Selasa, 22 November 2022

Refleksi Terhadap Penulisan


Ketika saya menulis esei ini, hidup saya terasa begitu sibuk. Saya sebenarnya masih menulis, tetapi tulisan saya lebih banyak berfokus pada tugasan universiti, ulasan buku, laporan-laporan pejabat dan juga teks ucapan. Sangat sedikit masa yang tinggal untuk penulisan yang bersifat refleksi, dimana kita meniliti sesuatu idea kemudian memberikan pendapat-pendapat kita sendiri perihalnya. Di celah kesibukan hari ini, saya ingin menukil sedikit akan perihal ini.

Ada orang berpendapat bahawa kita perlu menulis apabila kita mempunyai autoriti, contohnya diiktiraf dengan ijazah dalam sebuah bidang. Ada juga yang berpendapat, termasuk sebahagian guru saya, bahawa kita perlu menulis apabila kita menjadi orang yang penting, kerana selepas itu baru orang akan berminat membaca tulisan kita. Namun saya tidak bersetuju akan hal ini.

Antara buku yang saya mula baca setelah menjadi pelajar sejarah adalah buku The Idea of History karangan Collingwood. Namun sebenarnya buku ini bukanlah diterbitkan oleh Collingwood, tetapi oleh murid-muridnya selepas kematiannya. Dalam edisi revisi, Jan Van Der Dussen menceritakan kisah bagaimana proses ini berlaku di bahagian pengenalan. Membaca tulisan Dussen ini membuatkan saya terfikir, jika seharusnya kita menunggu untuk mendapat autoriti atau menjadi orang yang penting baru hendak menulis, bagaimana jika kita ditakdirkan mati lebih awal seperti Collingwood? Collingwood bernasib baik kerana mempunyai murid-murid yang membantu menerbit tulisan-tulisannya. 

Kita orang-orang biasa tidak punya anak murid, jadi kita perlu berusaha menulis dan menerbit sendiri. Agar dunia sempat membaca pandangan dan idea kita. Dan kita tidak dapat menunggu, kerana boleh jadi ajal tiba dahulu sebelum penungguan kita habis.

Menjadi pelajar sejarah juga membawa saya membaca tulisan Carr dalam makalahnya What is History? Makalah ini asalnya merupakan syarahan yang kemudian dikumpul dan dibukukan. Ia tidaklah terlalu tebal, namun perbahasannya sangat penting kepada pelajar sejarah. Sebagai seorang yang suka menulis, tulisan (atau syarahan) Carr yang paling membekas bagi saya adalah apabila beliau mengulas tentang bagaimana sejarah itu ditulis.

Menurut Carr, sesetengah orang berpandangan, penulisan sejarah bermula apabila ahli sejarah membaca sumber dan mengambil nota, kemudian dia menulis sejarahnya dari awal hingga akhir. Namun ini tidak terjadi kepada beliau. Sebaliknya, sebaik sahaja dia membaca sumber-sumber yang dirasakan penting, the itch becomes too strong, dia akan berasa terlalu gatal untuk mula menulis. Penulisan tidak semestinya ditulis di hadapan, tetapi di mana sahaja. Membaca dan menulis menurut Carr bergerak seiringan. Membaca membantu agar penulisan lebih terarah.

Penulisan akhir mungkin tidak sama dengan idea asal yang kita fikirkan kerana melalui pembacaan kita akan menjumpai banyak perkara, banyak perkara juga berubah dan kita akan membuangnya. Menulis dan membaca ini menurut Carr adalah satu proses yang sama, ia tidak dapat dipisahkan dalam melahirkan sebuah penulisan yang baik dan berkualiti.

Saya sangat bersetuju dengan pandangan Carr ini. Setiap kali saya mengambil buku dari rak dan mula membacanya pasti idea datang mencurah-curah dan memaksa saya untuk membuka laptop. Seterusnya jari akan menari dengan sendirinya di atas papan kekunci. Tarian ini tidak akan berhenti selagi idea yang sedang keluar itu tidak habis. Selepas habis barulah fikiran saya akan tenang, dan jiwa merasa puas, kerana idea-idea itu telah dilahirkan dalam penulisan, tidak lagi memberatkan pemikiran. Penulisan ini sendiri sebenarnya merupakan proses penuangan saya setelah membaca buku-buku sejarah, dan sekarang saya sudah puas, jadi saya akan berhenti dahulu di sini.

Tiada ulasan: