Fikiranku terbang dalam perjalanan dari Changlun ke Perlis.
"Syed, lepas keluar Matri aku tak nak jumpa hang, kita jumpa balik lepas 10 tahun" kata Abu Asri kepadaku dengan wajah serious dan confident. Dalam banyak-banyak rakan, Abu antara sebahagian kecil yang memanggilku dengan panggilan Syed, kawan lain kebanyakannya memanggilku Fathi. Seolah-olah dia mahu aku tahu dia kawan yang berbeza berbanding yang lain.
Abu memakai baju biasanya, tshirt berkolar, separuh merah separuh biru dan berkain pelikat. Kami sama-sama berjalan dibawah malam gelap di lorong Taman Melati, disimbahi cahaya lampu jalan dan ditemani bintang. Tamat SPM tiada lagi kawalan ketat oleh warden, malam itu kami keluar untuk makan di restoran di Taman Melati.
"Kau jangan confident sangat atuk" jawabku sambil membuat muka mengejek dan berseloroh. Kami sama-sama ketawa. Tamat SPM seolah-olah dunia ini kami yang punya, terasa ringan, tiada lagi risau dan resah. Usia masih muda, dunia menunggu kami dengan segala cabaran, ketika itu kami yakin mampu mengatasinya sebagai mana kami mengatasi SPM.
Tahun ini sudah sepuluh tahun kami keluar dari Matri. Sekiranya Abu masih hidup, tahun ini sepatutnya kami berjumpa semula. Duduk dibelakang bangunan asrama, di tembok di tepi padang, dibawah cahaya bintang, bersembang tentang kehidupan, seolah subuh tidak akan tiba. Namun, Allah lebih menyayanginya, Abu terlibat dengan kemalangan bot karam tahun lalu. Tubuhnya dijumpai oleh skuad penyelam di dasar Empangan Sembrong di Johor. Ketika mendengar berita itu aku terkedu, seolah-olah separuh hidupku telah pergi.
Jalan ke Perlis hari itu tenang sahaja. Pokok-pokok getah di tepi jalan yang telah gugur separuh daun nya memujuk hatiku. Aku cuba menahan air mata, mencari sisa memori di Matri yang lebih ceria.
Aku teringat akan bangunan akedemik baru yang siap antara kantin dan asrama putera. Ketika di tingkatan 1, kelas kami dibawah musolla, dipanggil kelas terapung sebelumya. Bermula tingkatan dua kami berpindah ke bangunan baru. Kami duduk di tingkat 2 semasa tingkatan dua dan tiga. Tingkat bawah pada tingkatan empat. Dan tingkat 3 pada tingkatan 5.
Sejak awal aku akan memilih meja yang paling belakang di tepi tingkap. Dari tingkap itu tersergam Bukit Tunjung dipagari oleh ladang getah di sekelilingnya. Aku suka melihat pemandangan dari tingkap itu, pada waktu pagi biasanya akan berkabus, ketika angin bertiup pokok getah akan bergemersikan. Indah. Pemandangan yang sempurna bagiku untuk termenung, apabila pembelajaran mula masuk ke bab-bab yang membosankan. Seolah-olah permandangan ini membantuku meneruskan kehidupan.
Aku teringat akan Cikgu Asmah. Cikgu yang tidak berputus asa mengajar Matematik Tambahan kepada pelajar lembab sepertiku. Dengan kesabaran dan sikap beliau yang tidak putus asa, beliau berjaya membantuku dari pelajar yang gagal hinggalah berjaya mendapat A1 semasa SPM. Keputusan yang aku sendiri tidak percaya hingga ke hari ini. Saat aku mula hilang minat, dan termenung melihat permandangan kegemaranku, beliau akan singgah ke mejaku, bertanya akan latihan yang diberi. Ya, beliau menggangguku melayan perasaan dan melihat permandangan, tapi aku bersyukur. Atas gangguan beliau aku mendapat keputusan yang baik.
Bukit Tunjung menyimpan pelbagai memori. Aku sedikit sedih melihat nya hari ini, kebanyakan pokoknya telah mati, dan kelihatan puncaknya yang berbatu-batuan, dahulu ia hijau dilitupi pepohon hijau. Teringat ketika di tingkatan tiga aku memanjat Bukit Tunjung, diatas puncak aku mengukir di sebatang pokok kalimah 'Fathi PMR 9A'. Kononya aku ingin mengabadikan cita-citaku di puncak tinggi. Selepas PMR ternyata ukiranku masih ada. Aku tergelak sendiri ketika itu. Ternyata impian itu tak tercapai. Aku hanya mendapat 8A. Keputusan yang membuatkan aku malu berjumpa Ustaz Hadi, beliau begitu suka berdialog denganku dalam Bahasa Arab sejak tingkatan 1. Namun aku gagal memberi keputusan yang baik buat Ustaz, Bahasa Arab sekadar C sahaja. Mungkin walaupun namaku Syed, aku tidak mempunyai darah Arab.
Bukit Tunjung merupakan tempat yang sangat kami minati. Hampir setiap hujung minggu aku akan mendakinya bersama Abu dan Rijal. Kami akan menyelinap di pagi Sabtu atau Ahad tanpa meminta kebenaran warden. Sir Abduh sering berpesan bahawa Matri tiada pagar, kerana pelajarnya mempunyai pagar iman. Mungkin bagi kami Bukit Tunjung masih lagi termasuk dalam lingkungan pagar. Abu memikul tilam lusuh dari asrama untuk dibawa keatas, agar kami dapat berehat dan berbaring. Hingga hari ini tilam itu masih ada namun sudah separuh reput. Rijal seperti biasa merupakan biro makanan. Beliau akan memastikan bekalan meggi dan air minum mencukupi. Dari puncak Bukit Tunjung kami melihat Matri dibawah, pekan kecil Beseri, dan Taman Melati. Pemandangan indah yang tidak dapat dilupakan seumur hidup.
Perjalanan dari Changlun ternyata tidak memakan masa yang lama. Sekitar 30 minit aku sudah sampai ke Matri, aku masuk melalui lorong berdekatan Sekolah Tengku Sulaiman. Ladang getah sudah tiada lagi di depan Dorm Huffaz. Dorm huffaz juga sudah direnovate, tidak lagi seperti dahulu, binaan bawah dari batu, manakala tingkat atas dibangunkan dengan kayu. Dan ada pondok pengawal baru bersebelahan bengkel kemahiran hidup. Bengkel dimana aku belajar membuat meja kecil hasil tunjuk ajar Arwah Cikgu Zainuddin.
Wacana PLM telah bermula ketika aku tiba. Ustaz Hadi sedang memberi ucapan perasmian. Aku merasakan setelah 10 tahun keluar Matri, aku masih pelajar bermasalah yang sama, masih datang lewat ke program. Ustaz Mahadzir melihat ku dari jauh, tersengih. Aku meraba bibirku, ternyata luka bekas tumbukan padu Ustaz 8 tahun dahulu telah sembuh. Tapi hingga hari ini perasaan gerun terhadap warden lagenda ini masih ada.
Aku tunduk dan bejalan laju mengambil tempat duduk di belakang. Dahulu di dataran inilah aku berkawad kaki, dari tingkatan satu hingga tiga bersama KRS dan tingkatan empat dan lima dalam Kadet Bomba. Semua sijil-sijil kawad masih aku simpan ke hari ini. Sekarang dataran Matri telah dipasang khemah dan mempunyai kipas. Jika berkawad tidak perlu lagi takut kulit menjadi hitam. Aku bersyukur, bangunan Musolla tidak banyak berubah, masih dengan binaan kayunya. Sungguh nostalgia.
Dalam ucapan nya Ustaz berpesan, "Sahabat Matri perlu kahwin dengan Sahibah Matri". Aku sedikit berbangga mendengar harapan ustaz ini. Walaupun aku menghampakan ustaz dengan mendapat C dalam Bahasa Arab semasa PMR, sekurang-kurangnya isteriku juga adalah lepasan Matri.
Selain itu ustaz juga turut berpesan bahawa iman lah yang menggerakkan hati kita untuk hadir ke program. Kasih sayang kita kepada Matri seharusnya menggerakkan kita untuk hadir menziarahi Matri. Sekurang-kurangnya sekali setahun. Ustaz juga berpesan pentingnya kita membaca. "Tidak rugi menjadi ulat buku. Ustaz dulu belajar tak ada duit, selalu pinjam buku kawan sahaja. Tabiat Ustaz dalam membaca adalah dengan meletakkan buku di kepala. Baca sedikit sebelum tidur, baca sedikit apabila bangun tidur."
Tema wacana pada tahun ini adalah 'Satu hari untuk 30 tahun', satu tema yang sangat indah dan mendalam bagi ku. Walaupun penyertaan kali ini tidak lah dihadiri ramai alumni, namun bagi ku ia sangat menyelesakan. Santai dan sesuai untuk ku termenung. Melihat bayang-bayang ku yang masih kecil, 15 tahun lalu di tingkatan satu berlari-lari memakai baju raihan hijau dan berkopiah putih. Disini lah tempat aku belajar mengenal erti kehidupan. Tiba-tiba pipi ku basah, air mata muncul tanpa aku sedar. Ya, setelah 10 tahun, satu hari ini, aku masih rindu.