Di dalam pekat malam, di dalam hening sunyi, orang kata pukul dua adalah masa berkarya. Ia merupakan masa yang paling sesuai untuk berkenalan dengan jiwa, bercakap dengan idea, meninggalkan sebentar minda pejabat dan kerja. Masa itu kita sendiri, bebas menukil emosi atau bermuhasabah diri.
Seperti manusia, puisi juga mempunyai tarikh dan tempat kelahiran. Cuma bezanya puisi yang ditulis diatas lembaran, hayatnya lebih lama dari bapanya yang menulis. Dia mungkin mengembara dalam umur masa yang lebih lama, berhijrah dari satu generasi ke generasi yang lain. Dia mungkin lahir di sebuah kampung kecil ketika teknologi manusia masih primitif, tetapi kekal hidup hingga ke zaman kereta terbang.
Seorang puisi itu dikandungkan di dalam minda, selalunya ia disenyawakan dari akal dan emosi. Seperti bayi-bayi lain, puisi ketika dalam kandungan sangat sensitif, ia mesti dijaga selalu, dan apabila tiba saat kelahiran ia perlu disegerakan, jika tidak, ia akan hilang mati.
Kehidupan puisi setelah itu bukan lagi bergantung kepada si bapa penulis. Tetapi dia akan bersosial dengan minda-minda pembacanya. Jika puisi itu membawa idea, dia boleh jadi berbahaya. Mungking boleh mengubah minda, mungkin juga boleh mengubah negara. Mungkin membebaskan hamba, mungkin juga revolusi boleh menyala.
Kerana puisi itu asalnya perasaan, ia mampu membawa pada tangisan. Tatkala kalbu kecil tersentuh, seorang puisi boleh menyebabkan pembacanya bersimpuh, merenung dalam kepada kehidupan, bertanya erti kejadian, atau menyepi dalam selimut kerinduan. Seorang puisi boleh jadi dilihat sekadar sebagai dakwat-dakwat yang melekat di atas kertas, boleh jadi juga ia difahami sebagai barisan nasihat, yang akan kekal menasihati umat. Boleh jadi seorang puisi boleh mengubah seekor kambing menjadi berani, tidak mustahil kerana serangkap puisi satu bangsa bisa menang perang.
Oleh itu waspadalah dengan seorang puisi, sengatnya boleh kekal beberapa generasi. Idea yang dibawa ada potensi menjadi api, menghidupkan hati-hati yang telah mati, atau menyirami akal-akal yang kehausan imaginasi. Jika sejarah kita jadikan murabbi, bukan sedikit impak seorang puisi, dalam membangun peradaban, dalam membina ketamadunan, dalam pembentukan karakter dan identiti, jadi jangan berhenti disini. Jangan bunuh puisi dalam kandungan, lahirkanlah dia, dia harus diberi peluang untuk hidup. Biar masa dan sejarah yang menjadi hakim, bagaimana dia akan hidup dan bermukim.
Kata masharakat dahulu kata-kata boleh jadi setajam pedang, inikan pula seorang puisi, dia bukan sahaja boleh menjadi pedang, dia juga boleh menjadi ubat, merawat perasaan-perasaan yang gawat. Atau membelai jantung-jantung yang gundah, atau merehatkan minda yang lelah. Puisi boleh hidup di kota, boleh juga di desa, di tepi pantai, atau di lereng gunung-ganang.
Tetapi bagaimana jika ada kawan-kawan kita bertanya, mungkinkah seorang puisi itu mati menemui ajalnya?
Kita harus jujur kepada kawan kita itu. Kita katakan pada dia bahawa kita pun tidak tahu bagaimana seorang puisi itu boleh mati, mungkin jika manusia semuanya mati, atau telah sampai hari akhirat. Kita katakan dengan jujur, kita tidak tahu. Mungkin juga perpustakaan-perpustakaan semunya terbakar, hangus ditelan zaman, pupus dimamah peradaban. Tapi yang pasti, kita perlu bisikkan pada telinga kawan kita tadi, seorang puisi itu bukan tuhan, dan sebagaimana makhluk-makhluk fana yang lain, dia juga akan bertemu dengan hari akhirnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan