Isnin, 3 Ogos 2020
Jihua Shengyu: Eksperimen Sosial Terbesar Dalam Dunia
Sabtu, 1 Ogos 2020
Anti-Antithesis: Kritik Terhadap Antithesis Yang Ditulis Benz Ali
Saya
pernah mendengar nama Benz Ali sejak zaman universiti lagi, ketika itu saya
masih sibuk dengan usrah-usrah di luar negara (usrah ini melalaikan menurut
Benz, boleh baca disini), saya dengar persoalan-persoalan ketuhanan yang
dibangkitkan oleh Benz, tetapi pada kira saya ketika itu persoalan ketuhanan
yang membingungkan manusia ini ditanya sepanjang zaman, malah ia telah dijawab
sepanjang zaman, cuma mungkin belum dijumpai oleh generasi baru, jadi tidak ada
apa yang istimewa dan saya tidak mengikutinya dengan dekat.
Jauh
selepas saya keluar dari zaman universiti, bergelumang dengan hidup dan
kehidupan, seorang teman, Israr, mengajak saya ke Kuliah Buku yang diadakan di
Pulau Pinang. Beliau kelihatan begitu bersungguh mengajak saya, malah beliau
membeli naskah buku tulisan saya (buku yang dikritik Benz). Malam itu adalah
kali pertama saya bertemu beliau mendengar kuliah yang disampaikan oleh Anas Abd Jalil yang bertajuk 'Kerajaan Pakatan Di Bawah Telunjuk Rejim Neo-Liberal Mahathir-Daim'. Selepas ber-kuliah di MacDonalds
berdekatan USM kami menyambung per-sembang-an di Restoran Nasi Kandar Pelita.
Selepas pertemuan itu Israr saya lihat banyak menulis di satu Page Facebook
perihal musik Indie sebelum beliau hilang tanpa jejak, usaha menjejaki nombor
talifon beliau juga tidak berjaya, satu misteri. Kali kedua saya bertemu Benz adalah ketika event Pasar Buku 2020 yang dianjurkan oleh Buku Jalanan Bagan.
Pada
Pesta Buku KL 2019, saya diajak teman karib saya, Izzat Ibrahim untuk bersama
beliau menjual buku di kiosk swaterbit yang disediakan penganjur. Kiosk ini
dikhaskan untuk penerbit yang menerbit karya sendiri, ia adalah usaha
mengetengahkan buku yang tidak diterbit oleh penerbit besar negara. Walaupun
lokasinya sedikit terpuruk kedalam, aura pesta buku berjaya menghabiskan jualan
semua buku yang saya cetak. Salah seorang pembelinya adalah seorang wanita yang
dihantar Benz Ali – yang saya syak merupakan Kia Syakira. Di buku tersebut saya
titipkan pesan mohon ia di-reviu dan Benz bermurah hati mengkritik buku saya
itu dalam dua bahagian (bahagian satu dan dua). Di depan kiosk kami pada ketika
itu adalah kiosk Kementerian Dalam Negeri (KDN), apabila tiada pengunjung, saya
ringankan kaki untuk berkunjung di kiosk KDN. Selain buku-buku pro-komunis yang
dipamerkan sebagai buku haram, buku ‘Antithesis’ juga merupakan antara buku yang
dipamerkan sebagai buku haram, selain komunis, perkara-perkara yang mempromosi
marijuana (dadah) juga merupakan bahan yang diharamkan, antara bahan pameran
lain adalah seluar dalam yang mempunyai lambang daun marijuana. Saya bersembang
dengan pegawai bertugas, saya bertanya bagaimana bahan-bahan pro-komunis
diharamkan tetapi saya masih boleh membeli The Communist Manifesto di gedung
buku terbesar negara di tengah ibukota? (nama kedai dirahsiakan atas faktor
keselamatan dari risikan dan serbuan). Pegawai tersebut mengatakan
penguatkuasaan mereka terhad, mereka hanya bertindak atas laporan, jika tak
dilapor mereka tidak tahu (ambil tahu).
Selepas
itu baru saya mempunyai keinginan untuk membaca buku ‘Antithesis’ yang telah
diharamkan ini, saya pernah mencari buku ini dalam senarai katalog OPAC
Perpustakaan Negara (OPAC PNM), walaupun mempunyai ISBN number, ternyata buku
haram ini tidak keluar dalam senarai carian. Apabila saya menggunakan terma
‘buku haram’ dalam tulisan ini, saya tidak bermaksud ia dalam konotasi
pejoratif, tetapi hanya kenyataan objektif. Kerana pada fikir saya, banyak
buku-buku yang baik sepanjang sejarah pernah diharamkan, jadi pengharaman buku
ini mesti disebabkan ia mengandungi sesuatu, ada substance, jadi pengharaman
pada pandangan saya merupakan pencapaian bahawa buku ini mempunyai substance,
ia diiktiraf oleh kerajaan bahawa ia mampu mempengaruhi manusia. Namun akhirnya
saya tetap mendapatkan naskah buku haram tersebut untuk dibaca (cara
mendapatkannya dirahsiakan).
Saya
kira ini buku terbitan Dubook pertama yang saya dapatkan (mungkin juga
terakhir). Semasa Dubook naik mencanak dahulu, saya merupakan antara orang yang
tidak ambil kisah, bukan saya mempunyai dendam peribadi terhadap Dubook yang
‘liar dan angkuh’, tetapi saya secara peribadi tidak meminati bahasa-bahasa
kempen yang digunakan, yang bagi saya terlalu kesat, tidak melambangkan nilai
intelektual buku seperti yang saya faham. Walaupun saya faham, ia merupakan
kaedah mereka untuk melakukan marketing – tetapi ia tidak masuk dengan saya.
Mungkin jika saya tidak punya pengalaman berkenalan secara peribadi, saya tidak
akan mendapatkan buku ini.
Baik,
sekarang mungkin kita boleh masuk kedalam isi buku.
Bacaan
awal saya secara umum mendapati tulisan Benz Ali ini memang agak kasar, jadi anda
boleh menjumpai frasa seperti ‘intelektualisme punggung’ dan 'f*** you' di dalamnya, ia kasar
mengkritik kerajaan dan juga orang-orang yang beragama (agama Islam secara
spesifik), jadi mungkin itu menjadi sebab ia diharamkan. Namun
persoalan-persoalanan ketuhanan yang dibangkitkan, contohnya soal peranan tuhan
dalam isu evil, pain, and suffering tidaklah begitu mengugat keimanan
pada amatan saya. Saya secara peribadi telah lama cuba memahami isu ini. Sejak
dari awal lagi saya telah membaca buku-buku yang ditulis oleh tokoh gerakan The
New Atheist, antara yang saya baca adalah Richard Dawkins yang merupakan
militant atheist dengan naskah beliau yang berjudul The Selfish Gene dan The
God Delusion. Lebih aneh, buku-buku ini tidak diharamkan di Malaysia, malah
ada dalam senarai OPAC PNM. Seorang tokoh lain yang saya gemari adalah
Christopher Hitchen, hampir kesemua perbahasan Hitchen di Youtube telah saya
tekuni, dari beliau muda dan merokok dalam wawancara bersama C-Span hinggalah
beliau telah kurus dan botak hasil rawatan kanser. Walaupun saya bukanlah
seorang atheist, dan saya juga dapati kadangkala Hitchen menggunakan falasi
bagi melawan hujah theist, tetap Hitchen merupakan antara figura yang saya
gemari kerana ilmunya dan luasnya pembacaan beliau. Tokoh atheist baru lain seperti
Sam Harris dan Dennett entah kenapa saya tidak begitu gemari, saya pernah juga
mendengar syarahan Harris tetapi berhenti ditengah jalan, bagi saya beliau
tidak punya vigor dan rigor seperti Hitchen.
Antara
kritik awal dalam buku ini adalah soal pengajian Islam di universiti yang
berbayar, beliau menulis “jika kamu tiada duit, kamu tidak boleh menjadi Muslim
yang baik..yang cerdik”. Saya secara peribadi bersetuju dengan premis bahawa
ilmu itu bukan semestinya hanya boleh dicapai melalui jalan universiti, malah
saya mungkin pergi lebih jauh dengan mengatakan bahawa ada ilmu yang mustahil
kita dapat di universiti, ilmu itu luas dan mustahil dapat disatukan dalam satu
universiti atau perpustakaan. Tetapi saya tetap mengiktiraf universiti sebagai
institusi yang mengabsahkan seseorang itu mempunyai ilmu, atau dalam kata lain
universiti mengeluarkan sebuah kertas memperakui seseorang itu mempunyai
sedikit ilmu. Dalam mengkritik Islam sebagai kapitalis yang membuat bisnes
pendidikan berbayar bagi saya tidak berlaku adil. Malah mungkin Islam adalah
agama terbesar yang memberi pendidikan percuma. Jika kita ingin mendalami Islam
dan tidak berduit, kita boleh mengikuti kuliah-kuliah di masjid secara percuma.
Malah banyak institusi tahfiz dan pondok yang memberi pendidikan percuma pada
anak-anak yang susah. Jika kita masih tidak berpuas hati, dan tetap ingin
menyambung pengajian secara percuma, kita boleh cuba dapatkan bantuan zakat.
Saya tidak bersetuju pengajian Islam sahaja disuruh diajar secara percuma, jika
kita hendak mengatakan ia merupakan pengajian yang tidak memerlukan modal untuk
membeli alatan makmal dan membuat eksperimen, banyak kursus lain yang berbentuk
seperti ini seperti pengajian falsafah, ekonomi, politik, pengurusan dan
lain-lain yang tidak punya modal untuk melakukan kajian eksperimental. Saya
masih ingat semasa di Damshik, Syiria sebelum revolusi, saya pernah masuk ke
Jamek Umawi semasa malam hari, saya dapati ketika itu terdapat ramai orang dan
sedang berlangsung kuliah bersama Sheikh Ramadhan Al-Buthi. Seorang tokoh Islam
besar ketika itu, mungkin yang kedua terbesar selepas Sheikh Yusuf Al-Qardhawi.
Saya ada membaca kitab beliau Fiqhul Seerah, kuliah bersama tokoh ke-2 terbesar
Islam di zaman tersebut diadakan secara percuma! Semoga Allah mencucurkan
rahmat keatas roh Sheikh Ramadhan Al-Buthi yang terkorban dalam revolusi.
Perihal
komunis, dalam buku haram ditulis “muncul komunisme, reaksi sunnah bukan mahu
mengambil apa yang baik... tetapi memilih untuk mengkafirkan komunisme, yakni
menolak komunisme secara total”. Kerana buku ini mungkin kumpulan status
Facebook, jadi mungkin saya tidak dapat mengetahui rangka awal atas kesimpulan
ini. Tetapi saya mengambil jalan mudah dengan memahaminya sebagai kritik
penolakan komunisme di Malaysia dan dilabel sebagai kafir. Kerana komunisme
merupakan ideologi yang mempengaruhi banyak pemikiran umat Islam jika kita
meninjau gerakan Islam di Mesir, Palestin, Iraq, Libya dan sebagainya, tetapi
di Malaysia ia seolah-olah adalah taboo. Pada saya, ia lebih kepada kesan daripada
sejarah berbanding ideologi, penolakan komunis di Malaysia walaupun sering
ditolak menggunkan label ‘kafir’ adalah kesan dari sejarah hitam berdarah di
Malaysia. Dalam masa yang sama, saya ambil maklum dengan hujah yang mengatakan
bahawa, British, Jepun, Portugis, Belanda turut menjajah kita, kenapa kita
tidak begitu anti mereka sebagai mana kita anti kepada komunis? Untuk soalan
ini, bagi saya jawapannya adalah pada polisi propaganda pemerintah yang
mengambil kuasa selepas British dalam menanam semangat patriotik dalam negara.
Saya secara peribadi merasakan pengharaman komunis secara total di Malaysia ini
sedikit bermasalah dalam memberi ruang kebebasan berfikir. Kerana bagi saya
sumbangan komunis (kiri) bukan kerana ia benar dari sudut ideologi atau sistem
ekonomi, tetapi banyak kepincangan dan masalah sistem kapitalis dapat difahami
dari membaca literature kiri, ini pada saya sumbangan komunis, mengetengahkan
masalah sistem yang dominan sekarang. Hampir mustahil bagi saya untuk kita
boleh memahami discourse ideologi Barat baik dari sudut politik, sosial, atau
ekonomi jika kita tidak membaca tulisan-tulisan kiri.
Saya
faham Benz Ali begitu anti dengan gerakan Islam Haraki dan usrah. Saya tidak
pasti usrah mana yang beliau ikuti atau gerakan haraki yang mana, dan saya
sendiri sudah banyak menjawab perihal ini (saya tulis disini, disini dan
disini). Bacaan saya, pandangan beliau terhadap usrah hanya satu sisi dan
mengabaikan sisi-sisi yang lain, sudut pandangnya usrah hanya berbicara soal
halal-haram dan kafir mengkafir, beliau menulis “apakah campur tangan agama
pada makanan, cuma sekitar tetek bengek halal – haram, babi dan alkohol?”
Beliau menulis lagi “Bill Gates yang kafir itu mencipta Microsoft Word..kau nak
buat minit usrah pun perlukan Microsoft yang dibuat oleh orang-orang kafir”.
Pada saya usrah telah ada sebelum Microsof Word, jadi tidak timbul isu usrah
perlukan Microsoft Word. Penggunaan teknologi itu pada saya sekadar mengikut
perkembangan zaman, jika tidak digunakan, mungkin nanti muncul pula Benz Abu
(di parallel universe) yang mengkritik bahawa Islam ini anti teknologi. Dari
sudut terima kasih, kita berterima kasih dengan membayar kepada Microsoft,
tetapi kita juga perlu berterima kasih kepada tulisan intelektual Islam seperti Al
Jabr (yang sering disebut Algebra) yang banyak menyumbang kepada ilmu
matematik moden yang tanpanya komputer dan Microsoft tidak dapat dihasilkan.
Pandangan saya terhadap usrah berlainan dari beliau, saya melihat orang-orang
usrah turun ke pedalaman di Simuning, Sabah memberi pendidikan pada orang-orang
yang hidup di laut, saya melihat mereka mengumpul duit sesama sendiri
mendirikan sekolah, saya melihat mereka mendirikan rumah-rumah perlindungan
untuk warga Rohingya walaupun masyarakat mencemuh mereka, saya melihat orang
usrah menghantar bantuan apabila Aceh dilanda tsunami, mereka ke Syria,
Palestin, Somalia menghantar bantuan makanan, membayar yuran anak-anak mereka
belajar, saya melihat orang usrah membuka rumah penyayang untuk masyarakat
miskin dan yatim. Namun entah kenapa sisi-sisi ini tidak pernah disebut oleh
Benz Ali dalam bukunya, mungkin beliau tidak tahu akan hal ini dari pengalaman
singkat usrah beliau, atau mungkin beliau tidak mahu membangkitkannya kerana ia
akan meruntuhkan perspektif selektif dan reductionist beliau.
Namun
pada saya apa yang kita perlu ambil dari penulisan ini bukanlah sisi pandang
selektif atau reductionist itu, tetapi melihat kepada kritik-kritik itu secara
spesifik dan cuba merenung, menilai dan cuba menambah baik sudut tersebut. Contohnya
apabila beliau mengkritik golongan usrah tidak “membaca atau menulis apa-apa”.
Ini semestinya tidak betul secara objektif, ia merupakan generalisasi dari
masalah kecil dan dibesarkan kepada keseluruhan kumpulan, tentunya ada yang
membaca dan menulis. Seperti pemikiran jika golongan Buddhist menindas Rohingya
di Myanmar kita menyimpulkan semua pengikut Buddha adalah pengganas, tentulah
ia tidak benar. Namun golongan usrah perlu memandang kritik ini dari sudut yang
berbeza, dari menjadi defensif, mereka (termasuk saya) perlu proaktif, membaca
dan menulis lebih banyak lagi sehingga menjadikan andaian “golongan usrah tidak
membaca dan menulis” itu sukar dipertahankan hanya dengan melihat keadaan luar
secara umum. Jadi imej itu diperbaiki dengan usaha (amalan) bukan sekadar kita
berdebat untuk menang hujah.
Tetapi
ada juga persoalan-persoalan beliau yang saya rasa dekat di hati, contohnya
beliau bertanya “Apakah Islam hanya di ranjang?” tentu sahaja beliau bukan
bermaksud Islam hanya di ranjang, tetapi ia adalah kritik sosial terhadap
masyarakat kita yang selalu memandang permasalahan nikah kahwin, poligami, dan
sebagainya sebagai isu utama yang dibincangkan. Saya sendiri pernah menulis
perihal lawak kahwin dua dan poligami, yang saya rasa tak lawak langsung.
Kerana banyak lagi perkara-perkara penting yang perlu kita lakukan sebelum kita
mati dan ditanam didalam kubur. Juga persoalan beliau yang membangkitkan
bagaimana aktivis dan naqib-naqibah usrah yang memperjuangkan idealisme mereka
di universiti, tetapi hilang apabila bergraduasi dan bergelumang dengan masalah
kehidupan. Saya kira ini bukan masalah golongan usrah sahaja, saya pernah
membaca status komrad PSM mengeluh akan hal yang sama, mungkin itu memang
lumrah manusia, bukan semua orang tahan berjuang, tidak kira ideologi apa pun.
Antara perbahasan beliau yang lain yang saya kira saya bersetuju adalah “kerajinan
boleh mengatasi kesarjanaan”, ini saya kira harus menjadi motivasi masyarakat
diluar universiti, mereka harus sedar bahawa mereka juga mampu menajamkan
intelektual mereka tanpa membayar yuran pengajian universiti.
Akhir
sekali, ulasan buku ini lambat 6 tahun kerana buku ini diterbitkan pertama kali pada tahun
2014, dan mungkin banyak pandangan-pandangan beliau yang telah beliau
tinggalkan, kerana beliau sendiri menulis disclaimer di awal buku ini bahawa
buku ini “bukan Al-Qur’an”. Contohnya dalam buku ini beliau menulis bahawa “kau
hanya memberatkan Planet Bumi dengan menjadi malas”, tetapi dua minggu sudah
beliau berhujah di Youtube tentang “Kenapa Malas Itu Penting?”. Buku ini saya
kira banyak persoalan-persoalan, dan banyak persoalan itu hanya selapis, tidak
diterangkan atau dihuraikan dengan dalam (mungkin kerana ianya status Facebook,
bukan kajian dan tekunan yang panjang). Jika orang lain memberi komentar bahawa
Benz Ali ini bagus tetapi dia banyak sangat berfikir perkara yang bukan-bukan,
saya pula berpendapat bahawa dia perlu berfikir lebih banyak lagi, lebih dalam
lagi, bukan berhenti berfikir. Kerana soalan-soalan ini ada jawapannya, maka ia
perlu dicari hingga satu hari nanti akan ketemu jawapan yang memuaskan hati,
insha’Allah. Apa-apa pun syabas kepada Benz, sekurang-kurangnya dia telah
menjalankan perintah Tuhan untuk berfikir.
Selasa, 28 Julai 2020
Top 10 Bestseller The Bibliophile Bookshop July 2020
Catatan Baitul Muslim 33: Mengisi Tangki Emosi
Ahad, 26 Julai 2020
Perginya Teacher Embun Menghadap Ilahi
Catatan Baitul Muslim 32: Nasihat Buat Kaum Ibu
Sabtu, 25 Julai 2020
Manusia dilahirkan merdeka tetapi digari dimana sahaja - Rousseau
Baru-baru ini saya bersiar-siar
di laman Youtube, melompat dari satu video ke satu video, dari satu syarahan ke
satu syarahan, dari satu debat ke satu debat, terjumpa dengan frasa “man is
born free and everywhere he is in chains” yang merupakan tulisan Jean-Jacques
Rousseau dalam adikaryanya The Social Contract. Seperti karya Adam Smith, saya
akan cuba geledah dan cari frasa ini disebalik helaian makalah Rousseau. Jadi
apa yang dimaksudkan oleh Rousseau?
Saya tidak tahu maksud sebenar,
apa yang dimaksudkan Rousseau secara literal kerana saya belum membacanya, saya
sudah memesan naskah tersebut, kebiasaannya buku yang dihantar par avion
oleh Royal Mail dari Gloucestershire akan mengambil masa lebih dari sebulan
untuk sampai ke Kampung Baru Bakar Arang, Sungai Petani. Jadi saya tidak boleh
syarahkan perkara yang saya belum baca, kerana saya tidak mendalami ilmu kasyaf
atau ilmu laduni. Tetapi saya ingin coretkan perspektif yang dibincangkan dalam
video yang saya lihat di laman Youtube.
Manusia, atau masyarakat yang
hidup dalam agama sering kali beranggapan bahawa agama itu mengongkong,
membataskan kebolehan dan keupayaan manusia. Mengambil semangat dari Revolution
Francaise dengan motto “liberte, egalite, fraternite” ramai yang ingin
bebas dari agama, ingin bebas tanpa kongkongan.
Dalam masa yang sama, ada juga
manusia yang hidup tanpa pengaruh agama, mereka merasakan bahawa dunia yang
berfokus kepada kebendaan dan moral nihilism merupakan satu kongkongan terhadap
jiwa, dan memilih untuk keluar darinya dan masuk kedalam agama yang dirasakan
membebaskan jiwa. Antara buku yang baik berkenaan dengan hal ini, pada fikir
saya, adalah buku tulisan Na’ima Robert bertajuk From My Sisters’ Lips, yang
mahu mengetengahkan suara wanita Eropah yang memilih Islam, perspektif mereka
sendiri yang bebas dari sebarang paksaan.
Maka disini kita sampai kepada
satu kesimpulan bahawa tidak ada keadaan yang membolehkan manusia itu bebas seratus
peratus. Pasti ada limit dan kekangan yang akan mengawal mereka, pasti ada
undang-undang, baik agama atau sekular yang akan mengikat mereka. Mungkin itulah
yang dimaksudkan oleh Rousseau apabila beliau menulis “man is born free and
everywhere he is in chains”, manusia itu dilahirkan merdeka tetapi dimana
sahaja dia berada, dia digari.
Ambil ekonomi sebagai contoh,
jika kita mengamalkan sistem kapitalis yang mengutamakan nilai kebebasan kita
akan “digari” dari sudut kesaksamaan, dimana yang kaya dibenar mengumpul harta
dan berjurang dengan yang miskin. Jika kita mengamalkan sistem komunis yang
mengutamakan nilai kesaksamaan, kita akan “digari” dari sudut kebebasan
memiliki harta. Begitu jugalah dengan aspek-aspek lain dalam kehidupan.
Ada orang pernah mengatakan pada
saya, mengajar anak-anak perihal agama adalah proses “indoktrinisasi”. Saya
bersetuju. Tetapi jika kita tidak mengajar mereka agama, dan mengajar mereka
atheism, tidakkah itu akan menjadi indoktrinisasi atheism? Kerana anak-anak itu
dilahirkan kosong, bersih, umpama kain putih, terserah kepada ibubapanya untuk
mencorakkannya (men-indoktrinisasi-kannya). Jadi kita akan keluar dari satu
gari ke gari yang lain.
Selain contoh ekonomi dan
pendidikan, manusia akan digari oleh suasana sekelilingnya. Masyarakat,
undang-undang, adat, hatta media sosial yang kita rasakan bebas pun punya
peraturan dan limitasi. Kadangkala ada hantaran yang dipadam, ada profile yang
ditiadakan. Kerana manusia akan sentiasa hidup dalam kongkongan. Hatta jika
kita lari dari semua ini, kita siapkan khemah dan beg The North Face kita untuk
masuk ke hutan dan jauh dari kongkongan ekonomi, politik, dan sosial, kita
masih tidak mampu lari dari “gari” biologi, yang menentukan akhirnya kita akan
mati, dan kebebasan kita untuk bergerak, bernafas, berpanca indera, semuanya
akan ditarik balik.
Saya tidaklah merasakan saya
benar dan tahu semua, seperti yang saya tegaskan, saya tiada ilmu kasyaf atau
ilmu sihir. Tetapi pada kira-kira saya yang kurang tahu ini, mungkin dari sentiasa
cuba untuk bebas sebebasnya, yang menyebabkan kita bebas dari satu gari hanya
untuk digari oleh gari yang lain, mungkin kita boleh mencari kebahagiaan dan
ketenangan, mungkin itu lebih bermakna dan diperlukan. Di dalam sejarah, tidak
sedikit kita menjumpai insan yang dipenjara jasad tetapi jiwa mereka bebas dan bahagia.
Kerana bahagia itu di jiwa, mungkin itu sahaja bahagian manusia yang bebas dari
sebarang gari duniawi, yang kekal merdeka selepas kelahiran manusia.
Dan pada ayat Rousseau mungkin kita boleh
menambah “man is born free and everywhere he is in chains, except for his soul,
which will remain free, if so he choose”.
Ahad, 19 Julai 2020
Balik ke Kuala Lumpur
![]() |
Amni dan Idlan bergambar di luar Perpustakaan Negara. |
![]() |
Saudara Kiridaren Jayakumar founder The Bibliophile bersama buku Life Full of Reading dan Berfikir Tentang Pemikiran. |
![]() |
Cucu-cucu mengikuti Wo menziarahi pusara arwah atuk mereka. |
Sabtu, 18 Julai 2020
Murung
Khamis, 16 Julai 2020
PPSMI: Diskusi bersama Wern Han
Saudara Wern Han mempertikaikan bahawa hampir semua ahli
parlimen melengkapkan pengajian mereka di luar negara, dan mereka belajar
menggunakan Bahasa Inggeris. Beliau tidak mengemukakan apa-apa data terhadap
dakwaan ini, saya anggap ia adalah kepercayaan beliau. Namun, jika dilihat
dengan lebih dekat, pertikaian beliau ini jika benar, membuktikan bahawa kita
tidak perlukan PPSMI untuk berjaya belajar di luar negara dan menjadi menteri.
Kerana tentunya ahli parlimen yang 40% adalah golongan yang berumur lebih 60
tahun menerima pendidikan sebelum PPSMI dilaksanakan pada tahun 2003.
Saya masih ingat, pada tahun 2003 itu saya berada di
tingkatan 1, terdapat banyak kekeliruan, bukan sahaja pelajar, malah guru-guru.
Pada peringkat awal itu, saya masih ingat, semasa peperiksaan masih diberikan pilihan,
ketika PMR dan SPM kertas-kertas subjek seperti Sains, Matematik, Fizik, Kimia,
dan Biologi semuanya dwi-bahasa. Pelajar boleh memilih hendak menjawab dalam Bahasa
Inggeris atau Melayu. Kertas soalan dan jawapan juga dwi-bahasa. Kami pelajar
ketika itu, benar-benar merasakan bahawa kami adalah tikus makmal untuk menguji
polisi pendidikan negara.
Saudara Wern Han kemudian bertanya, adakah kita perlu
berhenti menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar? Saya merasakan beliau
keliru. Di Malaysia kita tentulah belajar dalam bahasa nasional, itu tidak
bermakna kita tidak belajar bahasa Inggeris sebagai satu subjek berasingan.
Wern Han kemudian menambah bahawa beliau faham kepentingan bahasa kebangsaan (bagi
saya, baguslah jika faham), tapi beliau berkata kita juga perlu tahu bahasa
Inggeris yang diiktiraf sebagai bahasa antarabangsa. Beliau memberi contoh
ketika pelancong datang ke Malaysia, kita perlu gunakan bahasa Inggeris, jika
kita tidak fasih, bukankah ini akan meninggalkan persepsi buruk terhadap
Malaysia?
Disini kelihatan beliau masih keliru. Malaysia menurut EF English Proficiency Index (EF EPI) pada tahun 2019 berada di tangga ke 26,
dikategorikan sebagai high proficiency bersama negara maju seperti Switzerland
(Switzerland adalah negara ke-2 termaju dalam dunia selepas Norway menurut
World Population Review pada tahun 2020). Malah Malaysia dalam indeks EF EPI
lebih baik dari Perancis (31), Hong Kong (33), Korea Selatan (37) yang
dikategorikan sebagai moderate proficiency. Jika kita ukur sekadar di Asia,
Malaysia di tempat ke-3 selepas Singapura ditempat pertama dan Filipina di
tempat kedua.
Baik, berbalik kepada hujah pelancong asing Wern Han,
pelancong biasanya mahukan informasi-informasi tempatan yang mudah seperti arah
dan lokasi, ini semestinya mudah dijawab bagi warga Malaysia yang merupakan
negara ke-3 di Asia yang mempunyai tahap kebolehan bahasa Inggeris yang tinggi.
Pelancong bukan mahu menilai tatabahasa bahasa Inggeris kita, dan kita mencapai
semua ini tanpa pun kita bergantung kepada polisi PPSMI. Wern Han kemudian
berkongsi pengalamannya melancong ke Thailand, dan terpaksa menggunakan
aplikasi Google Translate sepanjang masa. Bagi saya ini bukan hujah, jika
Thailand bermasalah suruhlah Thailand yang melaksanakan PPSMI bukan Malaysia.
Mengapa kita perlu makan ubat kepada penyakit yang kita tidak hidapi?
Akhirnya Wern Han berkata bahawa dia hanya menyatakan jika
kita tidak boleh bertutur bahasa Inggeris kita akan ada masalah komunikasi
dengan orang asing, dan dia tidak menyalahkan Malaysia dalam hal ini. Belajar
bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan persoalan bahasa ni negara kita
tambahnya lagi. Dan pada ketika itu saya pun bersetuju.
Selasa, 14 Julai 2020
Belajar Sepanjang Hayat
Ahad, 12 Julai 2020
Aljazeera: Mempertahankan Kebebasan Media
“Kita beritahu kerajaan bahawa sikap orang ramai harus dikawal supaya tidak menimbulkan kemarahan dan ketegangan dalam masyarakat. Melalui media sosial nampaknya sangat tidak sihat. Kita minta kerajaan hentikan dan pulihan keadaan."
Sabtu, 11 Julai 2020
Yitai Zhengce: Polisi Satu Anak
Namun apabila sampai ke mukasurat 60, perasaan saya pecah, ada satu perasaan tidak selesa timbul dalam diri saya, perasaan dingin yang meresap ke tulang-tulang saya, saya tidak boleh duduk diam selagi tidak menulis perihalnya. Sebelum sampai ke mukasurat 60, elok kita bincang dahulu sedikit latar belakang buku ini.
Buku ini ditulis oleh Mei Fong, seorang anak kelahiran Malaysia, anak bongsu ke-5 dari keluarga yang tidak punya anak lelaki. Beliau bersyukur kerana moyangnya dari Selatan China berhijrah ke Malaysia, jika tidak, dia mungkin tidak dilahirkan. Mei Fong berkerja sebagai wartawan untuk Wall Street Journal, dan di hantar ke China untuk menjadi koresponden.
Dari Latar Mei Fong, saya beranggapan bahawa sudut pandang penulisan beliau pasti membawa perspektif Barat dan juga Western Bias terhadap China. Ya, memang betul, Mei Fong hampir tidak jumpa satu apa pun berkenaan China untuk tidak dikritik. Dari pencemaran udara sehinggalah ke stadium Olimpik yang membazir, beliau tidak berhenti mengadu. Mudah untuk kita dismiss kritikan Mei Fong sebagai "ala dia ni terpengaruh dengan fahaman Barat yang dengki dengan kejayaan ekonomi China" atau sengaja hendak memburukkan China.
Kenapa polisi ini tercetus? Dalam analisis beliau, China mempunyai krisis legitimasi selepas bencana polisi seperti Great Leap Forward dan Cultural Revolution. Untuk menyelesaikan masalah ini China perlu mencari legitimasi dari sudut ekonomi. Ekonomi bergantung pada pengeluaran dan penggunaan, namun, sukar untuk tingkatkan pengeluaran secara drastik, tapi penggunaan boleh dikurangkan, dengan mengawal jumlah pengguna, atau dalam kata lain mengurangkan jumlah penduduk. Secara teori, dengan meningkatkan pengeluaran, mengurangkan populasi penduduk, pendapatan per kapita dapat ditingkatkan.
Mei Fong dalam analisinya berkata hanya masyarakat yang telah bankrap intelektual sahaja boleh menerima polisi mengawal manusia seperti mengawal komoditi lain seperti batu arang dan gandum. Dan hanya masyarakat dengan sistem totalitarian sahaja yang boleh melaksanakan polisi ini, jika masyarakat terbuka, polisi ini tidak mampu bertahan walaupun sehari. Apa itu kerajaan totalitarian? Ada dibincangkan oleh Francis Fukuyama, tapi diluar penulisan ini. Jadi pembaca boleh mencari sendiri.
Namun untuk melaksanakan polisi radikal ini, kajian perlu dibuat untuk memastikan unjuran populasi boleh mencapai jumlah populasi yang di ingini. Disini timbul masalah kerana China ketika itu tidak mempunyai ahli demografi dan saintis sosial yang mampu mengkaji masalah ini dengan mendalam. Intelektual elit mereka telah lumpuh terutamanya bidang sains sosial yang ditekan ketika era Cultural Revolution. Oleh itu, polisi ini telah dikaji dan dibentangkan oleh saintis dalam bidang roket, golongan intelektual yang masih tersisa ketika itu. Salah seorang darinya adalah Song Jian, seorang specialist dalam bidang ballistic missile yang dididik di Rusia. Song merupakan protege Qian Xuesen, co-founder NASA's Jet Propulsion Lab (JPL). Oleh kerana tidak mempunyai kapasiti pada ketika itu, Mei Fong berpendapat polisi ini berdiri atas asas yang lemah.
Walaupun kajian mendalam impak polisi ini tidak dapat dijalankan kerana kekurangan data dan kepakaran, ia dilaksanakan pada tahun 1980 ke seluruh negara. Untuk menguatkuasakan polisi radikal ini ke satu negara yang besar seperti China, ia memerlukan birokrasi yang sangat besar. Dari perembesan propaganda untuk meyakinkan masyarakat, sehinggalah kepada pekerja sosial diperingkat kampung untuk memerhati dan memasti polisi ini dipatuhi. Disini bagi saya merupakan pusingan yang menyaksikan kekejaman polisi ini. Apa yang dipanggil sebagai "human cost". Kerana manusia itu kompleks, cubaan merendahkan manusia untuk disesuaikan dengan teori adalah sukar. Kita melihat bagaimana Darwinisme cuba menyempitkan manusia kepada sifat biologi seperti survival dan reproduksi, jadi Richard Dawkins struggle untuk membahaskan soal altruism. Bagaimana, ahli teori neo-liberal yang cuba menjual teori pasaran terbuka, terpaksa membawa konsep 'rational economic man' walaupun ia bertentangan dengan maxim bahawa manusia merupakan makhluk yang tidak rasional. Harga kemanusiaan ini yang membuatkan saya merasakan bahawa analisis Mei Fong ini bukan sekadar kritikan untuk memburukkan China.
Baik, setelah membentangkan sedikit pengenalan, disini kita sampai kepada apa yang berlaku di mukasurat 60. Di mukasurat ini Mei Fong menceritakan bagaimana penguatkuasaan dilakukan. Beliau membawa satu cerita.
Feng Jianmei merupakan seorang pekerja kilang berusia 22 tahun dan mengandung anak kedua. Beliau mempunyai seorang anak perempuan berusia 4 tahun dan percaya beliau boleh mendapat pengecualian untuk anak kedua. Pihak berkuasa tidak bersetuju dan meminta dia dan suaminya membayar denda $6,000. Kerana takut dipaksa menggugurkan kandungan Feng selalu lari dari berjumpa pegawai kesihatan, dan menyorok di rumah saudara maranya.
Tetapi Feng tidak bernasib baik, ketika kandungannya 7 bulan beliau ditangkap dan dibawa ke hospital. Pihak berkuasa kini meminta $16,000. Suaminya Deng minta denda dikurangkan, dan membayar 1/3 selepas meminjam wang dari kawannya. Tapi diberi tahu dia perlu membayar penuh tanpa kurang satu sen pun.
Dalam masa yang sama Feng dipaksa untuk menandatangani persetujuan untuk mengugurkan kandungan. Dia kemudian disuntik ubat untuk membunuh fetus dalam kandungannya. Feng menceritakan keadaan beliau ketika itu "saya boleh merasai bayi saya meronta-ronta di dalam diri saya, tetapi kemudian dia berhenti bergerak". Sampai sini saya sudah koyak dan sebak. Jururawat kemudian meletakkan bayi kebiruan yang telah sempurna sifat tetapi tidak bernyawa itu disebelah Feng. Dan kakak ipar Feng mengambil gambar beliau yang murung dan lemah berbaring disebelah mayat bayinya. Jika anda punya hati yang kuat anda boleh mencari gambar Feng Jianmei yang memurungkan ini di internet.
Apa yang berlaku kepada Feng, walaupun kedengaran sangat kejam, bukanlah unik, ia adalah cerita yang berlegar sejak 1980 sejak polisi ini dimulakan. Ia adalah harga manusia yang dibayar oleh rakyat China. Banyak lagi kesan-kesan sosial yang dibincangkan dalam buku ini, seperti kekurangan tenaga kerja, populasi tua, ketidaksamaan gender dalam populasi (kerana ramai yang memilih bayi lelaki, dan mengugurkan kandungan perempuan), dan banyak lagi. Tapi mungkin lebih adil jika saya ulas apabila saya telah baca keseluruhan naskah ini.
Rujukan: