Buku ini sangat menarik, bagi saya Yuval Noah Harari merupakan pen-cerita yang sangat berbakat, penulisan ini cuba untuk merakamkan 100,000,000 tahun sejarah manusia di dalam sebuah buku yang hanya setebal sekitar 500 mukasurat, ini semestinya cubaan berani yang harus kita berikan pujian. Walaupun buku ini sering dikategorikan sebagai genre popular science, saya tidak menganggap ia sebagai buku sains tulen kerana Yuval juga membincangkan persoalan-persoalan abstrak dan metafizik seperti kepercayaan, agama, dan tuhan, yang mana tidak mampu diukur dengan peralatan sains.
Yuval memulakan buku ini dengan membawakan naratif bahawa kita bukan satu-satunya manusia yang muncul pada awalnya. Bersama Sapiens, evolusi juga memberi kita "adik-beradik" yang lain seperti Erectus, Denisova, dan Neanderthals. Tetapi disebabkan berlakunya sesuatu peristiwa yang tidak dapat ditentukan secara konklusif, spesis manusia lain pupus, tetapi Homo Sapiens berjaya dalam proses survival awal, berkembang, dan membiak, maka disini kisah manusia bermula.
Manusia dalam sejarahnya mengalami banyak revolusi, revolusi pertama yang memisahkan kita dari spesis yang lain adalah Revolusi Kognitif. Revolusi ini membolehkan manusia berkomunikasi menggunakan bahasa, tetapi haiwan lain juga boleh berkomunikasi antara satu sama lain, apa yang menyebabkan kita berbeza? Sifat kognitif manusia berbeza dalam erti dia boleh memperkatakan tentang perkara yang dia tidak dapat nampak, dengar, atau hidu, atau dalam kata lain, dia boleh mencipta realiti fiksyen seperti agama, negara, dan kaum. Fiksyen atau khayalan ini membolehkan manusia berkerjasama untuk melakukan fungsi-fungsi yang kompleks tanpa perlu mengenali satu sama lain secara intim. Contohnya manusia boleh membeli makanan di kedai manusia lain yang dia sendiri tidak kenal. Kolaborasi inilah yang memisahkan kita dari spesis lain. Yuval meletakkan nilai 150 sebagai
threshold kepada mana-mana usaha kolektif untuk berjaya, melepasi angka tersebut, usaha tersebut akan mula retak dan berpecah. Kemampuan manusia mencipta imaginasi realiti membolehkan spesis kita melepasi angka ini.
Untuk menceritakan semula kisah moyang kita yang hidup dalam kehidupan memburu, Yuval menyatakan bahawa ia tugas sukar kepada para pengkaji kerana zaman ini tiada rekod penulisan, serta artifak yang sangat sedikit, kerana zaman ini manusia menggunakan alatan kayu yang mudah terurai ditelan zaman. Kerana banyak artifak kayu yang terurai, pengkaji melabelkan zaman ini sebagai Zaman Batu, namun sebenarnya ia adalah Zaman Kayu, kerana peralatan yang banyak digunakan adalah kayu, namun yang banyak bertahan hingga ke hari ini adalah artifak batu. Artifak kayu terpelihara hanya pada kondisi-kondisi yang sangat
rare. Mentafsirkan lukisan di dinding gua pada zaman ini juga sangat sukar, simbol-simbol ini terdedah kepada pelbagai teori dan spekulasi, tetapi teori dan spekulasi tersebut tidak menggambarkan pemikiran nenek moyang kita, ia lebih menggambarkan apa yang difikirkan oleh pengkaji hari ini yang mengkajinya (pengkaji mempunyai bias tersendiri).
Apabila Sapiens mula bertebaran di bumi, menduduki kontinen berbeza dan ke kepulauan-kepulauan terpencil, mereka tidak bertebaran secara aman. Penyebaran mereka diikuti dengan kepupusan spesis lain. Gelombang kepupusan pertama adalah apabila nenek moyang zaman memburu kita bertebaran. Gelombang kedua adalah di masa revolusi pertanian, yang ketiga adalah ketika revolusi industri. Yuval menolak hujah banyak pencinta alam kononnya sebelum ini kita hidup secara aman sejahtera bersama alam sebelum revolusi industri, bagi Yuval manusia adalah haiwan yang paling berbahaya kepada ekosistem sejak mereka mula berjalan di atas bumi. Tetapi skala kerosakan revolusi industri kepada alam sekitar merupakan yang terburuk, sementara dua gelombang pertama hanya mengesani haiwan dan tumbuhan di darat, gelombang ke-tiga turut memusnahkan ekosistem di dalam laut.
Kita sering beranggapan bahawa revolusi pertanian menyaksikan kita menjinakkan tumbuhan seperti padi bagi kegunaan manusia. Yuval menerbalikkan hujah ini, tumbuhan seperti padi yang menjinakkan manusia. Ketika manusia hidup di fasa berburu, mereka menikmati pelbagai jenis makanan yang berlainan, kehidupan mereka lebih ringkas, selepas berburu mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Tetapi apabila manusia dijinakkan padi, mereka dikandangkan di dalam 'rumah', mereka bekerja setiap hari menjaga tuan mereka, menanam, menyiram, membuang rumput dan rumpai lain, membaja, meracun serangga perosak, mereka bekerja untuk memastikan padi dapat hidup selesa, kehidupan mereka semakin sibuk dengan kerja keras dan diet permakanan mereka tidak lagi berjenis tetapi berfokus kepada padi. Padi dari satu spesis tumbuhan yang tidak signifikan, mengalahkan tumbuhan lain dan merebak ke banyak tempat. Revolusi pertanian adalah perangkap keselesaan, tetapi jika ada satu kaum memilih untuk bertani, puak atau kaum lain perlu mengikuti jejak langkah mereka atau mereka akan mati. Pertanian menghasilkan lebihan makanan yang membolehkan kaum bertani mempunyai anak yang ramai, mereka lebih ramai dan kuat, mudah untuk mengalahkan puak berburu yang kecil. Masyarakat bertani juga bukanlah masyarakat yang aman, mereka juga sering berperang antara satu sama lain. Tetapi apabila mereka berkembang dan lahirnya sistem politik ai menukar mereka menjadi sebuah kerajaan, jumlah perperangan dan keganasan menurun, politik menjadi alat mengurus konflik.
Dari sudut biologi, tuhan tidak wujud, dakwa Yuval. Bagi mereka yang beragama, membaca hujah ini mungkin menyebabkan mereka kurang selesa. Disini saya dapati Yuval menggunakan taktik yang sama seperti Richard Dawkins, menggunakan sains dan biologi sebagai senjata untuk mempromosikan ateism. Namun sebenarnya, sains seharusnya neutral dalam soal ketuhanan. Hal ini kerana sains mengkaji perkara-perkara objektif yang dibuktikan secara emperikal, manakala perkara metafizikal (alam ghaib) tidak dapat diuji dengan kelengkapan sains. Sains hanya mampu memberi kita kefahaman dalam hal-hal objektif menggunakan bukti emperikal. Tetapi kita boleh sahaja membaca buku ini, bersetuju untuk tidak bersetuju dengan hujahan Yuval, kerana percampuran ini, banyak juga cerita di dalam buku ini yang merupakan
"just-so stories" atau sekadar cerita yang tiada bukti emperikal. Disebabkan perkara ini, saya tidak mengklasifikasikan buku ini sebagai buku sains tulen.
Yuval kelihatan adil dalam mengkritik agama, beliau mengkritik semua agama, termasuk
Humanism, yang merupakan agama baru Eropah. Antara doktrin utama agama ini adalah "ikut apa yang dirasakan oleh hati dan perasaan".
Humanism menyembah manusia (kehendak manusia) bukan tuhan. Tetapi hati merupakan benda yang mudah dipengaruhi, apa yang kita rasa mungkin bukan sebenarnya datang dari kita, tetapi apa yang kita lihat dan dengar setiap hari. Jadi "perasaan" kita mudah dimanipulasikan oleh iklaniklan, mengikuti hati mengakibatkan kita akhirnya mengikuti kehendak
romantic consumerism - yang cuba memuaskan keinginan kita yang dicipta oleh media. Kita akhirnya disuruh menggunakan produk-produk yang dihasilkan tanpa henti, kita membeli benda yang kita tidak perlu dengan duit yang kita tidak punyai, kita disogok untuk sentiasa mempunyai kehendak yang tidak berkesudahan, sentiasa mencuba perkara baru, pengalaman baru, tidak pernah puas, esok apabila kita bangun tidur sesuatu yang baru akan dicipta, dan kita akan disuruh mengejarnya.
Apabila revolusi agrarian mengubah kampung kepada kerajaan, kita mengalami limitasi mental. Sistem kerajaan yang kompleks perlu mengutip cukai dan menyimpan banyak data matematik berkenaan dengan pendapatan, hutang, dan sebagainya. Data ini terlalu banyak untuk dismpan dan diproses oleh otak manusia. Oleh itu, terciptalah teknologi baru untuk menyimpan data, yang pertama kali dijumpai oleh orang Sumeria di Mesopotamia, teknologi baru ini dinamakan "tulisan". Nama manusia pertama yang dicatatkan oleh sistem penulisan adalah 'Kushim' yang merupakan seorang akauntan.
|
Cuneiform - sistem tulisan pertama yang dicipta oleh orang Sumer di Mesopotamia. |
Dalam mempertahankan homoseks, Yuval berhujah bahawa apa yang boleh dilakukan adalah bersifat semulajadi menurut alam, pada pandangan beliau budaya yang menyekat sesuatu kelakuan, bukan biologi. Beliau pergi lebih jauh bahawa pemahaman apa itu "semulajadi" dan "bukan semulajadi" datang dari teologi bukan biologi. Dari sudut pemikiran rasional, hujah ini membuka ruang untuk manusia melakukan apa sahaja, sekalipun jenayah, kerana apa yang boleh dilakukan adalah bersifat semulajadi, oleh itu kita tidak mempunyai sebarang limitasi. Oleh itu, adakah kita boleh katakan bahawa apa yang dilakukan oleh Hitler dan Nazi adalah semulajadi dari sudut biologi kerana ia boleh dilakukan? Beliau kemudian menggambarkan tujuan kehidupan dengan begitu tidak memberangsangkan. Beliau mengatakan kita tidak punya tujuan hidup, dari sudut biologi organ-organ kita muncul tanpa tujuan, mulut sebagai contoh bukan sahaja digunakan untuk makan, tetapi bercakap dan mencium. Tetapi hujah beliau bertentangan dengan hujah beliau sendiri, ketika beliau cuba menerangkan evolusi organ, beliau mengatakan bahawa organ mempunyai "fungsi untuk melakukan sesuatu".
Menyentuh soal falsafah politik, Yuval membawakan pertentangan antara dua nilai yang sering dijaja dalam perbahasan politik hari ini, dua nilai ini bertentangan antara satu sama lain, dua nilai ini adalah "sama rata" (
equality) dan "kebebsan individu" (
individual freedom). Ia sering dipasarkan bersama tetapi akan bertentangan dari sudut praktikaliti. Sekiranya kita mahukan masyarakat yang sama rata dari sudut ekonomi sebagai contoh, kita perlu mengekang kebebasan individu mengumpul harta (apa yang dibuat oleh sistem komunis di era Soviet). Dan jika kita memberi kebebasan individu untuk mengumpul harta, kita akan menghasilkan masyarakat yang punya jurang pendapatan yang maha besar (Amerika hari ini sebagai contoh), dan atas nama kebebasan individu, seorang pemilik tanah boleh menghalau penyewa yang miskin, meskipun ini membawa erti satu keluarga akan hidup melarat di bawah jambatan. Bagi Yuval, perbezaan ini merupakan enjin budaya, ia menyebabkan kita berdebat, menajamkan idea, dan menjadi lebih kreatif dalam mencari titik yang seimbang.
Dalam menganalisa perkembangan arah tuju sejarah, Yuval menyatakan adanya pergerakan kearah kewujudan
World Order. Sebelum ini manusia hidup dalam dunia masing-masing, dengan sedikit sahaja interaksi antara satu sama lain. Tapi dalam perspektif macro dunia-dunia inibergabung dan mula menampakkan satu
Order baru. Budaya bercampur, ada yang terhakis, dan ada yang muncul dominan, budaya semakin bersifat global berbanding lokal. Ada tiga penggerak kearah kesatuan global ini. Yang pertama adalah imperialisma, yang menjajah masyarakat lain dan melayan semua secara sama rata sebagai subjek mereka. Yang kedua adalah agama yang bersifat universal seperti Islam dan Kristian, agama ini tidak bersifah lokal dan mereka mempercayai bahawa semua manusia perlu menyembah satu tuhan yang sama. Yang ketiga adalah kapitalism, yang berusaha menjadika dunia sebagai pasaran global untuk menjual produk mereka.
Dalam membincangkan bab imperialisma, Yuval menolak kefahaman bahawa adanya kebaikan mutlak atau keburukan mutlak pada imperialisma, kita boleh mengumpulkan kebaikan mereka dan memenuhkan satu buku, kita juga boleh mengumpulkan keburukan mereka dan memenuhkan satu buku yang lain. Imperialisma telah berada di atas muka bumi dalam tempoh yang sangat lama, kebanyakan apa yang kita gunakan dan nikmati pada hari ini kebanyakannya adalah legasi imperialisma. Yuval memberi contoh budaya meminum teh di India tidak muncul kecuali selepas datangnya British. Tidak ada satu budaya yang benar-benar tulen tanpa ada pengaruh dari legasi imperialisma. Jika semangat nasionalis India mahu kembali kepada budaya India yang tulen dengan meninggalkan legasi British, mereka perlu meninggalkan legasi Imperialisma Muslim sebelum British, tinggalan seperti Taj Mahal yang merupakan ikon kepada India yang merupakan legasi penguasa Muslim. Jika mereka mahu menggali lebih dalam, mereka mungkin akan menumukan budaya mereka adalah dari imperialisma Gupta, lebih dalam imperialisma Kushan. Jadi membersihkan budaya membuatkan mereka sampai kepada imperialisma lain yang lebih tua, yang mana satu merupakan budaya yang tulen?
Fascism dan
Nazism adalah produk logik evolusi Darwin kata Yuval, Nazi melawan komunis dan humanist liberal kerana mereka mempercayai pemilihan semulajadi
(natural selection), pada mereka bangsa yang paling kuat perlu meneruskan survival manusia dan membiak. Sistem yang membolehkan bangsa lemah hidup dan membiak akan mencemarkan genetik manusia di masa depan yang akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan pupus.
Menariknya, buku ini turut bertanyakan soalan "mengapa kita perlu belajar sejarah?". Soalan yang sama yang pernah diutarakan oleh Howard Zinn. Bagi Yuval, sejarah bukanlah alat untuk menilik masa depan, tetapi adalah untuk memahami apa yang berlaku hari ini. Bagaimana kita boleh sampai kepada susunan masyarakat yang kita ada, sedangkan dalam perspektif sejarah kita punya banyak susunan alternatif yang berbeza.Susunan masyarakat hari ini bukanlah bersifat semulajadi, ia hanyalah satu produk dari banyak kemungkinan lain dalam sejarah yang boleh diperhalusi dan direalisasikan.
Dalam komentar terhadap progres sains, Yuval menyatakan bahawa sains tidak boleh menghasilkan progres yang bebas dari campur tangan politik, ideologi, dan agama. Kerana apa yang ingin dikaji sains terlalu banyak, tetapi apa yang paling penting dan perlu dikaji? Soalan ini bukan soalan yang boleh dijawab oleh sains, ia hanya boleh dijawab oleh ideologi dan agama. Tambahan pula, kita mempunyai sumber yang sangat terhad, untuk mendanai sesuatu kajian, saintis perlu memberikan justifikasi mereka kepada kerajaan untuk mendapatkan geran. Kerajaan semestinya memilih kajian untuk diberikan dana melalui pertimbangan politik dan kecenderungan ideologi. Oleh itu progres sains ditentukan ideologi dan politik.
Sejarah yang paling sedih yang diceritakan dalam buku ini adalah pembersihan dan pembunuhan penduduk asal di Tasmania. Selepas hidup secara terasing selama 10,000 tahun, apabila British datang, mereka dibunuh secara total, sehingga ke lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang terakhir. British dan missionari Kristian mereka cuba mengubah mereka menjadi manusia yang "berperadaban" (civilized), tetapi mereka tidak berminat. Populasi yang berjaya hidup menjadi melankolik, mereka hilang keinginan pada hidup, berhenti melahirkan anak, dan memilih untuk mati. Namun selepas mati, mayat mereka masih diburu, dibedah, dipotong, dijadikan bahan kajian, mayat mereka dijadikan bahan pameran museum. Orang asal Tasmania yang terakhir adalah seorang wanita bernama Truganini.
|
Truganini - orang asal Tasmania terakhir. |
Pastinya terdapat banyak lagi perkara menarik yang dibincangkan oleh yuval Noah Harari didalam buku beliau ini, namun sebelum menutup reviu ini, ada satu perbahasan menarik yang ingin saya kongsikan. Yuval bertanya satu soalan menarik dihujung buku ini. Adakah progres sejarah membawa lebih banyak kebahagiaan pada manusia? Jika kebahagiaan dan kegembiraan boleh dicapai melalu bio-kimia, kenapa kita perlu ideologi dan revolusi? Kita boleh hanya mengambil Prozac untuk meningkatkan nilai Serotonin dalam badan kita. Yuval menulis, kebahagiaan datang dari kebolehan kita memandang kehidupan sebagai sesuatu yang bermakna, ia mempunyai komponen kognitif dan etikal, bergantung kepada nilai hidup kita. Memetik kata-kata Nietzsche, beliau menulis "jika kamu mempunyai 'kenapa' untuk hidup, maka kamu mampu melaluinya 'bagaimana' pun". Dan disitu kita letak titik bagi mengakhiri reviu ini dengan positif.