Saya sangat harapkan penulisan ini dikritik dan dicaci secara ilmiah sekiranya dirasakan tidak betul atau tidak sesuai.
Isu perpaduan di Malaysia merupakan satu isu yang tidak pernah selesai. Sebelum merdeka , pasca merdeka tak pernah menyaksikan isu ini berjaya ditangani. Debat YB Khairy dan saudara Rafizi baru-baru ini sedikit sebanyak ada menyentuh asas ketidak-paduan masyarakat Malaysia.
Walaupun saya bukanlah yang paling arif dalam isu ini. Tidak memegang Diploma atau Degree dalam Political Science . Tetapi Malaysia tetap tanah air saya. Baik buruknya tiada tempat yang lebih selesa saya duduki di dunia selain Malaysia.
Kita terasing sejak bayi hingga tua. Masing-masing di comfort zone masing-masing. Bermula dari tadika , sekolah dan universiti jarang sekali berjumpa. Apatah lagi bersosial dan bersahabat.
Kadang-kadang saya tertanya. Adakah dengan menghapuskan hak istimewa orang melayu akan menyebabkan orang melayu terus mundur dan tidak akan maju? Adakah menghapuskan SJKC akan menyebabkan orang cina hilang bahasa dan budaya mereka? Atau hilangnya SJKT akan menghilangkan kebolehan kaum india?
Kadang-kadang saya juga kecewa dengan sikap terlalu mengagungkan ketuanan melayu yang akhirnya melahirkan generasi yang biadap dan tidak mampu menghormati orang lain. Bukan menafikan hak melayu. Tetapi adalah tidak adil hanya menghormati hak sesuatu kaum tetapi membiadabi hak yang lain.
Saya juga pernah terbayang jika saya dilahirkan dalam keluarga cina atau india. Apa perasaan saya melihat hanya orang melayu yang istimewa? Apa pandangan saya terhadap orang melayu?
Namun adalah tidak adil juga sekiranya hanya orang melayu yang melepaskan hak istimewa mereka. Kaum lain juga perlu berlaku adil dengan melonggarkan sekatan kearah perpaduan. Contohnya SJKC dan SJKT. Namun perubahan yang perlu dilakukan tidak lah boleh dilakukan dengan drastik . Perlu ada penerangan dan perbincangan yang sekata dan menyeluruh agar tidak menimbulkan sebarang ketegangan kerana isu ini adalah isu yang begitu sensitif.
Kita memang dilahirkan berbeza dan tidak akan mungkin sama.Tetapi disebabkan kita tidak sama tidak bererti kita tidak boleh bersama. Oleh itu selagi kita tidak dapat menerima perbezaan , bertolak ansur dalam beberapa perkara dan menghilangkan semua sekataan yang membezakan ini perpaduan mustahil untuk dicapai.