Ahad, 24 Januari 2016

MATRI : Nasihat buat Guru & Apa yang tersisa setelah 9 tahun



"Kalau macam ini perangai kamu, ustaz yakin Allah tak akan bantu kamu masa peperiksaan" ujar seorang ustaz yang meletakkan semula tangan nya kebawah, tidak jadi mahu menampar mukaku. Ustaz yang berbadan gempal, berkaca mata, bibir tebal dan rambut tersikat rapat itu memandang wajahku dengan penuh kebencian. Aku masih ingat detik itu, ia sering berputar dalam ingatan ku, setiap kali ia bermain semula dalam kepala, aku tidak dapat menolak dari bertanya, "Siapakah ustaz ini yang boleh menentukan bantuan Allah kepada hamba-hambanya?".

Ya, aku akui zaman menduduki PMR bukan merupakan zaman terbaik ku. Aku masih terlalu muda untuk faham soal hidup, soal tarbiyah. Apatah lagi soal dakwah. Remaja muda yang masih mencari erti dan belajar dari kesilapan-kesilapan. Sesetengah guru tidak dapat menerima pelajar sebegini, suka memberontak, mereka di golongkan sebagai pelajar bermasalah.

Namun bukan semua guru memandangku dengan kebencian.

"Fathi mari sini sekejap, betul ke teacher dengar kamu ikut kawan-kawan keluar sekolah" soal arwah Teacher Basimah di kantin sekolah. Aku malu, tidak menjawab hanya tersengih.

"Kamu ni pelajar pandai, jangan kawan dengan pelajar-pelajar yang bermasalah itu" nasihatnya lembut. Pandangan nya penuh kasih sayang, menyimbah api muda dalam diriku untuk memberontak.

Semasa di tingkatan tiga juga kami pernah bermain bola pada jam 3 pagi di dalam kelas. Seorang senior datang menegur "Wei ustaz datang, baik blah cepat". Kami ingat ia cuma gertakan kosong agar kami berhenti bermain. Rupa-rupanya warden benar-benar datang. Satu per satu dari kami mendapat hadiah. Aku mendapat satu tumbukan di muka. Bibirku pecah berdarah, seminggu rasanya baru aku dapat makan dengan normal semula tanpa ada kesakitan.

Malam itu kami didenda untuk membersihkan sekolah. Habis denda Ustaz membawa kami makan. Semasa di restoran masing-masing malu, diam membisu. Akhirnya ustaz yang order nasi goreng untuk kami. Malam itu, ustaz bercerita berkenaan hidupnya, tidak ada kata-kata yang menghina kami. Seolah-olah ustaz faham, kami sedang membesar, dan kesalahan adalah perkara biasa. Kami perlu didenda agar dapat membezakan kesalahan, bukan dihina atau di hilangkan penggantungan pada Allah. Kami perlu di tunjukkan jalan. Ustaz dan guru-guru yang seperti ini yang akhirnya menjadikan kami manusia.

Semasa tingkatan satu aku merupakan pelajar kegemaran Ustaz Abdul Hadi Osman, masih aku ingat Ustaz sering sahaja menegurku apabila jumpa di jalanan "Maza taf'alun?" , "Ila aina tazhabun?" . Ustaz senang dengan ku kerana aku antara pelajar tingkatan 1 yang baik bahasa arabnya. Aku juga senang dengan Ustaz, senyum ustaz sahaja kepadaku sudah buat aku gembira untuk 1 minggu.

Antara titik perubahan dalam diri ini adalah apabila Ustaz menegurku semasa tingkatan 3. Waktu itu aku baru dijatuhkan hukuman rotan di khalayak ramai. Cuma aku lebih bernasib baik dari teman lain dan tidak digantung sekolah. Selepas zohor Ustaz Hadi duduk disebelahku, bertanya khabar dan memberi nasihat kepada ku atas tindakan-tindakan salah ku. Dari nada nasihatnya aku sayu, aku sedar ustaz kecewa dengan ku, aku bukan lagi muridnya yang baik yang petah berbahasa Arab semasa di tingkatan satu. Aku bertanya kepada diri, sekarang aku sudah jadi siapa?

Memori-memori inilah yang masih segar dalam ingatanku setelah 9 tahun meninggalkan MATRI. Renungan kasih sayang arwah Teacher Basimah, kisah hidup Ustaz Mahadzir di restoran pada larut malam, permandangan Ustaz Hadi bersimpuh di sebelahku selepas Solat Zohor di musolla dan kasih sayang guru-guru lain, perkara inilah yang sentiasa menjadi pencorak hidupku. Ketika aku mula tersasar meninggalkan tarbiyah dan dakwah, mereka datang semula dalam bentuk memori menasihatiku. Aku sudah tidak ingat topik 2 subjek Geografi tingkatan 3 ataupun sajak bahasa inggeris dalam buku antologi tingkatan 1, tetapi sentuhan dan didikan mereka berbekas pada diriku. Nasihat mereka segar dalam ingatan.

Oleh itu, sekiranya anda kini bergelar guru ketahuilah. Bukan helaian-helaian buku teks itu nanti yang akan di ingati oleh anak didik anda dalam kehidupan mereka. Itu hanya akan menjadi ilmu akal sahaja. Sebaliknya kasih sayang dan nasihat akan mereka bawa seumur hidup mereka. Jangan pernah sekali melihat pelajar dengan kebencian. Sebesar mana pun kesalahan mereka jangan putuskan pergantungan mereka dengan Allah. Sebaliknya balaslah kesalahan itu dengan hukuman yang berbentuk kasih sayang. Agar mereka sedar mereka salah, dalam masa yang sama mereka merasakan diri mereka di sayangi.

Pelajar bermasalah hari ini mungkin doktor 10 tahun lagi, mereka mungkin menjadi Ustaz dan guru, mereka akan menjadi ibu dan bapa. Seharusnya guru melihat mereka dengan masa depan yang jauh, usia remaja penuh masalah hanyalah episod kecil dalam kehidupan mereka, episod yang bakal berlalu. 

Masa persekolahan adalah masa yang sangat penting dalam kehidupan seseorang. Masa itu akan sentiasa dikenang bahkan digenang dengan air mata. Maka isilah masa itu dengan nasihat dan kasih sayang. Jangan berputus asa dengan mereka. Nasihat kita mungkin tidak terkesan pada masa itu, ia mungkin akan memberi kesan 10 tahun lagi apabila dia sudah mula matang. Bersabarlah.

Sembilan tahun terasa sangat jauh. Andai ada kereta api masa, sungguh aku mahu berpatah balik kesana, merasai segalanya semula, meski hanya sesaat sahaja. Sungguh aku rindu.

Tiada ulasan: