itu. Aku tidak akan pendamnya hingga ia membarah menjadi dendam. Aku mahu isteriku tahu aku sudah memaafkan segala-galanya selama-lamanya. Andai nyawaku ditarik sebelum kami sempat bermaafan pun, aku telah memaafkannya. Itulah yang aku pegang, selamanya.

Begitu juga dengan anak-anakku. Yang kadang membahagiakan kadang meresahkan. Aku juga telah memaafkan mereka tanpa apa-apa syarat. Marahku untuk anak-anakku adalah bagi mendidik dan mendewasakan mereka. Agar mereka bersedia untuk berenang di dunia sebenar nanti, tanpa papahan dan bantuan kami Umi dan Abi. Marah dan geramku pada mereka tidak berbuah dendam, ia hanya alatan untuk mendidik sahaja, yang tidak aku simpan di dalam hati. Jika aku mati, mereka sudah pun aku maafkan, aku ampuni dan redhai.

Memikirkan kematian juga, aku punya polisi dan keluarga dan rumahtangga. Setiap kali aku berpisah dengan mereka mestilah dalam keadaan baik. Tidak dalam keadaan marah-memarahi atau dalam keadaan terasa hati. Jika ada terasa hati, itu perlu dirungkai dahulu sebelum berpisah atas urusan hidup. Kerana tiada siapa yang dapat menjamin perpisahan itu adalah perpisahan sementara atau selamanya. Pada setiap perpisahan perlu pada persalaman, ciuman dan pelukan. Tidak kira jika perpisahan itu sekejap atau lama. Kerana sekali lagi, tiada siapa yang dapat memberi jaminan. 

Aku telah memaafkan kalian selama-selamanya, harap aku juga nanti, dimaafkan.

Ahad, 12 Jun 2022

Yang Memberatkan Senaskah Buku


Saya bukanlah nak gebang bahawa saya ini seorang penulis atau buku tulisan saya best. Tapi saya merasakan bahawa saya mahu menjadi pembaca lebih dari menjadi penulis. Malah sebelum menulis saya adalah seorang pembaca. Seorang penulis yang baik mestilah bermula dengan menjadi seorang pembaca yang baik. Semakin lama dia membaca, semakin tajam penulisannya dan semakin berkembang ufuk idea dan pandangannya.

Zaman belajar dahulu, saya juga seperti orang lain, tak punya banyak duit untuk membeli buku. Selalunya saya akan meminjam buku dari orang atau meminjam buku dari perpustakaan. Tetapi apabila sudah bekerja dan mampu membeli sedikit buku dengan wang sendiri. Saya tidak berapa berkira untuk membeli buku. Saya lebih berkira untuk membeli pakaian dari membeli buku. Jarang saya tawar menawar hal harga buku, kecuali buku second hand di Chowrasta Market, sebab di situ memang keseronokannya adalah untuk tawar menawar.

Kadang orang hanya nampak harga buku kemudian berkata "apa ni jual buku mahal sangat, nak berkongsi ilmu ke nak jual ilmu". Mereka melihat buku seperti komoditi-komoditi yang lain. Ia mestilah dijual murah agar dapat dimiliki oleh ramai manusia. Ada sedikit paradoks dalam hal ini. Pertama, saya percaya, akses kepada ilmu mestilah dibuka, dan kemampuan keewangan tidak seharusnya menjadi halangan bagi manusia mengembangkan potensi intelektualnya. Dalam masa yang sama, saya juga mengiktiraf bahawa buku sememangnya perlu ada harga, bukan dijual murah atau lelong seperti ikan di pasar. Kerana sebuah buku itu lahir dari pelbagai pengorbanan yang dilakukan oleh seorang penulis yang seringkali terhijab dari pengetahuan pembaca. Banyak perkara yang dilalui oleh seorang penulis itu tidak diketahui pembaca, mereka hanya melihat produk akhir iaitu senaskah buku.

Orang tak nampak hari-hari penulis duduk berjam-jam menaip.

Orang tak nampak malam-malam yang penulis tidak tidur.

Orang tak nampak berapa cawan kopi yang penulis minum satu malam untuk kekal berkerja.

Orang tak nampak kadang-kadang penulis terpaksa berjauhan dari keluarga dan anak-anak untuk berjumpa orang lain berbincang mencari idea.

Orang tak nampak duit yang penulis keluarkan untuk membeli buku-buku rujukan. 

Orang tak nampak penulis perlu membeli laptop baru sebab laptop lama mereka rosak akibat terlalu lama tidak shut down.

Begitulah resam dunia. Orang hanya lihat sama ada kita berjaya atau gagal, orang tak lihat usaha yang kita laburkan. Mereka hanya nampak sesuatu produk tanpa memikirkan dengan dalam bagaimana ia terhasil. Tapi bukanlah tugas kita untuk sibuk menyalahkan orang lain. Tugas kita adalah menikmati kembara ilmu dengan membaca dan menulis. Penulis yang baik pastilah tidak berlama-lamaan dalam kancah polemik dan paradoks ini, kritikan tidak seharus menghentikan penanya. Kerana akhirnya, penulis yang baik itu menulis untuk kebahagiaan dirinya, bukan untuk cakap-cakap orang lain.

Sabtu, 11 Jun 2022

Bacalah, nescaya kau tidak akan berseorangan


Kalau saya bosan, saya biasanya akan meliar di perpustakaan digital saya iaitu Youtube. Di sana banyak syarahan-syarahan yang best dan percuma. Antara segmen kegemaran saya adalah "percakapan dengan sejarah" (conversations with history) di mana pengacaranya, Harry Kreisler akan menemuramah tokoh-tokoh sejarah. Bersembang perihal kehidupan mereka, apa yang menjadi inspirasi hidup mereka, dan juga membincangkan idea-idea mereka.

Kreisler pernah menemuramah Howard Zinn, dan antara yang mereka sembangkan adalah bagaimana pembacaan membuatkan kita tidak berasa keseorangan. Zinn membesar dalam keluarga yang susah, sejak muda dia menjadi buruh di perlabuhan dan kemudian menjadi pemandu pesawat perang. Zinn melihat bagaimana masyarakat diajar bahawa "jika kau berusaha dengan rajin, satu hari nanti kau akan berjaya". Tapi dia melihat komunitinya yang bekerja keras setiap hari langsung tak kaya-kaya. Dia melihat buruh-buruh yang bekerja kuat masih tidak berubah keadaan hidup mereka. Dia berfikir bahawa pasti ada masalah dalam sistem kehidupan ini.

Tetapi dia mengagak bahawa itu hanyalah fikirannya. Kemudian apabila lama dia menjalani hidup, dia terjumpa banyak bahan-bahan bacaan. Banyak bahan bacaan yang membahaskan masalah dalam sistem sedia ada. Kemudain baru dia berfikir, "Ah! inilah yang aku fikirkan selama ini, rupanya aku tidak berseorangan!".

Begitulah sebenarnya antara peranan membaca. Dengan membaca kita dapat berjumpa dengan pemikiran-pemikiran orang lain. Kita juga dapat bertemu dengan orang yang berfikir sama seperti kita, dan kita tidak lagi merasa sendirian dalam pemikiran kita. Ada sesetengah fikiran yang kita simpan, kita tak tahu dengan siapa kita boleh berkongsi, kerana mungkin orang itu mempunyai prejudis terhadap idea kita. Tetapi apabila kemudian kita menjumpainya dalam bacaan, ia adalah satu perasaan yang membebaskan, dan sering kali memberi kita keberanian untuk mula membincangkan pemikiran kita tersebut, kerana ada orang telah menulisnya, kita tidak keseorangan.

Perjalanan dalam dunia penulisan sendiri banyak menemukan saya akan hal ini. Sering akan ada orang datang, mengucap terima kasih dan berkata "aku pun berfikir benda yang sama, bila kau tulis aku rasa ada orang faham apa yang aku fikir". Meskipun sering kali saya tidak mengenali orang itu. Bagi saya itulah antara perkara yang menarik dalam menulis. Perkara yang manis dalam berkongsi idea melalui penulisan. Merasakan diri kita tidak keseorangan dalam dunia ini. Kita tahu bahawa bukan kita sahaja ada satu pemikiran rahsia yang tidak kita luahkan, kita tahu sebab ada orang lain munulis perihalnya. Oleh itu dengan membaca kita berasa lebih wujud.

Selasa, 7 Jun 2022

Orang Sastera Orang Gila


Orang sastera adalah orang gila,
manakala orang yang membosankan
adalah orang biasa.

Maka pilih.

Kau mahu mati tidak berbuat apa-apa
atau kau berani membayar harga.

Agar hidupmu, 
memberi sesuatu
kepada tamu-tamu.

Menikmati Secangkir Penat


Kalau kita buat benda yang kita cinta

Yang susah terasa indah
Yang mahal terasa murah
Yang pudar terasa segar

Yang sakit terasa nikmat
Yang jauh terasa dekat
Yang sejuk terasa hangat
Yang lama terasa singkat

Yang penat terpadam dengan semangat,
pabila hujan terasa rahmat.

Oleh itu sahabat,
hiduplah dengan apa yang kau cinta,
baru berbaloi kau wujud di semesta.

Hidup ini pasti ada buah-buahnya
pastikan ia bukan duka durja.

Pastikan buahmu adalah cinta.

Melawan Dengan Berkawan


Kau sering katakan,
bahawa tugas kita adalah melawan,
aku setuju dan aku turun ke medan,
berlawan.

Hingga aku rasa aku begitu tua
api perlawananku menjadi bangka.

Jangan khuatir teman,
aku masih akan berlawan,
cuma strategiku kini lebih aman,
lawan kena berfikiran,
aku ingin melawan dengan berkawan.

Surat Buat Pembaca


Duhai pembaca yang budiman,
dari lubuk hati yang paling dalam,
ingin aku katakan,
kata penghargaan dan salam.

Semoga dalam dunia yang 
bingit dan haru,
kau masih punya masa yang
cukup untuk menghirup secawan ilmu.

Semoga dicelah sibuk hidupmu,
kau masih punya masa,
untuk menyelak makna mencari rasa,
untuk larut,
dalam helaian buku.

Semoga selaut aksara,
membuat matamu lebih celik,
akalmu bertambah cerdik,
dan budimu tersebar bak bara.

Kalam-kalam ini ditulis,
dengan rendah hati seadanya,
moga-moga ia tidak menghiris,
tetapi menyuburkan jiwa lara.

Keluarlah dari istana kaca,
bukalah mindamu seluasnya,
dan aku ucapkan,
selamat membaca.

Ahad, 29 Mei 2022

Pengenalan Bagi Buku "Lalang di Lautan Ideologi"


Sebenarnya dah lama saya nak menulis sedikit perihal buku terbaharu saya bersama Cukong Press ini. Sejak saya memegang sendiri naskah yang baru keluar dari kilang yang diterima dari Ocha Vozvyshennyy di Taman Kosas pada penghujung Ramadhan 2022. Namun disebabkan pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup, ia beberapa kali tertangguh. Di kesempatan ini harapnya sempatlah saya menulis sedikit tentangnya. Jika anda pernah menulis buku, pasti anda faham perasaan menyambut buku baharu, sesetengah penulis menganggapnya persis perasaan seperti menyambut seorang "anak". Teruja.

Buku ini saya dedikasikan buat dua orang sahabat saya, Umar Muhajir bin Ghazali dan Muaz Mat Isa. Kedua-dua mereka merupakan teman baik saya. Kami bukan sahaja banyak berkongsi memori, kadang kala kami juga berkongsi rasa dan perasaan bersama.  Banyak episod hidup saya yang bersilang dengan mereka. Namun apakah daya, takdir memetik mereka di usia yang sangat muda, walaupun sedih saya redha. Jadi saya dedikasikan buku ini sebagai ingatan penghargaan buat mereka.

Ucapan terima kasih juga saya ucapkan buat Dr. Akram Ghafar yang sudi mengukir sedikit pra-kata buat naskah ini. Semoga dengan tinta yang dicurahkan beliau akan memotivasikan saya untuk terus menulis lagi di masa hadapan.

Ramai teman-teman yang bertanya, ini buku yang ke berapa? Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu. Kerana saya merasakan begitu sukar untuk mendefinisikan apa itu buku. Kerana ada tulisan saya yang terbit hanya dalam talian, adakah itu dikira sebagai buku? Jika tidak, ia sedikit bermasalah kerana ia mempunyai ISBN. Kemudian buku antologi yang saya tulis bersama dan dalam masa yang sama menjadi editor, adakah itu dikira sebagai buku saya? Juga ada buku puisi yang diterbitkan bersama. Adakah puisi itu tulisan atau perasaan? Ada juga buku yang sama dengan edisi yang berbeza, masing-masing ada ISBN tersendiri, jadi adakah ia dikira satu buku atau buku berbeza?

Sebenarnya saya sendiri pun tidak mengira berapa buku yang pernah saya terbitkan. Kerana saya kira kepuasan menulis adalah mengeluarkan idea, pandangan, isi hati dan perasaan, bukan mengira buku. Dalam masa yang sama penulisan juga merekod kisah kehidupan kita dan juga sejarah sekeliling kita. Itulah kepuasannya, meninggalkan butir-butir kata-kata untuk generasi seterusnya apabila kita sudah lagi tiada. Mungkin ia terbit sebagai buku, zine, antologi, blog, atau artikel atas talian, asalkan ia dapat dicapai oleh generasi seterusnya.

Seperti kebanyakan buku saya yang lain, buku ini merupakan koleksi penulisan, sejak tahun 2018 sehingga kini. Ia tidak ditulis dalam masa satu hari, satu minggu, atau satu tahun. Tetapi tidak semua tulisan saya terpilih untuk dimuatkan dalam naskah ini. Banyak juga tulisan yang tidak saya muatkan seperti pengalaman, catatan keluarga, puisi, ulasan buku, yang saya kira akan saya akan muatkan dalam naskah yang berasingan di masa hadapan.

Sebaliknya rencana yang dipilih untuk dimuatkan dalam naskah ini bersifat umum, esei-esei perihal politik dan demokrasi, ekonomi, dan falsafah. Saya kira skop ini pun sudah cukup besar untuk menjadi sebuah buku. Dalam menyusun tulisan untuk dimuatkan dalam buku ini, saya mendapati ia menampakkan perubahan corak saya berfikir. Sememangnya pemikiran itu sesuatu yang akan berubah dan perlu berubah. Perubahan ini mematangkan kita sebagai manusia dalam proses kita untuk cuba memahami dunia.

Semakin lama saya cuba membaca (tak la banyak mana pun membaca), menulis dan memahami. Saya merasakan dalam setiap perkara manusia selalu meletakkan satu idea di depan mereka. Kesetiaan pada idea ini menjadikan idea itu menjadi satu pemikiran yang memandu manusia dalam hidupnya dan disebut sebagai ideologi. Boleh jadi ia adalah ideologi perihal teologi, politik, ekonomi dan lain-lain. Namun hidup bukanlah idea, ia tidak rigid dan tekstual. Sebab itu Edward Said menulis dalam makalahnya akan bahaya jika manusia itu menjadi manusia yang textual (ditulis beliau sebagai "textual attitude"). Malah dalam sungai sejarah, sering kita melihat ideologi apabila digabungkan dengan kuasa dan rigidity melahirkan tragedi buat manusia.

Saya ingin membawakan naratif bahawa ideologi dan kebenaran itu dua benda yang berbeza. Orang sering beranggapan bahawa kita perlu kepada sesuatu ideologi untuk sampai kepada kebenaran. Saya pula memikirkan bahawa kita perlu terus bersama kebenaran tanpa perlu (atau mungkin lebih tepat, tidak semestinya) melalui jambatan ideologi. Dalam kata lain, apa yang benar itulah yang perlu kita pegang, walaupun ia di luar ideologi yang kita cenderungi. Dalam kata lain, ideologi kita adalah "kebenaran". Mana yang benar itulah ideologi kita. Bukan kiri, kanan, depan atau belakang. Saya harap buku ini dapatlah menjelaskan pandangan saya ini.

Segala Memori Yang Tidak Dibaca


Umpama binaan pasir di tepi pantai,
Datang ombak hilanglah ia.

Ibarat daun kering dihujung ranting,
Dihembus angin gugurlah ia.

Hidup yang sebentar ini,
begitulah juga.

Segala gelak ketawa pasti nan hilang,
akhir nanti sunyi, tiada.

Senyuman tinggal pada foto,
terselit dalam album yang tidak dibuka.

Segala memori akan pudar,
menjadi cerita,
yang tidak dibaca.

Catatan Baitul Muslim 53: Ayah Yang Ada Tapi Tiada


Mungkin perjalanan menjadi seorang ayah ini, antara yang menakutkan aku adalah menjadi ayah yang ada tapi tiada. Kadangkala aku ada di rumah, tapi aku sibuk dengan aktiviti aku sendiri, bersukan, membaca buku, menulis, ke masjid. Anak-anak melihat ayahnya setiap hari, tapi ayahnya kelihatan begitu jauh, tidak bersembang dengannya, nak tegur ayah sendiri pun takut, risau kalau-kalau menggangunya atau disuruh pergi main jauh-jauh. Dalam tak sedar, usia anak-anak yang sepatutnya disantuni ayahnya hilang terbiar, anak-anak pun memasuki fasa bersama kawan-kawan pula tanpa sempat melalui fasa bersama ayahnya.

Pada usia sekarang ini, Idlan yang berumur 4 tahun sudah pandai sedikit perihal solat. Kadangkala malam-malam aku akan mengajaknya ke masjid bersamaku. Tak ada lah aktiviti ibadahku berlaku secara sendirian. Sekurang-kurangnya ada juga memorinya nanti ke masjid bersama Abi (panggilan anak-anak kepadaku). Atok-atok di masjid pun nampak seronok sedikit melihat ada cucu yang datang ke masjid. Aku kadang kala bias sedikit terhadap Idlan. Mungkin kerana aku melihatnya mirip seperti keadaanku. Anak lelaki kedua dalam keluarga. Namun akhir-akhir ini aku cuba untuk meneutralkan diri. Setiap kali Idlan bergaduh dengan kakaknya Amni, aku tidak terus marah atau menyalahkan Amni. Aku dengar dahulu apa yang berlaku dari kedua-dua belah pihak, sebelum aku memberi apa-apa keputusan atau nasihat.

Idlan pada masa ini sedang dalam fasa suka mewarna, setiap hari dia akan mengajakku menemaninya mewarna buku Power Rangers dan buku Robot. Kadang kala disuruhnya aku print gambar-gambar dari internet untuk mewarna. Amni pula dalam fasa belajar buat kerja rumah. Setiap hari pulang dari sekolah, uminya (Maryam) akan memeriksa beg sekolahnya untuk memastikan dia menyiapkan kerja sekolah. Kadang kala dia mudah menyiapkan kerja, kadang kala perlu berperang juga untuk dia menyiapkan kerja. 

Aku bertuah mempunyai isteri yang rajin memeriksa kerja rumah anak-anak, aku mengaku bahawa aku kurang sedikit bahagian ini. Bagi aku anak-anak sudah pergi sekolah, itu sudah cukup baik. Tetapi isteriku lebih teliti, setiap hari penuh kesabaran dia akan duduk bersama anak sehingga mereka siap kerja sekolah. Jika tulisan tidak cantik, dia akan padam semula supaya anak tulis balik dengan cantik. Kadang kala aku duduk juga teman Amni buat kerja rumah, asalkan dia salin apa yang perlu disalin. Bagi aku darjah 1 ini, biarlah dia belajar siapkan dahulu. Mencantikkan tulisan itu akan datang sedikit demi sedikit. Tapi aku tidaklah kata falsafah isteriku salah, setiap orang ada cara didik dan cara fikir yang berbeza. Aku juga merasakan, tulisan tangan ini, walaupun penting di sekolah, tidaklah begitu penting di kehidupan sebenar nanti. Zaman ini adalah zaman baharu dimana semunya akan ditaip menggunakan jari, bukan ditulis secara manual lagi. Tulisan tangan penggunaannya sangat minima, dan akan menjadi semakin minima di zaman akan datang. Atau mungkin pupus?

Bagi aku, pengajaran yang lebih penting dalam menulis ini adalah kesabaran. Sabar dalam belajar menulis. Sabar dalam percubaan menguasai penulisan tangan. Itu yang lebih penting. Belajar untuk sabar dalam belajar. Kerana kesabaran ini nanti bukan hanya akan digunakan dalam menulis tangan tetapi dalam setiap subjek yang akan datang dalam hidup anak-anak. Semuanya memerlukan usaha dan kesabaran untuk dikuasai.

Dalam fasa ini juga aku mahu perlahankan kehidupanku. Aku tak mahu semuanya berlalu terlalu laju. Aku juga telah banyak memperlahankan kerja-kerja penulisan dan pembacaan. Kadang kala setiap hari hanya aku habiskan masa dengan anak-anak selepas kerja. Main lawan-lawan dengan Idlan, melukis untuk Amni, bercerita dengan mereka, kemudian tidur. Biarlah aku menikmati masa sekarang ini sebelum ia pergi berlalu. Satu hari mereka akan besar dan aku tak akan dengar lagi Idlan dan Amni yang bersungguh-sungguh mahu menceritakan apa yang berlaku di tadika dan sekolah. Bercerita tentang apa yang dia sedang main. Kadang aku hanya mahu duduk dan mendengar suara mereka, suara kecil mereka adalah muzik yang indah buat telingaku, yang aku pasti akan hilang tidak lama lagi apabila mereka dijalari kedewasaan. 

Khamis, 19 Mei 2022

Biografi Ringkas 10 Imam Qiraat Serta Dua Perawi Mereka Yang Utama


Alhamdulillah, sempat juga mencuri masa dicelah-celah hela hidup yang singkat ini untuk menghabiskan naskah kecil buah tangan Ustaz Mohammad Umar Aiman bin Osman. Naskah ini memang ringkas seperti tajuknya, ia mengisahkan perihal imam-imam yang menjaga Qiraat Al-Qur'an. Saya kira ia adalah penting kerana Al-Qur'an yang sebenar adalah berbentuk "bacaan", ia diturunkan kepada nabi dalam bentuk bacaan. Kemudian diwarisi kepada generasi seterusnya. Buku ini menelusuri genealogi pewarisan bacaan Al-Qur'an untuk meyakinkan bahawa ia sampai kepada kita hari ini dengan sanad yang bersambung dan diriwayatkan secara muthawatir. Ia ditutup dengan penerangan mengapa qiraat "Hafs an 'Asim" menjadi qiraat utama zaman ini.

Kata-kata yang paling saya minati dalam naskah ini adalah dari Imam 'Asim Al-Kufiy, yang jika bertembung antara hajat dan keperluan untuk solat, akan memilih untuk solat di masjid. Beliau berkata "hajat kita takkan habis". 

Ya, saya kira begitulah kita manusia. Sentiasa berhajatkan sesuatu. Ditambah di era kita disumbat dengan iklan setiap masa, offline dan online, hajat kita bertambah berkali ganda. Perlu untuk kita duduk dan berhenti sebentar, merenung akan apa sebenarnya yang menyebabkan hidup kita terasa "hidup". Kerana jika kita hanya mengikut tiupan angin hajat, kita mungkin mengejar segala hajat-hajat kita hingga ke kuburan, dan lupa untuk hidup dengan sebenar-benar hidup.

Jumaat, 13 Mei 2022

Minggu Ke-2 Syawal Yang Suram

Minggu ke-2 Syawal tahun ini saya dilanda kesuraman atas beberapa kematian yang berlaku berturut-turut. Pada 08 Mei 2022, diberitakan adik kepada Ustaz Anas Mokhtar kembali kepada pencipta. Alhamdulillah saya sempat menghadiri solat jenazahnya di Masjid Al-Barakah, Tikam Batu. Pada 09 Mei 2022, jam 3 pagi, diberitakan bahawa ayah kepada Abdullah Luqman bin Osman (Albo) iaitu Pakcik Osman Murad pula kembali ke rahmatullah. Hatiku bertambah sedih.

Saya asal orang Kuala Lumpur, tapi menghadiri sekolah asrama di Perlis. Jika cuti pendek-pendek biasanya saya tak balik rumah tapi menumpang cuti di rumah kawan-kawan. Antara yang selalu saya pergi adalah rumah sahabat saya, Albo di Kampung Che Bema, Sungai Petani. Masa itu saya belum tahu lagi saya bakal berjodoh dengan orang Sungai Petani, kalau saya tahu, mungkin saya akan lebih kerap ke Sungai Petani dan tidur di rumah Albo.

Ayah Albo, Pakcik Osman Murad ada membuka kedai bundle ketika itu, nama kedainya Osama Bundle. Emaknya, Makcik Ani pada masa itu ada membuka kedai makan. Makcik Ani ada suruh saya tolong-tolong di kedai, tapi selalu saya datang tolong makan sahaja. Di sekitar rumah Albo ada banyak kolam memancing, dia selalu ajak saya pergi memancing, tapi bila sampai di rumahnya, dia asyik tidur aja, kami tak pergi pon memancing.

Pakcik Osman ada bagi saya baju Osama Bundle, di asrama saya selalu pakai baju tersebut. Paling saya ingat adalah semasa tingkatan 3, saya dan sahabat saya Qayyim ke rumah Albo. Masa nak balik Pakcik Osman bagi duit 10 ringgit. Rasa seronok tak sangka, 10 ringgit untuk budak sekolah tingkatan 3 masa tu kira banyak. Dah la datang menumpang, dapat pula duit. Sampai hari ini saya tak lupa walaupun dah belasan tahun berlalu. Kali terakhir saya berjumpa Pakcik Osman adalah beberapa hari sebelum kematiannya, pada 04 Mei 2022 di rumahnya di Kampung Che Bema. Semoga Allah merahmati Pakcik Osman, mengampunkan dosanya, dan menerima beliau dikalangan orang soleh.

Tidak terhenti disitu, hari yang sama pada 09 Mei 2022, saya mendapat berita, teman baik saya semasa sekolah rendah, Azam bin Zulkifli kehilangan ayahnya Haji Zulkifli bin Haji Zakaria. Saya dan Azam sama-sama bersekolah di Sekolah Rendah Ibnu Kathir Gombak (SRIKG). Ayahnya meninggal di dalam ambulans dalam perjalanan ke hospital kerana mengalami sesak dada.

Terima kasih ibu yang menghantarkan gambar-gambar sekitar solat jenazah dan pengkebumian Pakcik Zulkifli di Gombak. Mungkin ibu tahu anaknya mahu balik, bersama hadir, tapi terpisah kerana jarak, jadi ibu jadi wakil ziarah dan hantar gambar. Arwah Pakcik Zulkifli dikuburkan di tempat yang sama dengan arwah ayah saya di Tanah Perkuburan Bukit Permata Taman Seri Gombak, bolehlah saya ziarah kuburannya nanti jika saya menziarahi kubur ayah. Saya tidaklah rapat atau mengenali Pakcik Zulkifli secara dekat, namun Pakcik selalu "ada" masa saya sekolah rendah, kadang nampak di sekolah, di masjid, di kedai, dan di rumah. Anak pakcik, Azam teman saya di sekolah, selalu jalan kaki balik rumah sama-sama sambil singgah beli aiskrim neslo (aiskrim Malaysia) di Kampung Changkat. Saya tak pernah pun bersembang dengan pakcik, iyalah budak-budak kecil lagi masa itu, mana pandai bersembang dengan orang dewasa. Dengan kawan-kawan pandailah bersembang pasal Dragon Ball dan Digimon. Jika jumpa di Masjid Rahimah pun dialog saya dengan pakcik adalah "Pakcik, Azam mana?". Bila dah habis sekolah pun jika jumpa, pasti tanya pasal anak, Azam belajar mana pakcik? Dia kerja kat mana? Tapi saya memang perasan, Pakcik selalu akan berjemaah di Masjid Ar-Rahimah. Rasa macam saya ini sudah tua apabila ramai pakcik-pakcik dan orang dewasa yang mewarnai hidup saya dahulu telah tiada. Semoga Allah menerima segala amalan baik Pakcik Zulkifli, diampun dosanya, dan diterima dalam kalangan orang soleh. 

Sabtu, 23 April 2022

Biarlah Agamawan di Lembah Perdebatan Mereka

 

Biarlah para agamawan dengan debat mereka. Biarlah mereka berdebat antara mereka siapa yang paling sesat, siapa yang paling kuat, siapa yang paling tepat dan siapa yang paling hebat, biarkan mereka menentukan siapa antara mereka yang punya serban paling besar, janggut yang paling panjang dan jubah yang paling labuh. Itu bukan urusan kita.

Biarkan mereka bertikam lidah, biarkan mereka berlawan siapa yang paling fasih, siapa yang paling soleh. Biarlah mereka yang menentukan sesama mereka siapa yang paling sunnah, siapa wahabi, siapa sufi, siapa munafik, siapa fasiq, siapa kafir, siapa ke syurga, siapa ke neraka. Itu bukan urusan kita.

Biarlah para agamawan bersama kitab-kitab mereka, bersama nukilan kalam-kalam imam mereka bertempur di pentas debat. Biarlah mereka bergaduh perihal urusan yang telah digaduhi selama beribu-ribu abad. Biarlah mereka ulang debat yang sama. Biarkan mereka dengan keasyikan debat mereka semalam, hari ini, esok dan tahun depan. Biarlah mereka berdebat tentang tajuk debat, debat perihal tarikh debat, berdebat perihal apa yang nak didebat. Itu semua bukan urusan kita.

Kalau pun kita hendak mengintai, cukuplah kita mengintai sarkis debat itu umpama kita mengintai sarkis politikus. Ia adalah sarkis yang sama, cuma jubah dan kopiah yang berbeza.

Lalu apa urusan kita?

Urusan kita adalah meninggalkan agamawan. Urusan kita adalah berjumpa bersama teman dan keluarga menyambung silaturahim. Bermanis muka, bersembang, berbicara, berkongsi roti dan bergembira. Urusan kita adalah mengimarahkan Ramadhan dengan puasa, tilawah, dan solah. Urusan kita adalah membaca buku, menimba ilmu dan berbincang perihal bagaimana untuk membangunkan kehidupan, membangunkan masyarakat, membangunkan keluarga, dan membangunkan insan. Urusan kita adalah untuk berkasih sayang antara satu sama lain, bertoleransi dengan senyuman dalam menerima perbezaan. Urusan kita adalah membersihkan hati agar ia sejahtera.

Biarlah agamawan di satu lembah dan kita di lembah yang lain. 

Sabtu, 2 April 2022

Kerusi Kosong di Sebelah Sawah Padi


Tinggal kerusi itu sendiri,
sepi.

Di sebelah tepi,
seluas fatamorgana sawah padi.

Kerusi itu menunggu sebuah jiwa,
yang sudah pergi selamanya.

Kerusi itu setia menunggu, 
sejauh mana pun masa berlalu,
tetap di situ.

Kerusi itu menunggu.

Di tepi,
sawah padi,
yang kini berubah sepi.

Tidak sempat air mata dikesat,
takdir datang,
tidak sesat,
tidak lewat,
walaupun sesaat.

Meragut seorang ayah,
dari anak di sebuah Madinah.

Pintu bahagia sudah ditutup,
pintu kesedihan kini menyusup.

Masuk ke dalam hati,
yang kini sudah mati.

Seguni gula kini terasa tawar,
udara pagi tidak lagi terasa segar,
segala jenaka terasa hambar,
dikunci sedih tanpa keluar.

Hirisan takdir begitu dalam.
Tak terubat dek kalam.

Tiada lagi tawa-tawa yang lalu.
Yang tinggal hanyalah.


Rindu.